Turf Matters

The Site To Go To For All Your Turf Matters

  • Facebook Likes

  • The new Brushcutter

    Pengganti Brushcutter

    Increase productivity, cut labour. Try the AM61A

  • Trees Nursery

    Forest trees nursery

    Get your Trees from this nursery

Archive for the ‘Padang Golf’ Category

Penjagaan rumput padang golf, bola, stadium dll.

El Nino 2023. Persiapan Padang.

Posted by mynormas on May 9, 2023

Apakah El Nino 2023 dan apakah yang di ramalkan akan berlaku? Apakah persediaan yang patut dilakukan oleh penjaga padang?

Selain bahaya kepada penjaga dan pengguna padang dari kesan strok haba dan masalah kesihatan lain, rumput juga mempunyai risiko menjadi dorman jika kandungan air dalam rumput berkurangan dan ia tidak dapat mengesan air dalam tanah. Pada waktu itu, daun akan bertukar coklat dan kelihatan mati. Jika padang mempunyai rumpai seperti Bermuda atau Zoysia, yang lebih tahan kemarau, ia akan mula membiak. Selain itu, rumput yang mempunyai stress haba akan lebih mudah di serang penyakit dan serangga. Lebih lama lagi rumput tidak menerima air, ia akan terus mati.

El Nino adalah fenomena cuaca yang biasa berlaku setiap 2 – 7 tahun di lautan Pasifik. Permukaan air laut yang suhunya lebih panas bergerak ke barat dan air sejuk akan mengganti nya di sebelah timur lautan Pasifik. Pergerakan air ini membawa perubahan cuaca di sebelah barat dan timur lautan Pasifik. Setiap El Nino adalah berbeza dan mempunyai kesan berbeza. Ada tempat akan mengalami kemarau, ada tempat hujan lebat dan ada kawasan akan menerima lebih banyak ribut. Jika mahu maklumat lanjut tentang El Nino, tonton video di bawah. Utk tahu bagaimana kita bersedia menghadapi nya, terus baca bawah video.

Di kawasan Asia Tenggara, kesan biasanya adalah kemarau dengan yang paling buruk ialah pada 1997 hingga 1998, Kemarau berlarutan menyebabkan kebakaran hutan tidak terkawal seterusnya jerebu teruk, hingga kan pasukan bomba Malaysia di hantar ke Indonesia utk membantu memadam kan kebakaran hutan di Sumatera.

https://siakapkeli.my/2021/06/30/24-tahun-berlalu-bomba-malaysia-bantu-negara-indonesia-padam-kebakaran-hutan-di-sumatera-selatan/

Mengikut kiraan pakar meteorologi dan Jabatan Meteorologi Malaysia, El Nino tahun 2023 akan bermula pada bulan Jun 2023 dan berlangsung selama 3 bulan hingga ke September. Mengikut kiraan mereka, El Nino kali ini akan membawa cuaca kering ke Malaysia dan berlangsung beberapa bulan. Ini boleh membawa kepada masalah padang yang kering dan/atau rumput yang mati.

Berbekalkan pengetahuan ini, apakah persediaan yang perlu di lakukan oleh penjaga padang?

Saya mempunyai beberapa cadangan.

  1. Melakukan kerja-kerja pengudaraan tanah secara solid-tine utk membantu pergerakan air turun selepas siram. Hollow-tine pun boleh, tapi solid-tine cepat pulih dan kita mungkin perlu lakukan pengudaraan tanah dua tiga kali di pertengahan musim El Nino itu maka solid-tine adalah pilihan lebih bijak.
Slicing adalah satu jenis pengudaraan tanah dalam kategori solid-tine. Jika anda perlukan perkhidmatan solid-tine; hubungi saya.

2. Elakkan hias-atas (topdressing) tebal. Butir pasir yang terdedah kepada cahaya matahari panas, akan memanaskan rumput di sekitarnya.

too heavy
heavy topdress di atas rumput

3. Persediaan dengan membaiki pam penyiraman yang rosak (padang golf ada sampai 4 pam besar + 1 pam jockey), dan/atau melakukan kerja servis kepada pam yang berfungsi.

sebuah padang golf dengan tiga pam besar dan satu jockey pump.

3. Mendalam kan kolam takungan penyiraman, membersihkan dari gangguan rumpai air dsb

Cukup dalam kah kolam anda di waktu kemarau?

4. Mencuci tangki sedia ada, mungkin juga menambah tangki penyimpanan air atau menambah baik sistem pengumpulan air dari longkang keliling padang atau bawah bumbung

5. Mencuci dan membaiki sistem penyiraman anda. Servis sprinkler, merumpai di keliling valve dan cari semula QCV lama anda. Sediakan sprinkler tambahan yang boleh alih jika perlu.

Sprinkler boleh-alih yang di gunakan untuk menyiram kawasan yang tiada sprinkler tetap.

6. Menyimpan stok agen pembasah (wetting agent). Agen pembasah yang baik akan membantu air tembus ke bawah dan menyebabkan molekul air melekat kepada butir pasir.

Penyemburan agen pembasah yang membantu penembusan air dan air kekal lebih lama dalam tanah.

7. Membeli dan menyimpan hos air sebanyak perlu. Persediaan untuk siram secara manual kawasan yang kering. Takkan nak pasang sprinkler seluruh padang semata-mata nak siram satu bahagian saja?

Penyiraman kawasan LDS (localised dry spot)

8. Membaiki atau membeli tangki utk penyiraman terpilih di kawasan kering.

9. Kenali padang anda! Di mana kawasan akan kering dahulu? Awasi kawasan itu dan siram secara manual sebelum rumput menjadi dorman. Pengukur kelembapan tanah. Jika tak berapa kenal padang anda, jangan teka, ukur! Kalau terdesak, masih ingat pengukur suhu yang di “tembak” ke dahi pengunjung sewaktu zaman Covid dulu? Mungkin kini anda boleh gunakan utk menembak padang pula.

Untuk kesekian kalinya, saya ingin ulang bahawa masa terbaik untuk menyiram adalah pada awal pagi kerana:

  1. Biasanya awal pagi kurang angin.
  2. Matahari belum naik, cuaca belum panas maka kurang masalah air tersejat.
  3. Rumput mula mengambil air dari awal pagi bukan lewat petang masa dah separuh mati. Rumput tak ada mulut, ia mengambil air melalui akar rerambut yang sangat halus. Bayangkan anda guna straw kecik untuk minum air, anda mahu minum masa dah separuh mati kehausan atau sebelum haus minum pelan-pelan?

Masa kedua terbaik untuk siram ialah tengahari panas. TEORI BINTIK AIR AKAN MENJADI KANTA MEMBAKAR DAUN ADALAH TIDAK BENAR. Sebarang suhu atau sinar yang mampu membakar daun, akan menyejatkan air dahulu. Siraman tengahari ini adalah lebih untuk menyejukkan suhu bawah kanopi rumput terutamanya rumput yang dipotong pendek atau rumput yang di tanam atas pasir atau rumput yang stress. Tidak perlu siram lama, hanya sekadar menurunkan suhu tanah sahaja.

Sebelum siram, guna alat pengesan kelembapan tanah atau suhu tanah di beberapa tempat seluruh padang. Paling tidak pun, cucuk jari sedalam 1 inci dan test samada padang lembap atau tidak. Kalau lembap; jangan siram. Terlalu banyak siram boleh menyebabkan rumput manja dan akar jadi pendek (buat apa nak tumbuh akar dalam dalam kalau air ada di kawasan cetek?).

Anda ada cadangan atau idea lain? Sila lah bantu sesama kita dengan memberi idea dan cadangan anda dalam ruangan komen di bawah.

Tentunya ini semua sekadar ramalan manusia berdasarkan kajian lepas dan pemerhatian pada kelajuan angin, cuaca semasa dan pelbagai lagi faktor; tetapi yang menentukan adalah kuasa Tuhan.

Kita sebagai manusia hanya mampu berusaha dan kemudiannya, kita berserah.

Advertisement

Posted in Golf Course, landskap, Lanskap, Padang Bola, Padang Golf, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium, Taman | Tagged: , , , , , , , | Leave a Comment »

Penamaan Rumput Bhg 1

Posted by mynormas on February 7, 2023

Baru-baru ini saya ada mengeluarkan satu video di YouTube tentamg penamaan rumput, jenis-jenis rumput dan tentang varieti rumput. Ini adalah (lebihkurang) transkrip nya. Jika anda ingin menonton nya, layari YouTube mynormas.

Zeon Zoysia, Princess 77, Bermuda, Zoysia, Paspalum Platinum TE dan kalau di padang golf, Tifdwarf, Salam, Mini Verde, GLP, Tifway 419 dan banyak lagi.
Apa kah nama-nama itu merupakan nama rumput yang berbeza? Ada berapa banyak spesis rumput di dunia?
Apakah kelebihan di antara satu dengan yang lain?
Kenapa perlu rumput yang berbeza-beza?
Dalam episod kali ni kita akan membincangkan tentang penamaan rumput, jenis-jenis rumput dan perbezaan di antara mereka.
Teruskan menonton.

Hai dan assalamualaikum
Saya Normas Yakin dari Turf Consultancy Sdn Bhd dan kepakaran saya ialah penjagaan rumput hiasan dan padang permainan.

Di padang bola, rumput yang paling banyak digunakan di Malaysia ialah tentunya Cowgrass. 99% dari padang bola, taman permainan di Malaysia dikatakan sebagai rumput Cowgrass

Kalau di padang golf kita akan dengar tentang Bermuda, Zoysia, GLP, 419, Tifdwarf, Mini Verde dan beberapa jenis lagi.

Akhir akhir ini kita dengar pula padang bola milik JDT dan akan datang stadium Paroi dan stadium Nasional Bukit Jalil ditanam dengan rumput Zeon Zoysia. Di Terengganu pula, kita diberitahu bahawa padang di stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah dari rumput Princess 77.

Bermuda varieti Princess 77. Saya tak pasti genus & spesisnya, mungkin Cynodon dactylon?

Dalam episod kali ini, saya akan cuba memberi penerangan tentang penamaan rumput serta spesis dan varieti mereka.

Rumput yang ditanam oleh manusia boleh dibahagi kepada dua kumpulan

1. 1. Rumput pastura dan 2. Rumput hiasan.

Rumput pastura ialah rumput yang di tanam utk makanan haiwan ternakan dan rumput hiasan ialah rumput yang ditanam kerana kecantikan mereka atau ketahanan mereka utk kegunaan manusia atau kedua-duanya sekali.

Biasanya dan paling senang nya, rumput yang digunakan utk hiasan atau sukan ialah rumput tempatan kerana ia mudah di jumpai dan ia tahan kepada cuaca dan makhluk perosak tempatan.

Maka pada asalnya rumput hiasan di Malaysia adalah terdiri dari Cowgrass dan Serangoon.


Anda mungkin jarang dengar tentang Serangoon yg kurang popular kerana ia berwarna hijau muda, mempunyai daun yang lembut dan lebih cepat dorman bila tiada air. Anda akan jumpa ia banyak di padang golf kerana ia cepat membiak (ingat padang golf 18 lubang boleh sampai 150 ekar) dan boleh dipotong pendek.

Sementara itu, di selatan Amerika Syarikat mereka menemukan suatu spesis rumput yang dianggap sebagai perosak di ladang kapas, amat susah dibunuh dan amat cepat membiak, iaitu lah rumput Bermuda. Bermuda berasal dari Afrika dan telah berhijrah ke Amerika Syarikat bersama-sama dengan tumbuhan dan hamba abdi.

Dari Afrika ke US, mula-mula sebagai pest kepada tanaman kapas, kemudian dibiak sebagai rumput hiasan.

Pembiak dan penggemar rumput telah mendapat pelbagai pertumbuhan berbeza dari spesis Bermuda ini dan mula menggunakan nya di padang golf.

