Maklumat yang terkandung di dalam laman web ini adalah di beri tanpa sebarang waranti atau gerenti, samada di lafazkan atau ditafsirkan. Saya tidak memikul sebarang tanggungjawab untuk sebarang risiko berkenaan kesesuaian atau ketepatan maklumat dalam laman web ini. Saya tidak akan, dalam sebarang keadaan, bertanggungjawab untuk sebarang kerosakkan secara khusus, tak langsung atau diakibatkan oleh tindakan yang diambil atau tidak diambil dengan bergantung atau berdasarkan kepada maklumat di dalam laman web ini.
Disclaimer
The information in this web site is provided without warranty of any kind, either expressed or implied. I do not accept any responsibility for any risks concerning the suitability and accuracy of information in this site. I will in no event be liable for any special, indirect or consequential damages or any damages whatsoever, whether in an action of contract, negligence or other action, arising out of or in connection with reliance on or the use of any information in this site.
Bila banjir berlaku, tentunya kesihatan rumput atau keadaan padang adalah perkara terakhir yang perlu kita fikirkan kerana nyawa manusia lebih penting. Tetapi sebagai penjaga padang, apakah persediaan yang perlu kita buat sebelum musim hujan?
Pertama sekali kita kenalpasti apa masalah yang timbul sewaktu musim hujan. Pada pandangan saya, berikut adalah di antara yang penting:
Air yang bertakung di atas atau di bawah permukaan boleh melemaskan rumput yang perlukan oksigen dan karbon dioksida.
Tanpa cahaya matahari, rumput tidak dapat melakukan fotosintesis.
Baja atau racun yang di tabur dihanyutkan oleh air.
Padang yang lembik menyebabkan penggunaan dan penyelenggaraan meninggal kan kesan.
.Jadi apakah langkah yang perlu di ambil? Semasa hujan lebat, tiada apa yang boleh dibuat kerana jika keadaan berubah menjadi banjir maka nyawa dan hartabenda menjadi prioriti, bukan padang dan rumput. Tetapi kita boleh mempersiapkan padang supaya sewaktu musim hujan atau banjir sekalipun di musim monsun ini, padang akan lebih bersedia dan tidak terlalu terkesan.
Saya mencadangkan langkah-langkah berikut:
Pengudaraan tanah serampang padu (solid-tine)
Membersihkan longkang dan sump keliling padang atau halaman.
Menggunakan baja foliar
Menaikkan ketinggian potongan.
Penerangan Lanjut
Kita lakukan kerja pengudaraan tanah kerana kita nak beri ruang kepada air dan udara untuk turun ke bawah permukaan tanah. Kenapa serampang padu dan bukan serampang berongga (hollow-tine)? Kerana serampang padu seperti slicing dan spiking lebih cepat di buat dan tidak mengganggu permainan. Anda juga boleh menggunakan jentera pengudaraan tanah baru yang mampu menghasilkan lebih banyak ruang di bawah permukaan dengan hanya sedikit kerosakkan di permukaan padang: Air2G2
Slicer besar utk padang bola atau golf.
Pengudaraan tanah secara solid tine manual di halaman rumah.
Membersihkan longkang keliling padang mungkin rasa macam terlalu senang dan di pandang remeh oleh kebanyakan orang tapi saya pernah menyelesaikan masalah satu padang dengan cara mengalirkan air yang bertakung di dalam longkang di keliling padang kerana sampah nya. Air yang tinggi di longkang keliling padang akan menaikkan ‘water table’ di bawah padang dan melambatkan pergerakan air keluar dari dalam padang.
Longkang besar atau kecil, bersihkan. Longkang kecil yang tersumbat akan menumpahkan air ke dalam padang atau laman anda.
Kalau kita menggunakan baja butiran, ada kemungkinan ia akan di hanyutkan sebelum nutrien dalam baja dapat di serap oleh rumput. Penggunaan baja foliar sedikit tetapi selalu bermakna rumput boleh serapa nutrien hampir sekaligus melalui daun dan akar jika cecair baja sempat sampai ke akar.
Manual spray in progress
Saya sering dengar orang kata bahawa baja adalah makanan untuk rumput. Sebenarnya rumput berada dalam kategori ‘producer’ iaitu ia membuat makanannya sendiri menggunakan proses fotosintesis. Untuk melakukan fotosintesis, rumput memerlukan cahaya matahari, terutamanya untuk rumput yang mempunyai daun kecil seperti Bermuda dan Zoysia. Cuaca mendung di musim hujan akan mengurangkan cahaya matahari untuk sampai ke daun. Kita tak boleh tambah cahaya matahari melainkan menggunakan ‘grow light’ tetapi kita boleh bantu untuk tambah keluasan daun rumput yang boleh melakukan fotosintesis dengan memanjang ketinggian potongan. Tidak percaya pada teori ini? Perhatikan rumput yang tumbuh di bawah redup seperti bawah pokok atau tepi bangunan dan bandingkan dengan spesis rumput yang sama yang tumbuh di tempat lapang; anda akan dapati rumput bawah redup akan lebih cepat panjang dari di tempat lapang. Dengan izin Tuhan, ia memanjangkan daun untuk memaksimakan luas daun untuk fotosintesis. Bonus: padang atau laman anda akan nampak lebih hijau kalau rumput lebih panjang (kan lebih banyak daun?). Keburukkan: nampak kurang kemas lah kalau tengok dekat-dekat.
Same grass species. On the left under shade.Nota: bukan ketinggian yang betul; hanya sekadar anggaran.
Saya ada tertinggal apa-apa fakta atau cadangan lain? Sila komen di sini atau di FB mynormas.com untuk membantu atau dibantu orang lain. Tolong jangan PM. Tak larat nak layan soalan yang sama berkali-kali. Kalau boleh saya minta sedikit bantuan derma dari tuan-tuan atau click iklan-iklan di page ini beberapa kali. Saya dapat satu dua sen sekali click. Apa boleh buat, kalau itu saja yang ikhlas.
Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin.
Apakah ciri ciri stadium yang baik? Menurut pendapat penulis sukan luar negara, sebuah stadium di ukur pada sifat berikut.
Design yang baik. Samada ia cantik hingga menjadi mercutanda iconic ataupun bersifat functional memberi kemudahan kepada pengguna. Atau lebih baik, kedua dua sekali.
Keselamatan. Keselamatan struktur menampung beban, keselamatan penonton keluar masuk, keselamatan sewaktu kebakaran atau lain-lain kecemasan dan sebagainya.
Peminat. Majalah online stadiumdb.com menjelaskan bahawa pembinaan yang mampu memberi pengalaman yang bersemangat kepada penonton adalah satu ciri stadium yang baik. Ini termasuk ciri acoustic yang mungkin memberi gema kepada sorakan penonton. Tentunya tandas yang mencukupi (dan hampir) serta tempat membeli makan dan minum.
Lokasi sebuah stadium. Umum mungkin berpendapat bahawa bina stadium di mana pun, penonton akan datang (ala petikan “build it and they will come” dari filem Field of Dreams) tapi sebenarnya stadium yang baik ialah stadium yang berdekatan dengan kawasan penduduk dan/atau jalan raya dan pengangkutan awam.
Pengurusan padang yang baik. Bukan sahaja tentang pembinaan padang tetapi peruntukan utk penyelenggaraan akan datang seperti tempat penyimpanan baja, racun, pasir, mesin, tempat pembancuhan baja atau racun, bilik kerja penyelenggara (utk asah pisau, cas bateri, berehat dsb).
Parkir (dan jalan masuk/keluar) yang mencukupi. Parkir yang cukup tetapi jalan masuk/keluar tidak dirancang dengan baik akan membangkitkan kemarahan orang dengan cepat. Malah, ada penulis yang mencadangkan bahawa stadium mempunyai parkir yang amat terhad dan memaksa penonton hanya berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam.
Memang lah, sebuah stadium milik sebuah kelab bolasepak seharusnya di gunakan hanya untuk bolasepak tetapi realiti nya ialah tidak banyak kelab bolasepak yang mampu menampung kos selenggara dan operasi sebuah stadium semata mata dari kutipan tiket perlawanan sahaja apatah lagi bayaran pinjaman atau susutnilai kos pembinaan nya.
Saya pernah menghadiri suatu seminar anjuran Persatuan Golf Malaysia (MGA) sebagai seorang moderator. Saya lihat topik selepas saya ialah tentang F&B (makan dan minum) maka saya berniat utk keluar dari dewan dan networking. Baru nak keluar saya dengar penceramah berkata dalam bahasa Inggeris “dahulu stadium ini digunakan 25 hari setahun iaitu hanya utk perlawanan kini ia digunakan 365 hari setahun”.
Tentunya saya terkejut. Penceramah selanjut nya menjelaskan bahawa stadium itu kini – selepas diubahsuai – digunakan utk banquet, majlis perkahwinan, mesyuarat, tempat lawatan pelancong dan pelbagai lagi.
Kita akan bincang tentang kepelbagaian penggunaan stadium dalam realiti komuniti di Malaysia akan datang.
Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang di stadium anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin.
Sewaktu salah satu padang terkenal di Malaysia di landa banjir sebelum suatu perlawanan penting, saya pula di hujani pertanyaan kenapa ia boleh berlaku. Saya tidak boleh jawab secara spesifik tentang padang itu tetapi berdasarkan pengalaman saya membantu membaiki padang yang rosak terdapat beberapa sebab kenapa sebuah padang boleh menghadapi masalah air bertakung selepas hujan lebat.
Paip saliran tidak cukup (atau tidak ada).
Paip saliran tersumbat
Hujan terlalu lebat dan/atau lama.
Tanah terlalu mampat akibat kerap digelek atau terlalu banyak digunakan.
Tiada nyah-thatch (dethatching) atau pengudaraan tanah (aeration).
Salah buat saliran.
Kombinasi semua di atas.
Apa yang saya maksudkan paip saliran tidak cukup berlaku bila jarak di antara longkang subtanah (subsoil drain) terlalu jauh. Kenapa ada padang yang letak longkang subtanah jauh jauh? Biasanya kerana faktor kos. Kadang-kadang atas alasan longkang subtanah yang di pasang adalah dalam, iaitu hampir satu meter ke bawah tanah (umum nya longkang subtanah yang cetek rapat-rapat dan dalam, jauh-jauh). Saya pernah jumpa longkang subtanah yang di pasang pada jarak 30m di antara satu sama lain dan masa kami membuat penambah baikan padang golf itu, kami pasang longkang baru 3 meter di antara satu sama lain. Bila longkang tak cukup maka air lambat keluar dari padang.
Dua padang yang mempunyai longkang subtanah berjarak 12 meter di antara satu sama lain. Saya pernah jumpa padang yang mempunyai longkang subtanah yang berjarak 30m tapi saya tiada gambar. Paling jauh jarak yang saya ada ialah 12m. Itupun tidak terlalu basah sebab ahem… ikut spesifikasi saya dan saya sendiri yang bina, tetapi lepas hujan amat amat lebat, perlu tunggu hingga satu jam baru boleh guna.
Paip saliran saya katakan tersumbat bila terdapat terlalu banyak sampah dalam paip (saya pernah jumpa biawak dua ekor dalam paip subtanah) ataupun yang paling paling paling paling selalu berlaku, ialah paip longkang subtanah di balut dengan kain geotextile dan kain itu telah tersumbat. 2, 3 tahun pertama saya kerja di industri penjagaan rumput padang golf salah satu tugas ialah koyak kan kain geotextile keliling longkang subtanah atas arahan boss orang Australia. Padang tu belum setahun dah ada masalah air bertakung, bila buang kain geotextile tu, air jalan. Saya juga kalau ada peluang, akan pasang lubang utk flush longkang subtanah utk kerja penyelenggaraan longkang subtanah akan datang.
Kain geotextile – pada peringkat awal – akan melambatkan air masuk ke dalam paip. Dan… selepas beberapa tahun bila terlalu banyak selut sumbat kain; akan menghalang air masuk ke dalam selut.
Hujan yang terlalu lebat boleh menyebabkan air bertakung jika ia lebih cepat dari kebolehan sistem saliran mengeluarkan air. Ia akan berkait dengan masalah sistem saliran tak cukup juga. Kelemahan atau ketidakcukupan sistem saliran akan kelihatan sewaktu hujan lebat. Misalnya jarak di antara longkang subtanah terlalu jauh, atau terlalu dalam. Bayangkan lebuhraya diwaktu cuti panjang, di mana kereta yang masuk ke lebuhraya lebih banyak dari keupayaan lebuhraya tersebut membawa dan memuntahkan kenderaan keluar maka kita akan dapat traffic jam. Maka sebelum pasang longkang subtanah ataupun longkang keliling padang, fikirkan jumlah air yang masuk (lihat sejarah hujan kawasan itu) dan banyak mana air mahu dikeluarkan.
Padang ni mempunyai sistem saliran yang baik (saya consultant mereka) tetapi dah lah hujan lebat, sistem siram auto tambah lagi air; mana sempat air nak keluar?
Ini stadium MBPJ pada 5 Mei 2021. Hujan ribut amat lebat. Sejak itu, kami telah tambah lebihkurang 1.2km longkang subtanah. Sebelum ni memang ada longkang subtanah pun tapi jauh ke bawah dan di atasnya ada kain geotextile yang menghalang/melambatkan pegerakan air masuk ke dalam longkang (dah lah jauh ke bawah).
Satu lagi punca masalah air bertakung ialah bila padang banyak menerima mampatan. Apa yang berlaku ialah butir butir tanah dan pasir dipaksa menjadi rapat dan mengecilkan ruangan utk laluan air. “Mampatan” tak semestinya dengan sengaja menggunakan jentera penggelek besar tetapi juga penggunaan yang berterusan dan terfokus ke kawasan tertentu. Pasal tu kita boleh lihat kerosakan padang berlaku banyak di depan gol, tempat larian penjaga garisan, tempat sepakmula dsb.
Ruang di antara ketulan/butiran tanah sebelum dan selepas mampatan.
Kawasan yang sering rosak akibat mampatan.
Kegemaran ramai pembina padang bola untuk “menggelek” ataupun roll padang untuk mendapatkan permukaan yang rata juga menjadi penyebab kepada longkang tersumbat. Di padang golf, kami tidak akan roll padang selepas longkang subtanah dipasang. Ini berbeza sekali dengan pembinaan padang bola atau taman permainan di Malaysia di mana perbuatan roll dengan stimroll berat adalah perkara biasa. Setiap kali roll, setiap kali butir-butir tanah dihimpit dan ruang untuk air turun disempitkan.
Lihatlah betapa kerasnya atas longkang subtanah tu. Padang amat basah (lihat background gambar sebelah kanan) tapi pasir atas subsoil adalah kering sebab air tak turun.
Satu lagi sebab kepada padang bertakung malah, walaupun sudah ada longkang subtanah di bawahnya ialah bila terdapat lapisan “thatch” iaitu bahan organik yang terkumpul di permukaan tanah akibat dari rumput lepas potong dan juga rumput yang mati secara semulajadi. Thatch ialah kawasan hitam di lapisan paling atas tanah yang kita boleh nampak akar rumput juga. Ia boleh bertindak seperti span (sponge) memegang air.
Lihat ini dan ingat salur darah penuh kolestrol dalam badan kita.
Maka bayangkan jika padang itu tidak melakukan kerja-kerja pengudaraan berkala (scheduled) dan mempunyai longkang subtanah. Kalau air tidak atau lambat turun, maka permukaan padang masih akan basah.
Tanpa pengudaraan, air akan tersumbat di lapisan thatch dan tidak atau lambat turun ke bawah untuk sampai ke longkang subtanah.
