Turf Matters

The Site To Go To For All Your Turf Matters

  • Facebook Likes

  • The new Brushcutter

    Pengganti Brushcutter

    Increase productivity, cut labour. Try the AM61A

  • Trees Nursery

    Forest trees nursery

    Get your Trees from this nursery

El Nino 2023. Persiapan Padang.

Posted by mynormas on May 9, 2023


Apakah El Nino 2023 dan apakah yang di ramalkan akan berlaku? Apakah persediaan yang patut dilakukan oleh penjaga padang?

Selain bahaya kepada penjaga dan pengguna padang dari kesan strok haba dan masalah kesihatan lain, rumput juga mempunyai risiko menjadi dorman jika kandungan air dalam rumput berkurangan dan ia tidak dapat mengesan air dalam tanah. Pada waktu itu, daun akan bertukar coklat dan kelihatan mati. Jika padang mempunyai rumpai seperti Bermuda atau Zoysia, yang lebih tahan kemarau, ia akan mula membiak. Selain itu, rumput yang mempunyai stress haba akan lebih mudah di serang penyakit dan serangga. Lebih lama lagi rumput tidak menerima air, ia akan terus mati.

El Nino adalah fenomena cuaca yang biasa berlaku setiap 2 – 7 tahun di lautan Pasifik. Permukaan air laut yang suhunya lebih panas bergerak ke barat dan air sejuk akan mengganti nya di sebelah timur lautan Pasifik. Pergerakan air ini membawa perubahan cuaca di sebelah barat dan timur lautan Pasifik. Setiap El Nino adalah berbeza dan mempunyai kesan berbeza. Ada tempat akan mengalami kemarau, ada tempat hujan lebat dan ada kawasan akan menerima lebih banyak ribut. Jika mahu maklumat lanjut tentang El Nino, tonton video di bawah. Utk tahu bagaimana kita bersedia menghadapi nya, terus baca bawah video.

Di kawasan Asia Tenggara, kesan biasanya adalah kemarau dengan yang paling buruk ialah pada 1997 hingga 1998, Kemarau berlarutan menyebabkan kebakaran hutan tidak terkawal seterusnya jerebu teruk, hingga kan pasukan bomba Malaysia di hantar ke Indonesia utk membantu memadam kan kebakaran hutan di Sumatera.

https://siakapkeli.my/2021/06/30/24-tahun-berlalu-bomba-malaysia-bantu-negara-indonesia-padam-kebakaran-hutan-di-sumatera-selatan/

Mengikut kiraan pakar meteorologi dan Jabatan Meteorologi Malaysia, El Nino tahun 2023 akan bermula pada bulan Jun 2023 dan berlangsung selama 3 bulan hingga ke September. Mengikut kiraan mereka, El Nino kali ini akan membawa cuaca kering ke Malaysia dan berlangsung beberapa bulan. Ini boleh membawa kepada masalah padang yang kering dan/atau rumput yang mati.

Berbekalkan pengetahuan ini, apakah persediaan yang perlu di lakukan oleh penjaga padang?

Saya mempunyai beberapa cadangan.

  1. Melakukan kerja-kerja pengudaraan tanah secara solid-tine utk membantu pergerakan air turun selepas siram. Hollow-tine pun boleh, tapi solid-tine cepat pulih dan kita mungkin perlu lakukan pengudaraan tanah dua tiga kali di pertengahan musim El Nino itu maka solid-tine adalah pilihan lebih bijak.
Slicing adalah satu jenis pengudaraan tanah dalam kategori solid-tine. Jika anda perlukan perkhidmatan solid-tine; hubungi saya.

2. Elakkan hias-atas (topdressing) tebal. Butir pasir yang terdedah kepada cahaya matahari panas, akan memanaskan rumput di sekitarnya.

too heavy
heavy topdress di atas rumput

3. Persediaan dengan membaiki pam penyiraman yang rosak (padang golf ada sampai 4 pam besar + 1 pam jockey), dan/atau melakukan kerja servis kepada pam yang berfungsi.

sebuah padang golf dengan tiga pam besar dan satu jockey pump.

3. Mendalam kan kolam takungan penyiraman, membersihkan dari gangguan rumpai air dsb

Cukup dalam kah kolam anda di waktu kemarau?

4. Mencuci tangki sedia ada, mungkin juga menambah tangki penyimpanan air atau menambah baik sistem pengumpulan air dari longkang keliling padang atau bawah bumbung

5. Mencuci dan membaiki sistem penyiraman anda. Servis sprinkler, merumpai di keliling valve dan cari semula QCV lama anda. Sediakan sprinkler tambahan yang boleh alih jika perlu.

Sprinkler boleh-alih yang di gunakan untuk menyiram kawasan yang tiada sprinkler tetap.

6. Menyimpan stok agen pembasah (wetting agent). Agen pembasah yang baik akan membantu air tembus ke bawah dan menyebabkan molekul air melekat kepada butir pasir.

Penyemburan agen pembasah yang membantu penembusan air dan air kekal lebih lama dalam tanah.

7. Membeli dan menyimpan hos air sebanyak perlu. Persediaan untuk siram secara manual kawasan yang kering. Takkan nak pasang sprinkler seluruh padang semata-mata nak siram satu bahagian saja?

Penyiraman kawasan LDS (localised dry spot)

8. Membaiki atau membeli tangki utk penyiraman terpilih di kawasan kering.

9. Kenali padang anda! Di mana kawasan akan kering dahulu? Awasi kawasan itu dan siram secara manual sebelum rumput menjadi dorman. Pengukur kelembapan tanah. Jika tak berapa kenal padang anda, jangan teka, ukur! Kalau terdesak, masih ingat pengukur suhu yang di “tembak” ke dahi pengunjung sewaktu zaman Covid dulu? Mungkin kini anda boleh gunakan utk menembak padang pula.

Untuk kesekian kalinya, saya ingin ulang bahawa masa terbaik untuk menyiram adalah pada awal pagi kerana:

  1. Biasanya awal pagi kurang angin.
  2. Matahari belum naik, cuaca belum panas maka kurang masalah air tersejat.
  3. Rumput mula mengambil air dari awal pagi bukan lewat petang masa dah separuh mati. Rumput tak ada mulut, ia mengambil air melalui akar rerambut yang sangat halus. Bayangkan anda guna straw kecik untuk minum air, anda mahu minum masa dah separuh mati kehausan atau sebelum haus minum pelan-pelan?

Masa kedua terbaik untuk siram ialah tengahari panas. TEORI BINTIK AIR AKAN MENJADI KANTA MEMBAKAR DAUN ADALAH TIDAK BENAR. Sebarang suhu atau sinar yang mampu membakar daun, akan menyejatkan air dahulu. Siraman tengahari ini adalah lebih untuk menyejukkan suhu bawah kanopi rumput terutamanya rumput yang dipotong pendek atau rumput yang di tanam atas pasir atau rumput yang stress. Tidak perlu siram lama, hanya sekadar menurunkan suhu tanah sahaja.

Sebelum siram, guna alat pengesan kelembapan tanah atau suhu tanah di beberapa tempat seluruh padang. Paling tidak pun, cucuk jari sedalam 1 inci dan test samada padang lembap atau tidak. Kalau lembap; jangan siram. Terlalu banyak siram boleh menyebabkan rumput manja dan akar jadi pendek (buat apa nak tumbuh akar dalam dalam kalau air ada di kawasan cetek?).

Anda ada cadangan atau idea lain? Sila lah bantu sesama kita dengan memberi idea dan cadangan anda dalam ruangan komen di bawah.

Tentunya ini semua sekadar ramalan manusia berdasarkan kajian lepas dan pemerhatian pada kelajuan angin, cuaca semasa dan pelbagai lagi faktor; tetapi yang menentukan adalah kuasa Tuhan.

Kita sebagai manusia hanya mampu berusaha dan kemudiannya, kita berserah.

Leave a comment