Musim Monsun 2022
Posted by mynormas on October 3, 2022

Bila banjir berlaku, tentunya kesihatan rumput atau keadaan padang adalah perkara terakhir yang perlu kita fikirkan kerana nyawa manusia lebih penting. Tetapi sebagai penjaga padang, apakah persediaan yang perlu kita buat sebelum musim hujan?
Pertama sekali kita kenalpasti apa masalah yang timbul sewaktu musim hujan. Pada pandangan saya, berikut adalah di antara yang penting:
- Air yang bertakung di atas atau di bawah permukaan boleh melemaskan rumput yang perlukan oksigen dan karbon dioksida.
- Tanpa cahaya matahari, rumput tidak dapat melakukan fotosintesis.
- Baja atau racun yang di tabur dihanyutkan oleh air.
- Padang yang lembik menyebabkan penggunaan dan penyelenggaraan meninggal kan kesan.
.Jadi apakah langkah yang perlu di ambil? Semasa hujan lebat, tiada apa yang boleh dibuat kerana jika keadaan berubah menjadi banjir maka nyawa dan hartabenda menjadi prioriti, bukan padang dan rumput. Tetapi kita boleh mempersiapkan padang supaya sewaktu musim hujan atau banjir sekalipun di musim monsun ini, padang akan lebih bersedia dan tidak terlalu terkesan.
Saya mencadangkan langkah-langkah berikut:
- Pengudaraan tanah serampang padu (solid-tine)
- Membersihkan longkang dan sump keliling padang atau halaman.
- Menggunakan baja foliar
- Menaikkan ketinggian potongan.
Penerangan Lanjut
Kita lakukan kerja pengudaraan tanah kerana kita nak beri ruang kepada air dan udara untuk turun ke bawah permukaan tanah. Kenapa serampang padu dan bukan serampang berongga (hollow-tine)? Kerana serampang padu seperti slicing dan spiking lebih cepat di buat dan tidak mengganggu permainan. Anda juga boleh menggunakan jentera pengudaraan tanah baru yang mampu menghasilkan lebih banyak ruang di bawah permukaan dengan hanya sedikit kerosakkan di permukaan padang: Air2G2


Membersihkan longkang keliling padang mungkin rasa macam terlalu senang dan di pandang remeh oleh kebanyakan orang tapi saya pernah menyelesaikan masalah satu padang dengan cara mengalirkan air yang bertakung di dalam longkang di keliling padang kerana sampah nya. Air yang tinggi di longkang keliling padang akan menaikkan ‘water table’ di bawah padang dan melambatkan pergerakan air keluar dari dalam padang.

Kalau kita menggunakan baja butiran, ada kemungkinan ia akan di hanyutkan sebelum nutrien dalam baja dapat di serap oleh rumput. Penggunaan baja foliar sedikit tetapi selalu bermakna rumput boleh serapa nutrien hampir sekaligus melalui daun dan akar jika cecair baja sempat sampai ke akar.

Saya sering dengar orang kata bahawa baja adalah makanan untuk rumput. Sebenarnya rumput berada dalam kategori ‘producer’ iaitu ia membuat makanannya sendiri menggunakan proses fotosintesis. Untuk melakukan fotosintesis, rumput memerlukan cahaya matahari, terutamanya untuk rumput yang mempunyai daun kecil seperti Bermuda dan Zoysia. Cuaca mendung di musim hujan akan mengurangkan cahaya matahari untuk sampai ke daun. Kita tak boleh tambah cahaya matahari melainkan menggunakan ‘grow light’ tetapi kita boleh bantu untuk tambah keluasan daun rumput yang boleh melakukan fotosintesis dengan memanjang ketinggian potongan. Tidak percaya pada teori ini? Perhatikan rumput yang tumbuh di bawah redup seperti bawah pokok atau tepi bangunan dan bandingkan dengan spesis rumput yang sama yang tumbuh di tempat lapang; anda akan dapati rumput bawah redup akan lebih cepat panjang dari di tempat lapang. Dengan izin Tuhan, ia memanjangkan daun untuk memaksimakan luas daun untuk fotosintesis. Bonus: padang atau laman anda akan nampak lebih hijau kalau rumput lebih panjang (kan lebih banyak daun?). Keburukkan: nampak kurang kemas lah kalau tengok dekat-dekat.


Saya ada tertinggal apa-apa fakta atau cadangan lain? Sila komen di sini atau di FB mynormas.com untuk membantu atau dibantu orang lain. Tolong jangan PM. Tak larat nak layan soalan yang sama berkali-kali. Kalau boleh saya minta sedikit bantuan derma dari tuan-tuan atau click iklan-iklan di page ini beberapa kali. Saya dapat satu dua sen sekali click. Apa boleh buat, kalau itu saja yang ikhlas.
Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin.
Musim Monsun 2022 « Turf Matters said
[…] Musim Monsun 2022 […]
LikeLike