“Teori Tingkap Pecah”
Posted by mynormas on February 11, 2020
Pernahkah anda mendengar tentang “Teori Tingkap Pecah” ataupun “Broken Window Theory”?
Ia adalah konsep yang saya pegang semasa saya menjaga rumput, mengurus kelab golf lima-bintang ataupun membesarkan anak.
Teori tingkap pecah adalah suatu konsep yang mengatakan setiap masalah yang tidak diselesaikan di dalam suatu persekitaran, akan mempengaruhi sikap orang terhadap persekitaran tersebut dan akan membawa kepada lebih banyak lagi masalah. Dalam ertikata lain, bila suatu persekitaran di jaga dengan baik dan semua masalah – walau sekecil mana – diselesaikan; ia akan mempengaruhi sikap dan membawa kepada pengurusan dan penyelenggaraan yang lebih baik.
Di dalam konteks penyelenggaraan padang rumput samada bola, golf ataupun taman; jika perkara kecil seperti bendera yang kotor, rumput yg kering, tiang papantanda berkarat, pekerja yang tidur merata-rata sewaktu rehat tidak ditangani, maka lama kelamaan ia akan melarat kepada bendera yang hilang, tiang yang patah, kawasan rumput mati, papan tanda hilang langsung dan pekerja akan tidur merata-rata di waktu bekerja pula perlu ditangani!
Kenapa ia dipanggil sebagai Teori Tingkap Pecah? Dalam sebuah artikel yang ditulis pada tahun 1982 dalam majalah The Atlantic oleh dua orang saintis pakar sosiologi bernama James Wilson dan George Kelling yang bertajuk “Broken Windows” mereka menulis:
Ambil contoh sebuah bangunan yang mempunyai beberapa tingkap pecah. Jika tingkap tersebut tidak dibaiki segera, vandalisma akan lebih cenderung berlaku menyebabkan lebih banyak tingkap pecah. Lama kelamaan, ada orang akan memecah masuk ke dalam bangunan itu dan jika tiada penghuni, mungkin mendudukinya atau menyalakan api di dalamnya.
Atau ambil contoh kakilima jalan yang tidak disapu dan sampah bertaburan. Semakin lama akan semakin bertambah sampah bertaburan dan lama kelamaan orang akan tinggalkan sampah makanan malah mungkin akan pecah masuk ke dalam kereta berdekatan.
Seorang marsyal padang golf pernah memberitahu saya bahawa beberapa bulan sebelum itu sewaktu dia menegur seorang pemain golf yang tidak membaiki divot di fairway; dia telah ditertawakan oleh pemain tersebut “Fairway? Ini fairway ka?!” Kini setelah fairway dibaiki, dia tidak lagi dimalukan sebegitu.
Antara arahan pertama yang saya keluarkan sewaktu saya menjadi pengurus sebuah kelab golf 5-bintang di Malaysia ialah agar semua engsel pintu bilik air disembur dengan minyak WD-40 agar ia tidak berbunyi bila dibuka/tutup. Nampak kecil? Bayangkan apa yang bermain difikiran kakitangan engineering/maintenance saya yang menerima arahan itu: “Kalau benda sebesar itu pun boss baru ni jaga; apatah lagi pintu yang pecah!”
Saya juga tidak menerima sebarang alasan atas kelewatan kerja walau dari staff pengurusan. Bila seorang menulis kepada saya memberitahu bahawa dia adalah penghidap insomnia dan tidak dapat hadir pagi, saya memberi arahan utk dia masuk pukul 12.00 tengahari dan balik pukul 8 malam. Janji tidak datang lambat.
Saya ajar anak-anak saya bahawa pintu 7-11 yang ditulis “Tarik” mestilah ditarik walaupun lebih mudah untuk menolaknya dan akan memarahi mereka jika mereka tidak patuhi arahan. Jika pada anda itu adalah “perkara kecil”, saya ingin tanya anda, di manakah garis pemisah diantara perkara kecil dan perkara besar? Where is the line?
Jika anda adalah penjaga atau pengurus sebuah lapangan atau sekumpulan pekerja atau manusia yang dibawah jagaan anda; awasi benda kecil yang tidak ditangani, anda akan dapati lebih banyak lagi benda besar akan melanda. Pada ketika itu, ia akan lebih susah ditangani.
Jika anda melakukan kajian atau research tentang teori ini, anda akan dapati ia digunakan di New York oleh Datuk Bandar Giulani dan ketua polis nya utk mengurangkan kadar jenayah bandar itu. Tetapi teori ini mungkin telah salah digunapakai (antaranya isu rasisme dan over reacting timbul) dan menyebabkan beberapa pakar menyangkal teori ini di dalam konteks itu.
Terpulang pada anda. Anda boleh terus biarkan bendera koyak di pin padang golf anda atau tiang sepakan sudut, atau anda boleh amalkan utk tangani masalah kecil agar orang/pekerja/pengguna/pemain disekeliling anda tidak terjebak kepada masalah besar.

Maintaining this Website. Sumbangan.
Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.
$10.00
Leave a Reply