Sementara itu, pengembara Eropah ke China, Jepun, Korea dan Filipina menjumpai spesis rumput yang lebih lasak, tahan sejuk tetapi mempunyai warna semulajadi hijau muda. Seorang ahli botani dari Austria bernama Karl Von Zois telah memberi nama rumput ini sebagai Zoysia sempena namanya sendiri.

Ada banyak spesis Zoysia, kebanyakan berasal dari kawasan ini.

Sekarang kita tiba kepada masalah nama. Nama memang masalah kerana rumput sering mempunyai nama berbeza mengikut tempat. Cowgrass di panggil sebagai Elephantgrass di Indonesia, malah kalau ikut buku teks lama, ia pernah dipanggil sebagai rumput parit di beberapa tempat di Malaysia. Cowgrass di panggil sebagai Kulape di Filipina dan tropical carpetgrass di Amerika Syarikat. Dan ada orang tertukar di antara Buffalo grass dan Cowgrass.

Saya pernah menerima panggilan talipon dari kontraktor dari Perlis bahawa rumput Cowgrass yang dia bawa utk perbaiki padang di sana tak sama dengan Cowgrass sedia ada di padang itu. Begitu juga Rumput Philippine di satu nursery mungkin di panggil Rumput Manila di nursery lain.

Jadi kalau kita pergi ke nursery dan kita kata kita nak “Philippine grass” utk tampal atau baiki laman/padang kita, kita belum tentu dapat rumput yang sama dengan apa yang sedia ada. Masalah ini saya pernah lihat sendiri, di sebuah taman di Shah Alam rumput Cowgrass di tanam bersebelahan dengan rumput Buffalo grass. Manakala di Putrajaya, saya jumpa satu spesis Zoysia ditanam sebagai rumput ganti kepada satu spesis Zoysia yang lain! Lebih-lebih lagi rumput Tifdwarf di atas green padang golf. Ini saya lihat di kelab golf di Selangor dan Pulau Pinang. Saya jumpa rumput berbeza walaupun di beli dari nursery yang sama, selang beberapa tahun.

Zoysia matrella vs Zoysia tenuifolia

Utk mengurangkan kekeliruan ini, saintis telah memperkenalkan sistem penamaan botanikal berasaskan bahasa Latin.

Maka Cowgrass yang dikenali sebagai Elephant grass di Indonesia, diberi nama Axonopus compressus di seluruh dunia. Manakala Zoysia yang mempunyai bunga merah, daun kecil dan dipanggil Rumput Manila diberi nama Zoysia matrella sementara Zoysia yang mempunyai daun halus, bunga hijau dinamakan Zoysia tenuifolia atau Rumput Philippine.

Ambil perhatian bahawa semua penerangan saya adalah dipermudahkan. Ini bukan kuliah tentang agronomi atau botani, ini channel YouTube tentang padang dan rumput hiasan.

Also, ambil perhatian ni baru Bahagian 1. Sila lah mem follow laman web dan YouTube nya utk Bahagian 2. Anda ingin tukar rumput di padang bola atau padang golf anda? Pastikan anda tidak menyesal di kemudian hari. Layari YouTube mynormas/RumputTurf, Tiktok dan FB mynormas.com. Hubungi saya di mynormasATconsultantDOTcom atau 03 5131OO66 dan biarkan ia berdering hingga masuk mesej dan tinggalkan pesanan. Kami lebih banyak masa di padang dan selalunya tiada orang di pejabat.

Untuk melihat video YouTube tersebut: lihat di sini pada pukul 10:15 pagi 7 Februari 2023.

Posted in Golf Course, Landscape, landskap, Lanskap, Maintenance, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium, Taman | Tagged: , , , , , , , | Leave a Comment »

Rumput botak

Posted by mynormas on February 4, 2023

Laman anda ada kawasan botak? Terlalu kecil untuk beli rumput baru tapi terlalu besar utk buat tak nampak? Bukan itu saja masalahnya. Kalau anda beli dari luar, kadang-kadang rumput tak sama. Guna cara sprig.

Beberapa bulan dulu, saya ada tulis tentang cara penanaman dengan sprig. Sebenarnya saya menulis artikel ini di bulan November 2022, so baru dua minggu saja. Cuma saya nak laman web ini menerbitkan artikel sebulan sekali, maka saya jadual kan artikel ini di bulan Februari 2023.

Baiklah, peralatan yang anda perlukan ialah sebarang benda yang boleh membuat lubang sebesar dan sedalam satu ibu jari. Anda boleh guna batang paip pendek, atau pisau yang sesuai ataupun alat pemutar skru.

Kejap, baru teringat. Nak letak satu caveat. Sprig dalam istilah sebenar ialah stolon atau rhizom. Cowgrass tak ada stolon dan rhizome dia tak macam rhizome rumput carpet lain. So, kalau laman anda Cowgrass, maka “sprig” anda dah macam sod kecik dan batang paip tak boleh digunakan, hanya pisau dan pemutar skru mata leper saja, boleh. Sebab anda kena potong sprig anda macam kek kat kedai kek kayangan (kecik tapi comel jer).

Pertama sekali, pilih tempat yang anda nak tanam semula kemudian bersihkan nya hingga satu inci ke bawah dengan tujuan nak buang penyebab kematian (kebotakan? Ha ha) kawasan itu dan buang benih rumpai. Tak ada pasir? Bajak bajak bajak dengan alat seperti di atas tadi supaya benih rumpai atau patogen penyakit di keringkan oleh matahari.

Kemudian pilih tempat yang anda nak ambik rumput utk tanam di kawasan botak. Kalau kawasan botak 1 kaki x 1 kaki, maka tempat “benih” tu 4 inci x 4 inci pun dah cukup.

Anda ada dua pilihan, pilih tempat yang di sempadan laman anda, biasanya di bawah pokok bunga, kat tepi longkang dsb. Ataupun anda boleh juga curi curi dari kawasan paling subur di seluruh laman anda (jangan pulak laman orang sebelah) utk setiap satu lubang di kawasan botak, curi satu sprig di kawasan subur.

