Membawa masuk pekerja asing dengan permit sah adalah sukar dan akan menjadi bertambah mahal dimasa akan datang. Manakala di pentas tempatan pula, kenaikan gaji minima dan sikap pekerja tempatan yang memilih pekerjaan dan suka bertukar kerja menjadikan tugas mengisi jawatan kosong lebih susah.
Samada mahal untuk membawa masuk pekerja asing atau sukar untuk mendapat pekerja tempatan, industri penjagaan rumput Malaysia, walau padang golf, bola, permainan, taman, landskap bangunan dan sebagainya, perlu mengoptimumkan pekerja yang ada atau mengambil langkah supaya lebih banyak boleh dibuat oleh jumlah pekerja yang kurang.
Apa yang boleh kita buat untuk mengurangkan keperluan pekerja? Tentunya kita mesti menambah keberkesanan pekerja dan perkara pertama yang datang di minda ialah mekanisasi.
Memotong padang bola menggunakan mesin tolak boleh mengambil masa dua hari sedangkan menggunakan mesin pandu-atas atau ride-on hanya perlukan setengah hari. Di padang golf pula, dengan menggunakan triplex dan bukan walk-behind, kita boleh kurangkan dari enam orang kepada dua orang pekerja untuk potong green. Malah lebih ramai orang boleh dikurangkan jika kita guna penyembur boom dan bukan tong sembur galas belakang untuk menyembur kawasan besar. 
Adalah malang sekali, pada pendapat saya, kerajaan masih berkeras mengenakan import duti kepada mesin penjagaan rumput sedangkan industri golf merupakan suatu aspek penting dalam pelancongan negara dan industri penjagaan padang memerlukan kepada pekerja berpengetahuan tinggi.
Adalah ideal jika peralatan penjagaan rumput/landskap di tiadakan duti dan kerajaan memberi insentif kepada graduan universiti atau institut kemahiran dalam bidang yang relevan untuk mengambil kontrak penjagaan padang dan taman. Ambil dua graduan, beri mereka tiga padang yang berdekatan dan beri mereka satu traktor yang ada cukai jalan dan implemen potong, pengudaraan dan roller.
Selain mekanisasi, penggunaan bahan kimia untuk penjagaan rumput, contohnya kawalan rumpai atau lebih canggih lagi, melambatkan pertumbuhan rumput juga boleh digunakan, jikat tidak sepanjang tahun pun, di bulan puasa dan di musim hujan.
Banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan untuk mengurangkan keperluan tenaga pekerja yang ramai. Di antara nya:
1. Menggunakan rumput plastik di ruangan kecil yang memerlukan seorang pekerja dengan mesin trimmer atau gunting kecil.
2. Kurangkan pokok besar. Pokok besar mewujudkan bayang bayang yang akan memaksa rumput tumbuh panjang untuk mencari matahari. Ini menambah kekerapan memotong. Pokok juga menambah halangan kepada mekanisasi dan menambah populasi pekerja untuk menjaga pokok. Kena pulak kalau kita pilih pokok yang banyak akar timbul dan daun gugur. Tahniah!
3. Daripada tanam rumput di lereng bukit curam, cuba amalkan penanaman alternatif seperti Wedelia atau Arachis.
4. Kurangkan penggunaan nitrogen sebagai nutrien utama.
5. Adjust bentuk mukabumi landskap anda supaya i. Kawasan rumput yang luas untuk mudahkan potongan dan rumput dapat matahari yang cukup. ii. Kurangkan lereng dan tebing curam yang perlu dipotong dengan tenaga manual. iii. Di padang golf, kurangkan bunker. iv. Beritahu designer/arkitek landskap anda bahawa ini adalah tentang praktikal atau kelestarian masa panjang dan bukan tentang legasi mereka.
6. Ada tempat yang kita tak digalakkan tanam rumput tapi kita cuba alternatif seperti pokok bunga atau reben yang lebih mudah di jaga.
7. Training. Training. Training. Ajar pekerja yang sedia ada supaya mereka lebih cekap bekerja dan mempunyai skill yang baharu. Cuba berhenti sekejap dan tanya diri sendiri; siapa yang ajar pekerja anda sekarang? Pekerja lama anda? Siapa ajar pekerja lama anda? Pekerja sebelum itu? Mana anda tahu apa yang pekerja sekarang amalkan masih sama dengan pekerja dua generasi dahulu? Terlalu selalu saya dapati pekerja padang di abaikan dan ‘orang atas’ mengandaikan pekerja tahu apa yang mereka buat sedangkan pekerja baru di ajar oleh pekerja lama yang di ajar oleh pekerja sebelum itu yang di ajar oleh penjual mesin; 10 tahun lalu. Saya selalu jumpa pengurusan yang memandang rendah kepada pekerja mereka tetapi mereka tidak pernah cuba untuk menaiktaraf pekerja.
Saya dapati, mengadakan kursus dan pengajaran berterusan di bawah tangan saya atau pengajar luar akan menaikkan moral dan semangat pekerja tempatan.
Sekian beberapa cadangan dari saya. Jika anda ada cadangan bernas, sila komen di bawah. Jika anda hanya ada komplen dan tuduhan tanpa sebarang cadangan; simpan sorang sorang. Tak perlu diskusi lagi. Tutup saja padang anda.







Selain dari menggunakan racun, saya mencadangkan penggunaan pembantut pertumbuhan rumput atau kalau mengikut DBP – regulator pertumbuhan yang akan melambatkan pertumbuhan. Ia perlu di ulang sembur tetapi begitu juga dengan racun. Kesan sampingannya ialah rumput akan tumbuh lebih padat kerana ruas atau nod nya semakin rapat. Jika anda ingin maklumat lebih lanjut (dan nak tahu apa orang putih kata) Google ‘Plant Growth regulator for turf grass’ atau hubungi pembekal anda.














Bila cuaca menjadi panas, kawasan rumput yang tidak mendapat siraman akan menunjukkan kesan stress dari kemarau dan kepanasan. Apa yang boleh di lihat pada waktu awal ialah kawasan yang bertukar warna kepada kehitaman di padang. Daun rumput akan berlipat dan kawasan yang di pijak akan menunjukkan kesan tapak kaki lebih lama. Ini semua di akibatkan oleh dehidrasi, iaitu bila tumbuhan tidak mempunyai kandungan air yang cukup di dalam sel nya. Seterusnya kebanyakan rumput yang tidak menerima air yang cukup akan menjadi dorman. Rumput dorman ialah rumput yang mempunyai daun yang mati tetapi akar tajuk (crown roots) yang masih hidup dan boleh bertahan selama tiga hingga empat minggu tanpa siraman.

