Turf Matters

The Site To Go To For All Your Turf Matters

  • Facebook Likes

  • The new Brushcutter

    Pengganti Brushcutter

    Increase productivity, cut labour. Try the AM61A

  • Trees Nursery

    Forest trees nursery

    Get your Trees from this nursery

Posts Tagged ‘stadium’

Keburukkan Solid Tine

Posted by mynormas on February 27, 2019

Mungkin ada yang masih tidak berapa jelas, atau mungkin saya yang tidak berapa jelas memberi penerangan tentang masalah yang dihadapi oleh kerja-kerja serampang berongga dan lebih-lebih lagi, serampang padu.

Penggunaan kedua-dua serampang berongga atau padu akan menghasilkan satu lapisan mampat di bahagian bawah dan di dinding lubang yang ditebuk serampang. Ini kerana walaupun serampang berongga, ia tidak akan dapat ‘menarik’ keluar semua tanah dari lubang yang ia tebuk, sebahagiannya akan di’tolak’ ke dalam dan ke tepi. Ini akan menghasilkan sesuatu yang kita panggil sebagai ‘pan compaction’

Kesan pan compaction ni lebih buruk lagi jika serampang padu digunakan. Contoh. Jika besi serampang padu yang digunakan ialah 10mm diameter dan 100mm ke bawah maka isipadu besi itu ialah 7,850mm padu iaitu  3.14 x 5mm x 5mm x 100mm, maka keseluruhan 7,850mm padu tanah akan ditolak ke bawah dan ke tepi oleh serampang padu itu. Lakukan ia setahun dua kali maka kita boleh bayangkan kemampatan bahagian bawah 100mm itu.

Tetapi 100mm adalah agak dalam, maka kesannya tidak dilihat melainkan setelah 10, 20 tahun nanti. Rumput anda jadi tak subur, akar pendek dan lumut kerap berlaku. Jika kedalaman pengudaraan anda ialah sekadar 25 hingga 50mm, maka kesan akan dirasai lebih awal.

pan compaction short roots

Rumput tidak tumbuh ke bawah lapisan mampat dan mudah tercabut.

Bayangkan kolam bawah tanah yang akan mengapungkan tanah anda dan menyebabkan akar anda lemas; itulah kesan pan compaction.

Maka, kesimpulan, lakukan pengudaraan serampang padu kerap, menggunakan serampang kecil dan tidak dalam. Lakukan pengudaraan serampang berongga jarang-jarang, besar dan dalam.

Picture of grass solid tine 1

Pengudaraan serampang padu menghasilkan kesan jangka panjang yang tidak baik.

Advertisements

Posted in Golf Course, Greens, landskap, Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, stadium, Taman | Tagged: , , , , , | Leave a Comment »

Beza ‘Hollow’ & ‘Solid’ Tine

Posted by mynormas on February 20, 2019

Hollow-tine adalah suatu frasa yang selalu digunakan dalam kerja penjagaan padang. Tapi saya sering lihat ia disalahertikan dan merugikan masa dan wang ringgit. Dan bila padang ‘fail’ kerja hollow-tine yang disalahkan.

Kerja hollow-tine termasuk dalam kategori kerja-kerja pengudaraan tanah. Definasi pengudaraan tanah pula ialah kerja-kerja penebukan tanah untuk membenarkan udara masuk ke dalam tanah. Selain udara, air, baja dan tanah baru juga boleh dimasukkan ke dalam lubang pengudaraan itu.

Pengudaraan tanah boleh dilakukan dengan beberapa cara; melalui besi ‘tine’ atau serampang (mengikut kamus); menggunakan tekanan air (contohnya alat Toro Hydroject) dan juga tekanan udara. Penggunaan serampang pula terbahagi kepada dua iaitu serampang berongga (hollow-tine) dan serampang padu (solid-tine).

Kesemua cara di atas akan mempunyai kebaikan dan keburukannya sendiri. Di sini saya akan bincang tentang serampang berongga dan serampang padu sahaja.

Serampang berongga paling selalu digunakan kerana ia mempunyai kebaikan mengeluarkan tanah lama untuk digantikan dengan tanah baru dan kadang-kadang untuk kebanyakan orang bila ada tanah lama dikeluarkan barulah bukti pengudaraan telah dilakukan.

Serampang berongga ialah menggunakan serampang dibuat dari logam keras dan mempunyai rongga di dalamnya untuk menebuk dan mengeluarkan tanah dari bawah permukaan. Tanah ini biasanya dibuang tetapi sebenarnya dikebanyakan masa, menggunakan semula sebagai sebahagian dari bahan hias-atas (topdressing) juga tidak menjadi masalah.

hollow tine size

Serampang berongga datang dalam pelbagai saiz diameter dan kedalaman. Paling kecil yang saya pernah guna ialah diameter 3/8 inci atau lebihkurang 9mm dan paling besar ialah 5/8 inci atau lebihkurang 15mm. Kedalaman boleh pergi sehingga 100mm (4 inci) tetapi biasanya hanya sekadar 50mm atau 2 inci sahaja.

Serampang padu datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang datang kurus dan panjang seperti pensel, ada yang kelihatan tajam dan nipis seperti shuriken ninja dan ada juga yang gemuk seperti serampang berongga tetapi ia adalah padu.

