Turf Matters

The Site To Go To For All Your Turf Matters

  • Facebook Likes

  • The new Brushcutter

    Pengganti Brushcutter

    Increase productivity, cut labour. Try the AM61A

  • Trees Nursery

    Forest trees nursery

    Get your Trees from this nursery

Posts Tagged ‘tanam’

Tanam Sprig

Posted by mynormas on October 15, 2022

Bagaimana kita tanam rumput dengan jimat tapi lambat? Kita sprig.

Patut nya hari ni 15 Oktober 2022 saya upload story tentang greenspeed ya? Artikel nya dah siap tapi saya tangguh ke bulan November sebab ada artikel lain yang saya nak keluarkan yang saya kira lebih penting utk lebih ramai pembaca.

Ada dua cara utk tanam rumput iaitu dengan cara vegetatif dan cara bijibenih. Kita panggil cara pertama ni “vegetatif” kerana ia menggunakan bahagian tumbuhan yang hidup. Cara ini terbahagi pula kepada cara stolon dan sprig. Saya kira penanaman cara sod pula ialah perpindahan rumput dari satu tempat ke tempat lain.

Cara paling mahal ialah dengan sod kerana kita pindah kan rumput sedia ada. Mungkin 100% iaitu nak tanam satu padang, kita beli rumput dari satu padang lain. Murah sikit kalau kita tanam 80% sahaja dari luas kawasan dengan rumput sod. Paling murah cara sod ialah kalau kita beli 50% saja rumput dan tanam macam papan dam, bayangkan yang hitam tu rumput dan yang merah tu di isi pasir halus sampai paras sod sebelahnya.

Lebihkurang 10 tahun lalu, sebuah padang golf yang saya adalah konsultan nya mengalami masalah rumput mati. Mati dalam kawasan yang luas. Nak beli sod rumput Tifdwarf banyak 1. bukan nya murah dan 2. oleh kerana Tifdwarf adalah rumput hybrid (senang cerita rumput kawin) belum tentu rumput sod yang di beli, sama dengan rumput sedia ada.

Jadi kami, iaitu saya dan Superintendent padang itu, En. Bakri, memformulasi utk menggunakan rumput dari green yang paling lasak di padang itu utk tanam di kawasan botak.

Idea nya bagus, tapi takkan nak kopek seluruh green 17 (contoh) nak tanam kawasan mati di green 3, 7, 11 dan 15 (contoh! Dah 10 tahun, tak ingat sangat dah)?

Jadi kami gunakan cara sprig. Iaitu kami potong sod dari green 17 (con…toh) dan bawa ia ke green yang ada kawasan mati.

Sod dari green yang power.

Di kawasan mati itu, kami gunakan serampang berongga lama untuk tebuk lubang di tanah.

Tebuk tebuk tebuk.

Menggunakan serampang berongga saiz yang sama, kami tebuk pula di sod tadi utk mendapatkan “benih” rumput pula.

Ini lah rupa “benih” nya

Kemudian kami cucuk benih tadi ke dalam lubang tersebut.

Cucuk cucuk cucuk.

Kemudian kami siram dan tunggu. Ambil masa juga utk rumput ni tumbuh rapat rapat. Lebih kurang satu bulan juga. Ingat! Ini atas green yang dah established, kalau kita nak buat di tempat baru disediakan tanah kerana tanah nya lembik dan lembut. Mungkin sampai 4 bulan.

Kalau tanam sod, jauh lebih cepat siap dan cepat boleh digunakan. Cara sprig, murah kerana satu sod 1 kaki x 1 kaki boleh tanam kawasan 3 kaki x 3 kaki. Tapi lambat lah siap nya.

Jadi, anda nak murah ke, anda nak cepat siap?

Selain dari contoh sprig di atas, ada lagi cara sprig yang anda boleh jumpa di laman web ini.

Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin. 

Advertisement

Posted in landskap, Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium, Taman | Tagged: , , , , , | Leave a Comment »

Menanam cara ‘sod’

Posted by mynormas on January 24, 2012

Menanam cara sod adalah cara paling biasa digunakan di Malaysia dan pada pendapat saya, cara paling senang tetapi paling selalu salah.

Nampak jer cantik, tapi silap.

Kebaikan cara sod ialah;

1. boleh ditanam hampir dalam sebarang cuaca; musim hujan atau musim kemarau.

2. kawasan yang di tanam cepat tumbuh dan kelihatan rapat.

3. boleh di tanam di kebanyakan kawasan; rata ataupun di tepi bukit.