Di kawasan botak tadi tebuk lubang sebesar dan sedalam satu ibu jari.

Batang paip, kalau panjang, tak payah bongkok bongkok tapi lepas tu nak simpan mana? Janganlah guna gambar ini tanpa memberi kredit kepada laman web ini.

Lepas tu, ambik rumput di tempat yang anda pilih tadi dan cucuk ke dalam lubang yang anda sediakan.

Ini sprig rumput carpet. Kalau Cowgrass, sprig nya perlu lebih besar lagi. Kredit gambar http://www.mynormas.com

Baja? Oleh kerana ini di ambil dari laman sendiri, maka baja yang sebelum ini anda letak, dah cukup lah. Tak perlu baja khusus. Cukup lah sekadar Bismillah atau doa atau apa-apa bacaan yang patut.

Siram macam biasa. Itu satu lagi kebaikan sprig, kita tanam dah ada akar.

Berapa jauh jarak diantara lubang? Lagi jauh, lagi lambat rumput rapat. Mulakan dengan jarak 4 jari. Lepas seminggu, kalau nampak macam lambat, anda boleh saja tambah tanaman di antara dua lubang.

Lepas tu, kita berserah.

Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput dengan pengalaman 30 tahun. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin. 

Sila jangan copy paste tanpa memberi penghargaan pada saya atau laman web ini. Pernah jumpa laman web yang copy ayat demi ayat lepas tu dia buat tak tahu saja bila saya tanya. Satu sen pun saya tak dapat. Bukan saya mintak pun tapi sekurang kurangnya adalah penghargaan utk saya dan harga diri utk awak

Posted in landskap, Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput, Rumput halaman rumah, stadium, Taman | Tagged: , , , , , , , , , , , , , , | 2 Comments »

Profil tanah

Posted by mynormas on January 7, 2023

Kat luar negeri kan, memprofilkan orang ni salah tau. Kita tak kenal orang tu tapi berdasarkan warna kulit atau asal usul dia, kita memprofilkan dia sebagai jahat, pemalas atau tamak.

Lebih lah jarang kita nak periksa profil tanah sebelum kita membuat keputusan tentang sifat tanah di suatu tempat yang baik atau bermasalah.

Tahu kah anda tentang kewujudan suatu alat untuk memeriksa profil tanah?

Berbelas tahun dulu, saya di panggil kerja di sebuah kelab golf yang mempunyai masalah di atas green mereka.

Bila saya periksa profil tanah, saya dapati mereka mempunyai beberapa masalah. Pertama mereka tidak menggaul bahan organik ke dalam zon akar mereka dengan betul. Ini menyebabkan ada lapisan bahan organik tulin yang tidak memainkan peranan nya sebagai pemangkin pertumbuhan.

Yang hitam tu organik. Yang hijau bawah nya tu ialah zeolite sejenis soil amendment.

Selingan: kami di padang golf tak guna “topsoil”. Sejak puluhan tahun iaitu sekitar 1960an, sistem penanaman rumput di atas pasir telah di popular kan samada menggunakan sistem USGA, California atau hybrid di antara dua sistem itu. Kami gunakan apa yang dipanggil sebagai rootzone atau zon akar iaitu lapisan setebal lebih kurang 100mm atau 4 inci yang di campur dengan 5 – 10% dari isipadu nya dengan bahan organik. Bergantung pada cuaca tempatan, ada tempat yang menambah pula dengan 5% dari isipadu pula dengan amendment yang amat lambat reput tetapi berfungsi memegang air dan nutrien.

Masalah kedua padang ialah kerja-kerja hias-atas atau topdressing yang dilakukan secara jarang-jarang tetapi dengan tebal. Ini menyebabkan pelapisan atau layering yang melambatkan pergerakan air ke dalam tanah.

Pelapisan tanah (soil layering). Bila hias-atas dilakukan jarang-jarang tapi tebal tebal.

Jadi, air lambat turun, akar jadi pendek dan oleh kerana tiap-tiap green ada masalah unik berbeza dari green ke green, maka tiap-tiap green akan ada sifatnya sendiri yang menyusahkan pemain golf yang mahukan semua green mempunyai sifat yang hampir sama.

Penyelesaian nya?

Ka-boom!

Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput dengan pengalaman 30 tahun. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin. 

Sila jangan copy paste tanpa memberi penghargaan pada saya atau laman web ini. Pernah jumpa laman web yang copy ayat demi ayat lepas tu dia buat tak tahu saja bila saya tanya. Satu sen pun saya tak dapat.

Posted in Golf Course, Greens, landskap, Lanskap, Padang Bola, Padang Golf, Rumput halaman rumah, stadium, Taman | Tagged: , , , , , , , , , , | Leave a Comment »

Rumput dua serupa

Posted by mynormas on December 17, 2022

Rambut sama hitam tapi hati lain-lain kata pepatah Melayu. Tapi di satu kawasan di Putrajaya, saya jumpa rumput (hampir) sama hijau tapi spesis lain-lain.

Bukan lah pergi jalan jalan utk cari salah orang. Tapi sebagai peminat rumput, memang itulah yang saya perhatikan, sampai ada kawan malas nak main golf dengan saya, orang pelik bila tengok game bolasepak dengan saya: kerana saya tumpu lebih banyak perhatian kepada padang dari permainan.

So, ceritanya, saya jalan jalan di Putrajaya, nampak se keping rumput yang berlainan warna dengan rumput sebelahnya. Dari modus operandi nya, saya boleh agak kawasan ini ada rumput mati atau botak dan penjaga nya telah mengambil inisiatif utk membeli rumput dari luar kawasan utk menggantikan kawasan yang botak/rumput mati tu. Macamana saya tahu? Dari warna dan bentuk empat segi perbezaan warna rumput. Nyata rumput di tukar secara sod.

Secara amali dan teori nya, tak ada salah. Malangnya si penjaga membuat kesilapan amatur membeli rumput yang tak sama dengan rumput asal kawasan itu.

Ini sebenarnya sering berlaku samada kerana:

  • Kurang ilmu tentang jenis rumput.
  • Rumput di nursery tak sama subur dengan rumput di padang.
  • Langsung tak sama spesis rumput di antara rumput beli dan rumput asal.
  • Tidak memberi perhatian kepada perbezaan rumput.

Masih ingat biologi sekolah menengah? Tentang sistem pengkelasan botani? Akhir sekali adalah spesis? Dua pengkelasan botani terakhir adalah genus dan spesis. Lupakan utk sementara tentang sub spesis atau hybrid dsb.

Dalam konteks rumput di Putrajaya tadi, apa yang berlaku ialah salah satu sod itu ialah Zoysia matrella dan spesis asal ialah Zoysia tenuifolia. Memang ada kemungkinan juga ia adalah Zoysia japonica tetapi oleh kerana spesis yang dijual secara meluasnya di nursery landskap Malaysia ialah Philippine grass dalam bentuk Zoysia tenuifolia naka saya lebih cenderung kepada Z tenuifolia.

Apa beza Zoysia matrella dan Zoysia tenuifolia? Dari segi luaran nya, Zoysia matrella mempunyai bunga berwarna merah (ada orang kata ungu) dan lain-lain Zoysia di Malaysia mempunyai bunga warna hijau. Daun Zoysia matrella juga lebih besar dari Zoysia tenuifolia tetapi kecil atau sama dengan Zoysia japonica (bergantung pada faktor baja juga).

Bunga? Anda tanya, rumput ada bunga ke? Okay lah, terjemahan saya adalah “bunga”, istilah biologi nya lain. Inflorescence. Ha kan dah kena bukak kamus.

Zoysia matrella juga lebih tahan kepada redup berbanding Zoysia lain (kita kata ia lebih “shade tolerant” berbanding Zoysia lain). Warna nya juga berbeza sedikit dengan Zoysia lain: lebih hijau.

Yang mana satu idaman kalbu?

Awas. Saya tak kata satu spesis Zoysia lebih baik dari yang satu lagi. Saya cuma nak tunjuk bahawa semua rumput TAK SAMA.

Apa yang patut penjaga padang di Putrajaya ni buat?

  • Bawak satu sampel rumput asal masa shopping nak beli rumput.
  • Cari nursery yang betul betul kenal rumput utk bincang.
  • Ambil rumput dari satu kawasan dalaman utk tampal kawasan botak kemudian tampal kawasan di ambil tadi dengan rumput beli. Kalau di padang bola, saya akan ambik rumput di tepi padang, kalau di golf, ambil dari nursery sendiri atau practice green. Sebab kalau pun sama spesis, pembajaan dan penjagaan rumput di nursery luar tak sama dan sangat bajet. Kita pun beli dari nursery paling murah kan? Dah tu nak kualiti paling mahal? So kalau ada perbezaan warna pun utk rumput beli, ia di luar kawasan penting atau terhad di satu kawasan saja.

Utk lebih banyak info tentang Zoysia atau rumput lain, anda boleh baca di laman web ini. Jangan lupa utk like atau follow di sini atau FB mynormas.com.

Jangan rasa rendah diri. Saya pernah melawat seorang Superintendent padang golf yang sedang membaiki padang nya dan memberitahu saya dia menggunakan Bermuda Tifway 419. Saya kerut kan dahi. “Tak lah” saya kata “yang ini betul 419, tapi yang itu ialah Bermuda GLP” seterusnya saya menerangkan kepada nya perbezaan di antara kedua nya. Jadi, orang yang menjadi kan karier nya sebagai penjaga rumput dan mempunyai ijazah pun boleh buat silap, apa lagi kita insan biasa. Kan?

Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput dengan pengalaman 30 tahun. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin. 

Posted in Golf Course, landskap, Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium, Taman | Leave a Comment »

Green: Pendek atau Laju yang penting?

Posted by mynormas on November 26, 2022

Sebenarnya awak nak green rumput pendek ke, green speed laju?

Kiri ialah pembaris ukur ketinggian rumput, kanan ialah tape ukur laluan bola dari stimpmeter.

Di banyak padang golf ada papan tanda belakang registration counter atau di starter hut yang ditulis kelajuan green. Walaupun saya selalu persoalkan samada itu kelajuan green 1 ke, green 16; satu green ke purata 18 green; kelajuan hari ni ke, semalam; kelajuan pagi baru lepas potong ke, petang rumput dah panjang; tapi tak ada pulak padang golf yang tulis berapa panjang ketinggian potongan rumput green mereka di papan tanda, kan?

Jadi saya tak faham kenapa ada Superintendent Malaysia yang bangga memberitahu saya berapa rendah pemotongan mereka. Mungkin pada mereka, lagi rendah HoC, makin laju green dan makin hebatlah padang golf mereka.

Kalau nak tahu, untuk ukur kehebatan green, yang kita ukur bukan sahaja kelajuan nya tetapi juga trueness, smoothness, bobble test dan consistency. Orang gunakan bukan sahaja stimpmeter, tetapi juga Parry meter, Trueness meter, greentester dan holing out test. Saya akan link kan video pakar rumput Dr. Micah Woods dari Asia Turf Research Institute di bawah.

Pembaris saja tak cukup Bang.

Sebenarnya kelajuan, TIDAK DAPAT dicapai dengan memotong rendah sahaja tetapi dengan pelbagai cara yang boleh di lihat dengan pengukuran stimpmeter selepas anda lakukan kerja-kerja tersebut seperti light topdressing, light and frequent rolling, brushing atau grooming sebelum potong double cut, diamond cut, dan mungkin ada lagi. Dunia ini luas, ramai orang mencuba cara baru, maka janganlah terikat kepada pembaris mengukur ketinggian potongan sahaja.

Kalau stimpmeter sahaja yang anda ada, ini cadangan saya, ukur kelajuan green selalu. Ukur sekurang-kurangnya seminggu sekali atau setiap kali ada perubahan pada green anda. Apa guna anda potong 3.5mm kalau pada 4mm pun kelajuan anda hampir sama saja? Pada 4mm anda memberi lebih banyak daun untuk green anda membuat fotosintesis, mengurangkan “margin of error” kepada setting pisau operator dan mekanik anda dan mengurangkan stress anda. Lebih baik anda potong pada 4mm dan dapat speed yang anda mahu dengan roll, groom atau light dusting.

Satu lagi yang penting ialah konsistensi. Apa guna green 2 anda selaju 10 kaki tapi green 7 anda adalah pada 8 kaki? Bila kali terakhir anda ukur kesemua 18 green anda? Pemain golf akan lebih menghargai padang yang mempunyai kelajuan yang sama atau hampir sama di kesemua green dari ada green laju, ada green slow malah lebih teruk lagi, saya pernah jumpa padang golf yang bahagian belakang green lain kelajuan dari bahagian depan. Apa penggemar pembaris nak buat? Depan potong lain height dan belakang potong lain?

Satu lagi, macamana dapat ketinggian kepada satu titik perpuluhan seperti 4.3 dan 4.2mm? Betulka ada perbezaan kelajuan pada 0.1mm? Cuba tengok kat pembaris dan tunjuk kat saya macamana dapat 0.1mm. Guna vernier caliper ya? Betul ke?

Ukur kelajuan green, bukan ketinggian potongan. Ketinggian potongan adalah satu alat untuk mendapatkan kelajuan yang anda mahu. Tapi ia bukan SATU SATU nya alat. Ada beberapa lagi alat atau cara. Bak kata seorang Superintendent tempatan kepada seorang agronomist pertandingan beberapa tahun lepas: “don’t tell me how low to cut, but tell me how fast you want…”. Pada dia, dia boleh dapatkan kelajuan dengan pelbagai cara lain SELAIN dari potong rendah yang akan menjejas kesihatan green.

Pada saya, seorang Superintendent yang hebat ialah mereka yang boleh dapatkan green yang laju, smooth, true dan consistent tanpa terlalu stress kan green dengan mengorbankan daun rumput yang banyak.

Setelah layak jadi superintendent, tentunya kita banyak lagi cara kan? Ingat: “A slow green is better than a fast brown”.

Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin.

Posted in Golf club, Golf Course, Greens, Maintenance, Padang Golf, Rumput | Tagged: , , | Leave a Comment »

Tanam sod

Posted by mynormas on October 22, 2022

Percaya lah kalau saya kata perkataan “sod” adalah perkataan tak elok dalam bahasa Inggeris dari Britain. Contoh penggunaan: “You stupid sod!”. Ini mengikut kamus Oxford ya.

Dalam istilah penjagaan rumput di Malaysia dan America pula, sod ialah keping tanah yang mempunyai rumput di atas nya. Dan dalam konteks penulisan ini, ialah cara penanaman keping tanah tersebut.

Kali ini, malas nak cakap banyak, saya nak tunjuk gambar saja. Saya berharap gambar-gambar ini akan menjawab persoalan “kenapa tak boleh guna sod cangkul?”

Inilah cara yang betul menanam sod. Kita tanam rapat rapat dan sama rata, kita gunakan papan atau kayu lurus utk ukur kerataan keping keping itu

Mungkin ada yang kata “alah, itu green padang golf, bolehlah”. Bukan kah kesempurnaan yang kita impikan? Ini pun bukan sempurna tapi ia jauh lebih baik dari sod cangkul yang tak sama tebal di jack jatuh lori lepas tu baling baling dia ke seluruh padang. Tiga bulan kemudian kita tanya “kenapa padang saya tak rata?”

Rumput cangkul. Agak-agak cara ni cepat ke nak dapat rata?
Guna ramai pekerja kalau nak siap cepat.

Utk dapat penanaman sod yang rata, kita juga perlukan bahagian dasar yang rata. Ini membawa kita kepada jawapan kepada soalan kedua yang saya selalu di tanya, “nak tanam atas topsoil ke, pasir?”. Saya tak gunakan topsoil, saya gunakan pasir kerana pasir lebih mudah di ratakan. Topsoil, terutamanya topsoil yang sebenarnya adalah tanah liat akan amat susah di ratakan.

4 inci teratas ialah 95% pasir + 5% bahan organik. Ini kita panggil sebagai “root zone”.

Jadi root zone ini adalah bahagian utama akar berada. Kita perlukan ia subur dan memegang sedikit air, tak perlu banyak sebab kita nak latih akar rumput utk tumbuh panjang ke bawah mencari air. Tapi awas, masa mula mula tanam, rajin rajinlah siram.

Selepas sehari, ini lah hasilnya. Yang putih tu ialah pasir di masukkan di celah sod yang ter jarang. Jangan khuatir tentang warna rumput sebab pada awal, memang agak kering.

Padang bola? Padang bola lain sikit tapi mungkin lebih rumit dari green padang golf. Green padang mempunyai bentuk bentuk yang tidak lurus sedangkan padang bola mesti lurus dengan camber tinggi di tengah dan rendah di tepi.

Ambil level kemudian pacak kayu pancang dan tanda level anda. Bila tiba masa utk tanam rumput, pasang tali dari tanda di pancang ke tanda di pancang satu lagi kemudian tanam bawah tali tersebut. Kalau sod tertinggi, buang pasir bawah sod, kalau sod terendah, letak pasir bawah sod. Ini anda tidak dapat buat dengan sod cangkul.

Satu lagi, jangan guna sod dalam plastik. Tapi itu adalah bahan utk penulisan hari lain.

Nak jimat? Boleh juga beli sod dengan keluasan 80% dari keluasan padang kemudian isi pasir di celah celah sod. Nak lagi jimat, boleh sampai 50% kemudian tanam macam papan dam. Ingat! Lagi jauh jarak antara sod, lagi lambat padang boleh digunakan dan lagi banyak peluang rumpai (rumput liar) masuk.

Bukan contoh terbaik tapi contoh jugalah utk tanam 80% sod.

Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin.

Posted in Golf Course, landskap, Lanskap, Maintenance, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium, Taman | Tagged: , , , , , , , , , , , , | Leave a Comment »

Tanam Sprig

Posted by mynormas on October 15, 2022

Bagaimana kita tanam rumput dengan jimat tapi lambat? Kita sprig.

Patut nya hari ni 15 Oktober 2022 saya upload story tentang greenspeed ya? Artikel nya dah siap tapi saya tangguh ke bulan November sebab ada artikel lain yang saya nak keluarkan yang saya kira lebih penting utk lebih ramai pembaca.

Ada dua cara utk tanam rumput iaitu dengan cara vegetatif dan cara bijibenih. Kita panggil cara pertama ni “vegetatif” kerana ia menggunakan bahagian tumbuhan yang hidup. Cara ini terbahagi pula kepada cara stolon dan sprig. Saya kira penanaman cara sod pula ialah perpindahan rumput dari satu tempat ke tempat lain.

Cara paling mahal ialah dengan sod kerana kita pindah kan rumput sedia ada. Mungkin 100% iaitu nak tanam satu padang, kita beli rumput dari satu padang lain. Murah sikit kalau kita tanam 80% sahaja dari luas kawasan dengan rumput sod. Paling murah cara sod ialah kalau kita beli 50% saja rumput dan tanam macam papan dam, bayangkan yang hitam tu rumput dan yang merah tu di isi pasir halus sampai paras sod sebelahnya.

Lebihkurang 10 tahun lalu, sebuah padang golf yang saya adalah konsultan nya mengalami masalah rumput mati. Mati dalam kawasan yang luas. Nak beli sod rumput Tifdwarf banyak 1. bukan nya murah dan 2. oleh kerana Tifdwarf adalah rumput hybrid (senang cerita rumput kawin) belum tentu rumput sod yang di beli, sama dengan rumput sedia ada.

Jadi kami, iaitu saya dan Superintendent padang itu, En. Bakri, memformulasi utk menggunakan rumput dari green yang paling lasak di padang itu utk tanam di kawasan botak.

Idea nya bagus, tapi takkan nak kopek seluruh green 17 (contoh) nak tanam kawasan mati di green 3, 7, 11 dan 15 (contoh! Dah 10 tahun, tak ingat sangat dah)?

Jadi kami gunakan cara sprig. Iaitu kami potong sod dari green 17 (con…toh) dan bawa ia ke green yang ada kawasan mati.

Sod dari green yang power.

Di kawasan mati itu, kami gunakan serampang berongga lama untuk tebuk lubang di tanah.

Tebuk tebuk tebuk.

Menggunakan serampang berongga saiz yang sama, kami tebuk pula di sod tadi utk mendapatkan “benih” rumput pula.

Ini lah rupa “benih” nya

Kemudian kami cucuk benih tadi ke dalam lubang tersebut.

Cucuk cucuk cucuk.

Kemudian kami siram dan tunggu. Ambil masa juga utk rumput ni tumbuh rapat rapat. Lebih kurang satu bulan juga. Ingat! Ini atas green yang dah established, kalau kita nak buat di tempat baru disediakan tanah kerana tanah nya lembik dan lembut. Mungkin sampai 4 bulan.

Kalau tanam sod, jauh lebih cepat siap dan cepat boleh digunakan. Cara sprig, murah kerana satu sod 1 kaki x 1 kaki boleh tanam kawasan 3 kaki x 3 kaki. Tapi lambat lah siap nya.

Jadi, anda nak murah ke, anda nak cepat siap?

Selain dari contoh sprig di atas, ada lagi cara sprig yang anda boleh jumpa di laman web ini.

Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin. 

Posted in landskap, Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium, Taman | Tagged: , , , , , | Leave a Comment »

Musim Monsun 2022

Posted by mynormas on October 3, 2022

Bila banjir berlaku, tentunya kesihatan rumput atau keadaan padang adalah perkara terakhir yang perlu kita fikirkan kerana nyawa manusia lebih penting. Tetapi sebagai penjaga padang, apakah persediaan yang perlu kita buat sebelum musim hujan?

Pertama sekali kita kenalpasti apa masalah yang timbul sewaktu musim hujan. Pada pandangan saya, berikut adalah di antara yang penting:

  • Air yang bertakung di atas atau di bawah permukaan boleh melemaskan rumput yang perlukan oksigen dan karbon dioksida.
  • Tanpa cahaya matahari, rumput tidak dapat melakukan fotosintesis.
  • Baja atau racun yang di tabur dihanyutkan oleh air.
  • Padang yang lembik menyebabkan penggunaan dan penyelenggaraan meninggal kan kesan.

.Jadi apakah langkah yang perlu di ambil? Semasa hujan lebat, tiada apa yang boleh dibuat kerana jika keadaan berubah menjadi banjir maka nyawa dan hartabenda menjadi prioriti, bukan padang dan rumput. Tetapi kita boleh mempersiapkan padang supaya sewaktu musim hujan atau banjir sekalipun di musim monsun ini, padang akan lebih bersedia dan tidak terlalu terkesan.

Saya mencadangkan langkah-langkah berikut:

  • Pengudaraan tanah serampang padu (solid-tine)
  • Membersihkan longkang dan sump keliling padang atau halaman.
  • Menggunakan baja foliar
  • Menaikkan ketinggian potongan.

Penerangan Lanjut

Kita lakukan kerja pengudaraan tanah kerana kita nak beri ruang kepada air dan udara untuk turun ke bawah permukaan tanah. Kenapa serampang padu dan bukan serampang berongga (hollow-tine)? Kerana serampang padu seperti slicing dan spiking lebih cepat di buat dan tidak mengganggu permainan. Anda juga boleh menggunakan jentera pengudaraan tanah baru yang mampu menghasilkan lebih banyak ruang di bawah permukaan dengan hanya sedikit kerosakkan di permukaan padang: Air2G2

Slicer besar utk padang bola atau golf.
Pengudaraan tanah secara solid tine manual di halaman rumah.

Membersihkan longkang keliling padang mungkin rasa macam terlalu senang dan di pandang remeh oleh kebanyakan orang tapi saya pernah menyelesaikan masalah satu padang dengan cara mengalirkan air yang bertakung di dalam longkang di keliling padang kerana sampah nya. Air yang tinggi di longkang keliling padang akan menaikkan ‘water table’ di bawah padang dan melambatkan pergerakan air keluar dari dalam padang.

Longkang besar atau kecil, bersihkan. Longkang kecil yang tersumbat akan menumpahkan air ke dalam padang atau laman anda.

Kalau kita menggunakan baja butiran, ada kemungkinan ia akan di hanyutkan sebelum nutrien dalam baja dapat di serap oleh rumput. Penggunaan baja foliar sedikit tetapi selalu bermakna rumput boleh serapa nutrien hampir sekaligus melalui daun dan akar jika cecair baja sempat sampai ke akar.

Manual spray in progress

Saya sering dengar orang kata bahawa baja adalah makanan untuk rumput. Sebenarnya rumput berada dalam kategori ‘producer’ iaitu ia membuat makanannya sendiri menggunakan proses fotosintesis. Untuk melakukan fotosintesis, rumput memerlukan cahaya matahari, terutamanya untuk rumput yang mempunyai daun kecil seperti Bermuda dan Zoysia. Cuaca mendung di musim hujan akan mengurangkan cahaya matahari untuk sampai ke daun. Kita tak boleh tambah cahaya matahari melainkan menggunakan ‘grow light’ tetapi kita boleh bantu untuk tambah keluasan daun rumput yang boleh melakukan fotosintesis dengan memanjang ketinggian potongan. Tidak percaya pada teori ini? Perhatikan rumput yang tumbuh di bawah redup seperti bawah pokok atau tepi bangunan dan bandingkan dengan spesis rumput yang sama yang tumbuh di tempat lapang; anda akan dapati rumput bawah redup akan lebih cepat panjang dari di tempat lapang. Dengan izin Tuhan, ia memanjangkan daun untuk memaksimakan luas daun untuk fotosintesis. Bonus: padang atau laman anda akan nampak lebih hijau kalau rumput lebih panjang (kan lebih banyak daun?). Keburukkan: nampak kurang kemas lah kalau tengok dekat-dekat.

Same grass species. On the left under shade.
Nota: bukan ketinggian yang betul; hanya sekadar anggaran.

Saya ada tertinggal apa-apa fakta atau cadangan lain? Sila komen di sini atau di FB mynormas.com untuk membantu atau dibantu orang lain. Tolong jangan PM. Tak larat nak layan soalan yang sama berkali-kali. Kalau boleh saya minta sedikit bantuan derma dari tuan-tuan atau click iklan-iklan di page ini beberapa kali. Saya dapat satu dua sen sekali click. Apa boleh buat, kalau itu saja yang ikhlas.

Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin. 

Posted in Fields, Golf Course, landskap, Lanskap, Padang Bola, Padang Golf, Rumput, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium, Taman | Tagged: , , , , , , | 1 Comment »

Pengudaraan Tanah

Posted by mynormas on July 6, 2022

Microsoft Memories mengingatkan saya bahawa pada minggu ini, 8 tahun yang lalu, kerja-kerja pengudaraan tanah di kelab golf Kinrara yang mana saya adalah konsultan dan superintendent nya adalah En Bakri.

Dua isu yang saya nak timbul kan ialah:

1. Semua kerja di atas green MESTI dilakukan dalam garis lurus.

2. Kita tak tunggu green sakit baru nak buat pengudaraan tanah. Malah masa green sedang sihat ialah masa terbaik utk lakukan kerja ini supaya ia cepat pulih. Perhatikan warna green Kinrara sebelum kita mulakan kerja.

Golfer (dan pengurusan), selalu akan tanya “kenapa nak hollow-tine? Kan green elok?” Kita lakukan kerja pengudaraan tanah ikut jadual. Malah, kalau kebetulan waktu itu rumput sedang sakit tenat, kita akan modify kerja kita (tine yang kecil, atau Air2G2, ubati dulu). Selalunya tak dapat tangguh. Kalau dapat: bagus lah.

Pengudaraan tanah secara serampang berongga atau hollow-tine di mulakan dengan Bismillah…
Kerja-kerja pengudaraan tanah dilakukan secara lurus.
Oleh kerana salah satu tujuan kerja pengudaraan tanah ini ialah utk menggantikan profil tanah, maka tanah lama di buang.
Satu lagi kerja yang dilakukan ialah menabur, mungkin kapur CaCO3 utk masuk ke dalam lubang udara utk membaiki pH tanah. Ini 8 tahun lalu, saya pun dah tak berapa ingat. Mungkin juga baja organik. Dua benda tu saja yang saya gunakan selepas hollow-tine tapi sebelum topdress.
Pasir hias-atas atau topdressing juga di tabur dalam garisan lurus supaya semua tempat dapat jumlah yang rata. Operator atau Superintendent Bakri memilih utk topdress collar nya sekali.
Pasir diratakan menggunakan karpet besi dragmat.
One-Time
Monthly
Yearly

Menulis dan menyelenggara laman web ini mengambil masa dan memerlukan modal. Saya amat berbesar hati jika anda yang merasakan laman web ini membantu anda dalam kerja atau menambah pengetahuan penjagaan rumput anda, untuk membua sedikit sumbangan.

Terima kasih.

Make a monthly donation

Make a yearly donation

Choose an amount

$5.00
$15.00
$100.00
$5.00
$15.00
$100.00
$5.00
$15.00
$100.00

Or enter a custom amount

$

Your contribution is appreciated.

Your contribution is appreciated.

Your contribution is appreciated.

DonateDonate monthlyDonate yearly

Posted in Golf Course, Padang Golf, Topdress | Tagged: , | Leave a Comment »

 
%d bloggers like this: