Turf Matters

The Site To Go To For All Your Turf Matters

  • Facebook Likes

  • The new Brushcutter

    Pengganti Brushcutter

    Increase productivity, cut labour. Try the AM61A

  • Trees Nursery

    Forest trees nursery

    Get your Trees from this nursery

Posts Tagged ‘stadium’

Air Banyak

Posted by mynormas on April 24, 2018

Ekoran dari apa yang berlaku di sebuah stadium terkenal yang menjadi lecak sewaktu permainan sedangkan ia dikatakan sebagai padang yang di jaga dengan cemerlang, saya telah menerima beberapa pertanyaan; bagaimana ini boleh berlaku kepada sebuah padang yang dibina tanpa topsoil, mempunyai sistem perparitan subtanah dan dijaga dengan baik?

Ada tiga kemungkinan:

  1. Kandungan thatch atau mat yang tinggi.
  2. Air dalam padang telah mencapai tahap tepu
  3. Air yang masuk lebih cepat dari air yang keluar

Thatch

Thatch adalah bahan organik yang belum reput diantara lapisan rumput dan tanah di bawah. Ia akan berfungsi sepert span (sponge) yang menyerap dan memegang air. Kandungan thatch yang tebal dan berlapis akan dipanggil sebagai mat (sebutan: ‘met’ bukan ‘mat’ seperti Mat Rempit)

thatch plus mat close-up

Bahan organik yang di sebelah atas boleh dipanggil sebagai thatch dan di sebelah bawah yang kelihatan lebih padu, ialah apa yang saya panggil sebagai ‘mat’. Air akan sukar tembus ke bawah melalui mat malah akan dipegang oleh thatch sepertiT span.

Thatch tidak boleh tiada langsung, ia diperlukan pada ketebalan lebihkurang 6 – 10mm untuk berfungsi sebagai sungkupan (menghalang kepanasan matahari mengenai terus kepada akar rumput) dan juga sebagai penyerap hentakan. Tanpa thatch langsung, padang akan menjadi terlalu keras dan sebaliknya, terlalu banyak thatch, akan menjadi terlalu lembut.

sod thatch padang

Lihat thatch yang kurang dan tiada ‘topsoil’ serta pasir di sebelah bawah. Padang ini akan lebih berjaya digunakan selepas hujan.

Kerja-kerja pengudaraan tanah, hias atas dan nyahthatch akan membantu mengawal kuantiti thatch. Jika anda rasa penjagaan padang hanyalah potong rumput dan buat line; sila fikir semula.

Bila perlawanan bermula pemain akan memijak thatch dan ini ibarat ‘memerah’ span itu dan mengeluarkan air.
Padang Tepu

Kadang-kadang padang sudah tepu dengan air dan mengambil masa untuk air bergerak dari dalam padang ke longkang subtanah. Ini biasanya kita lihat air bertakung di permukaan tanah.

Ini bermakna samada longkang subtanah berada pada jarak terlalu jauh ataupun tidak cukup besar untuk membawa air keluar dari dalam padang.

Atau… mungkin anda menggunakan ‘tanah atas’ (topsoil) yang memang lambat mengeluarkan air dari dalam padang. Atau sebarang jenis tanah lain contohnya tanah liat.

top soil tanah liat clay

Padang ini gunakan ‘top soil’ yang sebenarnya ialah tanah liat. Pasir dibawah kering sedangkan padang di atas adalah basah. Paip subtanah dibawah juga kering.

Air Masuk Terlalu Banyak

Kadang-kadang, realitinya ialah air yang masuk iaitu air hujan, lebih banyak atau lebih cepat dari air keluar. Kita boleh buat seberapa banyak longkang subtanah atau seberapa besar paip pun akan ada satu ketika yang air masuk lebih cepat dari air yang keluar. Kalau kita buat longkang subtanah terlalu efisien dan gunakan pasir kasar sebagai medium tanaman untuk mempercepatkan pengeluaran air; masalah yang akan timbul pula ialah sistem pengairan tidak akan dapat menampung air dimusim kemarau.

Jadi kesimpulannya, saya bersimpati dengan padang basah, terutamanya jika penjaga padang dah buat yang terbaik (pembuatan tanpa top soil, sistem saliran yang efektif dan melakukan kerja amalan kultura untuk mengurangkan thatch) dalam pengurusan padang. Kadang-kadang; ia berlaku.

Ingat, jika sistem saliran anda baik, sistem pengairan anda juga perlu baik.
AirSpike.

Di masa yang sama saya juga ingin bercerita tentang pengalaman saya menggunakan pancutan udara untuk memaksa air keluar dari padang. Ini kali pertama saya gunakan sistem ini. Sistem AirSpike menolak air yang tepu di dalam tanah dan dimasa yang sama membuat rekahan dan pecahan baru di dalam tanah.

Di sebuah padang yang saya bantu untuk inspection dan perlawanan; saya gunakan AirSpike di sebuah kawasan paling basah ditengah padang. Selepas satu pusingan rawatan, padang itu agak kering dari sebelumnya, walaupun tiada perubahan cuaca (hujan setiap petang).

Effect of Air Spike

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang AirSpike ini, baca di sini. Harganya tak sampai RM5,000 buat masa ini. Tapi ia akan naik.

Jika anda pemilik padang atau stadium dan perlukan kerja-kerja pemulihan atau pengudaraan tanah (hollow tine), sila hubungi kami di 03 5I3I OO66 atau mynormasATconsultant AT=@.

Go back

Your message has been sent

Warning
Warning
Warning
Warning
Warning

Warning.

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Golf Course, Landscape, Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, stadium | Tagged: , , , | 4 Comments »

Ratu Gelek

Posted by mynormas on November 13, 2017

Gelek Padang.

Gambar Hiasan Semata-mata.

Pernahkah anda di beritahu bahawa padang/green anda keras? Apa? Tak pernah? Okay; cuba soalan soalan ini pula: Pernahkah

  1. anda lihat air bertakung di atas permukaan padang anda selepas hujan lebat sedangkan anda tahu anda ada longkang subtanah (subsoil drain) di bawah padang?
  2. anda di beritahu bahawa jika bola tinggi melantun di atas padang atau green anda, ia sukar di kawal atau di ramal?
  3. anda di minta untuk siram padang pada separuh masa atau sebelum tournament bermula?
  4. pemain mengadu sakit lutut/pinggang/kepala lepas main di padang anda?

Anda tahu kenapa? Kerana anda suka gelek, giling, roll, kompak padang anda dengan keterlaluan; samada menggunakan roller yang berat atau pun dengan kekerapan yang tinggi.

Terlalu ramai penjaga/pengurus padang percaya bahawa untuk MERATAKAN padang mereka perlu gelek. Ingat; kita gelek untuk mendapatkan permukaan yang baik (smoothen) bukan untuk meratakan (flatten). Jika anda perlu gelek untuk mendapatkan permukaan yang rata; anda mempunyai masalah lama yang perlu diselesaikan dan mencipta masalah baru di masa akan datang.

Pada posting lepas saya dah bincang tentang tiga isu yang akan timbul jika anda gelek terlalu kerap atau menggunakan penggelek terlalu berat:

  1. Mengwujudkan mampatan
  2. menjadikan kawasan keras tinggi dan kawasan lembut rendah
  3. Ketagihan.

Ada masalah ke empat yang akan timbul ekoran dari semua di atas; gelekan yang keterlaluan akan menjadikan padang anda keras. Terutamanya jika anda menggunakan ‘topsoil’ atau tanah liat atau ‘native soil’ (green padang golf) sebagai media tanaman.

“Ok lah pakar” cabar anda kepada saya “kalau kau pandai sangat, macamana kami nak buat kalau padang kami tidak rata?”

Lakukan hias atas (orang dulu kata topdressing) iaitu menggunakan lapisan pasir nipis untuk mengisi kawasan lembah dan lekuk. Kadang kadang lekuk itu dalam maka kerja hias atas perlu di lakukan berkali kali.

Atau, kalau lekuk itu betul betul dalam: kambus saja lah.

Begitu juga kalau padang anda berbonjol dan ada bonjol tinggi yang hampir di katakan lucah oleh orang otak kuning; ambil cangkul, korek keliling nya dan keluarkan rumput bersama tanah setebal 4 hingga 6 inci, buang tanah di bawahnya sedalam yang perlu kemudian tampal balik rumput dan tanah tebal tadi. Insya Allah rumput tak mati kalau anda korek tebal (bukan korek rumput sahaja).

Di green padang golf pula, terdapat pelbagai cara lain untuk mendapatkan green yang laju selain dari ‘roll’ atau turunkan pisau. Cuba groom atau hias atas nipis atau dethatching. Saya pernah tarik dragmat (karpet besi) atas green seminggu dua kali untuk melajukan green. Satu langkah yang banyak superintendan tidak buat ialah mengukur kelajuan semua 18 green, mengenali yang mana paling perlahan dan fokus pada green green itu sahaja setiap hujung minggu. Saya berpendapat terlalu banyak gelek adalah sangat tidak sihat sehinggakan saya lebih rela membiarkan klien saya percaya kepada baja potassium silicate untuk melajukan green dari membiarkan mereka gelek. Sebenarnya tiada bukti potassium silicate boleh melajukan green tetapi setakat ini, tiada kesan sampingan maka ia lebih baik dari menggelek.

Kenapa saya timbulkan isu ini lagi? Kerana masih lagi ada orang yang kata mereka nak gelek untuk meratakan padang. Saya kata “Nanti keras padang”. Mereka kata “Terpaksa. Tiada jalan lain”

Keras kepala.

Terlalu banyak gelek adalah sangat tidak sihat melainkan anda adalah Mas Idayu, Ratu Gelek Malaysia.

 

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Fields, Golf Course, Landscape, Maintenance, Padang, Padang Bola, Padang Golf, stadium, Topdress | Tagged: , , | 5 Comments »

Raja Gelek

Posted by mynormas on October 23, 2017

Salah satu kerja yang selalu dilakukan dipadang, sama ada golf ataupun padang bola, ialah menggelek. Malah saya pernah jumpa sebuah stadium yang pada masa itu belum dibuka lebih banyak gelek dari potong rumput.

Apa itu gelek? Iaitu perbuatan menggunakan alat berat yang direka untuk memampatkan profil tanah dengan tujuan memberi permukaan yang dianggap lebih baik. Sebenarnya, gelek juga ialah pergerakan badan yang menyerupai tarian. Malah ada orang kata ia memang tarian…

Perkataan yang biasa digunakan di padang ialah ‘roll’ atau ‘kompak’ (‘compact’?). Kepada anda yang merasakan bahawa perkataan ‘gelek’ bukanlah terjemahan terbaik, silakan bersabar dan teruskan baca ataupun jangan bersabar dan tulis artikel sendiri. Ini laman web tentang rumput dan bukan tentang bahasa. Tambahan pula, saya perlukan tajuk yang menarik untuk memancing pembaca.

Apa tujuan gelek? Maka di sini, saya perlu memohon bantuan dari mereka yang lebih pakar bahasa dari saya. Dalam laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu milik DBP yang menjadi tempat saya mencari panduan bahasa, kedua dua smoothen dan flatten adalah diterjemahkan sebagai ‘meratakan’.

Itu adalah dua tujuan menggelek. Kita menggelek untuk mendapatkan permukaan yang licin (smooth) yang memberikan perjalanan yang baik untuk bola dan permainan dan kadang kadang kita menggelek untuk meratakan permukaan padang yang berlekuk lekuk.

Saya mengesyorkan gelek atau roll hanya dilakukan untuk mendapatkan permukaan yang licin sahaja. Jika anda merasakan anda perlu melakukan gelekkan berkali kali untuk meratakan lekuk lekuk pada padang anda, maka anda mempunyai masalah yang lebih besar dari lekuk lekuk tersebut kerana anda akan mencipta masalah lebih besar di masa akan datang.

Roller padang bola

Pendek kata, gelek/roll tu boleh, tapi jika anda perlu gelek berkali kali atau anda rasa perlu menggunakan roller yang besar baru boleh menjalankan tugas gelek yang betul, maka masalah tidak rata padang anda sebenarnya hanya boleh dibaiki dengan cara lain seperti topdressing atau mencari kawasan yang berlekuk dan membaikinya.

Ada tiga isu akan timbul bila anda menggunakan penggelek berat. Saya definasikan penggelek berat sebagi lebih dari satu tan.

  1. Mengwujudkan mampatan
  2. Menjadikan kawasan keras tinggi dan kawasan lembut rendah.
  3. Ketagihan.

Mengwujudkan mampatan

Penggelekkan memampatkan tanah. Tanah terdiri dari ketul ketul atau butiran butiran kecil yang mempunyai ruang diantara meeka. Tiap kali kita gelek, kita akan merapatkan ruang diantara butir/ketulan tadi. Ruangan menjadi semakin kecil dan mungkin hilang terus sedangkan ruangan ini adalah penting untuk pergerakan udara dan air. Tanpa ruangan ini, akar akan mati, air akan bertakung dan ekologi tanah akan terhenti.

Ini diburukkan jika padang anda dibina atas ‘topsoil’. Topsoil akan terdiri dari butiran pelbagai saiz, malah selalunya topsoil adalah tanah liat yang terdiri dari saiz halus yang mempunyai ruangan kecil diantara satu sama lain. Berbeza dengan padang atas pasir yang lebih tahan kepada mampatan.

Menjadikan kawasan keras tinggi dan kawasan lembut rendah

Padang anda, terutamanya jika dibina atas ‘topsoil’ yang diambil dari beberapa sumber berbeza akan mempunyai kekerasan dan kelembutan yang berbeza.

Menggunakan penggelek berat akan menyebabkan bahagian lembut mendap dan bahagian keras timbul (sebenarnya bahagian keras kekal pada ketinggian sama tapi ia akan nampak timbul bila bahagian lembut turun).

Jika anda hairan kenapa lepas anda menggelek, makin pulak padang anda beralun (walaupun tidak berlekuk lagi) ini disebabkan oleh pengglek berat atau penggelek ringan dibuat berulang ulang kali.

Ketagihan

Ada padang bola yang potong dua minggu sekali tetapi roll hampir setiap hari. Ada padang golf yang pada pengurusnya, untuk memuaskan pemain dan mendapatkan green yang laju, kita mesti roll, roll dan roll. Dan oh… di tambah juga dengan menurunkan ketinggian pemotongan.

Bayangkan padang bola yang digunakan oleh pasukan profesional yang mempunyai beberapa jurulatih dan ada jurulatih yang merasakan ‘gelek’ ialah jawapan kepada semua persoalan, penyelesaian kepada semua masalah. Ini kisah benar, saya sampai parkir roller besar tepi padang, supaya memberi tanggapan bahawa baru saja lepas roll; tak payah tanya lagi.