Saya pernah juga jumpa padang yang nak buat pengudaraan dengan harapan air bertakung di permukaan boleh turun ke “bawah” sedangkan padang itu tidak mempunyai sistem saliran yang baik. Soalan saya ialah; air tu nak pergi mana? Kalau tak ada longkang subtanah, air tu tak dapat lari dan kekal di bawah tanah. Bayangkan sebuah mangkuk yang dilapiskan tisu atau kadbod di atasnya bila kita bubuh air, tisu atau kadbod itu akan basah, air tak tembus. Kita tebuk lubang, air tembus tapi akan satu tahap air dalam mangkuk tu akan penuh (kita panggil ini “field capacity”).
Satu lagi isu yang kita jumpa ialah longkang subtanah yang dipasang salah iaitu bukan ia bawa air keluar dari padang tetapi ia bawa air masuk KE DALAM padang kerana kecondongannya ke belakang, bukan ke depan. Begitu juga ada longkang subtanah yang rata atau pun naik turun. Saya haraplah agar pihak berkuasa yang bertanggungjawab ambil perhatian. Kesian padang.
Bayangkan kalau outlet atau hilir longkang hanya satu kaki dari permukaan, berapa dalam hulunya? Ia pasti satu kaki juga. Kalau longkang bermula dari tengah padang iaitu 30 meter panjang, maka bayangkan longkang yang hulu dan hilir nya sama dalam dan air dari bangunan luar banyak, tak air dari luar masuk ke dalam? Hasilnya adalah seperti gambar di bawah.
Amat sedih kalau kita jumpa padang yang mempunyai kombinasi semua masalah di atas. Itu adalah kelemahan sistem tender yang memberi kontrak kepada petender paling rendah, dan kemudian semasa kerja tiada pantauan dapat di buat. Saya tak boleh salahkan pihak berkuasa juga sebab kekadang banyak kerja yang berlaku serentak yang mereka perlu pantau dan kekadang kontraktor main silap mata. Bukan kau: orang lain di tempat lain.
Masalah di atas ialah kenyataan yang saya jumpa dalam kerja-kerja “rescue” padang yang saya buat. Tuan-tuan dan puan-puan boleh hubungi saya di O3-51310066 (biarkan ia berdering lama) atau email mynormas ATconsultant.com untuk maklumat lanjut. Atau, tuan-tuan boleh hubungi course superintendent di padang golf terdekat dengan tempat tuan-tuan.
Menulis dan menyimpan laman web memerlukan pengorbanan dari segi masa dan wang ringgit. Saya menghargai jika pihak tuan dan puan sudi membuat sedikit derma untuk bantuan. Terima kasih.
Nota tambahan: Sistem saliran yang baik menyebabkan air tak disimpan dalam tanah. Maka sistem pengairan yang baik akan diperlukan diwaktu kemarau.
Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin.
Microsoft Memories mengingatkan saya bahawa pada minggu ini, 8 tahun yang lalu, kerja-kerja pengudaraan tanah di kelab golf Kinrara yang mana saya adalah konsultan dan superintendent nya adalah En Bakri.
Dua isu yang saya nak timbul kan ialah:
1. Semua kerja di atas green MESTI dilakukan dalam garis lurus.
2. Kita tak tunggu green sakit baru nak buat pengudaraan tanah. Malah masa green sedang sihat ialah masa terbaik utk lakukan kerja ini supaya ia cepat pulih. Perhatikan warna green Kinrara sebelum kita mulakan kerja.
Golfer (dan pengurusan), selalu akan tanya “kenapa nak hollow-tine? Kan green elok?” Kita lakukan kerja pengudaraan tanah ikut jadual. Malah, kalau kebetulan waktu itu rumput sedang sakit tenat, kita akan modify kerja kita (tine yang kecil, atau Air2G2, ubati dulu). Selalunya tak dapat tangguh. Kalau dapat: bagus lah.
Pengudaraan tanah secara serampang berongga atau hollow-tine di mulakan dengan Bismillah…
Kerja-kerja pengudaraan tanah dilakukan secara lurus. Oleh kerana salah satu tujuan kerja pengudaraan tanah ini ialah utk menggantikan profil tanah, maka tanah lama di buang.Satu lagi kerja yang dilakukan ialah menabur, mungkin kapur CaCO3 utk masuk ke dalam lubang udara utk membaiki pH tanah. Ini 8 tahun lalu, saya pun dah tak berapa ingat. Mungkin juga baja organik. Dua benda tu saja yang saya gunakan selepas hollow-tine tapi sebelum topdress. Pasir hias-atas atau topdressing juga di tabur dalam garisan lurus supaya semua tempat dapat jumlah yang rata. Operator atau Superintendent Bakri memilih utk topdress collar nya sekali. Pasir diratakan menggunakan karpet besi dragmat.
One-Time
Monthly
Yearly
Menulis dan menyelenggara laman web ini mengambil masa dan memerlukan modal. Saya amat berbesar hati jika anda yang merasakan laman web ini membantu anda dalam kerja atau menambah pengetahuan penjagaan rumput anda, untuk membua sedikit sumbangan.
Secara lazimnya rumput di padang bola di Malaysia adalah terdiri dari rumput Cowgrass, tetapi kini banyak padang yang telah bertukar kepada rumput jenis lain. Kini kita sedang mendengar tentang suatu rumput yang dinamakan Zeon Zoysia dan di Terengganu serta di padang latihan FAM Kelana Jaya: Bermuda Princess 77.
Pandangan rumput hijau dengan jalur seperti papan dam boleh menaikkan semangat penonton yang menonton di stadium dan lebih-lebih lagi di peti televisyen. Sekali imbas nampak macam padang kelab bola di England. Dua kali imbas…
Ada tiga jenis rumput utama di gunakan secara rasmi di stadium di Malaysia; Zoysia, Bermuda dan Cowgrass. Ada juga padang yang secara sedar atau tidak, menggunakan, Buffalograss, Serangoon dan juga rumput campur-campur.
Cowgrass
Saya tak berminat nak menggunakan istilah ‘rumput lembu’ walaupun ia pernah digunakan kerana ia adalah terjemahan langsung yang mungkin memberi makna berbeza jadi kita kekalkan nama cowgrass.
Nama saintifik atau nama Latin yang banyak digunakan di Malaysia merujuk kepada Paspalum conjugatum atau Axonopus compressus. Saya lebih berpihak kepada A compressus; malah ada seorang pakar yang mencadangkan kepada saya bahawa P conjugatum ialah nama sains untuk buffalo grass (rumput kerbau). Anda boleh baca tentang perbezaan mereka di dalam tulisan saya sebelum ini.
Cowgrass di sebelah Buffalograss di sebuah taman milik Majlis Bandaraya.
Cowgrass ialah rumput tempatan yang boleh di dapati di banyak tempat di Malaysia. Ia lasak, kurang memerlukan baja dan air. Jika kemarau dan air kekurangan; ia akan menjadi dorman dan bertukar warna coklat. Ia akan kembali hijau bila keadaan air kembali pulih. Ini tidaklah bermakna ia tahan kemarau; malahan ia akan menjadi dorman sebelum kesan kemarau di rasai oleh Bermuda atau Zoysia. Bezanya ialah, bila cuaca pulih, lebih banyak Cowgrass akan hidup berbanding yang dua lagi. Dengan sistem pengairan moden sekarang, kelebihan tersebut tidak lagi relevan.
Cowgrass sentiasa berwarna hijau gelap, walaupun lama tidak di baja. Malangnya, kelebihan itu adalah juga punca masalah kepada banyak masalah padang cowgrass. Bila penjaga padang mencadangkan supaya padang di baja; mereka akan ditanya “Kenapa? Kan masih hijau?”. Sebenarnya, rumput dah ‘kelaparan’ dan tidak sihat walaupun luarannya masih hijau pekat.
