Kita ada 12 bulan dalam setahun. Kepada kita yang menjaga padang rumput; bulan yang mempunyai signifikan hanyalah bulan puasa iaitu bulan yang kita lakukan kerja-kerja penyelenggaraan lebih dari biasa dan bulan Disember yang kita anggap sebagai bulan ‘puaka’ kepada mereka yang negatif ataupun kepada mereka yang positif; bulan cuti kerana ini adalah bulan monsun yang mana tak banyak kerja yang kita boleh buat. Malahan kerja rutin biasa seperti potong atau baja (pupuk) juga menjadi masalah.
Saya ingin mencadangkan supaya bulan Ogos di jadikan sebagai ‘bulan mesin’ untuk kita di Malaysia, Indonesia dan juga Singapura yang menyambut hari kemerdekaan pada bulan Ogos ini. Saya cadangkan supaya bulan ini adalah bulan di mana kita bukan sekadar guna water-jet untuk tembak air cuci mesin, tetapi di bulan ini kita akan menggunakan berus dan shampoo kereta untuk mencuci minyak lama, rumput di celah-celah mesin dan tempat duduk dan sebagainya.
Setelah puas hati bahawa mesin adalah bersih sebersih-bersihnya, maka kita pasangkan bendera negara kepada mesin itu untuk menandakan secara simbolik bahawa mesin itu sudah termasuk ke dalam kategori paling bersih.
Kita bukan mahu membuat kenyataan politik (kalau mahu pun peduli apa sama orang lain?) ataupun mahu menunjukkan berapa patriotiknya kita (kalau mahu pun apa salahnya?) tapi untuk kebanyakkan kita yang mahu tahu whats-in-it-for-me maka ia adalah untuk melanjutkan usia mesin kita dan menambah kebanggan pekerja tentang mesin mereka dan juga untuk kita menunjukkan kepada pelanggan dan kepada boss kita bahawa kita bersifat innovatif dan mempunyai inisiatif. Bukan kah nanti lebih senang untuk kita nak minta beli mesin baru satu hari nanti bila kita boleh beritahu dia secara tidak langsung bahawa kita MEMANG penjaga mesin yang berwibawa? Mesin baru tu MEMANG di perlukan, bukan kita tak tahu jaga mesin lama…
Bila boss atau pelanggan datang dan lihat mesin mengibarkan bendera, dia akan tanya; apa hal? Kita beritahu dia bahawa ini adalah ‘bulan mesin’ dan bendera itu hanyalah simbolik kepada pencucian dan kebersihan mesin di kalangan mesin lain.
Hanya untuk shampoo kereta/mobil yang berharga USD1 -2 sebotol, bendera dan batang penyapu pada harga yang sama serta cable tie yang berapa cents untuk ikat tiang bendera itu. Kalau bulan Ogos mesin itu sangat bersih, saya yakin ia akan berterusan sehingga bulan Oktober ataupun November utk tahun ini. Dan jika ini di buat bertahun tahun, siapa tahu ia akan jadi satu tabiat?
Kepada anda yang tersenyum sinis dan berkata “Tak payah. Mesin aku memang tiap-tiap hari bersih”. Maka, kalau ikut hati saya nak menaikkan pandangan mata ke atas (roll my eyes), ketap bibir dan kata “Ya lah tu. Dah berapa lama tak masuk worsyop sendiri? Kau pukul 5 dah balik/tee-off kan?” tapi tak nak lah buat musuh kan so saya akan tersenyum dengan merendah kan diri dan kata “Ya?! Bagusnya. Teruslah pasang bendera!”
Nota:
Untuk menjadikan ini lebih efektif, pembersihan dan pencucian mesin mestilah di lakukan secara asing dan bukan pada lewat petang masa nak cuci mesin lepas potong tetapi pada Sabtu atau Ahad tengahari atau mungkin Jumaat petang. Jadikan ia operasi pencucian lengkap dengan ambil gambar sebelum dan selepas. Jadikan pengadilan untuk tentukan mesin itu bersih atau tidak sebagai suatu benda yang rasmi samada oleh kawan kawan pekerja ataupun anda sendiri. Tepuk tangan masa bagi bendera. Timbulkan kebanggaan. Begitu juga pembukaan/pembubaran bendera (jangan biarkan bendera koyak/kotor/lusuh di mesin; magic nya akan hilang) pada hari atau minggu selepas hari Kemerdekaan. Simpan balik supaya boleh di gunakan pada tahun berikut nya.