Elakkan dari menggelek berlebihan; samada dari segi kekerapan ataupun dari segi beratnya peralatan. Ramai orang risau dan mendakwa jika demonstrasi atau perhimpunan diadakan di stadium atau padang, ini boleh merosakkan padang. Sebenarnya, walau ada 25 orang atau 2,500 orang atau 7,000 orang dan purata berat setiap orang ialah 60kg, berat setiap orang tidak bersifat kumulatif asalkan mereka tidak berada atas platform berkaki. Setiap 60kg tersebar atas dua kaki setiap orang. Berbeza dengan mesin gelek seberat 1 tan. Semua 1,000kg akan tersebar atas permukaan roller hadapan selebar 3 kaki dan senipis 2 inci yang berada dipermukaan selain atas tayar belakang yang menolak roller.

roller green

Elakkan dari keterlaluan menggelek padang. Di padang golf, saya cadangkan gelek hanya seminggu sekali. Malah saya cadangkan penjaga padang golf mengenali kelajuan semua 18 green dan tumpukan gelekkan kepada green yang slow sahaja. Dipadang bola, saya roll hanya bila perlu sahaja. Tapi saya ada seorang pekerja di padang saya yang menggelek seminggu sekali dan saya lihat tiada masalah pada padang (tapi saya lakukan pengudaraan tanah setahun dua kali).

Malaysia hanya ada satu Raja Gelek iaitu Datuk M. Daud Kilau. Ramai orang mahukan gelaran sama. Jangan jadi jadi salah seorang dari mereka.

Posted in Fields, Golf Course, Padang, Padang Bola, Padang Golf, stadium | Tagged: , , , | 9 Comments »

Buat Line

Posted by mynormas on March 16, 2017

Saya selalu mengambil mudah tentang pembuatan garisan di padang bola sepak. Hinggalah pada suatu minggu saya diberitahu bahawa padang di bawah jagaan saya akan dijadikan venue pertandingan bertaraf kebangsaan. Sekarang, ia adalah padang latihan maka kawasan depan gol adalah kawasan yang amat rosak.

Saya tahu apa yang perlu berlaku ialah saya perlu pindahkan gol supaya kawasan yang rosak (walaupun telah dibaiki) tidak lagi berada di depan gol; ertinya saya perlu pindahkan padang ke kiri atau ke kanan atau ke depan/belakang supaya penjaga gol dan penyerang tidak bergomol di atas kawasan rumput yang baru ditanam semula.

Walaupun saya bernasib baik padang itu tidak dikelilingi balapan, saya tidak bernasib baik kerana bucu kawasan berumput telah diambil untuk membuat bangunan tandas maka kawasan berumput tidak lagi berbentuk segiempat tepat. Manakala di sebelahsana pula, sebesar 1 meter telah diambil untuk membina pagar untuk menghalang bola keluar, jadi kawasan yang ada untuk saya gunakan hanyalah beberapa meter sahaja jika diambil kira ruang untuk penyepak sudut dan melontar ke dalam. Soalan saya ialah; besar mana padang yang diperlukan oleh pertandingan? Berapa jarak dari pinggir yang dibenarkan?

Abd Rashid bin Ayob

Di sinilah wira posting ini masuk; En. Abdul Rashid bin Ayob, umur 56 tahun dengan pengalaman 30 tahun dalam bidang membuat garisan padang bola sepak, hoki, ragbi, takraw dan sebagainya tapi pingpong tak termasuk. Walaupun saya boleh rujuk di internet dan tahu bahawa walaupun antara padang paling besar ialah kepunyaan Hull City (114m x 74m) dan antara paling kecil ialah Stoke City (100 x 64m) dan EPL telah cuba untuk mencadangkan saiz 100.58m x 64.01m sebagai suatu piawai, saiz padang bola untuk kegunaan liga di Malaysia sukar di cari. Mujur ada Pak Rashid sebagai rujukan saya.

Dengan bantuan Pak Rashid kami berjaya mengalih padang dua meter ke kanan dan mengecilkan 0.6m ke dalam (untuk mengelakkan penjaga gol berdiri di atas bekas tiang lama).

Masalahnya, pada hari perlawanan – yang akan bermula pada pukul 4.45 petang, saya ada padang baru TANPA garisan! Komisioner Perlawanan atau Games Commissioner akan memeriksa padang sekali lagi pada pukul 3.00 petang!

Pak Rashid tenang, dia tidak terburu-buru, apatah lagi kalut.

Tarik Pak Rashid; tarik!!!

Dia memulakan membuat garisan selepas gol baru di tanam dan menjadikan titik tengah diantara dua tiang itu sebagai titik permulaan dan dengan berhati-hati memulakan kerja dengan menarik tali sepanjang tepi padang baru dan menggunakan dua besi mempastikan tali tersebut tegang dan lurus. Saya betul tak sangka betapa susahnya untuk menarik tali sepanjang 110 meter yang tebal dan berat di atas padang yang berpermukaan rumput.

Dia kemudian memulakan membuat garisan menggunakan alat pembuat garisan yang diisi dengan cat berasaskan air. Siap saja garisan itu, saya menarik nafas lega, tapi tidak Pak Rashid, dia tidak berpuas hati.

“Tak lurus” katanya.

Silap 0.5 inci; sorang padam, sorang buat baru.

Saya perhatikan betul-betul, garisan luar cat itu berada lebih kurang 0.0125m di luar tali. Hendak saja saya kata “Relax lah Pak Rashid, dah suntuk masa, tak kan ada orang perasan besar tu” tetapi saya tak berani. Pak Rashid mengarahkan pembantunya, Abang Azam menggunakan sebuah mop basah, mencuci garisan di luar tali dan dia mula cat semula garisan tadi.

Habis garisan itu, dia memulakan garisan gol disebelah sana dan kami tanam gol sana pula. Masa sudah pukul 12.00 tengahari dan matahari panas. Pak Rashid tidak berhenti untuk makan. Malah, dia tidak berhenti ketika hujan juga!

Di satu lagi padang saya di Johor, saya ada masalah garisan kotak penalti di sebelah sini tidak selari dengan garisan kotak penalti sebelah sana dan saya tak pasti bagaimana untuk meluruskan nya kerana ukuran semua sama tapi di pandangan mata; tidak selari. Sehari bersama Pak Rashid, saya sudah nampak penyelesaiannya; tarik tali dari hujung padang sini ke hujung padang sana, tanda ukuran yang kita mahu di kedua dua hujung dan cat di pinggir tali hingga ke tanda kita tadi. Nah! Dua garisan lurus selari untuk dua kotak penalti.

Kami siap garisan pada 2.50 petang dan Game Commissioner yang memerhatikan kerja kami dari tadi, memeriksa padang dan mempersetujui ia boleh digunakan. Lega.

Terima kasih Pak Rashid (dan Abang Azam, dan Din dan Pak Ali juga).

Malangnya; main hanya 39 minit, hujan lebat telah menyebabkan referee menangguhkan permainan.

Rujukan:

http://www.thefa.com/football-rules-governance/lawsandrules/laws/football-11-11/law-1—the-field-of-play

Are All Football Pitches The Same Size?

Posted in Fields, Padang, Padang Bola, stadium | Tagged: , , , , , | 18 Comments »

Potong rumput

Posted by mynormas on February 7, 2017

“Saya sangka potong rumput itu hanya sekadar ambil mesin dan potong! Rupanya ada kiraan dan ukuran juga” kata penjaga padang kepada saya sewaktu saya sedang menggunakan kalkulator, alat ukur dan kertas untuk mengira dan mengukur luas padang, lebar pisau dan ketinggian rumput di padang sebuah stadium baru di Kuala Lumpur baru-baru ini. Saya sedang mengira lebar potongan yang optima supaya kerja memotong tidak membazir waktu tetapi dimasa sama, menghasilkan belang yang tidak terlalu kecil/besar yang dikehendaki oleh orang yang mengupah saya.

Pengukuran padang sebelum menanda tempat potong.

Pengukuran padang sebelum menanda tempat potong.

Kenyataan di atas adalah pendapat tipikal tentang penjagaan padang rumput di Malaysia. ‘Jaga padang = potong rumput’. Maka kontrak menjaga padang berkisar kepada jumlah potongan sebulan – selalunya satu atau dua kali sahaja tanpa mempedulikan jenis rumput, kecepatan pertumbuhan rumput dan ketinggian potongan. Oleh itu kontrak yang di beri adalah kecil dan tidak berbaloi untuk terlalu banyak fikir atau mesin yang betul. Profesionalisma, kita buang luar tingkap.

Lepas tu, tuan punya padang akan tanya “Kenapa padang saya tidak rata?” atau “Bagaimana nak dapat padang kering?” atau “Kenapa tak boleh buat belang di padang saya macam di Wembley/Larkin?” dan sebagainya. Jawapan saya ialah: kerana kontrak/bajet/sokongan/upah yang diberi hanyalah untuk menjadikan rumput yang panjangnya 75mm kepada 25mm atau lebih rendah satu atau dua kali sebulan.

Bagaimanapun, memotong rumput terdapat cara, teknik dan mesin tertentu. Dalam artikel ini yang insya Allah akan termasuk dalam buku yang sedang saya tulis, saya akan bincangkan secara ringkas tentang jenis-jenis pisau yang digunakan untuk memotong rumput. Saya masih lagi mencari terjemahan terbaik untuk perkataan teknikal tetapi menyamai perkataan harian seperti ‘rotary’ atau ‘flail’ dan seumpamanya. Jika tuan/puan, mempunyai cadangan, hubunig saya atau komen di bawah.

Terdapat tiga jenis pisau digunakan untuk memotong rumput:

  1. Rotary
  2. Reel
  3. Flail

Kedua dua reel dan flail kadang-kadang dimasukkan dalam kategori pisau berbentuk silinder dan kadang-kadang pisau rotary dan flail dimasukkan dalam kategori pisau memotong dengan cara impak atau hentaman. Semuanya bergantung kepada bagaimana kita ingin mengkategorikannya.

Pisau rotary

Pisau jenis rotary adalah umpama pisau yang memusing pada arah mendatar dan memotong rumput secara impak dengan logam, selalunya besi yang diasah; kadang-kadang tali nylon juga digunakan untuk kawasan yang berhampiran dengan batu, bangunan, hiasan dan sebagainya yang mampu merosakkan atau dirosakkan oleh pisau logam. Malangnya zaman sekarang pisau rotary menggunakan tali nylon digunakan sewenang-wenangnya oleh pengguna mesin sandang walaupun di tengah padang. Tali nylon adalah tumpul dan bekas potongannya adalah mencederakan rumput. Oleh kerana tali nylon dicipta untuk putus bila terkena benda keras, tali nylon senang putus dan menyebabkan menganggar ketinggian potongan sukar maka pengguna akan tenyeh tali ke tanah; memotong daun, batang dan juga akar.

Tali nylon sebuah brush-cutter

Tali nylon sebuah brush-cutter

Kemajuan teknologi telah menjadikan pemotong rumput jenis rotary lebih canggih dan telah diberi nafas baru. Diantaranya ialah:

  1. Mulching deck

Pisau rotary dengan bentuk khas yang akan menyebabkan rumput yang telah dipotong naik ke atas dalam kotak pisau dan akan jatuh untuk dipotong sekali lagi. Ini menghasilkan sisa potongan yang lebih halus, mudah masuk di celah-celah rumput dan bila mereput, akan menjadi nutrisi untuk rumput.

  1. Fine-cut rotary

Pisau yang mempunyai radius pendek dan rekabentuk tertentu yang memberi potongan yang lebih baik; pisau ini boleh digunakan untuk memotong pada ketinggian yang lebih rendah dari pisau rotary biasa.

  1. Sistem transmisi hidraulik.

Biasanya pemotong jenis rotary akan diputar oleh enjin melalui sistem gear dan aci (shaft) yang bising dan mudah rosak; kini beberapa mesin pemotong telah menggunakan sistem hidraulik untuk memutarkan pisau rotary

 

Pisau Reel

Pisau reel terdiri daripada dua bahagian penting; reel dan bedknife. Reel akan berputar sementara bedknife akan kekal di satu posisi dan akan menentukan ketinggian potongan.

Lima besi yang anda boleh lihat tu ialah reel. Ia akan bersentuh dengan bedknife di bawah.

Lima besi yang anda boleh lihat tu ialah reel. Ia akan bersentuh dengan bedknife di bawah.

Ia memotong dengan konsep gunting kerana ia merupakan dua permukaan yang bertemu dan bergeser dengan rumput di tengahnya, sama seperti gunting memotong kertas.

Reel mempunyai bilah yang perlu di asah secara backlapping ataupun grinding. Lebih banyak bilah pada sebuah reel, lebih cantik potongannya tetapi lebih banyak tenaga yang diperlukan oleh sistem hidraulik untuk memutar reel tersebut. Biasanya pisau yang digunakan untuk memotong rough akan memerlukan lima bilah pada reel dan untuk memotong green, diantara 11 hingga 16 bilah pada reel.

Jika anda perlu tahu bagaimana sebuah reel mower memotong, anda perlu lihat video ini selama 2 minit pun dah cukup.

Pemotong Flail

Pemotong jenis flail juga digolongkan sebagai pemotong silinder (cylinder mower) dan secara asasnya ialah kepingan besi kecil yang dipusing secara laju untuk memotong rumput melalui impak pukulan besi tajam.

Ia direka supaya kepingan besi tersebut berhayun secara bebas mengikut arah putaran silinder. Oleh kerana ia berhayun bebas, ia tidak rosak (selalunya) jika terkena benda-benda keras yang tersembunyi di rumput panjang contohnya akar pokok, bola golf (jika memotong di lapang sasar golf) dan tidak menghantar hentakan balik ke mesin melalui sistem transmisi seperti kebanyakan pisau rotary yang menggunakan gear power take off dan bukan sistem hidraulik.

Maka, jika anda mempunyai laman rumah sendiri dan ingin memotong rumput anda sendiri, cari mesin reel yang memotong menggunakan kuasa tolakan. Jika laman rumah anda besar, gunakan mesin rotary elektrik. Elakkan petrol kerana anda akan ada kos menjaga enjin seperti minyak, service dan sebagainya. Jika anda contractor padang, cuba cari flail ataupun rotary yang bersifat mulching kerana sampah akan kurang dan mudah menjaga berbanding reel mower.

NOTA:

Saya menawarkan khidmat kontrak pemotongan. Jika padang anda memerlukan khidmat pemotongan rumput yang profesional, sila hubungi saya di 03-5131 0066 dan biarkan ia berdering lama sehingga masuk voicemail. Ambil perhatian bahawa khidmat saya profesional dan kerana saya tidak menggunakan buruh asing; ia bukan murah. Jika bajet anda kecil, sila jangan buang masa masing masing.

Besi flail yang diguna untuk memotong rumput

Besi flail yang diguna untuk memotong rumput

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Fields, Padang, Padang Bola, stadium, Taman | Tagged: , , , | 7 Comments »

Pengudaraan Padang

Posted by mynormas on December 8, 2016

Kita lihat sebuah padang sebagai suatu tanah lapang yang ditumbuhi rumput. Tetapi tahukah anda di dalam tanah terdapat suatu ekosistem nya sendiri yang terdiri dari akar tumbuhan, kulat, bakteria, nematod dan pelbagai mikroflora dan fauna yang wujud. Satu kaki persegi tanah boleh ada berbilion mikroorganisma yang mempunyai fungsi masing-masing; ada yang merungkai bahan organik atau baja kepada bentuk nutrien yang boleh di ambil oleh tumbuhan ataupun mereputkan tumbuhan atau organisma yang telah mati.

Mikroorganisma dalam ekosistem ini bersifat aerobik iaitu ia perlukan oksigen untuk hidup. Oksigen wujud dalam tanah di ruang di antara ketulan atau butiran tanah tersebut. Ini di sebut sebagai ‘pore space‘. Terdapat lebih banyak ruang bila butiran itu besar (contohnya bila tanah itu terdiri dari peratusan pasir yang tinggi).

Di dalam situasi padang rumput, pemain atau pengguna yang menghentak atau memijak dan jentera penyelenggaraan yang berat akan menghempap tanah dan menjadikan ruang di antara ketulan itu mengecil atau rapat dan ini mengurangkan oksigen yang boleh di dapati oleh bukan sahaja mikroorganisma tanah, tetapi juga akar rumput.

Ruang di antara ketulan/butiran tanah sebelum dan selepas mampatan.

Ruang di antara ketulan/butiran tanah sebelum dan selepas mampatan.

Selain dari itu, ruang ini juga adalah laluan untuk air mengalir.

Hasil yang kita dapat lihat ialah kawasan yang mati, air yang bertakung dan akar yang pendek. Ini menyebabkan rumput mudah tercabut bila di sepak atau di bawah stud pemain. Adakah itu masalah padang anda?

Penyakit tidak menyerang dalam garis lurus. Ini adalah kesan mampatan.

Penyakit tidak menyerang dalam garis lurus. Ini adalah kesan mampatan.

Kesan mampatan.

Kesan mampatan. Kawasan hadapan gol adalah antara kawasan tinggi trafik.

Jadi apakah tindakan selanjutnya? Kita kurangkan mampatan  dengan cara melakukan pengudaraan tanah. Kita bantu udara untuk masuk ke dalam tanah.

Pengudaraan tanah adalah salah satu dari amalan kultura yang saya ibaratkan sebagai senaman dalam konteks kesihatan rumput. Perlu kan orang putih cakap baru bos nak percaya? Kita lihat video ini…

Hubungi saya untuk kontrak pengudaraan padang ‘hollow-tine’ atau ‘solid-tine’ dan/atau topdressing.

Berapakah kekerapan pengudaraan tanah? Ia bergantung pada penggunaan padang, jenis tanah dan sistem saliran. Tetapi umumnya saya cadangkan setahun sekali. Sebaik-baiknya setahun dua kali. Jika ia di lakukan selalu dan padang dalam keadaan sihat, padang akan pulih dalam masa dua hingga tiga minggu.

Apa yang kita buat dengan sampah core tersebut? Jika ia tidak bermasalah (tiada black layer atau tanah liat) ia boleh di gunakan semula seperti dalam video di atas. JIka ia bermasalah, kita perlu buang semuanya dan gantikan dengan pasir baru.

Sehubungan itu, terdapat satu jenis lagi pengudaraan yang tidak mengeluarkan sampah, mempunyai lubang yang kecil dan mampu masuk lebih dalam. Tetapi ini perlu di lakkan lebih kerap berbanding dengan pengudaraan yang mengeluarkan core. Padang lebih cepat boleh digunakan. Lakukan pengudaraan ini tiga hingga empat kali setahun.

Jika anda seorang contractor padang, saya cadangkan anda beli sebuah mesin pengudaraan berbentuk slicer yang lebih mudah di gunakan tetapi perlu di lakukan pengudaraan hingga 10 kali setahun kerana ia membuat lubang yang halus dan padang boleh di gunakan hampir serta merta. Ini adalah satu contoh pengudaraan tanah secara solid tine, iaitu memasukkan suatu besi ke dalam tanah untuk membuat lubang kecil. Oleh kerana ia lubang kecil, ia perlu di buat selalu dan tidak sesuai jika terdapat masalah tanah.

Saya menyeru kepada pembaca yang bertanggungjawab ke atas padang supaya memasukkan spesifikasi pengudaraan tanah ke dalam kontrak yang akan datang; “Melakukan pengudaraan tanah secara hollow-tine pada kedalaman di antara tiga hingga empat inci dengan besar lubang 12mm (setengah inci) sekurang-kurang nya satu kali satu tahun, di ikuti dengan pengudaraan secara solid tine pada kedalaman satu atau dua inci  sekurang-kurangnya dua kali setahun. Ketiga-tiga aktiviti pengudaraan mesti di jadualkan supaya ia memberi manfaat kepada rumput tanpa mudarat kepada pengguna padang”

Hubungi saya untuk khidmat nasihat pengudaraan padang dan sewa mesin. Hantar email ke mynormasATconsultant.com sekarang. Tahun 2017 akan menyaksikan perubahan harga dalam kerja kerja pengudaraan tanah yang saya lakukan.

Posted in Padang, Padang Bola, stadium | Tagged: , , , , | 3 Comments »

Racun Apa?

Posted by mynormas on June 27, 2016

Racun makhluk perosak adalah suatu bahan yang selalu kita gunakan samada sebagai penjaga rumput, landskap, halaman, padang ataupun orang biasa. Racun semut atau nyamuk yang kita sembur pada waktu petang untuk menghalau atau membunuh nyamuk adalah contoh racun makhluk perosak. Bahkan lingkaran ubat nyamuk yang kita bakar supaya kita boleh tidur lena juga adalah racun makhluk perosak atau pesticide walaupun kita panggil ia ‘ubat nyamuk’, namun ia bukanlah apa yang kita beri pada nyamuk yang sedang sakit tapi kita beri supaya nyamuk sakit atau lebih baik lagi; mati.

Saya merasa pelik bila saya menerima message dalam group WhatsApp bahawa seorang rakan yang menghadiri taklimat dari pegawai kesihatan tentang Denggi memberitahu bahawa pegawai tersebut mencadangkan penukaran racun supaya nyamuk tidak lali jika hanya satu racun di gunakan. Hmm… bagaimana jika semua racun itu berlainan nama dagangan (Baygon, Ridsect, Fumakilla dsb) tetapi mempunyai bahan aktif yang sama?

Dan ini yang berlaku pada saya minggu lepas;

Lokasi: sebuah pekan kecil di selatan semenanjung Malaysia

Misi: mencari racun rumpai berdaun lebar untuk membunuh semalu untuk padang bola seorang client. Saya telah pergi ke tiga buah kedai; dua kedai hardware yang menjual racun dan juga satu nursery pokok hiasan.