Perbezaan nya ialah sewaktu mencucuk serampang tersebut ke dalam permukaan tanah, serampang padu akan menolak semua tanah di bawahnya turun 2 inci ke bawah lagi (jika pengudaraan ialah 2 inci dalam) maka pengudaraan akan berlaku di 2 inci atas tetapi mampatan akan berlaku 2 inci ke bawah.

Manakala untuk serampang berongga (hollow-tine) pula, lebihkurang 2 inci akan dikeluarkan tetapi di tempat tanah liat atau jika operator tidak berhati-hati, hampir 1 inci akan dikeluarkan dan 1 inci lagi akan ditolak kebawah.

Hollow tine core

Bunyinya seperti serampang berongga lebih baik dari serampang padu bukan? Jadi, apa kebaikan serampang padu? Jika anda ingin pengudaraan cepat tanpa mengganggu permainan, anda boleh gunakan serampang padu yang kecil dan lakukan pada dua atau tiga arah dan lebih kerap.

Kerja pengudaraan serampang padu tidak menghasilkan sampah dan lubangnya kecil maka ia cepat pulih dan cepat siap. Tetapi ia tidak akan mengeluarkan tanah yang bermasalah dari bawah permukaan jadi pasir yang akan di tabur nanti tidak, atau hanya sedikit, yang akan masuk ke dalam tanah.

solid tine sample

Seharusnya kerja serampang padu lebih murah dari serampang berongga kerana tidak perlu membersihkan sampah dan perlu dilakukan berulang kali.

Belanja minum?

Derma untuk belanja saya dan memberi lebih tenaga supaya lebih kreatif!

5.00RM

Edit: Kekerapan dan pengesyoran.

Pengudaraan tanah secara serampang berongga lebih efektif maka biasanya dilakukan setahun sekali atau dua kali (bergantung kepada profil tanah; tanah liat lebih kerap dari pasir). Begitu juga menggunakan serampang bersaiz kecil perlu lakukan lebih selalu iaitu hingga empat kali setahun.

Pengudaraan tanah secara serampang padu dilakukan lebih kerap kerana ia kecil dan tidak mengganggu permainan. Pengudaraan bulanan hingga mingguan dilakukan.

Kawasan yang lebih mampat akibat laluan (seperti gate masuk/keluar) atau lebih banyak permainan seperti depan gol perlu lebih banyak pengudaraan berbanding kawasan lain.

Saya syorkan penggunaan serampang berongga di kawasan tanah liat atau “topsoil” untuk mengeluarkan tanah liat dan gantikan dengan pasir berkualiti. Penggunaan serampang padu dikawasan tanah liat atau tanah atas akan memadatkan tanah bahagian bawah dan tepi lubang.

Gunakan serampang padu sebagai aktiviti rutin penyelenggaraan bulanan atau mingguan. Bukan pembaikan tanah.

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

 

Posted in Greens, landskap, Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput, stadium | Tagged: , , , , | Leave a Comment »

Stadium di Hanoi

Posted by mynormas on December 14, 2018

Pasukan bolasepak Malaysia akan bertemu dengan Vietnam untuk pusingan kedua perlawanan akhir piala AFF Suzuki 2018. Perlawanan akan berlangsung di My Dinh Stadium di Hanoi pada 15 Disember 2018.

Saya mungkin tak tahu banyak tentang bolasepak tetapi saya akan cuba memberi sedikit info tentang tempat perlawanan esok. Stadium Nasional My Dinh ialah sebuah stadium pelbagai guna yang terletak di daerah Tu Liem. Ia mempunyai kapasiti 40,200 kerusi dan adalah sebahagian daripada Kompleks Sukan Nasional Vietnam.

Ia dibuka secara rasmi pada September 2003, dimiliki oleh kerajaan Vietnam dan dikelolakan oleh Vietnam Football Federation. Kos pembinaan adalah USD 53 juta.

Kebanyakan laman web rujukan saya hanya menyatakan bahawa permukaan padang adalah ‘rumput’ tetapi melalui beberapa orang kenalan dari industri golf saya dapat tahu pada asalnya rumput di padang itu adalah dari genus Bermuda. Tidak pasti spesis atau hybrid apa, malah tidak juga pasti ia masih lagi Bermuda hingga sekarang.

Cuaca di Hanoi diramalkan mendung pada 15 Disember di Hanoi dengan suhu serendah 15 dan setinggi 21 darjah Celsius.

Adakah padang nya lebih baik dari di Bukit Jalil? Ia akan lebih banyak bergantung kepada kelembapan tanah, tetapi Bermuda yang ditanam di atas pasir akan mempunyai permukaan yang lebih ‘laju’ dari Cowgrass yang mempunyai daun yang lebih besar dan rumput yang lebih lembik.

Apapun kita doakan yang terbaik untuk pasukan kita and may the best team win.

my-dinh-national-stadium15365l

Pandangan dalam stadium. Warna rumput macam Zoysia…

my dinh stadium

Pandangan atas Stadium Nasional My Dinh.

hanoi_dinh1

vietnam vs msia

Akhbar rasmi Vietnam memuji semangat kesukanan peminat bola Vietnam dan Malaysia sewaktu di Bukit Jalil pada 11 Disember 2018. 

 

Belanja minum?

Derma untuk belanja saya dan memberi lebih tenaga supaya lebih kreatif!

5.00RM

 

Rujukan:

https://english.vov.vn/sports/vietnamese-and-malaysian-fans-unite-in-show-of-friendliness-388845.vov

http://www.worldstadiums.com/stadium_pictures/asia/vietnam/hanoi_dinh.shtml

https://ipfs.io/ipfs/QmXoypizjW3WknFiJnKLwHCnL72vedxjQkDDP1mXWo6uco/wiki/My_Dinh_National_Stadium.html

https://www.accuweather.com/en/vn/hanoi/353412/december-weather/353412

 

Posted in Padang, Padang Bola, stadium | Tagged: , , , , , | Leave a Comment »

Potongan Menyakitkan

Posted by mynormas on December 11, 2018

Dimusim berkhatan anak-anak pada cuti sekolah bulan Disember ini, saya ingin bercerita tentang dua lagi potongan yang menyakitkan; pemotongan rumput menggunakan peralatan tumpul dan potongan terlalu rendah. Anda juga tidak mahu tok mudin atau doktor menggunakan pisau tumpul atau potong terlalu rendah juga kan? (Orang lelaki yang baca ayat itu dah kepit kaki secara tak sedar)

Ada banyak cara untuk memotong rumput. Dari menggunakan gunting, sabit hinggalah ke reel mower 15 bilah yang dikawal oleh komputer mini. Tetapi pada saya, menggunakan mesin brushcutter dengan tali nylon adalah cara paling memusnahkan untuk rumput. Dua sebab:

  1. Tali nyon tidak ‘tajam’ ia memotong menggunakan tenaga kinetik yang dihasilkan oleh pusingan laju.
  2. Ketinggian potongan tidak dapat dipastikan maka selalunya terlalu banyak daun rumput dipotong, malah kadang-kadang; dipotong hingga ke batang rumput.

Untuk mengetahui lebih banyak tentang pisau pemotong rumput; sila lihat artikel lama saya tentang pisau pemotongan.

Dan untuk mengetahui tentang isu pemotongan terlalu banyak, anda boleh rujuk kepada artikel tentang peraturan satu pertiga (Rule of One-third) dalam pemotongan rumput.

Di sini saya nak buat perbandingan tentang tiga potongan yang biasa digunakan di Malaysia iaitu:

  1. Reel
  2. Brushcutter dengan tali nylon dan
  3. Pemotongan dengan pisau rotary logam (besi).

Sebelum itu, saya ingin ingatkan bahawa jika pisau yang digunakan tumpul dan mencederakan rumput lebih dari memotongnya; ia akan membuka jalan masuk untuk patogen seperti bakteria, kulat dsb. Selain itu, daun juga adalah tempat membuat makanan untuk rumput melalui proses fotosintesis maka jika daun itu koyak, proses itu akan terganggu.
Pemotongan menggunakan Brushcutter tali nylon.

cut with nylon brushcutter

Ini sebenarnya potongan terbaik pekerja ini (sebab bos dia ada dengan saya) Kalau tak dia tenyeh sampai ke tanah. Bukan daun saja; batang sekali dipotong. Alasan; kalau potong rendah, tak payah selalu potong. Silap falsafah ni. Cara terbaik potong rumput ialah dengan potong pada ketinggian konsisten pada kekerapan yang konsisten. Contohnya potong pada ketinggian 25mm (1 inci) setiap tiga hari (atau tujuh hari).
Pemotongan menggunakan pisau rotary logam.

Ini ialah ibarat macam brushcutter tetapi menggunakan pisau logam. Kadang-kadang dipanggil sebagai ‘helikopter’.

cut with rotary

Oleh kerana pisau ini boleh di adjust ketinggiannya maka jumlah rumput yang dipotong adalah ‘berpatutan’ tetapi mesin ini sebenarnya kurang tajam dan perlu diasah lagi.
Pemotongan menggunakan pisau reel.

Pisau reel adalah pisau yang memotong ibarat gunting; terdapat dua bahagian, satu bahagian yang berpusing – dipanggil reel dan satu bahagian lagi yang ‘memegang’ rumput dipanggil bedknife. Ia adalah cara efektif memotong rumput tetapi jika ia tidak diasah – dan ia perlukan kemahiran serta peralatan khusus pula untuk mengasahnya – ia juga boleh merosakkan rumput. Tetapi sekurang-kurangnya ketinggian nya adalah confirm konsisten.

grass cut with reel

Baiklah, jika anda telah membaca artikel saya yang terdahulu tentang pemotongan (jangan malas, tambah ilmu! Ikut link di atas!) maka anda akan tertanya “Bagaimana dengan flail?” Flail sebenarnya adalah dalam kategori pisau silinder yang juga memotong menggunakan tenaga kinetik tetapi ia lebih mudah diasah dan lebih lasak kerana ia terdiri dari berpuloh hingga beratus anak pisau yang berpusing secara bebas (independent) jadi jika terkena batu atau akar pokok, tidak semuanya rosak.

Jika anda terlibat dalam pembuatan BQ dan ingin spesifikasi, jangan letak reel; letak “Mesin memotong menggunakan pisau silinder (contohnya reel) yang boleh memotong secara kemas, adalah tajam dan mudah diasah setiap minggu serta mempunyai ketinggian potongan sekurang-kurangnya diantara 20 – 45mm. ” Jika anda adalah padang bola atau taman yang jauh dari KL, menggunakan reel akan memeningkan penyelenggaraan mesin dan seterusnya padang bola.
Jika pisau anda tumpul.

Jika pisau anda tumpul, maka rumput akan cedera dan penyakit mudah masuk melalui kecederaan itu. Lihat contoh dibawah, beberapa rumput sudah mula melihatkan permulaan penyakit.

bad cut

Rumput ini telah dipotong dengan pisau tumpul dan penyakit telah mula menular.

Maka pelajaran dari sini ialah; jangan potong terlalu rendah, jangan guna pisau tumpul, jangan guna tali nylon dan potong dengan kekerapan yang konsisten iaitu seminggu sekali.

Beritahu tuan rumah bahawa sebaiknya ialah dia perlu sain kontrak untuk setahun anda akan datang 52 kali pada kadar RMx setiap kali dan anda akan beri dia diskaun 10%. Mulakan dengan 1 bulan deposit dan bulan ke 12 anda tidak akan ambil bayaran.

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Golf Course, landskap, Lanskap, Padang Bola, Padang Golf, Rumput, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium, Taman | Tagged: , , , , , | Leave a Comment »

Penyediaan Tapak

Posted by mynormas on November 13, 2018

Saya jumpa ramai orang yang tanam rumput. Malangnya kebanyakan orang di luar industri golf masih lagi menggunakan cara lama untuk menanam rumput terutamanya sewaktu penyediaan tapak.

Salah satu isu utama ialah roll (gelek, kompak) untuk mendapatkan kerataan rumput. Paling selalu ialah orang akan roll rumput untuk dapatkan kerataan. Sebenarnya, kita sepatutnya roll tanah SEBELUM kita tanam rumput. Kalau tanah tu rata, confirm rumput tu rata kan?

Jadi masalah kalau kita tanam dengan cara sod dan sod yang kita beli ialah sod cangkul yang mempunyai tapak tak rata. Kalau kita beli sod yang mempunyai tapak rata, kita hanya perlu tanam kemudian tabur pasir supaya cover gap (celah) di antara sod kita.

Penyediaan tapak ini penting kerana banyak masalah rumpai (rumput liar) berasal kerana penyediaan tapak tidak dilakukan dengan betul. Rumpai yang sebenarnya ‘penduduk asal’ kawasan itu akan muncul semula selepas beberapa bulan kerana proses penyediaan tapak tidak dilakukan dengan betul.

Ada lapan langkah dalam penyediaan tapak sebelum rumput ditanam. Kalau anda kerja tanam rumput; cuba lihat, bahagian mana yang anda skip. Atau ada diantara langkah ini yang anda rasa boleh dibaiki.

Belanja minum?

Derma untuk belanja saya dan memberi lebih tenaga supaya lebih kreatif!

5.00RM

 

Posted in landskap, Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium, Taman | Tagged: , , , , , , | Leave a Comment »

Pembinaan Padang.

Posted by mynormas on October 31, 2018

Kita tahu (atau kita rasa kita tahu) bagaimana sebuah padang bola dibina. Kita rasa bukan susah pun. Korek, pasang longkang subtanah (orang lain panggil subsoil, saya panggil subtanah) letak tanah atas lepas tu kambus, tanam rumput dan kemudian kita roll roll dan roll sampai dia rata. Siram, siram dan siram sampai… sampai… petang(?).

Bagaimana jika saya kata ada tiga jenis metode/kaedah pembinaan padang? Dua darinya selalu digunakan di Malaysia dan satu lagi di stadium terbaru.

  1. Pembinaan dengan tanah asal; iaitu pembinaan yang banyak dilakukan di taman permainan atau mungkin sekolah-sekolah di Malaysia. Ratakan tanah sedia ada, kemudian tanam rumput dan roll, roll, roll.
  2. Pembinaan dengan tanah yang telah dimodified. Ya; tanah yang telah dimodifiedkan. Saya golongkan pembinaan menggunakan ‘topsoil’ dalam kaedah ini. Korek, buang tanah lama (atau namakan ia sebagai ‘tanah atas’ diprojek lain) dan masukkan ‘tanah atas’ (atau tanah yang dibuang dari projek lain), ratakan, tanam rumput dan roll, roll, roll. Longkang subtanah adalah optional: letak pun boleh, tak letak pun okay jer.
  3. Pembinaan menggunakan pasir dan zon-akar. Korek buang tanah asal sedalam 12 inci, buang, roll tanah bawah sampai licin (ini kita panggil sebagai ‘subgrade’ atau ‘basement’) pasang longkang subtanah, letak pasir sebanyak 8 inci (angka arbitrari) kemudian 4 inci lagi dengan pasir yang dicampur dengan 5% dari isipadu dengan bahan organik dan 5% juga dengan soil amendment atau baja (bergantung keadaan; semua angka adalah arbitrari untuk mempermudahkan pembacaan; JANGAN jadikan sebagai rujukan buta tuli tanpa siasatan).

