Turf Matters

The Site To Go To For All Your Turf Matters

  • Facebook Likes

  • The new Brushcutter

    Pengganti Brushcutter

    Increase productivity, cut labour. Try the AM61A

  • Trees Nursery

    Forest trees nursery

    Get your Trees from this nursery

Posts Tagged ‘bola’

Garisan Penjaga Garisan

Posted by mynormas on October 16, 2018

Ramai orang akan nampak bahawa masalah utama padang bolasepak ialah di depan gol akibat perebutan bola dan bila penjaga gold terkedik-kedik di satu tempat (jangan terasa) tetapi tak ramai orang perasan bahawa satu lagi masalah yang berlaku ialah di luar padang; betul-betul tepi garisan padang.

Di dalam satu perlawanan bola akan ada satu pengadil dan dua penjaga garisan. Pengadil akan berlari di dalam padang tetapi penjaga garisan akan berlari dari tengah hingga ke garis belakang padang. Pengadil akan berlari dalam corak tertentu tetapi tetapi tidak mempunyai baris atau garis tetap.

Manakala penjaga garisan pula disepanjang 90 minit permainan, akan berlari naik-turun separuh padang disisi satu garis putih. Lama kelamaan, tempat larian penjaga garisan itu akan mampat dan rumput di atasnya akan mati. Jika permainan berlangsung sewaktu padang basah atau lembik; tempat larian akan berlekuk dan menakung air.

Bekas linesman

Ini tidak dapat dielakkan. Apa cadangan saya untuk membaiki kerosakan ini? Saya ada tiga cadangan:

Belanja minum?

Derma untuk belanja saya dan memberi lebih tenaga supaya lebih kreatif!

5.00RM

  1. Melakukan hias-atas (topdressing) untuk membaiki permukaan dan menggalakkan pertumbuhan baru.
  2. Menggunakan rumput yang lebih tahan lasak berbanding dengan Cowgrass. Disebuah padang yang saya jaga, saya dapati tempat larian penjaga garisan ditumbuhi oleh rumput Bermuda sedangkan Cowgrass tidak hidup. Saya tidak tanam Bermuda itu; ia memang wujud dipadang itu dibawah bayangan Cowgrass yang lebih besar.
  3. Pindahkan garisan dengan beberapa cara: Lebarkan padang, nipiskan padang ataupun pindahkan padang setengah atau satu meter. Ertinya; sekarang larian penjaga garisan bukan ditempat yang sama lagi. Saya cadangkan ini dibuat setahun sekali. Kita akan bincang lebih terperinci tentang ini dalam minggu mendatang, insya Allah.

topdress linesman

Bermuda linesman

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Golf Course, Landscape, Lanskap, Padang, Padang Bola, stadium, Taman | Tagged: , , , , | 3 Comments »

Sediakan Padang Sebelum Monsun

Posted by mynormas on October 9, 2018

Pepatah lama mengatakan kita perlu “sediakan payung sebelum hujan” tetapi penjaga padang (ataupun halaman rumah) rumput perlukan sediakan padang mereka sebelum bermulanya musim hujan berterusan iaitu monsun dibulan November dan Disember. Dalam artikel ini saya akan bincangkan tentang langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil bukan sahaja oleh pengurusan padang tetapi juga rakan-rakan yang mengurus halaman rumah.

Apakah masalah yang timbul dimusim monsun dalam konteks padang/halaman?

  1. Tanah yang lembik menyukarkan pemotongan.
  2. Rumput yang cepat panjang akibat peleraian nutrien dalam tanah
  3. Kekurangan cahaya matahari untuk fotosintesis.
  4. Air bertakung samada di atas permukaan ataupun di bawah permukaan (bila pijak baru nampak air keluar). Padang basah atas bawah

Kesemua perkara di atas akan menghalang penggunaan padang dan menyusahkan penyelenggaraan. Tentunya, dalam situasi ekstrem, ada padang yang mengalami banjir tetapi itu saya pernah bincangkan dalam satu artikel lama dahulu.

Kenapa padang bermasalah di musim hujan? Selain dari masalah yang pernah kita bincangkan dalam artikel terdahulu tentang kesilapan atau ketiadaan longkang subtanah, ada dua lagi punca; pertama ialah permukaan padang yang berlekuk. Lekukan itu kini membentuk suatu kolam mini di tengah padang setiap kali hujan berlarutan.  Kedua ialah akibat thatch iaitu suatu lapisan yang terbentuk di antara rumput dan tanah yang bersifat seperti span (sponge) memegang air. Thatch

Apakah persediaan padang yang perlu kita lakukan? Diantaranya ialah:

  1. Jangan gunakan baja yang mengandungi nitrogen yang tinggi sebulan sebelum itu. Nitrogen akan mempercepatkan pertumbuhan sedangkan pemotongan adalah sukar akibat padang yang lembik.
  2. Lakukan slicing atau spiking di seluruh padang (atau kawasan yang dikenali sebagai kawasan teruk). Ini akan membantu air melepasi kawasan thatch dan juga dengan membawa oksigen ke bawah rumput, membantu proses pereputan thatch oleh mikroorganisma lain.
    Untuk halaman rumah yang tidak mungkin boleh masuk mesin slicer atau spiker; lakukan dengan cara manual. Tebuk lubang sedalam 2inci atau lebih ke dalam tanah. slice and tine
  3. Lakukan hias-atas; kalau boleh keseluruhan padang tetapi kalau tidak, lakukan di kawasan lekuk-lekuk yang boleh dikenal pasti. spot topdress
  4. Pangkas pokok untuk kurangkan teduhan yang boleh melambatkan pengeringan padang atau halaman. Jika sudah mula musim hujan baru mahu buat pangkasan, membawa keluar ranting dan dahan akan menjadi masalah.
  5. Pastikan longkang di keliling padang/halaman bersih dan tiada sampah sarap menghalang pergerakan air. Kalau perlu, buat longkang dengan cangkul supaya air tidak bertakung di padang.
  6. Jika padang ada ‘belang’ atau stripe, mula buat belang alternatif dari arah baru supaya mesin tidak berada di bekas tayar yang sama setiap kali memotong. Potong guna arah alternatif dimusim hujan; ELAKKAN guna belang kegemaran sewaktu padang lembik.
  7. Gunakan agen pembasah tanah “Soil Wetting Agent” yang akan membantu air tembus melalui tanah yang hydrophobic. Cara untuk mengenal padang anda adalah hydrophobic ialah bila ia bertakung air sewaktu siram dimusim kering atau ada kawasan tertentu yang cepat kering walau disiram. Jarang sekali seluruh padang adalah hydrophobic; biasanya tompok-tompok tertentu sahaja. Sembur mengikut arahan label sebulan atau dua bulan sebelum musim hujan.

Sebuah padang yang diselenggara dengan baik iaitu melakukan ‘hollow-tining’ setahun sekali atau dua dan juga hias-atas dengan kerap akan kurang bermasalah tetapi kadang-kadang oleh kerana pembinaan yang silap, padang tetap bermasalah maka masih perlu dilakukan kerja-kerja pencegahan.

Kepada rakan-rakan yang menjaga halaman rumah di bawah ini adalah satu lagi contoh pengudaraan tanah.

Mungkin ada beberapa lagi langkah yang saya tidak masukkan di sini kerana alpa atau lupa; mungkin ada yang boleh tambah dalam komen di bawah.

Terima kasih.

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput halaman rumah, Taman | Tagged: , , , , | Leave a Comment »

Air Banyak

Posted by mynormas on April 24, 2018

Ekoran dari apa yang berlaku di sebuah stadium terkenal yang menjadi lecak sewaktu permainan sedangkan ia dikatakan sebagai padang yang di jaga dengan cemerlang, saya telah menerima beberapa pertanyaan; bagaimana ini boleh berlaku kepada sebuah padang yang dibina tanpa topsoil, mempunyai sistem perparitan subtanah dan dijaga dengan baik?

Ada tiga kemungkinan:

  1. Kandungan thatch atau mat yang tinggi.
  2. Air dalam padang telah mencapai tahap tepu
  3. Air yang masuk lebih cepat dari air yang keluar

Thatch

Thatch adalah bahan organik yang belum reput diantara lapisan rumput dan tanah di bawah. Ia akan berfungsi sepert span (sponge) yang menyerap dan memegang air. Kandungan thatch yang tebal dan berlapis akan dipanggil sebagai mat (sebutan: ‘met’ bukan ‘mat’ seperti Mat Rempit)

thatch plus mat close-up

Bahan organik yang di sebelah atas boleh dipanggil sebagai thatch dan di sebelah bawah yang kelihatan lebih padu, ialah apa yang saya panggil sebagai ‘mat’. Air akan sukar tembus ke bawah melalui mat malah akan dipegang oleh thatch sepertiT span.

Thatch tidak boleh tiada langsung, ia diperlukan pada ketebalan lebihkurang 6 – 10mm untuk berfungsi sebagai sungkupan (menghalang kepanasan matahari mengenai terus kepada akar rumput) dan juga sebagai penyerap hentakan. Tanpa thatch langsung, padang akan menjadi terlalu keras dan sebaliknya, terlalu banyak thatch, akan menjadi terlalu lembut.

sod thatch padang

Lihat thatch yang kurang dan tiada ‘topsoil’ serta pasir di sebelah bawah. Padang ini akan lebih berjaya digunakan selepas hujan.

Kerja-kerja pengudaraan tanah, hias atas dan nyahthatch akan membantu mengawal kuantiti thatch. Jika anda rasa penjagaan padang hanyalah potong rumput dan buat line; sila fikir semula.

Bila perlawanan bermula pemain akan memijak thatch dan ini ibarat ‘memerah’ span itu dan mengeluarkan air.
Padang Tepu

Kadang-kadang padang sudah tepu dengan air dan mengambil masa untuk air bergerak dari dalam padang ke longkang subtanah. Ini biasanya kita lihat air bertakung di permukaan tanah.

Ini bermakna samada longkang subtanah berada pada jarak terlalu jauh ataupun tidak cukup besar untuk membawa air keluar dari dalam padang.

Atau… mungkin anda menggunakan ‘tanah atas’ (topsoil) yang memang lambat mengeluarkan air dari dalam padang. Atau sebarang jenis tanah lain contohnya tanah liat.

top soil tanah liat clay

Padang ini gunakan ‘top soil’ yang sebenarnya ialah tanah liat. Pasir dibawah kering sedangkan padang di atas adalah basah. Paip subtanah dibawah juga kering.

Air Masuk Terlalu Banyak

Kadang-kadang, realitinya ialah air yang masuk iaitu air hujan, lebih banyak atau lebih cepat dari air keluar. Kita boleh buat seberapa banyak longkang subtanah atau seberapa besar paip pun akan ada satu ketika yang air masuk lebih cepat dari air yang keluar. Kalau kita buat longkang subtanah terlalu efisien dan gunakan pasir kasar sebagai medium tanaman untuk mempercepatkan pengeluaran air; masalah yang akan timbul pula ialah sistem pengairan tidak akan dapat menampung air dimusim kemarau.

Jadi kesimpulannya, saya bersimpati dengan padang basah, terutamanya jika penjaga padang dah buat yang terbaik (pembuatan tanpa top soil, sistem saliran yang efektif dan melakukan kerja amalan kultura untuk mengurangkan thatch) dalam pengurusan padang. Kadang-kadang; ia berlaku.

Ingat, jika sistem saliran anda baik, sistem pengairan anda juga perlu baik.
AirSpike.

Di masa yang sama saya juga ingin bercerita tentang pengalaman saya menggunakan pancutan udara untuk memaksa air keluar dari padang. Ini kali pertama saya gunakan sistem ini. Sistem AirSpike menolak air yang tepu di dalam tanah dan dimasa yang sama membuat rekahan dan pecahan baru di dalam tanah.

Di sebuah padang yang saya bantu untuk inspection dan perlawanan; saya gunakan AirSpike di sebuah kawasan paling basah ditengah padang. Selepas satu pusingan rawatan, padang itu agak kering dari sebelumnya, walaupun tiada perubahan cuaca (hujan setiap petang).

Effect of Air Spike

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang AirSpike ini, baca di sini. Harganya tak sampai RM5,000 buat masa ini. Tapi ia akan naik.

Jika anda pemilik padang atau stadium dan perlukan kerja-kerja pemulihan atau pengudaraan tanah (hollow tine), sila hubungi kami di 03 5I3I OO66 atau mynormasATconsultant AT=@.

← Back

Thank you for your response. ✨

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Golf Course, Landscape, Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, stadium | Tagged: , , , | 4 Comments »

Buat Line

Posted by mynormas on March 16, 2017

Saya selalu mengambil mudah tentang pembuatan garisan di padang bola sepak. Hinggalah pada suatu minggu saya diberitahu bahawa padang di bawah jagaan saya akan dijadikan venue pertandingan bertaraf kebangsaan. Sekarang, ia adalah padang latihan maka kawasan depan gol adalah kawasan yang amat rosak.

Saya tahu apa yang perlu berlaku ialah saya perlu pindahkan gol supaya kawasan yang rosak (walaupun telah dibaiki) tidak lagi berada di depan gol; ertinya saya perlu pindahkan padang ke kiri atau ke kanan atau ke depan/belakang supaya penjaga gol dan penyerang tidak bergomol di atas kawasan rumput yang baru ditanam semula.

Walaupun saya bernasib baik padang itu tidak dikelilingi balapan, saya tidak bernasib baik kerana bucu kawasan berumput telah diambil untuk membuat bangunan tandas maka kawasan berumput tidak lagi berbentuk segiempat tepat. Manakala di sebelahsana pula, sebesar 1 meter telah diambil untuk membina pagar untuk menghalang bola keluar, jadi kawasan yang ada untuk saya gunakan hanyalah beberapa meter sahaja jika diambil kira ruang untuk penyepak sudut dan melontar ke dalam. Soalan saya ialah; besar mana padang yang diperlukan oleh pertandingan? Berapa jarak dari pinggir yang dibenarkan?

Abd Rashid bin Ayob

Di sinilah wira posting ini masuk; En. Abdul Rashid bin Ayob, umur 56 tahun dengan pengalaman 30 tahun dalam bidang membuat garisan padang bola sepak, hoki, ragbi, takraw dan sebagainya tapi pingpong tak termasuk. Walaupun saya boleh rujuk di internet dan tahu bahawa walaupun antara padang paling besar ialah kepunyaan Hull City (114m x 74m) dan antara paling kecil ialah Stoke City (100 x 64m) dan EPL telah cuba untuk mencadangkan saiz 100.58m x 64.01m sebagai suatu piawai, saiz padang bola untuk kegunaan liga di Malaysia sukar di cari. Mujur ada Pak Rashid sebagai rujukan saya.

Dengan bantuan Pak Rashid kami berjaya mengalih padang dua meter ke kanan dan mengecilkan 0.6m ke dalam (untuk mengelakkan penjaga gol berdiri di atas bekas tiang lama).

Masalahnya, pada hari perlawanan – yang akan bermula pada pukul 4.45 petang, saya ada padang baru TANPA garisan! Komisioner Perlawanan atau Games Commissioner akan memeriksa padang sekali lagi pada pukul 3.00 petang!

Pak Rashid tenang, dia tidak terburu-buru, apatah lagi kalut.

Tarik Pak Rashid; tarik!!!

Dia memulakan membuat garisan selepas gol baru di tanam dan menjadikan titik tengah diantara dua tiang itu sebagai titik permulaan dan dengan berhati-hati memulakan kerja dengan menarik tali sepanjang tepi padang baru dan menggunakan dua besi mempastikan tali tersebut tegang dan lurus. Saya betul tak sangka betapa susahnya untuk menarik tali sepanjang 110 meter yang tebal dan berat di atas padang yang berpermukaan rumput.

Dia kemudian memulakan membuat garisan menggunakan alat pembuat garisan yang diisi dengan cat berasaskan air. Siap saja garisan itu, saya menarik nafas lega, tapi tidak Pak Rashid, dia tidak berpuas hati.

“Tak lurus” katanya.

Silap 0.5 inci; sorang padam, sorang buat baru.

Saya perhatikan betul-betul, garisan luar cat itu berada lebih kurang 0.0125m di luar tali. Hendak saja saya kata “Relax lah Pak Rashid, dah suntuk masa, tak kan ada orang perasan besar tu” tetapi saya tak berani. Pak Rashid mengarahkan pembantunya, Abang Azam menggunakan sebuah mop basah, mencuci garisan di luar tali dan dia mula cat semula garisan tadi.

Habis garisan itu, dia memulakan garisan gol disebelah sana dan kami tanam gol sana pula. Masa sudah pukul 12.00 tengahari dan matahari panas. Pak Rashid tidak berhenti untuk makan. Malah, dia tidak berhenti ketika hujan juga!