Perbualan:

Saya: “Hai, ada jual racun rumput?”

Pekedai: “Ada, kami ada dua jenis. Yang satu ialah Round-up dan satu lagi yang ini…” (Betul, kebetulan ketiga-tiga kedai pun tunjuk dua racun, kecuali salah satu kedai lagi tunjuk satu jenis racun tambahan tapi di label sebagai baja kerana ia adalah racun yang di haramkan di Malaysia)

Saya: “Eh… tapi kedua-dua racun ni sama. Kedua-dua nya adalah glyphosate”

Pekedai: …(?)

Nama racun

Nama yang biasa kita kenali suatu racun ialah nama dagangan. Terdapat satu lagi jenis nama yang kebanyakan racun di kenali iaitu nama biasa atau common name. Nama biasa lazimnya adalah nama pendek kepada racun itu dan biasanya adalah kependekan daripada nama bahan aktif. yang lebih rumit dan panjang…

Kadang-kadang, nama biasa juga adalah nama generic yang digunakan secara umum oleh pengguna sama seperti mee segera dari pelbagai jenama adalah di panggil sebagai ‘Maggi’ dan ubat gigi dari pelbagai jenama semua di panggil ‘Colgate’.

sample of glyphosate

Contoh racun yang mempunyai bahan aktif glyphosate.

Bahan aktif

Apa yang membuat satu racun itu efektif ialah bahan aktif nya. Bahan aktif ialah bahan kimia di dalam racun herba (atau herbicide dalam konteks artikel ini) yang membunuh atau mencederakan rumpai (dan kadang-kadang…rumput!). Bahan aktif hanyalah sebahagian kecil dari keseluruhan racun, yang lain selalunya adalah apa yang kita panggil sebagai bahan lengai.

Semua racun yang di jual di Malaysia dan telah di sahkan oleh Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP atau Pesticide Board) akan mempunyai label yang di mestikan mempunyai nama bahan aktif dan kepekatannya dalam racun tersebut. Ya, walaupun racun serangga di rumah.

active ingredient label samples

Label contoh racun disebut di atas mempunyai bahan aktif glyphosate.

Racun rumput

Bila kita pergi ke kedai dan meminta racun rumput; kita akan di tunjukkan -biasanya- kepada racun jenama Roundup dan beberapa racun lagi. Saya pasti jika and perhatikan betul betul, racun lain itu juga akan mempunyai bahan aktif yang sama dengan Roundup iaitu glyphosate.

Glyphosate

Roundup ialah jenama sejenis racun rumpai popular yang di temui oleh seorang ahli kimia dari syarikat Monsanto yang bernama John E. Franz pada tahun 1970 .

glyphosate derivatives

glyphosate

Pada tahun 2000 bila berakhirnya tarikh hakcipta untuk glyphosate maka banyak lah syarikat pengeluar racun yang mengeluarkan racun berasaskan bahan aktif glyphosate di bawah pelbagai jenama. Malangnya kerana populariti Roundup ataupun kerana kurangnya daya kreativiti, banyak racun ini yang menggunakan ‘up’ di belakang nama (kecuali Seven-Up; iaitu sejenis minuman ringan)

Dengan pengetahuan kimia yang berkembang, glyphosate juga telah di kembangkan kepada pelbagai bentuk dan formulasi. Sebahagiannya di jual sebelum berakhirnya hakcipta Monsanto ke atas glyphosate lagi, mungkin kerana ia di jual dengan nama bahan aktif yang berbeza formulasinya. Contohnya (cuba baca kuat-kuat) glyphosate-diammonium, glyphosate-dimethylammonium, glyphosate-isopropylammonium, glyphosate-monoammonium, glyphosate-potassium, glyphosate-sesquisodium dan glyphosate-trimesium.

Namun begitu, apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah jika anda ingin membeli racun, jangan hanya dengar apa yang penjual beritahu anda tentang racun itu, tetapi lihat juga apakah bahan aktif dalam racun itu. Jangan beli dua jenama racun yang berbeza tetapi sebenarnya mempunyai satu bahan aktif yang sama.

Rujukan.

https://en.wikipedia.org/wiki/Glyphosate#Formulations_and_tradenames
http://prpm.dbp.gov.my/
http://roundup.ca/en/rounduphistory
http://npic.orst.edu/ingred/active.html
http://www.alanwood.net/pesticides/glyphosate.html

Posted in Fields, Golf Course, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium, Taman | Tagged: , , , , , , , , , | 1 Comment »

Rehabilitasi Padang

Posted by mynormas on May 30, 2016

Akhir tahun lepas saya bercerita tentang pengalaman saya mengrehabilitasi padang yang basah sebelum sebuah pertandingan. Awal tahun ini saya telah di minta untuk mengrehabilitasi sebuah padang terbiar. Padang tersebut di katakan telah terbiar selama beberapa tahun.

Berjalan di atas padang itu untuk pertama kali, saya dapati.

  1. Tanahnya padat. Ini baik dan juga tidak baik. Baik untuk permainan tetapi juga bermakna air, di musim hujan nanti, akan tidak mengalir ke bawah.
  2. Ia di tumbuhi lalang yang banyak dan telah terbakar di beberapa tempat. Lalang yang tinggi akan menyebabkan rumput di bawah mati kerana tiada matahari.
  3. Rumpai semalu paling besar yang pernah saya lihat dalam hidup saya.
  4. Rumput yang tidak berpotong selama bertahun tahun.
  5. Tanah yang tidak rata.
  6. Kawasan yang kering dan botak.
  7. Pagar yang telah di penuhi dengan pokok segera seperti petai belalang dan creepers.
    Padang Chemor before
    Gambar padang pada 13 January 2016

Tanah yang padat itu – saya di beritahu oleh orang kampung kemudiannya – ialah kerana mereka telah menggunakan sebuah steamroll untuk meratakan padang bila mereka mahu menggunakannya (Nota: Jangan, jangan, jangan guna steamroll besar utk meratakan padang, anda akan hilangkan ‘camber’ padang serta tanah keras akan timbul dan tanah lembut akan tenggelam: ya; tanah tak sama kekerasannya terutamanya jika anda penggemar TOPSOIL!)

Dengan belanjawan yang terhad dan masa yang singkat, apa yang perlu saya buat ialah:

  1. Melembutkan padang
  2. Membunuh lalang dan semalu.
  3. Memotong rumput berulang kali dan menurunkan ketinggian perlahan lahan
  4. Meratakan padang dengan melakukan hias atas berkali kali.
  5. Membunuh rumpai di pagar.
  6. Menanam semula kawasan yang botak.

Untuk melembutkan tanah, saya perlu lakukan pengudaraan padang. Tetapi lama sebelum itu, saya perlu selesaikan masalah rumpai di padang. Adalah mudah untuk saya menyewa sebuat traktor untuk potong sahaja lalang dan semalu tetapi saya tahu mereka akan balik semula tak lama selepas itu, jadi saya perlu meracun mereka tanpa menjejas rumput padang di bawah lalang dan semalu. Saya tahu untuk meracun lalang saya hanya perlu guna sebarang jenama glyphosate tetapi untuk semalu? Sedikit penyelidikan di Google dan saya dapati racun dengan bahan aktif triclopyr adalah efektif (ejaan mungkin silap, sila selidik sendiri).