4. perlukan penjagaan yang kurang berbanding dengan cara lain.

5. Tidak mudah hanyut.

6. Tidak di makan oleh burung (berbeza dengan bijibenih).

Kesilapan atau keburukan sod:

1. Memerlukan jumlah rumput yang lebih banyak berbanding cara lain.

2. Kecuali rumput cow/pearlgrass, hasil padang akan bertompok kerana rumput tidak sama spesis ataupun di susun tidak mengikut ‘grain’.

3. Akar yang pendek, maka rumput tidak lasak. Terutamanya jika penyediaan tapak tidak betul.

4. Tempat bercantum sod boleh kering dan/atau akan kelihatan lama setelah padang digunakan.

5. Berpotensi membawa bersama masalah dari nursery seperti serangga, spora kulat, benih rumpai, telur dinosaur (ha?!), jin tanah (haa?!), makhluk halus (haaa?!) dan sebagainya.

Secara definasi, sod ialah rumput termasuk akar yang di pegang oleh tanah. Biasanya ia adalah lebih besar atau bersamaan dengan 1 kaki persegi. Cara penanaman ialah dengan menanam rapat-rapat dalam susunan seperti menyusun batu bata. Ia boleh juga di susun jarang-jarang sehingga memenuhi 50% luas kawasan. Kurang dari 50% – kita boleh memberi ia nama ‘spot turfing’ yang mempunyai muka lain di laman web ini.

Langkah-langkah penanaman cara ‘sod’.

1. Mengukur luas kawasan.

Berapa luas kawasan yang perlu ditanam dengan rumput? Untuk kawasan rumah, saya cadangkan membeli jumlah sod sama besar atau 80% luas kawasan tersebut, mengikut kemampuan. Biasanya kalau tanam sendiri, kadang-kadang hampir 10% dari sod tak boleh digunakan kerana pecah atau ada rumput liar. Rumput yang pecah boleh digunakan untuk ditanam di kawasan tepi/sempadan, tapi sod yang ada rumput liar mesti dipecahkan dan di tanam di kawasan tepi atau sebagai ‘spare’ untuk repair.

Walaupun Malaysia dah lama bertukar metrik, tetapi sod biasanya di jual dalam kaki persegi.

Cara untuk mengukur luas kawasan yang tidak geometri boleh di baca di sini

2. Membeli sod.

Berbekal dengan pengetahuan berapa luas kawasan (dan budget dalam poket) maka mulalah bershopping. Pastikan kita tahu rumput apa kita mahu dan tidak terpengaruh dengan apa yang kita lihat di nursery.

Bandingkan harga dan utamakan nursery yang kita boleh pilih rumput dan bawa balik (ataupun kita pilih dan dia terus angkat naik lori). Was-waskan nursery yang kita pilih rumput kat showroom  dan dia akan hantar dari nursery dia yang katanya berada 136.7 km dari situ. Kadang-kadang, rumput yang di hantar ke rumah tak sama dengan rumput yang kita pilih.

Jika tak dapat di elakkan (kerana kawasan kita sangat besar atau kita suka shopping kat showroom yang ada aircon dsb) maka beritahu dia yang kita nak ada kat nursery tu masa dia tuai sod. Ada satu lagi alternatif; bahagikan kawasan kepada beberapa sektor, beli dan tanam mengikut sektor. Dengan cara ini, kita tak perlu risau rumput tak sama bersebelahan, kerana sekurang-kurangnya dalam satu sektor, rumput dari keturunan yang sama.

Sekalli lagi saya ulang, masalah rumput tak sama menjadi masalah utama pada rumput jenis ‘carpetgrass’ dan jarang pada cowgrass atau pearlgrass.

3. Penyediaan tapak.

Saya ada satu muka tentang penyediaan tapak dalam laman web ini. Tapi pendek katanya, di bawah sod itu perlu ada tanah yang agak peroi dan boleh di tembusi oleh akar. Satu masalah ialah bila tanah bawah terlalu mampat dan akar rumput hanya berada di dalam sod. Bila hujan lebat, sod akan ‘terapung’. Bila kering, sod akan mati kerana akar terlalu pendek.

Bagaimanapun, sila baca tentang penyediaan tapak di sini

4. Menyusun sod

Comot tapi betul.

Nampak tak sod di susun air tidak boleh mengalir bebas dari kiri ke kanan?

Kesilapan paling asas yang saya tengok orang buat ialah bila dia tanam sod dia mengikut garisan yang membenarkan air mengalir. Jika kita menyusun sod, susun supaya ia menyerupai orang susun batu bata; bata yang di atas akan melintang di atas sambungan bata di bawah. Dengan cara ini, air tidak mempunyai satu ‘lorong’ untuk mengalir dan membawa baja, pasir dan rumput.