Di satu lagi padang saya di Johor, saya ada masalah garisan kotak penalti di sebelah sini tidak selari dengan garisan kotak penalti sebelah sana dan saya tak pasti bagaimana untuk meluruskan nya kerana ukuran semua sama tapi di pandangan mata; tidak selari. Sehari bersama Pak Rashid, saya sudah nampak penyelesaiannya; tarik tali dari hujung padang sini ke hujung padang sana, tanda ukuran yang kita mahu di kedua dua hujung dan cat di pinggir tali hingga ke tanda kita tadi. Nah! Dua garisan lurus selari untuk dua kotak penalti.

Kami siap garisan pada 2.50 petang dan Game Commissioner yang memerhatikan kerja kami dari tadi, memeriksa padang dan mempersetujui ia boleh digunakan. Lega.

Terima kasih Pak Rashid (dan Abang Azam, dan Din dan Pak Ali juga).

Malangnya; main hanya 39 minit, hujan lebat telah menyebabkan referee menangguhkan permainan.

Rujukan:

http://www.thefa.com/football-rules-governance/lawsandrules/laws/football-11-11/law-1—the-field-of-play

Are All Football Pitches The Same Size?

Posted in Fields, Padang, Padang Bola, stadium | Tagged: , , , , , | 18 Comments »

Pengudaraan Padang

Posted by mynormas on December 8, 2016

Kita lihat sebuah padang sebagai suatu tanah lapang yang ditumbuhi rumput. Tetapi tahukah anda di dalam tanah terdapat suatu ekosistem nya sendiri yang terdiri dari akar tumbuhan, kulat, bakteria, nematod dan pelbagai mikroflora dan fauna yang wujud. Satu kaki persegi tanah boleh ada berbilion mikroorganisma yang mempunyai fungsi masing-masing; ada yang merungkai bahan organik atau baja kepada bentuk nutrien yang boleh di ambil oleh tumbuhan ataupun mereputkan tumbuhan atau organisma yang telah mati.

Mikroorganisma dalam ekosistem ini bersifat aerobik iaitu ia perlukan oksigen untuk hidup. Oksigen wujud dalam tanah di ruang di antara ketulan atau butiran tanah tersebut. Ini di sebut sebagai ‘pore space‘. Terdapat lebih banyak ruang bila butiran itu besar (contohnya bila tanah itu terdiri dari peratusan pasir yang tinggi).

Di dalam situasi padang rumput, pemain atau pengguna yang menghentak atau memijak dan jentera penyelenggaraan yang berat akan menghempap tanah dan menjadikan ruang di antara ketulan itu mengecil atau rapat dan ini mengurangkan oksigen yang boleh di dapati oleh bukan sahaja mikroorganisma tanah, tetapi juga akar rumput.

Ruang di antara ketulan/butiran tanah sebelum dan selepas mampatan.

Ruang di antara ketulan/butiran tanah sebelum dan selepas mampatan.

Selain dari itu, ruang ini juga adalah laluan untuk air mengalir.

Hasil yang kita dapat lihat ialah kawasan yang mati, air yang bertakung dan akar yang pendek. Ini menyebabkan rumput mudah tercabut bila di sepak atau di bawah stud pemain. Adakah itu masalah padang anda?

Penyakit tidak menyerang dalam garis lurus. Ini adalah kesan mampatan.

Penyakit tidak menyerang dalam garis lurus. Ini adalah kesan mampatan.

Kesan mampatan.

Kesan mampatan. Kawasan hadapan gol adalah antara kawasan tinggi trafik.

Jadi apakah tindakan selanjutnya? Kita kurangkan mampatan  dengan cara melakukan pengudaraan tanah. Kita bantu udara untuk masuk ke dalam tanah.

Pengudaraan tanah adalah salah satu dari amalan kultura yang saya ibaratkan sebagai senaman dalam konteks kesihatan rumput. Perlu kan orang putih cakap baru bos nak percaya? Kita lihat video ini…

Hubungi saya untuk kontrak pengudaraan padang ‘hollow-tine’ atau ‘solid-tine’ dan/atau topdressing.

Berapakah kekerapan pengudaraan tanah? Ia bergantung pada penggunaan padang, jenis tanah dan sistem saliran. Tetapi umumnya saya cadangkan setahun sekali. Sebaik-baiknya setahun dua kali. Jika ia di lakukan selalu dan padang dalam keadaan sihat, padang akan pulih dalam masa dua hingga tiga minggu.

Apa yang kita buat dengan sampah core tersebut? Jika ia tidak bermasalah (tiada black layer atau tanah liat) ia boleh di gunakan semula seperti dalam video di atas. JIka ia bermasalah, kita perlu buang semuanya dan gantikan dengan pasir baru.

Sehubungan itu, terdapat satu jenis lagi pengudaraan yang tidak mengeluarkan sampah, mempunyai lubang yang kecil dan mampu masuk lebih dalam. Tetapi ini perlu di lakkan lebih kerap berbanding dengan pengudaraan yang mengeluarkan core. Padang lebih cepat boleh digunakan. Lakukan pengudaraan ini tiga hingga empat kali setahun.

Jika anda seorang contractor padang, saya cadangkan anda beli sebuah mesin pengudaraan berbentuk slicer yang lebih mudah di gunakan tetapi perlu di lakukan pengudaraan hingga 10 kali setahun kerana ia membuat lubang yang halus dan padang boleh di gunakan hampir serta merta. Ini adalah satu contoh pengudaraan tanah secara solid tine, iaitu memasukkan suatu besi ke dalam tanah untuk membuat lubang kecil. Oleh kerana ia lubang kecil, ia perlu di buat selalu dan tidak sesuai jika terdapat masalah tanah.

Saya menyeru kepada pembaca yang bertanggungjawab ke atas padang supaya memasukkan spesifikasi pengudaraan tanah ke dalam kontrak yang akan datang; “Melakukan pengudaraan tanah secara hollow-tine pada kedalaman di antara tiga hingga empat inci dengan besar lubang 12mm (setengah inci) sekurang-kurang nya satu kali satu tahun, di ikuti dengan pengudaraan secara solid tine pada kedalaman satu atau dua inci  sekurang-kurangnya dua kali setahun. Ketiga-tiga aktiviti pengudaraan mesti di jadualkan supaya ia memberi manfaat kepada rumput tanpa mudarat kepada pengguna padang”

Hubungi saya untuk khidmat nasihat pengudaraan padang dan sewa mesin. Hantar email ke mynormasATconsultant.com sekarang. Tahun 2017 akan menyaksikan perubahan harga dalam kerja kerja pengudaraan tanah yang saya lakukan.

Posted in Padang, Padang Bola, stadium | Tagged: , , , , | 3 Comments »

Racun Apa?

Posted by mynormas on June 27, 2016

Racun makhluk perosak adalah suatu bahan yang selalu kita gunakan samada sebagai penjaga rumput, landskap, halaman, padang ataupun orang biasa. Racun semut atau nyamuk yang kita sembur pada waktu petang untuk menghalau atau membunuh nyamuk adalah contoh racun makhluk perosak. Bahkan lingkaran ubat nyamuk yang kita bakar supaya kita boleh tidur lena juga adalah racun makhluk perosak atau pesticide walaupun kita panggil ia ‘ubat nyamuk’, namun ia bukanlah apa yang kita beri pada nyamuk yang sedang sakit tapi kita beri supaya nyamuk sakit atau lebih baik lagi; mati.

Saya merasa pelik bila saya menerima message dalam group WhatsApp bahawa seorang rakan yang menghadiri taklimat dari pegawai kesihatan tentang Denggi memberitahu bahawa pegawai tersebut mencadangkan penukaran racun supaya nyamuk tidak lali jika hanya satu racun di gunakan. Hmm… bagaimana jika semua racun itu berlainan nama dagangan (Baygon, Ridsect, Fumakilla dsb) tetapi mempunyai bahan aktif yang sama?

Dan ini yang berlaku pada saya minggu lepas;

Lokasi: sebuah pekan kecil di selatan semenanjung Malaysia

Misi: mencari racun rumpai berdaun lebar untuk membunuh semalu untuk padang bola seorang client. Saya telah pergi ke tiga buah kedai; dua kedai hardware yang menjual racun dan juga satu nursery pokok hiasan.

Perbualan:

Saya: “Hai, ada jual racun rumput?”

Pekedai: “Ada, kami ada dua jenis. Yang satu ialah Round-up dan satu lagi yang ini…” (Betul, kebetulan ketiga-tiga kedai pun tunjuk dua racun, kecuali salah satu kedai lagi tunjuk satu jenis racun tambahan tapi di label sebagai baja kerana ia adalah racun yang di haramkan di Malaysia)

Saya: “Eh… tapi kedua-dua racun ni sama. Kedua-dua nya adalah glyphosate”

Pekedai: …(?)

Nama racun

Nama yang biasa kita kenali suatu racun ialah nama dagangan. Terdapat satu lagi jenis nama yang kebanyakan racun di kenali iaitu nama biasa atau common name. Nama biasa lazimnya adalah nama pendek kepada racun itu dan biasanya adalah kependekan daripada nama bahan aktif. yang lebih rumit dan panjang…

Kadang-kadang, nama biasa juga adalah nama generic yang digunakan secara umum oleh pengguna sama seperti mee segera dari pelbagai jenama adalah di panggil sebagai ‘Maggi’ dan ubat gigi dari pelbagai jenama semua di panggil ‘Colgate’.

sample of glyphosate

Contoh racun yang mempunyai bahan aktif glyphosate.

Bahan aktif

Apa yang membuat satu racun itu efektif ialah bahan aktif nya. Bahan aktif ialah bahan kimia di dalam racun herba (atau herbicide dalam konteks artikel ini) yang membunuh atau mencederakan rumpai (dan kadang-kadang…rumput!). Bahan aktif hanyalah sebahagian kecil dari keseluruhan racun, yang lain selalunya adalah apa yang kita panggil sebagai bahan lengai.

Semua racun yang di jual di Malaysia dan telah di sahkan oleh Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP atau Pesticide Board) akan mempunyai label yang di mestikan mempunyai nama bahan aktif dan kepekatannya dalam racun tersebut. Ya, walaupun racun serangga di rumah.

active ingredient label samples

Label contoh racun disebut di atas mempunyai bahan aktif glyphosate.

Racun rumput

Bila kita pergi ke kedai dan meminta racun rumput; kita akan di tunjukkan -biasanya- kepada racun jenama Roundup dan beberapa racun lagi. Saya pasti jika and perhatikan betul betul, racun lain itu juga akan mempunyai bahan aktif yang sama dengan Roundup iaitu glyphosate.

Glyphosate

Roundup ialah jenama sejenis racun rumpai popular yang di temui oleh seorang ahli kimia dari syarikat Monsanto yang bernama John E. Franz pada tahun 1970 .

glyphosate derivatives

glyphosate

Pada tahun 2000 bila berakhirnya tarikh hakcipta untuk glyphosate maka banyak lah syarikat pengeluar racun yang mengeluarkan racun berasaskan bahan aktif glyphosate di bawah pelbagai jenama. Malangnya kerana populariti Roundup ataupun kerana kurangnya daya kreativiti, banyak racun ini yang menggunakan ‘up’ di belakang nama (kecuali Seven-Up; iaitu sejenis minuman ringan)

Dengan pengetahuan kimia yang berkembang, glyphosate juga telah di kembangkan kepada pelbagai bentuk dan formulasi. Sebahagiannya di jual sebelum berakhirnya hakcipta Monsanto ke atas glyphosate lagi, mungkin kerana ia di jual dengan nama bahan aktif yang berbeza formulasinya. Contohnya (cuba baca kuat-kuat) glyphosate-diammonium, glyphosate-dimethylammonium, glyphosate-isopropylammonium, glyphosate-monoammonium, glyphosate-potassium, glyphosate-sesquisodium dan glyphosate-trimesium.

Namun begitu, apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah jika anda ingin membeli racun, jangan hanya dengar apa yang penjual beritahu anda tentang racun itu, tetapi lihat juga apakah bahan aktif dalam racun itu. Jangan beli dua jenama racun yang berbeza tetapi sebenarnya mempunyai satu bahan aktif yang sama.

Rujukan.

https://en.wikipedia.org/wiki/Glyphosate#Formulations_and_tradenames
http://prpm.dbp.gov.my/
http://roundup.ca/en/rounduphistory
http://npic.orst.edu/ingred/active.html
http://www.alanwood.net/pesticides/glyphosate.html

Posted in Fields, Golf Course, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium, Taman | Tagged: , , , , , , , , , | 1 Comment »

Pengudaraan Padang

Posted by mynormas on July 7, 2015

Di dalam tanah terdapat suatu ekosistem nya sendiri yang terdiri dari akar tumbuhan, kulat, bakteria, nematod dan pelbagai mikroflora dan fauna yang wujud. Satu kaki persegi tanah boleh ada berbilion mikroorganisma yang mempunyai fungsi masing-masing; ada yang merungkai bahan organik atau baja kepada bentuk nutrien yang boleh di ambil oleh tumbuhan ataupun mereputkan tumbuhan atau organisma yang telah mati.

Mikroorganisma dalam ekosistem ini bersifat aerobik iaitu ia perlukan oksigen untuk hidup. Oksigen wujud dalam tanah di ruang di antara ketulan atau butiran tanah tersebut. Ini di sebut sebagai ‘pore space‘. Terdapat lebih banyak ruang bila butiran itu besar (contohnya bila tanah itu terdiri dari peratusan pasir yang tinggi).

Di dalam situasi padang rumput, penggunaan harian dan jentera penyelenggaraan menjadikan ruang di antara ketulan itu mengecil atau rapat dan ini mengurangkan oksigen yang boleh di dapati oleh bukan sahaja mikroorganisma tanah, tetapi juga akar rumput.

Ruang di antara ketulan/butiran tanah sebelum dan selepas mampatan.

Ruang di antara ketulan/butiran tanah sebelum dan selepas mampatan.

Selain dari itu, ruang ini juga adalah laluan untuk air mengalir.

Hasil yang kita dapat lihat ialah kawasan yang mati.

Penyakit tidak menyerang dalam garis lurus. Ini adalah kesan mampatan.

Penyakit tidak menyerang dalam garis lurus. Ini adalah kesan mampatan.

Kesan mampatan.

Kesan mampatan. Kawasan hadapan gol adalah antara kawasan tinggi trafik.

Jadi apakah tindakan selanjutnya? Kita kurangkan mampatan  dengan cara melakukan pengudaraan tanah.

Pengudaraan tanah adalah salah satu dari amalan kultura yang saya ibaratkan sebagai senaman dalam konteks kesihatan rumput. Perlu kan orang putih cakap baru bos nak percaya? Kita lihat video ini…

Nah, ni sorang lagi yg akan menceritakan kebaikkan pengudaraan.

Berapakah kekerapan pengudaraan tanah? Ia bergantung pada penggunaan padang, jenis tanah dan sistem saliran. Tetapi umumnya saya cadangkan setahun sekali. Jika ia di lakukan selalu dan padang dalam keadaan sihat, padang akan pulih dalam masa dua hingga tiga minggu.

Apa yang kita buat dengan sampah core tersebut? Jika ia tidak bermasalah (tiada black layer atau tanah liat) ia boleh di gunakan semula seperti dalam video di atas. JIka ia bermasalah, kita perlu buang semuanya dan gantikan dengan pasir baru.

Sehubungan itu, terdapat satu jenis lagi pengudaraan yang tidak mengeluarkan sampah, mempunyai lubang yang kecil dan mampu masuk lebih dalam. Tetapi ini perlu di lakkan lebih kerap berbanding dengan pengudaraan yang mengeluarkan core. Padang lebih cepat boleh digunakan. Lakukan pengudaraan ini tiga hingga empat kali setahun.

Jika anda seorang contractor padang, saya cadangkan anda beli sebuah mesin pengudaraan berbentuk slicer yang lebih mudah di gunakan tetapi perlu di lakukan pengudaraan hingga 10 kali setahun kerana ia membuat lubang yang halus dan padang boleh di gunakan hampir serta merta. Ini adalah satu contoh pengudaraan tanah secara solid tine, iaitu memasukkan suatu besi ke dalam tanah untuk membuat lubang kecil. Oleh kerana ia lubang kecil, ia perlu di buat selalu dan tidak sesuai jika terdapat masalah tanah.

Saya menyeru kepada pembaca yang bertanggungjawab ke atas padang supaya memasukkan spesifikasi pengudaraan tanah ke dalam kontrak yang akan datang; “Melakukan pengudaraan tanah secara hollow-tine pada kedalaman di antara tiga hingga empat inci dengan besar lubang 12mm (setengah inci) sekurang-kurang nya satu kali satu tahun, di ikuti dengan pengudaraan secara solid tine pada kedalaman satu atau dua inci  sekurang-kurangnya dua kali setahun. Ketiga-tiga aktiviti pengudaraan mesti di jadualkan supaya ia memberi manfaat kepada rumput tanpa mudarat kepada pengguna padang”

Hubungi saya untuk khidmat nasihat pengudaraan padang dan sewa mesin.

Posted in Padang, Padang Bola, stadium | Tagged: , , , , | 6 Comments »

Rumput Plastik

Posted by mynormas on June 19, 2015

Kebanyakan padang di Malaysia sekarang menggunakan rumput betul dan di bina dengan kos yang tinggi tetapi selepas beberapa bulan, ia tidak kelihatan seperti padang lagi kerana faktor cuaca, penggunaan, kesilapan pembinaan, rumput yang tidak sesuai ataupun faktor penyelenggaraan. Oleh itu ada yang telah menggunakan rumput tiruan – setakat ini, Malaysia belum lagi ada padang hybrid seperti di Singapura – untuk mengatasi faktor-faktor tersebut.

Seperti hampir semua benda, rumput tiruan ada kebaikan dan keburukkan nya. Sebelum kita pergi lebih jauh, rumput tiruan bukan di buat dari ‘plastik’ per se; sebalknya ia adalah fiber yang boleh di buat menggunakan tiga jenis komponen iaitu polyethylene (PE), polypropylene (PP) dan nylon.

Di antara kebaikan rumput tiruan ialah:

  1. Sangat sedikit penyelenggaraan di perlukan. Tiada baja, penyakit, serangga atau pemotongan di perlukan.
  2. Ia boleh di gunakan di setiap ketika. Selepas hujan, awal pagi, lewat petang sebaik sahaja selepas pasukan sebelum itu meninggalkan padang dsb.
  3. Pelbagai kegunaan. Suatu padang boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti sukan atau bukan sukan. Ia boleh di warnakan dengan pelbagai warna untuk membezakan garisan warna sukan.
  4. Padang rumput tiruan tidak menakung air dengan syarat ia di bina dengan betul, ia tidak mempunyai lapisan organik atau thatch yang akan bertindak seperti sponge untuk ‘memegang’ air.
  5. Ia di laporkan boleh mengurangkan kecederaan yang datang dari permukaan padang yang tidak rata atau licin atau berlumpur.
  6. Padang rumput tiruan juga menjimatkan air.

http://www.momsteam.com/health-safety/turf-wars-pros-and-cons-of-artificial-turf

http://www.dessosports.com/artificial-turf/benefits

http://www.syntheticturfcouncil.org/?page=FAQs

Keburukkan rumput tiruan? Sebelum lihat senarai, apa kata kita lihat video pendek tentang Women’s World Cup yang berlangsung di Canada dan kesemua perlawanan adalah di atas rumput tiruan (sebahagian pemain telah mengemukakan saman keatas FIFA tentang ini). Untuk pengetahuan semua 120 darjah Fahrenheit (suhu padang dalam video tersebut) = 49 darjah Celsius, dan 130 darjah Fahrenheit = 54 darjah Celsius. Suhu cuaca Kanada? Pada waktu itu ia di laporkan sebagai lebihkurang 21 darjah Celsius. Sebagai perbandingan suhu cuaca di Kuala Lumpur di siang hari ialah di antara 32 hingga 34 darjah Celsius.

Keburukan rumput tiruan ialah :

  1. Kos pemasangan yang tinggi. Saya pernah di beritahu ia melebihi RM1 juta ringgit satu padang bola.
  2. Suhu padang yang tinggi. Bahan yang di gunakan untuk membuat rumput tiruan dan juga bahan yang berada di bawah rumput menaikkan suhu padang.
  3. Pencemaran. Rumput asli mempunyai sifat penapisan bila air mengalir di atasnya, rumput tiruan tiada sifat ini malah akan melajukan pengeluaran air dari padang (yang juga merupakan kebaikkan nya).
  4. Ketika membuat sliding di atas rumput tiruan, ataupun jatuh secara terseret; pemain akan terdedah kepada luka atau dipanggil sebagai ‘turf burn’.
  5. Tempat pembiakan bakteria. Pakar perubatan mendapati bakteria staphylococci dan lain lain mampu hidup lebih dari 90 hari di atas rumput tiruan. Di tambah dengan risiko luka atau turf burn; jangkitan lebih mudah berlaku.
  6. Rumput tiruan di ‘topdress’ dengan getah halus yang mampu memburukkan orang yang memang mempunyai masalah pernafasan seperti pesakit asma.
  7. Selepas sekali menggunakan rumput tiruan, rumput asli tidak lagi dapat digunakan kerana tanah di bawah tiada lagi organisma hidup yang menyokong pertumbuhan rumput asli.
  8. kecederaan pemain; pemain-pemain profesional atau elit  (berbanding dengan pemain rekreasi atau riadah) mempunyai risiko kecederaan lutut atau ACL yang lebih tinggi secara perbandingan (lihat video seterusnya untuk statistik). Nota: kebanyakkan kajian adalah pada pemain American Football. Dan kebanyakkan nya di atas padang rumput tiruan generasi pertama.
  9. Ada pendapat yang mengaitkan rumput tiruan dengan kanser dan ada juga pendapat yang tidak bersetuju. Saya tidak akan perpanjangkan ini, sila Google sendiri.
  10. Padang rumput tiruan yang lama atau banyak di gunakan akan mempunyai rumput yang telah mula rosak mampu me lepaskan plumbum (lead) yang merupakan sumber toksik kepada manusia. Tiada masalah pada padang baru yang di buat dari rumput polyethylene sahaja.

http://www.momsteam.com/health-safety/turf-wars-pros-and-cons-of-artificial-turf

https://www.health.ny.gov/environmental/outdoors/synthetic_turf/crumb-rubber_infilled/fact_sheet.htm

http://news.discovery.com/earth/plants/world-cup-turf-battle-is-grass-better-150605.htm

Kita lihat video seterusnya:

Posted in Padang, Padang Bola, Rumput, stadium | Tagged: , , , , , | 4 Comments »

Hot and kering

Posted by mynormas on February 23, 2015

The Malaysian Meteorological Department has issued a statement that the current hot and dry spell in Malaysia will last until end of March 2015. 
That’s 30 over days away. Bearing in mind that some parts of Malaysia haven’t had rain since a couple of weeks ago, the question to ask is; do you have enough irrigation water to last for the next 30 days? Or maybe even longer?
It would be good to know early so that you may want to start rationing, look for other sources of water or perhaps look around for other alternatives to making your irrigation more effective and efficient. You know, wetting agent, better sprinklers or even an irrigation audit. I’ve heard of claims that a slight increase in Kalium (thats Potassium to you Americans) will help in retaining water but don’t quote me.

Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan kenyataan tentang cuaca panas dan kering sekarang akan berlanjutan hingga akhir Mac 2015. Ini adalah lebih dari 30 hari dari hari ini.
Adakah kita mempunyai air yg cukup utk menyiram hingga April?
Jika tidak, kita mungkin perlu mencatu air, mencari sumber lain ataupun alternative lain seperti agen pembasah (wetting agent) audit sistem pengairan dan sebagai nya. 
Selamat Mencuba!

http://www.met.gov.my

image

Posted in Fields, Golf Course, Greens, Landscape, Lanskap, Maintenance, Padang, Padang Golf, Rumput halaman rumah, Rumput secara am | Tagged: , , , | 2 Comments »

Rumput untuk Stadium

Posted by mynormas on January 27, 2015

Kesilapan memilih rumput adalah masalah utama kebanyakkan pemilik tanah, dari sekecil halaman rumah hinggalah ke sebesar padang golf. Rumput yang cantik di padang orang lain, belum tentu cantik di padang kita. Rumput yang cantik di dalam gambar, belum tentu cantik di tempat kita. Rumput yang cantik di nursery belum tentu cantik di laman kita.

Di tiap kawasan atau tanah atau tapak atau padang; redup, cuaca, iklim-mikro, keupayaan penjagaan, kegunaan dan sebagainya tak sama. Jadi jangan lah kita pilih rumput berdasarkan kecantikan atau kebagusan nya di tempat lain dan kita tangkapmuat dia di tempat kita dan berdoa supaya ia padan.

Di dalam slaid-slaid berikut saya cuba memberitahu apa yang saya pertimbangkan ketika saya membantu sebuah stadium membuat pilihan rumput. Saya cuba jadikan pemilihan rumput itu sebagai suatu proses sama seperti memilih pemenang dalam rancangan hiburan. Peserta rancangan hiburan ada menang dalam kategori tertentu dan ada peserta yang menang dalam acara keseluruhan. Begitu juga dalam pemilihan rumput; saya bahagikan proses pemilihan ke dalam tiga ‘kategori’ dan pilih pemenang untuk tiap kategori. Peserta yang paling banyak menang dalam kategori-kategori itu akan memenangi acara keseruhan. Tentunya pemilihan saya bukan muktamad, saya akan memberi ‘ranking’ dan terpulang kepada tuanpunya untuk membuat keputusan terakhir. Kadang-kadang, ada perkara yang berada di luar jangkaan seseorang. Contohnya tuanpunya mahukan rumput yang sama dengan stadium lain sediaada, atau rumput ranking kedua adalah rumput kegemaran boss, atau rumput dalam ranking pertama tiada ‘backup’ atau tiada di jual oleh pembekal/nursery lain. Maka mungkin tuanpunya mahu membuat ‘gamble’ dan memilih rumput dalam ranking kedua atau ketiga.

Menggunakan rumput yang tiada ‘backup’ adalah – pada pendapat saya – suatu keputusan yang berisiko tinggi. Padang kita  akan menjadi tebusan pembekal sekarang dan di masa yang sama, jika rumput di padang rosak atau mati seminggu sebelum suatu acara/pertandingan penting, kita tiada sumber untuk mendapat bekalan untuk menampal kawasan yang mati atau rosak.

Sebagai bonus, untuk mengelakkan pemilik padang ini menerima nasihat penjual yang memaksa mereka menggunakan terlalu banyak input sewaktu penanaman, saya telah memasukkan beberapa cadangan untuk proses tanam semula. Saya cadangkan supaya mereka kembali ke basic. Guna pasir kasar sudahlah, tidak perlu lain lain bahan seperti tanah liat, top soil yang terlalu banyak (satu lapis?) ataupun benda-benda ‘canggih’ lain.

Jika anda dalam proses memilih rumput untuk padang anda; silakan guna proses ‘3K’ ini. Jika anda ingin membuat penyampaian kepada boss anda dan anda memilih untuk menggunakan proses 3K, saya hanya minta anda beri kredit kepada saya.

Ataupun, jika anda akan membelanjakan jutaan ringgit untuk menanam padang, mengapa tidak belanja lebih kurang 0.001% dari satu juta untuk membayar seorang pakar yang telah membela rumput selama 20 tahun? Anda boleh tanya soalan ini sekarang atau anda boleh tunggu 3 tahun lagi bila soalan ini di tanya oleh pemberita, Board of Director ataupun pengguna ketika rumput di padang anda mula bermasalah.

Selamat membaca.

Posted in Golf Course, Golf Course Superintendents, Greens, Landscape, Maintenance, Padang, Padang Golf, Rumput halaman rumah, Taman | Tagged: , , , , , , , , , | 6 Comments »