Salah satu kerja yang selalu dilakukan dipadang, sama ada golf ataupun padang bola, ialah menggelek. Malah saya pernah jumpa sebuah stadium yang pada masa itu belum dibuka lebih banyak gelek dari potong rumput.
Apa itu gelek? Iaitu perbuatan menggunakan alat berat yang direka untuk memampatkan profil tanah dengan tujuan memberi permukaan yang dianggap lebih baik. Sebenarnya, gelek juga ialah pergerakan badan yang menyerupai tarian. Malah ada orang kata ia memang tarian…
Perkataan yang biasa digunakan di padang ialah ‘roll’ atau ‘kompak’ (‘compact’?). Kepada anda yang merasakan bahawa perkataan ‘gelek’ bukanlah terjemahan terbaik, silakan bersabar dan teruskan baca ataupun jangan bersabar dan tulis artikel sendiri. Ini laman web tentang rumput dan bukan tentang bahasa. Tambahan pula, saya perlukan tajuk yang menarik untuk memancing pembaca.
Apa tujuan gelek? Maka di sini, saya perlu memohon bantuan dari mereka yang lebih pakar bahasa dari saya. Dalam laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu milik DBP yang menjadi tempat saya mencari panduan bahasa, kedua dua smoothen dan flatten adalah diterjemahkan sebagai ‘meratakan’.
Itu adalah dua tujuan menggelek. Kita menggelek untuk mendapatkan permukaan yang licin (smooth) yang memberikan perjalanan yang baik untuk bola dan permainan dan kadang kadang kita menggelek untuk meratakan permukaan padang yang berlekuk lekuk.
Saya mengesyorkan gelek atau roll hanya dilakukan untuk mendapatkan permukaan yang licin sahaja. Jika anda merasakan anda perlu melakukan gelekkan berkali kali untuk meratakan lekuk lekuk pada padang anda, maka anda mempunyai masalah yang lebih besar dari lekuk lekuk tersebut kerana anda akan mencipta masalah lebih besar di masa akan datang.

Pendek kata, gelek/roll tu boleh, tapi jika anda perlu gelek berkali kali atau anda rasa perlu menggunakan roller yang besar baru boleh menjalankan tugas gelek yang betul, maka masalah tidak rata padang anda sebenarnya hanya boleh dibaiki dengan cara lain seperti topdressing atau mencari kawasan yang berlekuk dan membaikinya.
Ada tiga isu akan timbul bila anda menggunakan penggelek berat. Saya definasikan penggelek berat sebagi lebih dari satu tan.
- Mengwujudkan mampatan
- Menjadikan kawasan keras tinggi dan kawasan lembut rendah.
- Ketagihan.
Mengwujudkan mampatan
Penggelekkan memampatkan tanah. Tanah terdiri dari ketul ketul atau butiran butiran kecil yang mempunyai ruang diantara meeka. Tiap kali kita gelek, kita akan merapatkan ruang diantara butir/ketulan tadi. Ruangan menjadi semakin kecil dan mungkin hilang terus sedangkan ruangan ini adalah penting untuk pergerakan udara dan air. Tanpa ruangan ini, akar akan mati, air akan bertakung dan ekologi tanah akan terhenti.
Ini diburukkan jika padang anda dibina atas ‘topsoil’. Topsoil akan terdiri dari butiran pelbagai saiz, malah selalunya topsoil adalah tanah liat yang terdiri dari saiz halus yang mempunyai ruangan kecil diantara satu sama lain. Berbeza dengan padang atas pasir yang lebih tahan kepada mampatan.
Menjadikan kawasan keras tinggi dan kawasan lembut rendah
Padang anda, terutamanya jika dibina atas ‘topsoil’ yang diambil dari beberapa sumber berbeza akan mempunyai kekerasan dan kelembutan yang berbeza.
Menggunakan penggelek berat akan menyebabkan bahagian lembut mendap dan bahagian keras timbul (sebenarnya bahagian keras kekal pada ketinggian sama tapi ia akan nampak timbul bila bahagian lembut turun).
Jika anda hairan kenapa lepas anda menggelek, makin pulak padang anda beralun (walaupun tidak berlekuk lagi) ini disebabkan oleh pengglek berat atau penggelek ringan dibuat berulang ulang kali.
Ketagihan
Ada padang bola yang potong dua minggu sekali tetapi roll hampir setiap hari. Ada padang golf yang pada pengurusnya, untuk memuaskan pemain dan mendapatkan green yang laju, kita mesti roll, roll dan roll. Dan oh… di tambah juga dengan menurunkan ketinggian pemotongan.
Bayangkan padang bola yang digunakan oleh pasukan profesional yang mempunyai beberapa jurulatih dan ada jurulatih yang merasakan ‘gelek’ ialah jawapan kepada semua persoalan, penyelesaian kepada semua masalah. Ini kisah benar, saya sampai parkir roller besar tepi padang, supaya memberi tanggapan bahawa baru saja lepas roll; tak payah tanya lagi.
Elakkan dari menggelek berlebihan; samada dari segi kekerapan ataupun dari segi beratnya peralatan. Ramai orang risau dan mendakwa jika demonstrasi atau perhimpunan diadakan di stadium atau padang, ini boleh merosakkan padang. Sebenarnya, walau ada 25 orang atau 2,500 orang atau 7,000 orang dan purata berat setiap orang ialah 60kg, berat setiap orang tidak bersifat kumulatif asalkan mereka tidak berada atas platform berkaki. Setiap 60kg tersebar atas dua kaki setiap orang. Berbeza dengan mesin gelek seberat 1 tan. Semua 1,000kg akan tersebar atas permukaan roller hadapan selebar 3 kaki dan senipis 2 inci yang berada dipermukaan selain atas tayar belakang yang menolak roller.

Elakkan dari keterlaluan menggelek padang. Di padang golf, saya cadangkan gelek hanya seminggu sekali. Malah saya cadangkan penjaga padang golf mengenali kelajuan semua 18 green dan tumpukan gelekkan kepada green yang slow sahaja. Dipadang bola, saya roll hanya bila perlu sahaja. Tapi saya ada seorang pekerja di padang saya yang menggelek seminggu sekali dan saya lihat tiada masalah pada padang (tapi saya lakukan pengudaraan tanah setahun dua kali).
Malaysia hanya ada satu Raja Gelek iaitu Datuk M. Daud Kilau. Ramai orang mahukan gelaran sama. Jangan jadi jadi salah seorang dari mereka.
Like this:
Like Loading...