Padang Banjir
Posted by mynormas on August 2, 2022
Sewaktu salah satu padang terkenal di Malaysia di landa banjir sebelum suatu perlawanan penting, saya pula di hujani pertanyaan kenapa ia boleh berlaku. Saya tidak boleh jawab secara spesifik tentang padang itu tetapi berdasarkan pengalaman saya membantu membaiki padang yang rosak terdapat beberapa sebab kenapa sebuah padang boleh menghadapi masalah air bertakung selepas hujan lebat.
- Paip saliran tidak cukup (atau tidak ada).
- Paip saliran tersumbat
- Hujan terlalu lebat dan/atau lama.
- Tanah terlalu mampat akibat kerap digelek atau terlalu banyak digunakan.
- Tiada nyah-thatch (dethatching) atau pengudaraan tanah (aeration).
- Salah buat saliran.
- Kombinasi semua di atas.
Apa yang saya maksudkan paip saliran tidak cukup berlaku bila jarak di antara longkang subtanah (subsoil drain) terlalu jauh. Kenapa ada padang yang letak longkang subtanah jauh jauh? Biasanya kerana faktor kos. Kadang-kadang atas alasan longkang subtanah yang di pasang adalah dalam, iaitu hampir satu meter ke bawah tanah (umum nya longkang subtanah yang cetek rapat-rapat dan dalam, jauh-jauh). Saya pernah jumpa longkang subtanah yang di pasang pada jarak 30m di antara satu sama lain dan masa kami membuat penambah baikan padang golf itu, kami pasang longkang baru 3 meter di antara satu sama lain. Bila longkang tak cukup maka air lambat keluar dari padang.

Paip saliran saya katakan tersumbat bila terdapat terlalu banyak sampah dalam paip (saya pernah jumpa biawak dua ekor dalam paip subtanah) ataupun yang paling paling paling paling selalu berlaku, ialah paip longkang subtanah di balut dengan kain geotextile dan kain itu telah tersumbat. 2, 3 tahun pertama saya kerja di industri penjagaan rumput padang golf salah satu tugas ialah koyak kan kain geotextile keliling longkang subtanah atas arahan boss orang Australia. Padang tu belum setahun dah ada masalah air bertakung, bila buang kain geotextile tu, air jalan. Saya juga kalau ada peluang, akan pasang lubang utk flush longkang subtanah utk kerja penyelenggaraan longkang subtanah akan datang.

Hujan yang terlalu lebat boleh menyebabkan air bertakung jika ia lebih cepat dari kebolehan sistem saliran mengeluarkan air. Ia akan berkait dengan masalah sistem saliran tak cukup juga. Kelemahan atau ketidakcukupan sistem saliran akan kelihatan sewaktu hujan lebat. Misalnya jarak di antara longkang subtanah terlalu jauh, atau terlalu dalam. Bayangkan lebuhraya diwaktu cuti panjang, di mana kereta yang masuk ke lebuhraya lebih banyak dari keupayaan lebuhraya tersebut membawa dan memuntahkan kenderaan keluar maka kita akan dapat traffic jam. Maka sebelum pasang longkang subtanah ataupun longkang keliling padang, fikirkan jumlah air yang masuk (lihat sejarah hujan kawasan itu) dan banyak mana air mahu dikeluarkan.


Satu lagi punca masalah air bertakung ialah bila padang banyak menerima mampatan. Apa yang berlaku ialah butir butir tanah dan pasir dipaksa menjadi rapat dan mengecilkan ruangan utk laluan air. “Mampatan” tak semestinya dengan sengaja menggunakan jentera penggelek besar tetapi juga penggunaan yang berterusan dan terfokus ke kawasan tertentu. Pasal tu kita boleh lihat kerosakan padang berlaku banyak di depan gol, tempat larian penjaga garisan, tempat sepakmula dsb.


Kegemaran ramai pembina padang bola untuk “menggelek” ataupun roll padang untuk mendapatkan permukaan yang rata juga menjadi penyebab kepada longkang tersumbat. Di padang golf, kami tidak akan roll padang selepas longkang subtanah dipasang. Ini berbeza sekali dengan pembinaan padang bola atau taman permainan di Malaysia di mana perbuatan roll dengan stimroll berat adalah perkara biasa. Setiap kali roll, setiap kali butir-butir tanah dihimpit dan ruang untuk air turun disempitkan.


Satu lagi sebab kepada padang bertakung malah, walaupun sudah ada longkang subtanah di bawahnya ialah bila terdapat lapisan “thatch” iaitu bahan organik yang terkumpul di permukaan tanah akibat dari rumput lepas potong dan juga rumput yang mati secara semulajadi. Thatch ialah kawasan hitam di lapisan paling atas tanah yang kita boleh nampak akar rumput juga. Ia boleh bertindak seperti span (sponge) memegang air.

Maka bayangkan jika padang itu tidak melakukan kerja-kerja pengudaraan berkala (scheduled) dan mempunyai longkang subtanah. Kalau air tidak atau lambat turun, maka permukaan padang masih akan basah.

Saya pernah juga jumpa padang yang nak buat pengudaraan dengan harapan air bertakung di permukaan boleh turun ke “bawah” sedangkan padang itu tidak mempunyai sistem saliran yang baik. Soalan saya ialah; air tu nak pergi mana? Kalau tak ada longkang subtanah, air tu tak dapat lari dan kekal di bawah tanah. Bayangkan sebuah mangkuk yang dilapiskan tisu atau kadbod di atasnya bila kita bubuh air, tisu atau kadbod itu akan basah, air tak tembus. Kita tebuk lubang, air tembus tapi akan satu tahap air dalam mangkuk tu akan penuh (kita panggil ini “field capacity”).

Satu lagi isu yang kita jumpa ialah longkang subtanah yang dipasang salah iaitu bukan ia bawa air keluar dari padang tetapi ia bawa air masuk KE DALAM padang kerana kecondongannya ke belakang, bukan ke depan. Begitu juga ada longkang subtanah yang rata atau pun naik turun. Saya haraplah agar pihak berkuasa yang bertanggungjawab ambil perhatian. Kesian padang.


Amat sedih kalau kita jumpa padang yang mempunyai kombinasi semua masalah di atas. Itu adalah kelemahan sistem tender yang memberi kontrak kepada petender paling rendah, dan kemudian semasa kerja tiada pantauan dapat di buat. Saya tak boleh salahkan pihak berkuasa juga sebab kekadang banyak kerja yang berlaku serentak yang mereka perlu pantau dan kekadang kontraktor main silap mata. Bukan kau: orang lain di tempat lain.
Masalah di atas ialah kenyataan yang saya jumpa dalam kerja-kerja “rescue” padang yang saya buat. Tuan-tuan dan puan-puan boleh hubungi saya di O3-51310066 (biarkan ia berdering lama) atau email mynormas ATconsultant.com untuk maklumat lanjut. Atau, tuan-tuan boleh hubungi course superintendent di padang golf terdekat dengan tempat tuan-tuan.
Menulis dan menyimpan laman web memerlukan pengorbanan dari segi masa dan wang ringgit. Saya menghargai jika pihak tuan dan puan sudi membuat sedikit derma untuk bantuan. Terima kasih.
Nota tambahan: Sistem saliran yang baik menyebabkan air tak disimpan dalam tanah. Maka sistem pengairan yang baik akan diperlukan diwaktu kemarau.
Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin.
Leave a Reply