Ada Apa Dengan Urea.
Posted by mynormas on August 23, 2016
Kali terakhir saya guna urea sebagai baja (pupuk) tunggal di atas rumput adalah pada tahun 1993 jadi saya rasa tergeletek dalam sebulan ini, ada dua client saya yang mahu urea di gunakan. Saya beritahu mereka saya tidak bersetuju, kedua dua client akur, tetapi pekerja salah seorang client menyembur juga baja urea dari stok lama dan mengakibatkan kerosakan ke atas rumput.
Salah satu kemudaratan menjadi konsultan untuk perkara ‘mudah’ seperti penjagaan rumput ialah bila dah ada perubahan positif kepada padang/halaman yang di mandatkan kepada saya untuk perbaiki, tiba-tiba ramai pakar akan timbul. Dari orang atas yang ada PhD ekonomi (contoh) sampai lah ke pekerja asing yang kerja potong rumput (juga contoh), ada sahaja pendapat dan cadangan. Saya suka kepada perbincangan dan penambahan ilmu berdasarkan pengalaman tempatan tetapi biarlah bersifat dua hala.
Selalunya ialah tentang pembajaan dan penyiraman. Langkah pertama saya dalam pembaikan padang selalunya ialah dengan meminta untuk hentikan penyiraman. Ya, banyak padang yang over-siram atau silap siram (pagi tadi saya nampak satu padang pasang sprinkler selama satu jam dan sprinklernya bukan ‘head-to-head’ maka berlakulah siraman helikopter) dan saya akan mulakan pembajaan kerana kebanyakan padang tidak atau kurang membaja.
Saya biasanya akan memulakan dengan baja murah sama seperti baja yang digunakan untuk sayur atau kelapa sawit tetapi ramai ‘pakar’ yang gemarkan urea dan tidak faham bila saya kata kali terakhir saya guna urea sebagai baja tunggal atas rumput ialah pada tahun 1993.
Saya tidak gemarkan urea sebagai baja tunggal di atas rumput (sila baca ayat ni berkali-kali ya. Katakunci: ‘tunggal’ dan ‘rumput’) kerana ia lebih banyak masalah dari kebaikan.
Masalah:
- Perlukan penyembur yang terlatih dan ambil peduli.
- Perlukan peralatan yang telah di kalibrasi dengan betul.
- Mempunyai hanya satu unsur nutrien (nitrogen 46%).
- Oleh kerana ia memberi kesan hijau gelap yang di gemari, terdapat kecenderungan untuk terlebih aplikasi.
- Jika ketulan urea berada di atas daun rumput; ia akan menyebabkan kesan ‘terbakar’.
- Boleh menyebabkan pertumbuhan mendadak dan masalah potongan.
- Boleh menyebabkan dinding sel menjadi lembut dan nipis; memudahkan penyerangan serangga dan penyakit.
- Mencepatkan pertumbuhan pucuk tetapi memperlahankan pertumbuhan akar dan meningkatkan keperluan memotong.
- Urea akan bertukar kepada gas ammonium dan melowap jika ia tidak di campurkan kepada tanah secara di gaul atau di siram.
- Nitrogen boleh di larutlesap (leach) ke sumber air jika hujan lebat atau terlebih siram.
Kebaikan urea:
- Sumber nitrogen yang murah berbanding baja sintetik lain. (katakunci: sintetik)
- Menghijaukan dengan cepat (ini sebenarnya adalah kerana nitrogen, bukan urea; taburlah baja lain yang ada sama banyak nitrogen, akan hijaulah rumput anda)
- Ia cepat mengasidkan tanah dan sesuai untuk tanaman yang suka tanah berasid seperti jagung, strawberry dan lain lain tumbuhan yang perlu nitrogen tinggi.
Gunakanlah baja yang seimbang. Ingat, baja bukan makanan tapi ibarat vitamin kepada rumput. Anda boleh hidup hanya dengan vitamin C? Tentu boleh tapi badan anda perlukan juga vitamin E, A, B complex dan lain-lain. Abaikan mereka dan satu hari nanti anda akan sakit/mati tapi berbanggalah: kulit anda cantik. Gunakanlah multivitamin dan tambah dengan vitamin C jika anda tergolong orang yang percaya vitamin C boleh menghidari penyakit. Insya Allah anda akan lebih sihat.
Jadi kalau manusia guna pelbagai unsur vitamin, kenapa rumput guna satu nutrien saja?
Rujukan:
- http://blog-yard-garden-news.extension.umn.edu/2011/03/the-good-bad-and-interesting-roles-of.html
- http://plantscience.psu.edu/research/centers/turf/extension/factsheets/turfgrass-fertilization-professional#qrs
- http://www.extension.umn.edu/agriculture/nutrient-management/nitrogen/fertilizer-urea/
- http://www.impactfertilisers.com.au/products/nitrogen/urea/
- http://homeguides.sfgate.com/urea-fertilizer-48588.html
Pembajaan Padang « Turf Matters said
[…] membaja kemudian menggunakan baja yang kuat nitrogennya seperti Urea (amat tidak digalakkan; baca di sini kenapa) ialah terjadinya belang […]
LikeLike