Setelah saya racun dengan cara melayangkan penyembur di atas rumpai yang berkaitan dua hari kemudian saya mulakan proses pemotongan. Dan potong dan potong dan potong. Saya tidak dapat potong sekali gus kerana A. Saya takde tempat nak buang sampah rumput dan B. Jika saya potong rumput padang itu pada kerendahan yang terlalu drastik, maka rumput boleh mati. Hampir lima lori sampah akhirnya di keluarkan.

potong padang c
Potong, potong, potong dan potong, dari siang ke malam; dari padang hijau ke kuning.

DSC_0267

Kemudian saya lakukan pengudaraan tanah dengan cara hollow-tine. Menggunakan mesin kecil, hampir merosakkan mesin tersebut kerana kekerasan padang.DSC_0283

Selepas itu saya lakukan hias-atas sebanyak dua kali untuk cuba meratakan padang tanpa menggunakan steamroll.

Terkejutnya saya bila saya dapati ada masalah baru pula: iaitu semut merah yang mempunyai sarang di merata-rata tempat di atas padang. Kini saya terpaksa meracun semut itu pula. Ini senang; saya banjirkan sarangnya supaya permaisuri nya mati atau lari. Saya biarkan askar atau pekerja semut yang berkeliaran di atas tanah; tanpa permaisuri atau sarang, mereka akan mati sendiri tanpa pengganti.

Seterusnya saya lakukan pembajaan. Masalahnya ialah saya tiada sumber air untuk menyiram padang tersebut. Setiap hari saya tunggu hujan. Hujan tiada, dan rumput mulai layu.

Suatu hari, kami terdengar guruh, kami bergegas ke padang dan tabur baja, tapi tiada hujan. Ini berulang sekali lagi. “Tak per, baja tu duduk dalam tanah tunggu hujan” bohong saya pada partner saya Aman bin Yeop dan Bakri bin Zainal.  Sebenarnya, baja tersebut akan hilang sebagai wap sahaja.

En. Aman akhirnya mengambil keputusan untuk membawa pam air kecil dan beberapa sprinkler dan menggunakan sumber air yang berdekatan, kami telah menyiram padang untuk mengelakkan rumput dari menjadi dormant. Untuk siram keseluruhan padang dengan sprinkler boleh-ubah mengambil masa hampir satu hari suntuk.

Kami bernasib baik kerana tuan padang yang juga susah hati tentang keadaaan padang telah mengambil keputusan untuk memasang sprinkler. Malangnya tukang paip yang di pilih tiada pengalaman padang; sprinkler yang di bawanya hanya boleh menyembur air sejauh 4 meter sedang kan lebar padang adalah 64 meter. Tuan padang tidak membenarkan sprinkler di atas padang, suatu keputusan yang saya setujui. Nasib baik En. Aman ada supply sprinkler padang golf yang mampu menyembur hingga 20 meter. Nasib baik juga tukang paip ini jenis yang befikiran terbuka dan mahu mendengar nasihat, beliau telah memasang sprinkler yang ada dan juga menambah beberapa paip kosong untuk kami gunakan untuk menyiram tengah padang.

temporary sprinkler (2)

Penyiraman air menggunakan sprinkler boleh-ubah

Kami siram. Kami baja. Kami potong. Tetapi cuaca yang kering tidak membantu. Padang nampak macam kering. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menambah dengan Agen pembasah untuk membantu air siraman masuk ke bawah tanah. Mungkin tanah ini adalah tanah hydrophobic?

Masa itu, alhamduliLlah, keadaan menjadi bertambah baik, rumput mula bertukar menjadi hijau dan cuaca juga semakin baik.

Padang Chemor after
Gambar padang selepas empat bulan.

Maka makin ramai lah pelawat yang berminat ke padang itu dan tidak juga kurang ‘pakar-pakar’ lain yang berkata “Eleh, aku pun boleh buat!”

Berikut adalah gambar ‘time lapse’ tepi gol untuk anda lihat perkembangan dari masa ke semasa perubahan padang.

Time lapse pictures

Gambar dari satu sudut padang

 

Posted in Padang, Padang Bola, stadium | Tagged: , , | 9 Comments »

Tanah hydrophobia

Posted by mynormas on April 13, 2016

“Tanah hydrophobia” ialah cadangan terjemahan yang saya dapat dari PRPM milik Dewan Bahasa dan Pustaka bila saya tanya tentang ‘hydrophobic soil’ iaitu tanah yang takut atau anti air. Pernah kah anda menyiram pada halaman atau padang anda dengan air yang cukup banyak tetapi ia masih lagi kering? Orang tuduh anda tidak siram sedangkan anda siram? Mungkin tanah anda adalah tanah hydrophobia; ia tidak telap air (terjemahan water repellent juga dari PRPM DBP) maka natijah dari penyiraman anda ialah rumput tetap kering tapi lumut mula naik. Atau mungkin anda pernah alami penyiraman yang air tidak meresap ke dalam tanah tetapi mengalir di atas permukaan sahaja?

“Sifat hydrophobia tanah boleh melewatkan penyerapan air ke dalam tanah untuk jangkamasa dari beberapa saat hinggalah ke berminggu minggu. Tanah hydrophobia di katakan di sebabkan utamanya dari salutan molekul organik ke atas partikel tanah. Molekul organik ini mungkin datang dari tumbuhan, bahan reput, hidupan atau mikro-organisma bawah tanah atau jika selepas tanah terbakar. Sifat hydrophobia berubah ubah, menyebabkan ia sukar di ramal dan di perhati. Ia boleh di lihat selepas waktu kemarau yang panjang dan hilang bila musim hujan bermula” Perenggan di atas di petik dari sebuah artikel dari Jabatan Geografi, Swansea University.

Bagaimana boleh kita atasi sifat hydrophobia ini? Kita boleh guna cara mekanikal iaitu dengan menggunakan benda tajam untuk menebuk permukaan tanah itu seperti cara Pengudaraan Halaman atau Pengudaraan Padang.

Satu cara lagi ialah dengan menggunakan Agen Pembasah, yang tiada kena mengena dengan agen pembelasah seperti James Bond, Jason Bourne, Jack Bauer, Jack Bristow, Justin Bieber dan sebagainya.

Apa itu Agen Pembasah atau wetting agent? (Kita bincang tengan agen pembelasah dengan nama initial JB di lain tempat). Agen pembasah ialah bahan sebatian yang membantu air untuk melawan sifat tanah yang hydrophobia. Tapi awas! Bukan semua wetting agent adalah sama.Kalau silap sembur, rumput boleh mati, seperti kawan saya seorang ni

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang wetting agent, sila lah ke seminar yang PERCUMA jika anda ahli GCSAM, RM50 jika anda adalah affiliate MGA (Malaysian Golf Association) dan hanya RM100 jika anda bukan ahli di Bukit Jalil Golf and CC pada 9.00 pagi 19 April. Tempat adalah terhad jadi hubungi GCSAM di nombor yang tertera di bawah.

Posted in Fields, Golf Course, Golf Course Superintendents, Landscape, Padang, Padang Bola, Padang Golf, stadium, Taman | Tagged: , , , , , , | 1 Comment »

Penyiraman

Posted by mynormas on March 21, 2016

Dalam beberapa hari ini (minggu ke tiga Mac 2016) kita akan menjaga rumput melalui dua fenomena cuaca panas yang kebetulan berlaku serentak iaitu ekuinoks dan juga El Nino. Saya biasa tengok rumput yang di siram hingga lecak tetapi mati kekeringan akibat kesilapan penyiraman. Di sini saya lampirkan nota tentang penyiraman rumput yang merupakan sebahagian dari penulisan yang akan menjadi bahagian dalam buku saya akan datang.

brown grasscrown grass diagramBila cuaca menjadi panas, kawasan rumput yang tidak mendapat siraman akan menunjukkan kesan stress dari kemarau dan kepanasan. Apa yang boleh di lihat pada waktu awal ialah kawasan yang bertukar warna kepada kehitaman di padang. Daun rumput akan berlipat dan kawasan yang di pijak akan menunjukkan kesan tapak kaki lebih lama. Ini semua di akibatkan oleh dehidrasi, iaitu bila tumbuhan tidak mempunyai kandungan air yang cukup di dalam sel nya. Seterusnya kebanyakan rumput yang tidak menerima air yang cukup akan menjadi dorman. Rumput dorman ialah rumput yang mempunyai daun yang mati tetapi akar tajuk (crown roots) yang masih hidup dan boleh bertahan selama tiga hingga empat minggu tanpa siraman.

Jika kemarau berlanjutan,  pada minggu ke tiga siram dengan banyak iaitu sehingga 12mm (0.5 inci) air untuk mengelakkan kematian akar tajuk atau crown roots. Akar tajuk adalah bahagian di mana kebanyakan pertumbuhan baru bermula.

Penyiraman rumput jangan di lakukan mengikut jadual tertentu, contohnya menyiram setiap hari, tetapi penyiraman mestilah di lakukan mengikut keperluan rumput. Menyiram rumput mengikut jadual akan menyebabkan pembaziran air dan akar rumput yang pendek kerana kebiasaan senang mendapat air. Selain itu, tanah yang lembab menyebabkan mudah mendapat penyakit dan juga lumut.

Belanja minum?

Derma untuk belanja saya dan memberi lebih tenaga supaya lebih kreatif!

5.00RM

Jenis siraman

Dalam konteks ini terdapat dua jenis siraman (tidak termasuk siraman untuk melarutkan baja atau mencairkan bekas minyak yang tumpah dsb)

  1. Siraman untuk menghidratkan rumput.
  2. Siraman untuk menyejukkan kanopi rumput.

 

Siraman Penghidratan

Secara ringkasnya ia adalah siraman yang biasa di lakukan untuk memberi air kepada rumput. Kuantiti air yang di perlukan oleh rumput di tentukan oleh jenis rumput, ketinggian potongan, tekanan dari penggunaan padang dan juga jenis tanah. Rumput yang di tanam di atas pasir kasar memerlukan jumlah air yang lebih banyak kerana pasir kasar tidak dapat memegang kuantiti air yang banyak berbanding dengan tanah yang mempunyai partikel halus seperti tanah liat.

Jumlah air yang di perlukan di ukur dengan membuat andaian jika air tersebut tidak meresap ke dalam tanah sebaliknya ia kekal di atas tanah, berapakah ketinggian air tersebut. Adalah penting bahawa air yang di siram rata ke atas semua permukaan rumput yang terlibat.

Umumnya rumput memerlukan lebih kurang 2.5 – 3.0mm air sehari ataupun 25 mm (satu inci) seminggu.cara siram as picture

Siraman penyejukan

Akar yang di gunakan untuk mengambil nutrien dan air ialah akar rerambut yang amat halus  iaitu di antara 15 – 17 micrometer diameter dan 80 – 1,500 micrometer panjang.  Akar rerambut adalah sensitif dan banyak terdapat di satu hingga dua inci teratas lapisan tanah. Suhu yang tinggi di lapisan ini akan merosakkan bukan sahaja akar rerambut tetapi juga akar biasa dan seterusnya menjejaskan keupayaan rumput mengambil air dan nutrien dari tanah.

Tujuan penyiraman ini adalah untuk menurunkan suhu kanopi dan juga lapisan atas bahagian tanah. Siraman penyejukan hanya mengambil masa satu persepuluh dari masa siraman penghidratan.

Teori yang mengatakan butir air yang berada di atas daun akan bersifat seperti kanta yang akan memfokuskan sinar matahari ketika panas terik untuk membakar daun adalah mitos, sebarang cahaya matahari yang cukup kuat untuk membakar daun akan mengeringkan butir air.

Waktu-waktu menyiram

Waktu yang terbaik untuk menyiram rumput untuk tujuan penghidratan ialah pada awal pagi kerana

  1. Tiada gangguan; ia merupakan masa sebelum padang di gunakan untuk aktiviti sukan atau riadah.
  2. Air tersimpan di dalam tanah untuk di ambil oleh rumput pada waktu ia di perlukan
  3. Rumput dan tanah berada dalam keadaan basah ketika cuaca semakin panas.
  4. Waktu awal pagi lazimnya mempunyai kurang angin yang akan meniup siraman air.

Penyiraman untuk penyejukan seharusnya di lakukan pada masa cuaca paling panas, contohnya pada tengahari dan awal petang. Elakkan dari menyiram lewat petang.

Menyiram di waktu petang bermaksud menyiram rumput yang sudah pun mengalami tekanan kerana ketiadaan air ataupun sudah dorman malah mungkin sudah pun mati dan juga menyebabkan tanah basah di waktu senja dan malam yang memudahkan kulat membiak dan menjangkit rumput yang stress tadi.

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Cara-cara menyiram.

Samada menggunakan sistem pengairan moden ataupun paip getah, adalah penting untuk mempastikan semua bahagian tanah menerima jumlah air yang sama rata. Ambil kira bahawa kawasan rumput yang berada di lereng bukit atau di kawasan curam akan mengalami keadaan air akan mengalir di permukaan untuk turun ke tempat rendah sebelum ia meresap. Maka rumput yang berada di lereng atau di tempat curam perlu di siram sedikit tetapi selalu. Contohnya, jika rumput di kawasan rata di siram selama 20 minit, rumput di lereng akan di siram 5 minit empat kali. Berhenti siram apabila air bertakung atau mengalir di permukaan lereng, kemudian ulang; berhenti siram bila air bertakung atau mengalir di permukaan lereng, ulang.water ponding during irrigation watering

‘Siram dengan banyak tetapi jarang-jarang’ adalah cara terbaik, ini akan mengajar rumput untuk mencari air dan tidak terlalu bergantung kepada siraman. Siram banyak akan mempastikan air masuk hingga ke bahagian bawah tanah sebagai simpanan. Berapa banyak dan berapa jarang bergantung kepada jenis tanah dan pemerhatian penjaga padang.

Untuk nota selanjutnya tentang isu lain dalam penyiraman seperti hydrophobicity, wetting agents, dormancy dan sebagainya; sila tunggu buku saya.

Rujukan:

http://www.turffiles.ncsu.edu/alerts/grasses/turfgrass-heat-and-drought-stress

http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=dormant

http://www.thelawninstitute.org/pages/education/lawn-maintenance/let-your-turfgrass-go-dormant/

http://www.petanihebat.com/2013/09/klasifikasi-dan-morfologi-tanaman-padi.html

http://buckeyeturf.osu.edu/index.php?option=com_content&view=article&id=1194&catid=1:latest-news&Itemid=170

https://en.wikipedia.org/wiki/Root_hair

 

Posted in Greens, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput halaman rumah, stadium, Taman | Tagged: , , , , , , , , , , | Leave a Comment »