Ia mempunyai akar yang pendek jadi ada pemain bola yang berpendapat bahawa cowgrass bukan rumput yang ideal kerana bila ‘sliding tackle’ di buat rumput akan mudah tercabut. Dimasa yang sama, Cowgrass juga mempunyai daun yang besar dan lembut (berbanding spesis rumput hiasan lain); kebaikannya ialah ia lambat panjang (lagi sekali; secara perbandingan) dan lebih tahan kepada redup kerana mempunyai luas permukaan lebih besar utk fotosintesis, malangnya sifat daun lebar dan lembut tidak digemari pemain bola dan pemain golf kerana bola akan duduk lebih dalam dan lebih sukar di sepak atau dipukul.
Rumput Cowgrass.
Saya berpendapat, pembajaan mengikut jadual (bukan mengikut warna rumput) dan sistem pengairan yang baik akan menjadikan cowgrass setara dengan rumput fairway lain.
Kalau di jaga dengan betul, Cowgrass juga boleh menjadi padang yang cantik (tapi tak semestinya digemari oleh pemain).
Rumput Zoysia
Rumput ini pada pendapat saya, menjadi rumput ideal untuk padang. Ia tumbuh rapat, mempunyai daun yang keras yang akan memegang bola untuk memberi peluang sepakan bola yang baik untuk pemain . Ia juga tahan kemarau. Jika di jaga dengan baik, rumpai liar sukar masuk. Ada tiga spesis Zoysia utama yang dapat dikesan di Malaysia; Zoysia matrella, Zoysia tenuifolia (yang selalu dipanggil sebagai Philippine grass) dan Zoysia Japonica. Saya ada menulis tentang kekeliruan dan perbezaan dua spesis Zoysia sebelum ini.
Pandangan dekat tentang dua spesis Zoysia yang berbeza.
Untuk pengetahuan; Zoysia matrella digunakan sebagai rumput fairway dan rough di padang golf dan Zoysia tenuifolia dijual sebagai rumput halaman di kebanyakan nursery di Malaysia. Saya tidak dapat jumpa lagi Zoysia japonica setakat ini tetapi saya mungkin terkeliru di antara tenuifolia dan japonica.
Yang tak bestnya tentang Zoysia biasa (atau Zoysia original) ialah
kebanyakkan spesis Zoysia berwarna hijau muda – walau banyak mana baja di campak ke atasnya;
ia lebih tumbuh menegak dari menjalar, ertinya kena rajin memotong kerana ia cepat panjang.
Di masa yang sama ini (kecenderungan tumbuh menegak dari menjalar) juga bermakna ia lambat pulih dari kerosakkan dan mengambil masa yang lama utk digunakan selepas tanam.
Daunnya mempunyai unsur silica yang menjadikannya keras. Tetapi kekerasan itu yang akan cepat menumpulkan pisau. Jangan keliru; sifat ini juga menyebabkan ia rumput yang digemari pemain.
Kesemua perkara di atas menjadikan kos penjagaan Zoysia lebih tinggi berbanding rumput Bermuda dan Cowgrass. Tetapi, jika Bermuda dan Cowgrass di jaga pada tahap yang sama yang dipaksa ke atas Zoysia iaitu pembajaan berkala dan pemotongan menggunakan pisau reel atau flail, maka perbezaan kos tidak lah setinggi mana.
Saya berpendapat; jika stadium mampu tahan kos yang tinggi, Zoysia berbaloi untuk di gunakan sebagai rumput padang, tambahan pula kini ada kultivar atau hybrid yang berwarna hijau gelap; salah satunya ialah Zeon Zoysia. Saya kurang jelas samada Zeon Zoysia adalah kultivar (cultivated variety) atau hybrid tapi pada asasnya; ia adalah satu keturunan dari Zoysia matrella dan membawa ciri Zoysia matrellla yang tahan redup dan lasak bersamanya.
Nursery Zeon Zoysia di Thailand
Zeon Zoysia secara dekat
Rumput Bermuda
Bermuda adalah rumput yang popular di padang golf di Malaysia kerana ia mudah di tanam, mudah di bela dan adalah rumput import yang murah. Ada banyak spesis, hybrid dan kultivar yang di tanam di Malaysia. Kadang-kadang – saya nampak serupa aje dari satu jenis ke jenis yang lain tapi tuan punya padang marah kalau saya cakap macam tu.
Rumput Bermuda juga di kenali dengan nama rumput Couch dan mempunyai variety, kultivar dan hybrid yang amat banyak.
Jenis Common Bermuda, Tifway 419, Tifdwarf dan Greenlees Park adalah kultivar atau hybrid yang paling banyak di temui di Malaysia. Selain itu, jenis Numex Sahara dan Windsor Green telah cuba di tanam di Malaysia tanpa kejayaan. Satu-satunya padang stadium yang ditanam dengan Bermuda ialah di Terengganu yang menggunakan Bermuda Princess 77. Terkini, padang latihan FAM di Kelana Jaya juga sedang – pada waktu artikel ini ditulis pada April 2022 – ditanam dengan Bermuda Princess 77.
Rumput Bermuda sangat cepat membiak dan di takuti sebagai rumpai di kawasan ladang-ladang kapas di Amerika Utara. Sifat cepat membiak ini memberikan ia kelebihan cepat pulih dari kerosakkan dan serangan serangga atau penyakit. Kebanyakkan jenis Bermuda berwarna hijau gelap dan tidak perlu pembajaan yang tinggi. Malangnya seperti biasa, ini adalah punca kepada kelalaian pembajaan dan ini membawa kepada kerosakkan kebanyakkan padang golf Bermuda di Malaysia.
Bermuda Princess 77 di Terengganu
Pandangan dekat Bermuda Princess 77 di Terengganu (maaf, saya lupa bawak pembaris jadi guna tali tape milik stadium)
Rumput Serangoon.
Rumput ini bukan rumput rasmi yang ditanam di padang di Malaysia tetapi ia tumbuh sebagai rumpai dan kerana ia cepat merebak, mempunyai rupa hampir sama dengan Cowgrass dan ada padang yang dah hampir 70% ditumbuhi Serangoon tanpa sedar, maka ia diterima pakai juga tanpa sedar. Ia juga tidak mengganggu permainan.
Ia mempunyai warna hijau berbeza sedikit sahaja dari Cowgrass dengan daun yang sedikit lebih kecil.
Kelemahan Serangoon ialah ia cepat dormant bila cuaca panas tetapi ia lebih cepat pulih dan merebak berbanding dengan Cowgrass; di padang yang tiada sistem pengairan yang baik, saya akan dapati banyak Serangoon.
Perbandingan Serangoon dan Cowgrass. Kena letak nama sebab ada orang ciplak gambar tanpa beri kredit; tak malu ke ha?
Dari jauh, tak nampak pun yang mana Serangoon dan yang mana Cowgrass kan?
Rumput macam-macam
Saya pernah tengok padang bola yang mempunyai padang di penuhi dengan rumput yang saya kenal sebagai Buffalograss (bunganya macam Cowgrass tapi daunya hijau muda dan lebih kecil) dan ia memberi hasi yang memuaskan. Untuk hasil yang lebih cantik, saya mencadangkan pembajaan menggunakan baja foliar (kerana penyemburan lebih tepat) untuk menjadikan padang lebih hijau.
Rumput Lovegrass mampu menjadi permukaan permainan yang baik, malangnya bunganya yang melekat di seluar menjadikan ia rumput yang di benci.
Banyak padang bola di Malaysia yang mempunyai rumput yang bercampur-campur kerana tidak di bela dengan baik. Adakah ini boleh diterima? Asalkan konsep utama penyelenggaraan padang di pegang: supaya padang adalah adil dan selamat kepada semua pemain, ia bukan masalah besar.
Jenis rumput sepatutnya tidak penting kepada permainan tetapi pilihan terpulang kepada stadium atau tuanpunya padang itu sendiri. Mereka mempunyai alasan sendiri untuk pilihan asal sewaktu pembinaan. Malangnya, selalunya padang akan ‘hancur’ bila tiba waktu penyelenggaraan jangka masa panjang. Lebih banyak perhatian di beri kepada tempat duduk dan kawasan VIP daripada kepada kawasan padang (dan tandas awam).
Walau apa pun rumput yang digunakan, nasihat saya ialah supaya mempunyai rejim dan rutin yang tetap untuk penjagaan dan penyelenggaraan. Tetapkan pembajaan setiap bulan atau dua bulan atau empat bulan atau enam bulan; jangan sekejap baja sekejap tak baja. Adakan rutin pengudaraan dan dethatching yang sepatutnya menurut keperluan, jangan tak buat.
Banyak padang yang rosak; walau apapun rumput nya, kerana penjagaan dan penyelenggaraan yang tidak di lakukan menurut jadual atau tidak di lakukan langsung atas nama mengurangkan kos. Ada banyak cara saya boleh cadangkan untuk mengurangkan kos dengan tidak menjejaskan kesihatan fairway. Contohnya tukar jenis baja, tinggikan K, kurangkan N, guna foliar; jangan dethatch tapi guna slicer dan sebagainya.
Selagi profesionalisme penyelenggaraan tidak di atasi, tanam lah rumput apapun, walaupun Cowgrass, ia akan menjadi padang yang tidak di gemari tidak lama lagi.
Pemilihan Rumput
Saya pernah menulis tentang cara untuk memilih rumput dengan menjawab tiga persoalan penting iaitu memikirkan tentang 3K iaitu Kegunaan, Kemampuan dan Keadaan. Anda boleh baca di sini tentang cara itu tapi mungkin saya tak cerita tentang pengalaman saya mencadangkan rumput Zoysia di sebuah stadium di bandaraya tetapi dimalukan bila cadangan saya ditolak saat terakhir kemudian rumput yang mereka pilih tak menjadi; cari saya balik.
Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin.
Terdapat empat negara di dunia ini yang mengamalkan pengkasian secara kimia ke atas pesalah-pesalah seks. Dalam industri rumput, kita juga mempunyai bahan kimia yang menyebabkan rumput “tidak naik”.
Saya pernah menghadiri suatu pameran mesin pemotong rumput di utara semenanjung yang dipenuhi oleh kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Salah seorang dari mereka bertanya kepada saya mesin yang boleh potong diwaktu musim hujan. Dia mempunyai masalah memotong rumput kawasan basah kerana bekas tayar mesin meninggal kan kesan buruk malah merosakkan padang. Dia nak cari mesin potong yang mempunyai tayar besar atau terapung (?)
Saya jawab, “potong secara kimia”
Macamana tu? Dengan menggunakan bahan kimia yang akan membantutkan pertumbuhan rumput atau plant growth regulator (PGR). Menggunakan PGR ini memaksa rumput utk mengurangkan pemanjangan batang dan daun maka melambatkan pertumbuhan mereka. Ini mampu mengurangkan kekerapan pemotongan dan menjadikan padang kelihatan lebih kemas. Tentunya dia tak percaya dan tak berminat. Mungkin mesin potong terapung lebih menarik.
Secara tidak langsung bila potong, sampah kurang dan penambahan thatch juga terkawal. Pengalaman saya, spesis Zoysia sangat memerlukan PGR kerana Zoysia tumbuh pada kadar yang cepat. Begitu juga dengan padang yang menggunakan Bermuda Tifway 419 yang mempunyai stolon yang lebih ternaik berbanding Bermuda lain; penggunaan PGR membantu membenam stolon dan padang kelihatan lebih cantik.
Saya gunakan dengan banyak sewaktu saya kerja di padang golf dan saya masih menggunakan nya semasa di padang bola. Kerana kadar yang diperlukan amat sedikit, sebotol boleh bertahan berbulan bulan. Selain dari digunakan sewaktu menyembur baja mikronutrien, saya juga gunakannya dalam bancuhan cat buat garisan padang. Pelambatan rumput yang ada garisan ni panjang, menyebabkan cat tahan lama sedikit (faktor hujan dan siraman perlu di ambil kira juga).
Di padang golf yang sebesar ratusan ekar saya tambah penggunaan PGR di tebing bunker dan lereng bukit seminggu sebelum bulan puasa. Ini kerana saya kurangkan tenaga kerja utk potong tebing dan lereng dan sebarang kerja manual sewaktu bulan puasa. Jadi, bulan puasa saya boleh fokus kepada kerja pengudaraan tanah green.
Di musim hujan hujung tahun pula (ni cerita sewaktu musim hujan lebih boleh dijangka berbanding sekarang) saya sembur di hampir semua kawasan yang saya potong sebab saya kurang kan nak risau tentang rumput panjang tetapi tak boleh potong kerana padang basah.
Terkini, ada “krisis” berlaku di Malaysia kerana PGR jenis Maxx dah habis dan yang ada hanyalah jenis EC. Pengguna dan penjual pun jadi nervous (mungkin bukan anda, orang lain lah) sedangkan kedua dua botol mempunyai bahan aktif yang sama iaitu trinexapac ethyl (pada kuantiti berbeza) walaupun bahan lengainya adalah berbeza.
Sebenarnya EC (emulsified compound) adalah PGR ori, Maxx ni baru dicipta kerana bahan lengai dalam EC mempunyai bau yang tengik dan dalam Maxx ni tiada bau, so mereka jual lebih mahal sedangkan bahan aktif kurang.
Siapa sangka pengguna lebih mahu jenis Maxx? Malahan, saya tak sangka ramai lagi profesional di bidang rumput (I’m looking at you Course Superintendents) yang masih tidak menggunakan PGR di tebing bunker dan slope bukit. Bukan kah ini peluang utk dapatkan rumput yang cantik (tambah baja foliar tiap 2 bulan) dan tulin (selang sebulan dengan racun rumpai selektif) sambil mengurangkan pemotongan?
Kenapa hanya guna di green utk dapatkan greenspeed sedangkan itu belum dibuktikan pun? Guna lah di fairway kerana masa itu juga boleh spray baja mikronutrien utk mendapatkan kehijauan lebih pekat dan jika fairway anda ialah Bermuda atau Zoysia, anda boleh juga campur dengan racun memilih (selective herbicide) sewaktu spray PGR ni.
Baru saya mengerti takat mana industri potong rumput di Malaysia ni traditional dan conservative: takut pada perubahan.
Empat negara itu ialah Indonesia, Republik Czech, Ukraine dan Pakistan. Anda boleh baca tentangnya di sini.
One-Time
Monthly
Yearly
Menulis dan mengelola laman web ini memerlukan wang dan masa. Sedikit bantuan dari anda amat dihargai.
Saya sering mengatakan bahawa cara terbaik untuk mendapatkan permukaan padang yang rata bukanlah dengan cara menggelek (roll) tetapi cara terbaik ialah dengan hias-atas (topdress) menggunakan pasir (selalunya).
Saya tak kata jangan menggelek, malah saya galakkan menggelek selalu tetapi saya kata jangan menggelek dengan penggelek yang berat.
Walaubagaimanapun, terlalu banyak pasir digunakan semasa hias-atas membawa masalah tertentu juga. Terutamanya bila kita bercerita tentang hias-atas tebal sekaligus.
Begini, pada setiap ketika, padang dengan rumput yang subur menghasilkan bahan organik yang terdiri dari daun rumput, akar dan lain-lain flora dan fauna yang akan mereput sebagai thatch dan mat; salah satu sebab kita lakukan hias-atas ialah kita mahu ‘cairkan’ (dilute) thatch itu dengan pasir.
Tetapi, jika kita gunakan jumlah pasir terlalu tebal pasir tersebut akan menjadi satu lapisan di atas lapisan thatch, bukan mencampuri dalam thatch.
Maka apa akan jadi jika kita letak pasir terlalu tebal ialah pasir akan menjadi satu lapisan yang kemudiannya thatch baru akan terbentuk di atas lapisan pasir itu.
Selepas beberapa bulan, kalau kita amalkan benda yang sama (hias-atas tebal), akan berlaku lagi satu lagi lapisan pasir, kemudian ini akan membentuk satu lagi lapisan bahan organik di atas lapisan pasir tersebut.
Ulang berkali-kali selama bertahun tahun dan tanah kita akan kelihatan seperti kuih lapis.
Ini boleh diburukkan lagi jika pasir yang digunakan tidak konsisten dari satu musim ke musim seterusnya. Kadang kadang pasir yang banyak kandungan bahan kasar, kadang-kadang pasir yang banyak kandungan selut. Butiran selut akan berhijrah (migrate) ke pasir kasar dan menyumbat ruangan di antara butiran pasir kasar; akhirnya anda akan lapisan tidak tembus air.
Tiap-tiap lapis akan menapis, melambat atau menghalang pergerakan air dan udara ke bawah. Ini boleh menghasilkan padang yang basah dan di musim kering yang padang perlu disiram, kawasan yang lebih kering dari yang lain.
Gambar-gambar di dalam blog ini bukan dari internet, tapi dari lawatan saya di beberapa padang di Malaysia sejak 20 tahun lalu. Semuanya ada stamp laman web ini kerana ada orang yang ciplak tanpa merujuk semula kepada laman web ini. Tak malu ke?
Gambar pertama ini adalah pada awal abad ini (lebih kurang 2003/04) dari sebuah kelab golf terkenal di Lembah Kelang yang mempunyai masalah green. Padang dijaga oleh seorang superintenden berpengalaman dengan rumput lama tetapi ini adalah rumput dan cara penanaman baru dan dia membuat kesilapan melakukan hias-atas terlalu tebal BERBANDING dengan keupayaan rumput itu membuat thatch. Maka pasir dari hias-atas membentuk satu lapisan baru, bukan “mencairkan” (dilute) thatch.
Ini adalah profile sebuah padang golf (kedua-dua adalah gambar sama) yang di jaga oleh seorang Superintendent Otai yang percaya kepada topdress tebal tapi sekali sekala.
Di bawah pula ialah profil tanah di lubang 14 sebuah padang golf yang mana superintenden nya secara sengaja atau mungkin tanpa pengetahuan tentang pelapisan yang berlaku di padangnya, melakukan kerja-kerja pengudaraan serampang berongga (hollow-tine). Malangnya kerja pengudaraannya tidak cukup dalam untuk menembus kesemua lapisan. Pengudaraan berongga adalah cara terbaik untuk mengatasi masalah lapisan ini. Pasir yang masuk ke dalam lubang pengudaraan membantu aliran air dan udara ke bawah yang tersekat oleh pelapisan. Tapi jangan lah pula buat hias-atas terlalu tebal seperti mereka! Ini akan menghasilkan lapisan baru pula. Gunakan besi berongga besar, buang sampahnya dan guna pasir sesuai yang masuk ke dalam lubang tanpa terlalu tebal di atas permukaan.
Kesan hollow-tine di kawasan lapisan.
Jika anda sangka saya cuma ada gambar green sahaja anda silap. Saya gunakan alat soil profiler di green tetapi di fairway atau padang, saya mungkin perlu gunakan cangkul, pisau atau pengganti lubang (hole changer). Pelapisan juga berlaku di kawasan landing zone di sebuah fairway yang bermasalah walau ditopdress berkali-kali (sebenarnya kerana ia ditopdress berkali-kali).
Boleh kah anda lihat kesan pelapisan? Lapisan hitam (black layer) sudah mula terbentuk di bahagian lapisan bawah sekali .
Tahukah anda apa worst-case scenario kesan pelapisan? Udara tidak sampai ke bawah dan menyebabkan berlakunya pernafasan anaerobik di lapisan organik (iaitu lapisan thatch dulu) dan membentuk Lapisan Hitam (black layer) yang toksik kepada akar rumput. Seperti gambar di bawah.
Lapisan thatch telah menjadi lapisan hitam (black layer)
Baiklah; dah banyak cerita seram tentang hias-atas ni, apa yang betul? Paling senang ialah hias-atas nipis tapi selalu. Dengan alat terbaru yang menggunakan spinner, hias-atas boleh dilakukan dengan amat nipis sehinggakan orang putih panggil ia sebagai dusting atau pendebuan pasir. Lakukan dua minggu atau seminggu sekali. Tiada topdresser spinner? Gunakan topdresser biasa dan lakukan sebulan sekali. Ingat apa yang kita nak buat ialah “mencairkan” thatch kita, bukan menenggelamkannya.
Paling susah ialah dengan mengenali dan mengukur kecepatan padang kita menghasilkan thatch dan menambah pasir sekitar 3 – 4% dari jumlah thatch tersebut.
Di bawah adalah gambar contoh padang yang mempunyai sistem topdressing yang baik tapi saya rasa pada musim kering mereka akan mempunyai masalah padang terlalu panas kerana nampak macam thatch hampir tiada langsung. Padang juga mungkin keras. Thatch diperlukan untuk bertindak sebagai sungkupan utk melindungi akar rumput dari cuaca panas dan bertindak seperti span utk menyerap hentakan.
Profil tanah yang hampir ideal.
Akhir kata, lakukan topdressing berpadanan dengan pertumbuhan rumput anda. Elakkan topdressing tebal walau apa tekanan anda hadapi. Lakukan topdressing sikit tetapi selalu. Jangan guna penggelek berat.
Untuk maklumat lanjut tentang penjagaan padang; hubungi saya di mynormasATconsultant.com (gantikan AT dengan @) atau talipon O3-5I3I OO66 dan biarkan ia berdering lama.
Untuk mengetahui ilmu penjagaan rumput seterusnya, “Follow” laman web ini dengan memasukkan email anda di bahagian atas sebelah kanan. Saya biasa menulis satu atau dua kali sahaja setiap bulan.
Sila sudi klik gambar iklan di artikel in, ia adalah salah satu sumber pendapatan untuk laman web ini. Ataupun anda boleh menderma kepada saya melalui link di bawah. Mengendalikan laman web ini dan menulis di dalamnya mengambil masa dan memerlukan sumber kewangan. Sumbangan anda amatlah saya hargai.
Your contribution is appreciated.
Terima kasih.
One-Time
Monthly
Yearly
Make a one-time donation
Make a monthly donation
Make a yearly donation
Choose an amount
¤5.00
¤15.00
¤100.00
¤5.00
¤15.00
¤100.00
¤5.00
¤15.00
¤100.00
Or enter a custom amount
¤
Mengendalikan laman web ini dan menulis di dalamnya mengambil masa dan memerlukan sumber kewangan. Sumbangan anda amatlah saya hargai. Your contribution is appreciated.
Di zaman internet yang mana pengetahuan boleh didapati di hujung jari, ramai orang yang rasa mereka dah tahu segalanya.
Sebenarnya ini berlaku di zaman dulu lagi. Petikan “A little knowledge is a dangerous thing” adalah sebahagian dari puisi yang ditulis oleh Alexander Pope (1688-1744) pada abad ke 18 yang sebenarnya mengatakan “A little LEARNING is a dangerous thing” atau belajar sikit-sikit adalah merbahaya.
Ya dari dulu lagi manusia risau tentang orang yang mempunyai sedikit pengetahuan tertipu bahawa kepakaran mereka lebih tinggi dari sebenarnya dan ini boleh membawa kepada kesilapan dalam tindakan, nasihat atau komen.
Apatah lagi sekarang ramai yang rasa dah pandai dan boleh komen lepas tengok 10 minit video di YouTube atau tiga video TikTok atau beberapa posting di FB/Insta. Kadang-kadang tak tengok sampai habis pun, cuma tengok sikit-sikit atau baca tajuk saja. Tak sempat pun tengok siapa tulis, bila atau periksa nama TikTok/FB/Insta tu nama betul atau nama samaran.
Dulu masa saya kerja kelab golf, ada juga pengurus yang jadi pandai bila balik dari melawat kelab lain (atau terima lawatan dari pengurus kelab lain atau penjual baja) dan akan mula menjadi penasihat kepada penjaga padang tanpa memikirkan tentang perbezaan di antara rumput, sejarah penyelenggaraan, jenis pasir dan sebagainya.
Anda rasa mereka nak dengar penjelasan? Tentu tidak sebab mereka rasa mereka dah tahu. Kadang-kadang mereka akan cakap berlapik “Anda tentu lebih tahu” tapi mereka nak jugak buat ikut cakap mereka.
Ada juga saya dengar cerita tentang padang yang rosak akibat pegawai perolehan (purchasing officer) merasa lebih tahu dari pegawai padang yang tak nak terlalu menekan tentang nak beli dari mana kerana takut dituduh pilih kasih kepada pembekal tertentu.
Sesungguhnya kita tak perlu sombong dengan ilmu yang kita ada kerana sebenarnya sikap kita seharusnya “lebih banyak kita tahu, lebih banyak kita tahu masih banyak lagi yang kita tak tahu”.
Kita – TAK ADA ORANG – yang tahu semua benda. Kita mesti mempunyai sikap utk menghormati ilmu dan pengalaman orang yang dalam bidang itu. Di masa yang sama, orang yang dah lama dalam bidang itu juga perlu ada sikap bahawa mereka tidak tahu semua dan perlu lebih banyak mendalami ilmu yang berkaitan.
Puisi Alexander Pope berterusan mengatakan “drink deep or taste not the Pierian spring” iaitu ditafsirkan sebagai mengatakan, kalau nak belajar, belajar habis-habisan atau jangan belajar langsung.
Saya kira bukan lagi satu rahsia bahawa syarikat saya, Turf Consultancy Sdn. Bhd ialah syarikat yang di minta untuk membaiki padang di stadium MBPJ. Keadaan padang kelihatan begitu basah dan becak di empat perlawanan pada awal bulan Mei 2021 malah sebelum itu lagi padang itu di lihat basah setiap kali perlawanan selepas hujan.
Keadaan padang dipandang dari jauh. Keadaan padang dipandang jarak dekat.
Saya tidak mahu pergi terlalu dalam tentang masalah yang di alami oleh padang tersebut tetapi saya ingin fokus kepada apa yang saya akan lakukan utk membaiki keadaannya. Terdapat dua fasa utama.
Pemasangan sistem longkang subtanah.
Membaiki profil tanah sekarang.
Pertama. Memasang sistem longkang subtanah untuk mengeluarkan lebihan air dari dalam padang. Saya akan memasang sekitar 1,000 meter longkang subtanah di padang tersebut. Sistem longkang subtanah ini akan membantu lebihan air keluar dari padang dan memberi satu ‘water table‘ atau tahap air bawah tanah yang mampu diterima rumput. Water table yang terlalu tinggi menyebabkan air cepat naik ke permukaan setiap kali hujan lebat dan akar yang pendek dan water table yang terlalu rendah menyebabkan padang cepat kering setelah beberapa hari tak hujan. Saya mempunyai hanya 50 hari untuk menggali longkang, memasang paip dan membaiki permukaan padang sebelum perlawanan seterusnya pada 9 Julai 2021.
Kedua. Mengganti profil tanah sedia ada dengan profil yang lebih baik. Profil tanah sekarang adalah lumpur yang terdiri dari selut (silt) tanah liat dan bahan organik yang dipanggil thatch. Kesemua ini akan memegang air dari masuk ke longkang subtanah ataupun mengalir di atas padang sebagai larian permukaan (surface runoff). Untuk ini, saya perlu melakukan kerja “serampang berongga” atau hollow tine yang akan menarik keluar lumpur tadi dan saya akan gantikan dengan profil baru terdiri dari pasir halus (secara mudahnya). Oleh kerana padang ini digunakan (bukan padang yang ditutup hingga siap kerja) maka saya memerlukan masa yang lebih lama untuk kerja ini.
Profil tanah sekarang; dari kiri, rumput, lumpur, lapisan tanah liat kemudian pasir halus.
Di satu bahagian padang, air dalam lumpur telah menjadikan akar pendek dan reput.
Setiap kali saya melakukan kerja hollow tine, saya hanya mengeluarkan sebahagian kecil dari profil tanah tersebut bererti saya perlu lakukan kerja hollow-tine berulang ulang kali sebelum ia menampakkan hasil. Selain itu, saya juga akan melakukan kerja-kerja hias-atas (topdressing) dengan niat pasir baru akan menjadi profil yang lebih baik utk padang. Saya perlu berhati hati supaya topdressing saya tidak terlalu tebal kerana ini pula akan menyebabkan ‘kesan pelapisan’ atau layering effect.
Gerak perlahan video serampang berongga (hollow-tine) sedang dilakukan.
Kerja-kerja topdress.
Oleh kerana proses yang saya lakukan dalam fasa kedua ini perlu dilakukan secara perlahan-lahan maka kesan ketara pembaikan padang stadium MBPJ mungkin tidak akan kelihatan secepat yang beberapa pihak sangka. Ia bukan lah semata-mata: pasang longkang subtanah dan secara automatik padang akan jadi cantik. Saya kena tukar isi padang itu dulu.
Doakan yang terbaik.
Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin.
Seorang jurulatih bola sepak pernah memberitahu saya bahawa pemain dari luar negara sering bertanya kepada dia, kenapa di Malaysia padang golf lebih baik keadaannya dari padang bolanya?
Tentunya ia bukan ukuran yang boleh merangkum semua padang bola dan semua padang golf di Malaysia. Saya membuat beberapa kesimpulan sendiri: pertama, bahawa ramai pemain bola – terutamanya dari luar negara – adalah juga pemain golf dan keduanya, mereka tidak bermain di SEMUA padang golf di Malaysia, mungkin hanya padang terkemuka di sekitar ibu negeri di Malaysia.
Namun, bila dibandingkan keadaan padang secara umum, pada pendapat saya ada beberapa sebab seperti berikut yang memberi kesan kepada persepsi di atas.
Profil tanah
Bajet
Ilmu
Cara pembinaan
Mesin
Roll
Mungkin ada beberapa sebab lagi tapi jika anda fikirkan bahawa salah satunya ialah penggunaan padang golf tidak “seganas” penggunaan padang bola; anda silap. Padang golf digunakan hampir setiap hari iaitu 365 hari setahun, dari 7.30 pagi hingga gelap malam (itupun ada padang golf yang ada lampu utk permainan malam). Padang golf rata-ratanya menggunakan rumput import dan ada yang dipotong serendah 3mm (bayangkan 3-4 keping duit siling 50 sen).
Jika ada padang bola yang kata “tak mungkin boleh guna lasak tetapi masih cantik” ; saya kata boleh dan sebab utamanya ialah kerana padang golf boleh pindahkan lubang (umpama gol di padang bola) dan tee (tempat sepak-mula) mereka sekerap yang mereka mahu. Bila saya cadangkan pemindahan tiang gol setahun sekali sebanyak 1m ke kanan dan 0.5m ke hadapan kepada padang bola; saya hampir ditertawakan.
Padang golf juga mempunyai pasukan penyelenggara yang cekap dan lengkap dengan peralatan untuk menggantikan kawasan yang rosak atau mati dengan rumput baru jika pembajaan khas, pengudaraan tanah atau hias-atas tidak membantu.
Kebanyakan padang bola akan membiarkan kawasan depan gol, tempat larian penjaga garisan dan tempat sepak-mula; botak atau mati dengan gelengan kepala dan tudingan jari.
Tapi dalam artikel ini saya nak fokuskan kepada profil tanah. Secara spesifiknya kepada konsep “tanah atas” atau topsoil yang tidak lagi digunakan secara rasmi di padang golf tetapi digunakan secara luas di hampir semua padang bola (mungkin kecuali padang bola yang direka atau ditanam oleh orang putih atau orang Jepun).
Saya tak nafikan ada juga padang golf yang masih kata mereka mahukan topsoil tapi itu biasanya akibat tabiat lama yang di bawa ke tempat baru.
Kenapa saya anti-topsoil? Ada beberapa sebab:
Kerana dikebanyakan masa, ia tidak didefinasikan
Selalunya ia datang dalam bentuk tanah liat yang mudah mampat. Tanah liat ini dan digabungkan dengan kegemaran “menggelek” oleh kebanyakan penjaga padang, menyebabkan padang itu menjadi keras sewaktu musim kering dan lecak di waktu musim hujan.
Jika ia betul-betul tanah atas, ia berpotensi mengandungi pelbagai bahan flora (yang akan muncul sebagai rumpai) dan fauna (yang mungkin patogen penyakit atau serangga perosak rumput).
Kesuburan tidak sekata topsoil; contohnya, utk mendapatkan tanah atas setebal 100mm (empat inci) utk padang seluas 6,000 meter persegi (padang bola 100m x 60m) kita perlu korek tanah sedalam 200mm (lapan inci) di kawasan seluas 3,000 meter persegi atau 300mm di kawasan seluas 2,000 meter persegi. Kesuburan topsoil di 100mm atas tak akan sama dengan topsoil 250mm di bawah, dan topsoil di satu kaki persegi di “sini” tak mungkin akan sama dengan kesuburan topsoil di “sana”. Maka jika kita taburkan topsoil di padang, kesuburan di padang juga tidak sama.
Padang golf tidak lagi menggunakan “topsoil” sejak 1960an bila Cara USGA diperkenalkan. Malangnya Cara USGA terlalu rumit dan perlukan piawaian pasir yang terlalu ketat. Maka beberapa orang professor dari universiti dari California memperkenalkan cara baru yang dipanggil “cara California”. Ada yang merasakan ini terlalu mudah dan menggabungkan kedua-dua sistem mendapatkan sistem “hybrid California”.
Padang-padang sukan di barat juga tidak ketinggalan dan mengambil pelajaran dari sistem-sistem tersebut dan mengolah cara mereka sendiri tanpa lagi menggunakan “topsoil”.
Jangan salah faham dan mengatakan bahawa “Orang barat bolehlah; mereka banyak duit”. Jika bajet adalah isu, mereka mempunyai satu cara yang dinamakan “native soil” field. Mereka tidak menipu diri sendiri dengan kata mereka mengimport topsoil yang subur, sebaliknya mereka hanya meracun tumbuhan di atas tanah yang mereka mahu bina padang, bajak, ratakan, camber (sebutannya kemb-ber) supaya air boleh mengalir atas permukaan dan kemudian tanam rumput di atasnya. Kosnya jauh lebih murah dari mengorek keluar tanah dari bawah dan gantikannya dengan “topsoil” yang kononya di import dari bukit 20km dari tapak tetapi akan memberi hasil yang sama dengan tanah “native soil” tadi.
Secara ringkasnya, apa yang padang golf Malaysia dan padang bola di negara barat buat ialah membuang lapisan permukaan sedalam hingga 18 inci (lebih kurang, tengok sistem mana yang digunakan) hingga tanah itu kelihatan seperti sebuah mangkuk atau pinggan dalam dan selepas meletakkan longkang subtanah di bawah dasar mangkuk itu, pasir diletak di atasnya. Sebanyak mana anda letak topsoil sebanyak itulah pasirnya dari enam hingga ke 18 inci.
Profil tanah padang golf (bukan green).
Secara teorinya, apa yang berlaku ialah pasir akan memberi laluan mudah kepada air untuk meresap ke bawah dari “topsoil” yang sebenarnya adalah tanah liat.
Jika anda kata “Eleh… padang kat kampung dah 20 tahun elok jer”. Saya rasa kampung anda adalah salah satu tempat bertuah dulu-dulu bila kontraktor benar-benar menggunakan “topsoil” yang mempunyai nisbah pasir kepada bahan organik yang baik.
Jika anda ingin bersikap defensive dan berkata “eh! Aku pakai pasir lah lepas tu aku letak topsoil kat atas nya”. Jika anda gunakan “topsoil” yang mempunyai tanah liat, hasilnya tetap sama. Tanah liat itu akan menghalang atau melambatkan aliran air ke bawah. Malah, pada jangkamasa panjang, butiran halus dari tanah liat akan berhijrah (migrate) ke lapisan pasir dan menyumbat ruang di antara ketul-ketul pasir di bawahnya. Begitu juga jika anda meletak pasir di atas lapisan tanah liat. Tanah liat akan menghalang air turun ke bawah.
Tanah liat menghalang atau setidaknya melambatkan air dari turun ke bawah.
Baiklah, apa alternatifnya? Apa cadangan saya untuk mendapat padang yang mengalirkan air ke bawah dengan lebih cepat supaya padang boleh digunakan dengan segera? Adakah kos nya lebih tinggi? Adakah teknologi nya terlalu canggih sehingga kontraktor biasa di Malaysia tak dapat buat?
Walau tinggi mana saya belajar atau banyak mana pengalaman saya, kalau bukan orang putih yang kata, tak ada orang Malaysia yang nak percaya kan? Maka saya petik nama dua orang putih; Dr. John Madison dan Mr Bill Davis dari University of California yang selepas membuat beberapa ujikaji mengatakan bahawa meletakkan pasir di atas sistem saliran longkang subtanah adalah cara yang boleh diterima utk membina padang golf.
Di bahagian empat inci (ada orang buat dua inci sahaja) teratas, mereka campurkan bahan organik sebanyak 5 – 10% mengikut isipadu utk dijadikan sebagai “zon akar” (root zone). Salah satu kesan sampingan di sini ialah kesuburan padang anda akan sekata kalau anda bancuh bahan organik tadi dengan sekata berbanding jika anda guna tanah atas yang mungkin lebih subur di sebelah kanan padang dari sebelah kiri kerana punca tanah atas anda TIDAK MUNGKIN dari sumber yang sama.
Tapi awas, cara pembinaan ini memerlukan penyiraman yang berterusan pada peringkat awal. Pada peringkat seterusnya, Malaysia mempunyai lebih kurang dua bulan kemarau dan selebihnya adalah bulan yang mempunyai hujan. Asalkan anda ada paip tepi padang dan hos panjang serta jadual pembajaan yang tetap, insya Allah padang anda boleh lebih banyak kali digunakan dari padang yang di buat dari “tanah atas” (topsoil) yang silap-silap mempunyai benih pelbagai jenis rumpai ataupun pokok!
Akan datang kita akan bincang lagi sebab-sebab lain kenapa padang golf di Malaysia secara amnya lebih baik dari padang bola Malaysia.
Jika anda inginkan lebih maklumat (rujukan dari orang putih) anda boleh baca huraian lanjut di sini.
Untuk maklumat lanjut tentang penjagaan padang; hubungi saya di mynormasATconsultant.com (gantikan AT dengan @) atau talipon O3-5I3I OO66 dan biarkan ia berdering lama.
Untuk mengetahui ilmu penjagaan rumput seterusnya, “Follow” laman web ini dengan memasukkan email anda di bahagian atas sebelah kanan. Saya biasa menulis satu atau dua kali sahaja setiap bulan.
Sila sudi klik gambar iklan di bawah artikel in, ia adalah sumber pendapatan untuk laman web ini. Terima kasih.
Saya Normas Yakin Arifin, kepakaran saya ialah penjagaan dan pemulihan padang serta rumput. Jika padang anda bermasalah dan anda perlukan bantuan hubungi saya di email mynormasATconsultant.com, atau 03 5131 OO66 dan biar kan ia berdering lama. Ia akan disambungkan ke handphone saya jika tiada orang di pejabat. Jangan lupa utk layari dan Follow laman web ini, atau FB mynormas.com atau Instagram mynormas dan terbaru, TikTok Normas Yakin.