Jika kita membeli 100% sod (ertinya jika luas kawasan anda ialah 120 kaki persegi dan anda beli 120kaki sod) menyusun adalah mudah. Jika kita  membeli hanya 80% atau kurang, mulakan dengan bahagian paling penting kawasan kita contohnya depan rumah, kotak penalti, tengah green dan sebagainya. Saya tahu ada orang yang akan mulakan dengan sempadan dan menanam ketengah, tapi jika kita kehabisan rumput atau salah budget, maka tengah akan lompong/kosong. Mulakan dari satu sisi dan pilih sisi yang paling penting untuk kita (pedulikan apa orang lain kata)dan tanam ke arah yang tak penting. Kalau sod nampak macam tak cukup, maka kawasan yang kurang penting tu kita boleh tanam kemudian ATAU, kita boleh jarakkan lebih sikit baki sod yang ada untuk mencukupkan kawasan yang – ahem – kurang penting tadi. Jadi, kalau di rumah, kita tanam dari depan ke belakang (contohnya) dan di pejabat kita tanam dari depan ofis bos ke luar dan sebagainya.

Untuk padang golf dan padang bola. Ada lagi yang saya tak cerita kat sini. Ada orang yang ciplak kerja saya sebagai kerja mereka. Sekarang ada bahagian untuk orang komersil yang saya simpan. Sorry. Nak tahu? Email saya dan kenalkan diri.

5. Tanam sod.

Menanam dengan rapi. Sod dan luas kawasan 100%

Ada orang tanam dengan cara mengorek tanah dan meletakkan sod ke dalam. Ada orang melakukan dengan cara hanya meletakkan sod ke atas tanah. Kedua-dua cara betul, tapi lazimnya jika menanam 100%, kita boleh hanya letakkan sod atas tanah, dan jika 80% atau kurang, kita akan tanam dia supaya dia tidak ‘lari’ dari kedudukan.

Jika kita meletakkan sahaja sod di atas tanah dan tanah itu sedikit curam, kita mungkin terpaksa menggunakan paku yang diperbuat dari kayu atau bahan mudah-urai lain.

Apapun, pastikan tanah bawah TIDAK keras.

6. Siram.

Siram serta-merta lepas tanam. Siram hingga tanah bawah basah. Untuk seminggu dua lepas itu, pastikan tanah di bahagian bawah sod basah di waktu pagi dan tengahari (perasan tak, saya tak kata ‘siram’?)

Selepas itu, JANGAN siram sehari sekali atau sehari dua kali, siram bila keadaan memerlukan. Ertinya, bila tanah di bawah sod kering; siram. Jangan siram lepas pukul 3 petang. Rumput yang basah hingga ke malam akan mengundang penyakit dan lumut.

Jangan pijak rumput tu untuk lebih kurang sebulan sehinggalah akar rumput dah tumbuh.

Mula potong pada minggu ke lima, jangan potong lebih dari satu pertiga ketinggian rumput. Lepas dua minggu turun kan ketinggian, lepas tu dua minggu lagi, hinggalah mencapai ketinggian yang kita mahu.

Mulai minggu ke empat, topdress seminggu sekali dengan nipis. Tujuan topdress ialah supaya pasir masuk ke kawasan yang tak rata dan meratakan permukaan tanpa melemaskan rumput. Ratakan pasir dengan tangan atau kayu ‘T’ dan siram. Jangan potong sehari lepas topdress, nanti pasir berterbangan.

Mulai minggu ke enam, mulai merumpai. Bahagikan kawasan anda kepada seksyen2 kecil dan merumpai dalam satu seksyen selama satu hari. Esok (atau hari seterusnya) merumpai di seksyen kedua, hari seterusnya di seksyen ketiga dan ulang. Dalam masa tiga bulan kita seharusnya akan dapat laman yang kita idamkan.

insyaAllah.

Selamat mencuba!

Bagaimana sod di tuai di nursery.

Ini adalah permukaan bunker padang golf yang senget dan boleh rosak akibat hujan lebat.

rumput yang pendek akar (dan nyawa) mati dulu.

Rumput dah di tanam tapi tak di siram.

Posted in Fields, Golf Course, Lanskap, Maintenance, Padang, Padang Golf, Rumput, Rumput halaman rumah, Taman | Tagged: , , , , | Leave a Comment »

 
%d bloggers like this: