Turf Matters

The Site To Go To For All Your Turf Matters

Kelajuan Green padang golf

Kepada seorang pemain golf, satu soalan penting pertama ialah tentang kondisi atau keadaan green di padang golf. Kedua ialah tentang caddy…

Apa yang di maksudkan dengan ayat “green itu laju” atau “green di kelab itu slow”? Bagaimanakah kelajuan green di ukur? Apa yang di maksudkan dengan ayat “caddy dia lawa” atau “caddy tu besar”? Bagaimanakah ke’lawa’an caddy di ukur? Apa yang besar?

Pada tahun 1936, seorang lelaki bernama Edward S. Stimpson telah mencipta suatu alat

"How far can you go?"

Mengukur 'kelajuan' green menggunakan stimpmeter.

yang di namakan sempena nama beliau yang di panggil ‘Stimpmeter’. Alat ini adalah suatu alat mudah iaitu suatu batang aluminium yang mempunyai landasan berlurah di satu permukaan dan suatu lekuk yang akan memegang bola di satu hujung stimpmeter. Bila hujung itu di angkat pada sudut 20°, bola itu akan turun melalui lurah dan bergerak di atas green. Perbuatan ini akan di ulangi sebanyak dua kali lagi pada arah yang sama. Purata ketiga-tiga bola ini akan di tanda di atas green. Jarak di antara stimpmeter dan tanda ini di ukur dan di panggil ‘A’.

Stimpmeter akan di bawa ke tanda A tadi dan proses yang sama di ulang dengan tiga biji bola lagi dari arah yang bertentangan. Purata kedudukan tiga biji bola yang baru di ukur, ditanda dan di panggil pula ‘B’. Sekarang jarak A dan B di campurkan dan di bahagi dua. Ini adalah kelajuan green. Lebih besar jarak enam biji bola bergerak di atas green, lebih lajulah green tersebut.

Kadang-kadang kita boleh gunakan perbezaan kedudukan tiga biji bola tadi di antara satu sama lain sebagai petanda samada green itu ‘benar’ (true) atau tidak. Jika bola-bola itu jauh di antara satu sama lain, bermakna green itu tidak ‘benar’.

Kepada yang dah baca sampai di sini dan masih nak tahu pasal ukuran caddy; anda salah website…

Salahfaham kelajuan

Kadang-kadang ada golfer yang salah faham tentang kelajuan green kerana bila kita cerita tentang kelajuan kereta ataupun dari sudut Fizik sekolah menengah, kelajuan ialah jarak di antara ‘mula’ dan ‘tamat’ dalam satu jangka waktu; jadi kita dapat meter per saat atau kilometer per jam dan sebagainya.

Bila orang kata kelajuan green itu ialah 8 kaki 6 inci; tidak lah bermakna kelajuan bola di atas green itu ialah 8 kaki 6 inci per saat. Tetapi ia bermakna jarak purata enam biji bola bergolek di ukur pada dua jarak bertentangan di atas green itu bila di gulingkan dari atas stimpmeter ialah 8 kaki 6 inci.

Bila En. Stimpson mencipta alat itu, tujuan utama beliau bukan untuk mengisi masa lapang, tetapi ialah supaya kelajuan di atas semua 18 green adalah sama. Adalah tidak adil jika green 1 laju, green 2 slow, green 3 laju, green 4 sangat laju, green 5 slow dan sebagainya.

Ia juga membantu memberi kuantiti kepada laju atau slow green. Kalau tidak ia akan di panggil begini: “G!l@ b@b! laju” atau “F@#$ing slow” dan sebagainya. Tentunya, ini adalah subjektif kerana apa yang slow untuk golfer ini adalah laju untuk golfer lain. Sama seperti segelintir golfer menghakimi kedi; ‘cantik’ atau ‘hodoh’ dan ‘besar’ atau ‘kecil’.

Macamana nak melajukan green?

Untuk membincangkan ini, kita kena faham apa yang menyebabkan bola bergolek kurang jauh; geseran (friction). Lebih banyak geseran, lebih banyak rintangan di hadapi oleh bola, lebih dekat ia bergolek. Jika kita dapat mengurangkan geseran; kita akan dapat menambah kelajuan.

Geseran utama datangnya dari rumput. Lebih 10 tahun lalu, saya masih ingat sewaktu green saya mengalami masalah penyakit yang teruk dan saya di panggil oleh seorang golfer. Saya sangka dia akan marah kerana green yang hampir botak, rupanya dia puji kerana green laju!

Rumput yang sihat mempunyai daun-daun yang lembut. Daun-daun ini akan memegang bola untuk hanya untuk beberapa detik tapi untuk setiap detik, daun-daun itu akan menjadi seperti spring; menguncup dan mengembang. Lebih banyak daun, lebih banyak tindakbalas yang berlaku ke atas bola dan menjadi geseran serta melambatkan pergerakan nya.

Cara paling biasa yang di gunakan ialah dengan mengurangkan daun, iaitu secara memendekkan ketinggian potongan. Bila rumput pendek, daun menjadi kurang. Bila daun kurang, geseran pun kurang. Tetapi awas! Daun di perlukan untuk proses fotosintesis, jadi ada had tertentu untuk spesis tertentu bila kita cerita tentang ketinggian potongan.

Greens ironing.

Melajukan green menggunakan stereka (iron).

Cara kedua ialah dengan menjadikan permukaan green lebih padat, rata dan licin dengan cara menggolek (roll). Ini juga mempunyai had tertentu. Terlalu banyak roll akan menjadikan green mampat.

Satu lagi cara menjadikan permukaan green lebih padat ialah dengan topdressing. Perbuatan topdressing akan mengisi rongga-rongga halus yang menjadikan green ‘bumpy’ dan melambatkan golekkan bola.

Grooming, dethatching secara ringan, menarik dragmat atau berus adalah cara untuk mengurangkan daun rumput yang baring dan menjadikan mereka di potong sewaktu tegak. Jika rumput di potong sewaktu daunnya baring ia akan dipotong lebih panjang dari hakiki. Contohnya, jika ketinggian potongan ialah 5mm tetapi rumput dipotong pada waktu daunnya baring; ertinya ia sebenarnya ialah 5.3 atau 5.6mm dan bukan 5mm.

Cara yang biasa di lihat oleh golfer ialah ‘double-cut’ atau ‘cross-cut’ iaitu pemotongan dua kali yang di lakukan ke atas green dalam satu hari. Potongan kedua di lakukan pada sudut 45 atau 90° dari potongan pertama. Kadang-kadang, roll juga boleh di lakukan dengan cara ini.

Cara kimia

Seperti orang yang ingin sihat dan kurus dengan cara makan pill sahaja; ada juga padang yang menggunakan cara kimia untuk melajukan green. Ada dua nutrient yang digunakan untuk mengeraskan dinding sel iaitu Kalium dan Silika. Teorinya ialah bila dinding sel keras maka batang rumput juga akan menjadi keras (tuan-tuan, hanya untuk rumput sahaja ya. Jangan cuba di rumah) dan mengurangkan aksi kuncup-kembang rumput sewaktu bola bergolek di atasnya.

Ada orang – contohnya saya – yang menggunakan kimia pembantut pertumbuhan sewaktu sebelum tournament. Ini akan memendekkan daun dan mengurangkan geseran terhadap bola.

Bila dah desperado, kadang-kadang saya gunakan sabun untuk mengurangkan geseran ke atas batang (rumput). Jangan senyum, menggunakan dos ringan agen pembasah tertentu boleh membantu kenaikkan kelajuan sebanyak 6 inci!

Berapa speed limit?

Berapakah had laju untuk green di Malaysia? Hampir semua pengurus padang golf – tapi diaorang tak nak cakap kat depan golfer – tahu bahawa golfer mahukan green lebih laju dari apa yang diaorang mampu putting. Kebanyakkan kelab akan menjadikan kelajuan green mereka diantara 8 – 9 kaki sahaja untuk permainan harian. Lebih dari 9 kaki; perlawanan golf biasa akan menjadi 5 jam kerana hampir semua orang akan 3-putt. Lagipun majority golfer tidak membaiki ball-mark atau pitch-mark. Ini akan menjadikan green yang di potong pendek menjadi hodoh.

Lagipun green laju adalah green yang stress. Green yang stress akan memberi stress kepada superintenden dan kakitangan lain. Green yang stress akan banyak menggunakan racun dan bahan kimia lain. Untuk menjadikan green laju akan memerlukan lebih banyak jentera dan kakitangan.

Saya boleh beri banyak lagi teori tentang kelajuan green kerana selalunya sebab utama saya di panggil oleh kelab ialah green yang kurang laju dan bermasalah, tapi saya akan akhiri artikel ini dengan satu renungan. Nasib baik pencipta Stimpmeter ialah Encik Stimpson. Jika alat ini di cipta oleh En. Schwarzenegger? Schwarzeneggermeter? Boleh anda bayangkan nama Sthephanovicmeter? Bagaimana alat itu di cipta oleh orang Malaysia? Seperti Marimuthumeter. Sedap juga bunyinya kan?

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: