Pengetahuan Sedikit atau Silap?
Posted by mynormas on January 12, 2022
Di zaman internet yang mana pengetahuan boleh didapati di hujung jari, ramai orang yang rasa mereka dah tahu segalanya.
Sebenarnya ini berlaku di zaman dulu lagi. Petikan “A little knowledge is a dangerous thing” adalah sebahagian dari puisi yang ditulis oleh Alexander Pope (1688-1744) pada abad ke 18 yang sebenarnya mengatakan “A little LEARNING is a dangerous thing” atau belajar sikit-sikit adalah merbahaya.
Ya dari dulu lagi manusia risau tentang orang yang mempunyai sedikit pengetahuan tertipu bahawa kepakaran mereka lebih tinggi dari sebenarnya dan ini boleh membawa kepada kesilapan dalam tindakan, nasihat atau komen.

Apatah lagi sekarang ramai yang rasa dah pandai dan boleh komen lepas tengok 10 minit video di YouTube atau tiga video TikTok atau beberapa posting di FB/Insta. Kadang-kadang tak tengok sampai habis pun, cuma tengok sikit-sikit atau baca tajuk saja. Tak sempat pun tengok siapa tulis, bila atau periksa nama TikTok/FB/Insta tu nama betul atau nama samaran.
Dulu masa saya kerja kelab golf, ada juga pengurus yang jadi pandai bila balik dari melawat kelab lain (atau terima lawatan dari pengurus kelab lain atau penjual baja) dan akan mula menjadi penasihat kepada penjaga padang tanpa memikirkan tentang perbezaan di antara rumput, sejarah penyelenggaraan, jenis pasir dan sebagainya.
Anda rasa mereka nak dengar penjelasan? Tentu tidak sebab mereka rasa mereka dah tahu. Kadang-kadang mereka akan cakap berlapik “Anda tentu lebih tahu” tapi mereka nak jugak buat ikut cakap mereka.
Ada juga saya dengar cerita tentang padang yang rosak akibat pegawai perolehan (purchasing officer) merasa lebih tahu dari pegawai padang yang tak nak terlalu menekan tentang nak beli dari mana kerana takut dituduh pilih kasih kepada pembekal tertentu.
Sesungguhnya kita tak perlu sombong dengan ilmu yang kita ada kerana sebenarnya sikap kita seharusnya “lebih banyak kita tahu, lebih banyak kita tahu masih banyak lagi yang kita tak tahu”.
Kita – TAK ADA ORANG – yang tahu semua benda. Kita mesti mempunyai sikap utk menghormati ilmu dan pengalaman orang yang dalam bidang itu. Di masa yang sama, orang yang dah lama dalam bidang itu juga perlu ada sikap bahawa mereka tidak tahu semua dan perlu lebih banyak mendalami ilmu yang berkaitan.
Puisi Alexander Pope berterusan mengatakan “drink deep or taste not the Pierian spring” iaitu ditafsirkan sebagai mengatakan, kalau nak belajar, belajar habis-habisan atau jangan belajar langsung.
Allah yang lebih mengetahui.
Leave a Reply