Untuk gambar dan perbandingan; sila baca slide di bawah ini:

 

Posted in Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Penanaman, Rumput, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium | Tagged: , , , , | Leave a Comment »

Sediakan Padang Sebelum Monsun

Posted by mynormas on October 9, 2018

Pepatah lama mengatakan kita perlu “sediakan payung sebelum hujan” tetapi penjaga padang (ataupun halaman rumah) rumput perlukan sediakan padang mereka sebelum bermulanya musim hujan berterusan iaitu monsun dibulan November dan Disember. Dalam artikel ini saya akan bincangkan tentang langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil bukan sahaja oleh pengurusan padang tetapi juga rakan-rakan yang mengurus halaman rumah.

Apakah masalah yang timbul dimusim monsun dalam konteks padang/halaman?

  1. Tanah yang lembik menyukarkan pemotongan.
  2. Rumput yang cepat panjang akibat peleraian nutrien dalam tanah
  3. Kekurangan cahaya matahari untuk fotosintesis.
  4. Air bertakung samada di atas permukaan ataupun di bawah permukaan (bila pijak baru nampak air keluar). Padang basah atas bawah

Kesemua perkara di atas akan menghalang penggunaan padang dan menyusahkan penyelenggaraan. Tentunya, dalam situasi ekstrem, ada padang yang mengalami banjir tetapi itu saya pernah bincangkan dalam satu artikel lama dahulu.

Kenapa padang bermasalah di musim hujan? Selain dari masalah yang pernah kita bincangkan dalam artikel terdahulu tentang kesilapan atau ketiadaan longkang subtanah, ada dua lagi punca; pertama ialah permukaan padang yang berlekuk. Lekukan itu kini membentuk suatu kolam mini di tengah padang setiap kali hujan berlarutan.  Kedua ialah akibat thatch iaitu suatu lapisan yang terbentuk di antara rumput dan tanah yang bersifat seperti span (sponge) memegang air. Thatch

Apakah persediaan padang yang perlu kita lakukan? Diantaranya ialah:

  1. Jangan gunakan baja yang mengandungi nitrogen yang tinggi sebulan sebelum itu. Nitrogen akan mempercepatkan pertumbuhan sedangkan pemotongan adalah sukar akibat padang yang lembik.
  2. Lakukan slicing atau spiking di seluruh padang (atau kawasan yang dikenali sebagai kawasan teruk). Ini akan membantu air melepasi kawasan thatch dan juga dengan membawa oksigen ke bawah rumput, membantu proses pereputan thatch oleh mikroorganisma lain.
    Untuk halaman rumah yang tidak mungkin boleh masuk mesin slicer atau spiker; lakukan dengan cara manual. Tebuk lubang sedalam 2inci atau lebih ke dalam tanah. slice and tine
  3. Lakukan hias-atas; kalau boleh keseluruhan padang tetapi kalau tidak, lakukan di kawasan lekuk-lekuk yang boleh dikenal pasti. spot topdress
  4. Pangkas pokok untuk kurangkan teduhan yang boleh melambatkan pengeringan padang atau halaman. Jika sudah mula musim hujan baru mahu buat pangkasan, membawa keluar ranting dan dahan akan menjadi masalah.
  5. Pastikan longkang di keliling padang/halaman bersih dan tiada sampah sarap menghalang pergerakan air. Kalau perlu, buat longkang dengan cangkul supaya air tidak bertakung di padang.
  6. Jika padang ada ‘belang’ atau stripe, mula buat belang alternatif dari arah baru supaya mesin tidak berada di bekas tayar yang sama setiap kali memotong. Potong guna arah alternatif dimusim hujan; ELAKKAN guna belang kegemaran sewaktu padang lembik.
  7. Gunakan agen pembasah tanah “Soil Wetting Agent” yang akan membantu air tembus melalui tanah yang hydrophobic. Cara untuk mengenal padang anda adalah hydrophobic ialah bila ia bertakung air sewaktu siram dimusim kering atau ada kawasan tertentu yang cepat kering walau disiram. Jarang sekali seluruh padang adalah hydrophobic; biasanya tompok-tompok tertentu sahaja. Sembur mengikut arahan label sebulan atau dua bulan sebelum musim hujan.

Sebuah padang yang diselenggara dengan baik iaitu melakukan ‘hollow-tining’ setahun sekali atau dua dan juga hias-atas dengan kerap akan kurang bermasalah tetapi kadang-kadang oleh kerana pembinaan yang silap, padang tetap bermasalah maka masih perlu dilakukan kerja-kerja pencegahan.

Kepada rakan-rakan yang menjaga halaman rumah di bawah ini adalah satu lagi contoh pengudaraan tanah.

Mungkin ada beberapa lagi langkah yang saya tidak masukkan di sini kerana alpa atau lupa; mungkin ada yang boleh tambah dalam komen di bawah.

Terima kasih.

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput halaman rumah, Taman | Tagged: , , , , | Leave a Comment »

Tambah Air

Posted by mynormas on May 17, 2018

Jika kita mahu padang kita berada dalam keadaan boleh digunakan pada bila-bila masa (lebih tepat lagi kalau dikatakan ‘dikebanyakan masa’) maka kita perlu pasang longkang subtanah atau bina padang kita supaya air boleh keluar lebih cepat dan padang boleh digunakan tanpa air bertakung. Ironisnya, lebih cepat air keluar, maka akan lebih bermasalah padang itu pada waktu kemarau pula.

padang kering

Kita boleh kata bahawa musim kemarau di Malaysia adalah pendek dan tidak menentu. Tetapi harus diingat bahawa rumput terutamanya Cowgrass akan cepat bersifat dormant selepas tidak menerima air dalam masa beberapa hari (mereka akan gunakan air dalam tanah sebanyak mungkin) dan selepas dua atau tiga minggu, ia akan mati.

Bila ia dorman atau mati, mungkin tidak berlaku pada setiap rumput di seluruh padang tetapi mungkin bertompok tompok atau pada rumput rumput individu yang kebetulan mempunyai akar paling pendek atau kebetulan berada pada kawasan yang terlalu banyak pasir atau berada di atas longkang subtanah.

Pada ketika itu, rumpai (rumput liar) akan masuk. Maka selepas satu atau dua musim kemarau, padang akan makin banyak rumpai.

Maka banyak padang akan pasang sistem penyiraman. Terdapat beberapa jenis sistem penyiraman yang digunakan.

  1. Penyiraman dengan hos
  2. Penyiraman hos dipasang dengan sprinkler boleh-alih.
  3. Sistem QCV (Quick Coupling Valve) dan sprinkler boleh-alih.
  4. Sistem sprinkler manual
  5. Sistem sprinkler automatik

Pengalaman saya ialah; penggunaan sebarang sistem tanpa latihan ataupun ‘common sense’ adalah sia-sia malah lebih memburukkan keadaan. Terutamanya dengan adanya sistem sprinkler.

Saya selalu jumpa padang yang disiram secara semborono kerana ia kerja paling mudah dibuat. Pasang paip, sambung hos dan cucuk pada sprinkler lepas tu, pergi minum atau duduk tepi padang. Gaji jalan. Itu dari pandangan pekerja.

Tapi saya pernah juga jumpa pekerja yang komplen kata, penyelia yang suruh siram secara bila-bila dia melawat. Kadang-kadang masalahnya ialah kerana bak kata orang putih; bila alat yang kita ada hanyalah tukul, maka semua masalah adalah paku. Rumput kuning? Siram. Tak cukup baja? Siram. Padang tak elok? Siram. Tompok-tompok? Siram. Depan gol mati? Siram.

Saya jumpa satu BQ sebuah stadium terkemuka di Malaysia yang menyatakan penyiraman dilakukan dua kali sehari; pagi dan petang.

Saya menegaskan bahawa waktu paling baik untuk siram KALAU PERLU SIRAM adalah awal pagi. Kenapa? Kerana:

  1. Waktu itu paling kurang angin yang mengganggu arah sprinkler.
  2. Paling kurang orang di padang.
  3. Air akan berada di dalam tanah dan sedang diambil oleh rumput ketika cuaca bertambah panas.
  4. Rumput dah ada bekalan air sewaktu ia memerlukan air ditengahari.
  5. Air di kawasan akar rumput mengurangkan risiko akar kering pada waktu matahari terik nanti.

Menyiram petang sahaja adalah membazir kerana

  1. Rumput dah kehausan atau kekeringan baru diberi minum
  2. Air akan bertakung hingga ke lewat malam; menambah risiko lumut dan penyakit.
  3. Petang lepas balik kerja ialah waktu orang mulakan permainan atau latihan.
  4. Angin dah mula kuat pada waktu petang.

Namun begitu, saya amat amat menegaskan bahawa kita siram BUKAN IKUT JADUAL tetapi mengikut KEPERLUAN RUMPUT.

Kita akan cucuk jari ke dalam tanah sedalam satu atau dua inci dibeberapa tempat di padang dan jika ia kering, barulah kita siram.

Sistem pengairan adalah penting, tetapi latihan dalam PENGURUSAN PENYIRAMAN adalah lebih lebih penting lagi. Saya pernah jumpa sprinkler yang dibuka berjam-jam dan saya pernah jumpa sprinkler yang dipasang pada waktu hujan.

Siram dalam hujan

Itu semua adalah isu pembaziran tetapi lebih penting lagi ialah pengurusan penyiraman memberi kesan kepada permainan dan juga kepada kesihatan rumput.

  • Rumput yang disiram terlalu kerap menyebabkan ia ‘malas’ dan mempunyai akar pendek.
  • Padang yang terlalu kering tanpa siram akan menyebabkan ia keras dan mampu mencederakan permain.
  • Padang yang terlalu basah akan menjadi lecak dan licin untuk pemain selain rumput senang tercabut.
  • Padang yang tidak disiram selepas baja akan menyebabkan nutrien lupus ke udara.
  • Padang yang disiram terlalu banyak lepas baja akan menyebabkan nutrien larutlesap ke dalam tanah.

Jika anda inginkan quotation untuk memasang sistem pengairan samada full auto sprinkler atau QCV; hubungi saya.

Jika anda selalu siram tetapi rumput tetap kering (ni kepada anda yang talipon saya tempohari dan saya tak layan) mungkin masalah anda ialah anda tidak buat pengudaraan tanah yang akan membantu air masuk ke celah akar.

Jika anda perlukan hollow-tine atau topdress, hubungi saya di 03 5I3I OO66 atau mynormasATconsultant.com AT=@.

Gambar kesan tine

Contoh kesan pengudaraan tanah.

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Fields, Golf Course, Landscape, Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, stadium | Tagged: , | 2 Comments »

Air Banyak

Posted by mynormas on April 24, 2018

Ekoran dari apa yang berlaku di sebuah stadium terkenal yang menjadi lecak sewaktu permainan sedangkan ia dikatakan sebagai padang yang di jaga dengan cemerlang, saya telah menerima beberapa pertanyaan; bagaimana ini boleh berlaku kepada sebuah padang yang dibina tanpa topsoil, mempunyai sistem perparitan subtanah dan dijaga dengan baik?

Ada tiga kemungkinan:

  1. Kandungan thatch atau mat yang tinggi.
  2. Air dalam padang telah mencapai tahap tepu
  3. Air yang masuk lebih cepat dari air yang keluar

Thatch

Thatch adalah bahan organik yang belum reput diantara lapisan rumput dan tanah di bawah. Ia akan berfungsi sepert span (sponge) yang menyerap dan memegang air. Kandungan thatch yang tebal dan berlapis akan dipanggil sebagai mat (sebutan: ‘met’ bukan ‘mat’ seperti Mat Rempit)

thatch plus mat close-up

Bahan organik yang di sebelah atas boleh dipanggil sebagai thatch dan di sebelah bawah yang kelihatan lebih padu, ialah apa yang saya panggil sebagai ‘mat’. Air akan sukar tembus ke bawah melalui mat malah akan dipegang oleh thatch sepertiT span.

Thatch tidak boleh tiada langsung, ia diperlukan pada ketebalan lebihkurang 6 – 10mm untuk berfungsi sebagai sungkupan (menghalang kepanasan matahari mengenai terus kepada akar rumput) dan juga sebagai penyerap hentakan. Tanpa thatch langsung, padang akan menjadi terlalu keras dan sebaliknya, terlalu banyak thatch, akan menjadi terlalu lembut.

sod thatch padang

Lihat thatch yang kurang dan tiada ‘topsoil’ serta pasir di sebelah bawah. Padang ini akan lebih berjaya digunakan selepas hujan.

Kerja-kerja pengudaraan tanah, hias atas dan nyahthatch akan membantu mengawal kuantiti thatch. Jika anda rasa penjagaan padang hanyalah potong rumput dan buat line; sila fikir semula.

Bila perlawanan bermula pemain akan memijak thatch dan ini ibarat ‘memerah’ span itu dan mengeluarkan air.
Padang Tepu

Kadang-kadang padang sudah tepu dengan air dan mengambil masa untuk air bergerak dari dalam padang ke longkang subtanah. Ini biasanya kita lihat air bertakung di permukaan tanah.

Ini bermakna samada longkang subtanah berada pada jarak terlalu jauh ataupun tidak cukup besar untuk membawa air keluar dari dalam padang.

Atau… mungkin anda menggunakan ‘tanah atas’ (topsoil) yang memang lambat mengeluarkan air dari dalam padang. Atau sebarang jenis tanah lain contohnya tanah liat.

top soil tanah liat clay

Padang ini gunakan ‘top soil’ yang sebenarnya ialah tanah liat. Pasir dibawah kering sedangkan padang di atas adalah basah. Paip subtanah dibawah juga kering.

Air Masuk Terlalu Banyak

Kadang-kadang, realitinya ialah air yang masuk iaitu air hujan, lebih banyak atau lebih cepat dari air keluar. Kita boleh buat seberapa banyak longkang subtanah atau seberapa besar paip pun akan ada satu ketika yang air masuk lebih cepat dari air yang keluar. Kalau kita buat longkang subtanah terlalu efisien dan gunakan pasir kasar sebagai medium tanaman untuk mempercepatkan pengeluaran air; masalah yang akan timbul pula ialah sistem pengairan tidak akan dapat menampung air dimusim kemarau.

Jadi kesimpulannya, saya bersimpati dengan padang basah, terutamanya jika penjaga padang dah buat yang terbaik (pembuatan tanpa top soil, sistem saliran yang efektif dan melakukan kerja amalan kultura untuk mengurangkan thatch) dalam pengurusan padang. Kadang-kadang; ia berlaku.

Ingat, jika sistem saliran anda baik, sistem pengairan anda juga perlu baik.
AirSpike.

Di masa yang sama saya juga ingin bercerita tentang pengalaman saya menggunakan pancutan udara untuk memaksa air keluar dari padang. Ini kali pertama saya gunakan sistem ini. Sistem AirSpike menolak air yang tepu di dalam tanah dan dimasa yang sama membuat rekahan dan pecahan baru di dalam tanah.

Di sebuah padang yang saya bantu untuk inspection dan perlawanan; saya gunakan AirSpike di sebuah kawasan paling basah ditengah padang. Selepas satu pusingan rawatan, padang itu agak kering dari sebelumnya, walaupun tiada perubahan cuaca (hujan setiap petang).

Effect of Air Spike

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang AirSpike ini, baca di sini. Harganya tak sampai RM5,000 buat masa ini. Tapi ia akan naik.

Jika anda pemilik padang atau stadium dan perlukan kerja-kerja pemulihan atau pengudaraan tanah (hollow tine), sila hubungi kami di 03 5I3I OO66 atau mynormasATconsultant AT=@.

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Golf Course, Landscape, Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, stadium | Tagged: , , , | 4 Comments »

Ratu Gelek

Posted by mynormas on November 13, 2017

Gelek Padang.

Gambar Hiasan Semata-mata.

Pernahkah anda di beritahu bahawa padang/green anda keras? Apa? Tak pernah? Okay; cuba soalan soalan ini pula: Pernahkah

  1. anda lihat air bertakung di atas permukaan padang anda selepas hujan lebat sedangkan anda tahu anda ada longkang subtanah (subsoil drain) di bawah padang?
  2. anda di beritahu bahawa jika bola tinggi melantun di atas padang atau green anda, ia sukar di kawal atau di ramal?
  3. anda di minta untuk siram padang pada separuh masa atau sebelum tournament bermula?
  4. pemain mengadu sakit lutut/pinggang/kepala lepas main di padang anda?

Anda tahu kenapa? Kerana anda suka gelek, giling, roll, kompak padang anda dengan keterlaluan; samada menggunakan roller yang berat atau pun dengan kekerapan yang tinggi.

Terlalu ramai penjaga/pengurus padang percaya bahawa untuk MERATAKAN padang mereka perlu gelek. Ingat; kita gelek untuk mendapatkan permukaan yang baik (smoothen) bukan untuk meratakan (flatten). Jika anda perlu gelek untuk mendapatkan permukaan yang rata; anda mempunyai masalah lama yang perlu diselesaikan dan mencipta masalah baru di masa akan datang.

Pada posting lepas saya dah bincang tentang tiga isu yang akan timbul jika anda gelek terlalu kerap atau menggunakan penggelek terlalu berat:

  1. Mengwujudkan mampatan
  2. menjadikan kawasan keras tinggi dan kawasan lembut rendah
  3. Ketagihan.

Ada masalah ke empat yang akan timbul ekoran dari semua di atas; gelekan yang keterlaluan akan menjadikan padang anda keras. Terutamanya jika anda menggunakan ‘topsoil’ atau tanah liat atau ‘native soil’ (green padang golf) sebagai media tanaman.

“Ok lah pakar” cabar anda kepada saya “kalau kau pandai sangat, macamana kami nak buat kalau padang kami tidak rata?”

Lakukan hias atas (orang dulu kata topdressing) iaitu menggunakan lapisan pasir nipis untuk mengisi kawasan lembah dan lekuk. Kadang kadang lekuk itu dalam maka kerja hias atas perlu di lakukan berkali kali.

Atau, kalau lekuk itu betul betul dalam: kambus saja lah.

Begitu juga kalau padang anda berbonjol dan ada bonjol tinggi yang hampir di katakan lucah oleh orang otak kuning; ambil cangkul, korek keliling nya dan keluarkan rumput bersama tanah setebal 4 hingga 6 inci, buang tanah di bawahnya sedalam yang perlu kemudian tampal balik rumput dan tanah tebal tadi. Insya Allah rumput tak mati kalau anda korek tebal (bukan korek rumput sahaja).

Di green padang golf pula, terdapat pelbagai cara lain untuk mendapatkan green yang laju selain dari ‘roll’ atau turunkan pisau. Cuba groom atau hias atas nipis atau dethatching. Saya pernah tarik dragmat (karpet besi) atas green seminggu dua kali untuk melajukan green. Satu langkah yang banyak superintendan tidak buat ialah mengukur kelajuan semua 18 green, mengenali yang mana paling perlahan dan fokus pada green green itu sahaja setiap hujung minggu. Saya berpendapat terlalu banyak gelek adalah sangat tidak sihat sehinggakan saya lebih rela membiarkan klien saya percaya kepada baja potassium silicate untuk melajukan green dari membiarkan mereka gelek. Sebenarnya tiada bukti potassium silicate boleh melajukan green tetapi setakat ini, tiada kesan sampingan maka ia lebih baik dari menggelek.

Kenapa saya timbulkan isu ini lagi? Kerana masih lagi ada orang yang kata mereka nak gelek untuk meratakan padang. Saya kata “Nanti keras padang”. Mereka kata “Terpaksa. Tiada jalan lain”

Keras kepala.

Terlalu banyak gelek adalah sangat tidak sihat melainkan anda adalah Mas Idayu, Ratu Gelek Malaysia.

 

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Fields, Golf Course, Landscape, Maintenance, Padang, Padang Bola, Padang Golf, stadium, Topdress | Tagged: , , | 3 Comments »

 
%d bloggers like this: