Turf Matters

The Site To Go To For All Your Turf Matters

  • Facebook Likes

  • The new Brushcutter

    Pengganti Brushcutter

    Increase productivity, cut labour. Try the AM61A

  • Trees Nursery

    Forest trees nursery

    Get your Trees from this nursery

Kenapa padang golf Malaysia lebih baik dari padang bolanya? Bhg 1

Posted by mynormas on February 23, 2021


Seorang jurulatih bola sepak pernah memberitahu saya bahawa pemain dari luar negara sering bertanya kepada dia, kenapa di Malaysia padang golf lebih baik keadaannya dari padang bolanya?

Tentunya ia bukan ukuran yang boleh merangkum semua padang bola dan semua padang golf di Malaysia. Saya membuat beberapa kesimpulan sendiri: pertama, bahawa ramai pemain bola – terutamanya dari luar negara – adalah juga pemain golf  dan keduanya, mereka tidak bermain di SEMUA padang golf di Malaysia, mungkin hanya padang terkemuka di sekitar ibu negeri di Malaysia.

Namun, bila dibandingkan keadaan padang secara umum, pada pendapat saya ada beberapa sebab seperti berikut yang memberi kesan kepada persepsi di atas.

  1. Profil tanah
  2. Bajet
  3. Ilmu
  4. Cara pembinaan
  5. Mesin
  6. Roll

Mungkin ada beberapa sebab lagi tapi jika anda fikirkan bahawa salah satunya ialah penggunaan padang golf tidak “seganas” penggunaan padang bola; anda silap. Padang golf digunakan hampir setiap hari iaitu 365 hari setahun, dari 7.30 pagi hingga gelap malam (itupun ada padang golf yang ada lampu utk permainan malam). Padang golf rata-ratanya menggunakan rumput import dan ada yang dipotong serendah 3mm (bayangkan 3-4 keping duit siling 50 sen).

Jika ada padang bola yang kata “tak mungkin boleh guna lasak tetapi masih cantik” ; saya kata boleh dan sebab utamanya ialah kerana padang golf boleh pindahkan lubang (umpama gol di padang bola) dan tee (tempat sepak-mula) mereka sekerap yang mereka mahu. Bila saya cadangkan pemindahan tiang gol setahun sekali sebanyak 1m ke kanan dan 0.5m ke hadapan kepada padang bola; saya hampir ditertawakan.

Padang golf juga mempunyai pasukan penyelenggara yang cekap dan lengkap dengan peralatan untuk menggantikan kawasan yang rosak atau mati dengan rumput baru jika pembajaan khas, pengudaraan tanah atau hias-atas tidak membantu.

Kebanyakan padang bola akan membiarkan kawasan depan gol, tempat larian penjaga garisan dan tempat sepak-mula; botak atau mati dengan gelengan kepala dan tudingan jari.  

Tapi dalam artikel ini saya nak fokuskan kepada profil tanah. Secara spesifiknya kepada konsep “tanah atas” atau topsoil yang tidak lagi digunakan secara rasmi di padang golf tetapi digunakan secara luas di hampir semua padang bola (mungkin kecuali padang bola yang direka atau ditanam oleh orang putih atau orang Jepun).

Saya tak nafikan ada juga padang golf yang masih kata mereka mahukan topsoil tapi itu biasanya akibat tabiat lama yang di bawa ke tempat baru.

Kenapa saya anti-topsoil? Ada beberapa sebab:

  1. Kerana dikebanyakan masa, ia tidak didefinasikan
  2. Selalunya ia datang dalam bentuk tanah liat yang mudah mampat. Tanah liat ini dan digabungkan dengan kegemaran “menggelek” oleh kebanyakan penjaga padang, menyebabkan padang itu menjadi keras sewaktu musim kering dan lecak di waktu musim hujan.
  3. Jika ia betul-betul tanah atas, ia berpotensi mengandungi pelbagai bahan flora (yang akan muncul sebagai rumpai) dan fauna (yang mungkin patogen penyakit atau serangga perosak rumput).
  4. Kesuburan tidak sekata topsoil; contohnya, utk mendapatkan tanah atas setebal 100mm (empat inci) utk padang seluas 6,000 meter persegi (padang bola 100m x 60m) kita perlu korek tanah sedalam 200mm (lapan inci) di kawasan seluas 3,000 meter persegi atau 300mm di kawasan seluas 2,000 meter persegi. Kesuburan topsoil di 100mm atas tak akan sama dengan topsoil 250mm di bawah, dan topsoil di satu kaki persegi di “sini” tak mungkin akan sama dengan kesuburan topsoil di “sana”. Maka jika kita taburkan topsoil di padang, kesuburan di padang juga tidak sama.

Padang golf tidak lagi menggunakan “topsoil” sejak 1960an bila Cara USGA diperkenalkan. Malangnya Cara USGA terlalu rumit dan perlukan piawaian pasir yang terlalu ketat. Maka beberapa orang professor dari universiti dari California memperkenalkan cara baru yang dipanggil “cara California”. Ada yang merasakan ini terlalu mudah dan menggabungkan kedua-dua sistem mendapatkan sistem “hybrid California”.

Padang-padang sukan di barat juga tidak ketinggalan dan mengambil pelajaran dari sistem-sistem tersebut dan mengolah cara mereka sendiri tanpa lagi menggunakan “topsoil”.

Jangan salah faham dan mengatakan bahawa “Orang barat bolehlah; mereka banyak duit”. Jika bajet adalah isu, mereka mempunyai satu cara yang dinamakan “native soil” field. Mereka tidak menipu diri sendiri dengan kata mereka mengimport topsoil yang subur, sebaliknya mereka hanya meracun tumbuhan di atas tanah yang mereka mahu bina padang, bajak, ratakan, camber (sebutannya kemb-ber) supaya air boleh mengalir atas permukaan dan kemudian tanam rumput di atasnya. Kosnya jauh lebih murah dari mengorek keluar tanah dari bawah dan gantikannya dengan “topsoil” yang kononya di import dari bukit 20km dari tapak tetapi akan memberi hasil yang sama dengan tanah “native soil” tadi.

Secara ringkasnya, apa yang padang golf Malaysia dan padang bola di negara barat buat ialah membuang lapisan permukaan sedalam hingga 18 inci (lebih kurang, tengok sistem mana yang digunakan) hingga tanah itu kelihatan seperti sebuah mangkuk atau pinggan dalam dan selepas meletakkan longkang subtanah di bawah dasar mangkuk itu, pasir diletak di atasnya. Sebanyak mana anda letak topsoil sebanyak itulah pasirnya dari enam hingga ke 18 inci.

Profil tanah padang golf (bukan green).

Secara teorinya, apa yang berlaku ialah pasir akan memberi laluan mudah kepada air untuk meresap ke bawah dari “topsoil” yang sebenarnya adalah tanah liat.

Jika anda kata “Eleh… padang kat kampung dah 20 tahun elok jer”. Saya rasa kampung anda adalah salah satu tempat bertuah dulu-dulu bila kontraktor benar-benar menggunakan “topsoil” yang mempunyai nisbah pasir kepada bahan organik yang baik.

Jika anda ingin bersikap defensive dan berkata “eh! Aku pakai pasir lah lepas tu aku letak topsoil kat atas nya”. Jika anda gunakan “topsoil” yang mempunyai tanah liat, hasilnya tetap sama. Tanah liat itu akan menghalang atau melambatkan aliran air ke bawah. Malah, pada jangkamasa panjang, butiran halus dari tanah liat akan berhijrah (migrate) ke lapisan pasir dan menyumbat ruang di antara ketul-ketul pasir di bawahnya. Begitu juga jika anda meletak pasir di atas lapisan tanah liat. Tanah liat akan menghalang air turun ke bawah.

Tanah liat menghalang atau setidaknya melambatkan air dari turun ke bawah.

Baiklah, apa alternatifnya? Apa cadangan saya untuk mendapat padang yang mengalirkan air ke bawah dengan lebih cepat supaya padang boleh digunakan dengan segera? Adakah kos nya lebih tinggi? Adakah teknologi nya terlalu canggih sehingga kontraktor biasa di Malaysia tak dapat buat?

Walau tinggi mana saya belajar atau banyak mana pengalaman saya, kalau bukan orang putih yang kata, tak ada orang Malaysia yang nak percaya kan? Maka saya petik nama dua orang putih; Dr. John Madison dan Mr Bill Davis dari University of California yang selepas membuat beberapa ujikaji mengatakan bahawa meletakkan pasir di atas sistem saliran longkang subtanah adalah cara yang boleh diterima utk membina padang golf.

Di bahagian empat inci (ada orang buat dua inci sahaja) teratas, mereka campurkan bahan organik sebanyak 5 – 10% mengikut isipadu utk dijadikan sebagai “zon akar” (root zone). Salah satu kesan sampingan di sini ialah kesuburan padang anda akan sekata kalau anda bancuh bahan organik tadi dengan sekata berbanding jika anda guna tanah atas yang mungkin lebih subur di sebelah kanan padang dari sebelah kiri kerana punca tanah atas anda TIDAK MUNGKIN dari sumber yang sama.

Tapi awas, cara pembinaan ini memerlukan penyiraman yang berterusan pada peringkat awal. Pada peringkat seterusnya, Malaysia mempunyai lebih kurang dua bulan kemarau dan selebihnya adalah bulan yang mempunyai hujan. Asalkan anda ada paip tepi padang dan hos panjang serta jadual pembajaan yang tetap, insya Allah padang anda boleh lebih banyak kali digunakan dari padang yang di buat dari “tanah atas” (topsoil) yang silap-silap mempunyai benih pelbagai jenis rumpai ataupun pokok!

Akan datang kita akan bincang lagi sebab-sebab lain kenapa padang golf di Malaysia secara amnya lebih baik dari padang bola Malaysia.

Jika anda inginkan lebih maklumat (rujukan dari orang putih) anda boleh baca huraian lanjut di sini.

  1. “The Shocking Truth about Topsoil” dari Michigan State University http://msue.anr.msu.edu/news/the_shocking_truth_about_topsoil
  2. “Topsoil 101” http://What www.bhg.com/gardening/yard/soil/topsoil/
  3. “What is topsoil? Definition and Composition” http://study.com/academy/lesson/what-is-topsoil-definition-composition-uses.html
  4. “Purchasing Topsoil” dari University of New Hampshire. Ini lagi best; dia warning tentang racun yang masih ada dalam topsoil akan memberi kesan dalam tumbuhan akan datang.  http://extension.unh.edu/resources/representation/Resource000492_Rep514.pdf
  5. “Topsoil Quality Guidelines for Landscaping” dari Utah State University http://forestry.usu.edu/files/ uploads/AGSO02.pdf
  6. “Sand-based Athletic Fields”  dari Wikipedia https://en.wikipedia.org/wiki/Sand-based_athletic_fields
  7. “Root zones for High Traffic Turfgrass Areas” dari Ohio State University http://www.oardc.ohio-state.edu/ss540/chapters/SWSGCch6.pdf
  8. “Selecting Sand-Dominated Rootzones for Sports Fields” dari Penn State University  http://www.sportsbuilders.org/events/presentations/Orlando_2C.pdf
  9. “Rootzone” dari Sports Turf Managers Association atau STMA  http://www.stma.org/sites/stma/files/Technical_Resources/Rootzone.pdf
  10. “Managing Soil vs Sand Sports Fields” Ministry of Agriculture, Food and Rural Affairs, Ontario, Canada.  http://www.omafra.gov.on.ca/english/crops/facts/soilsand.htm

Untuk maklumat lanjut tentang penjagaan padang; hubungi saya di mynormasATconsultant.com (gantikan AT dengan @) atau talipon O3-5I3I OO66 dan biarkan ia berdering lama. 

Untuk mengetahui ilmu penjagaan rumput seterusnya, “Follow” laman web ini dengan memasukkan email anda di bahagian atas sebelah kanan. Saya biasa menulis satu atau dua kali sahaja setiap bulan. 

Sila sudi klik gambar iklan di bawah artikel in, ia adalah sumber pendapatan untuk laman web ini. Terima kasih.

Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin. 

Advertisement

One Response to “Kenapa padang golf Malaysia lebih baik dari padang bolanya? Bhg 1”

  1. […] Kenapa padang golf Malaysia lebih baik dari padang bolanya? Bhg 1 […]

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: