Pakar Rumput

Laman Web Rujukan Rumput Tempatan. Local Turf Reference Website

  • Facebook Likes

  • The new Brushcutter

    Pengganti Brushcutter

    Increase productivity, cut labour. Try the AM61A

  • Trees Nursery

    Forest trees nursery

    Get your Trees from this nursery

Avengers, X-Men, Spiderman dan Rumput.

Posted by mynormas on March 10, 2012


Apakah hubungan di antara Avengers, X-Men, Spiderman dan rumput?

Hubungan? Mana mungkin mereka mengadakan hubungan. Cuba soalan lain;  “Apakah persamaan di antara Avengers, X-Men, Spiderman dan rumput?” dan anda boleh mendapat jawapan bahawa mereka semua adalah mutan. Mungkin bukan semua rumput adalah mutan, tetapi beberapa jenis rumput yang di gunakan sebagai  rumput hiasan dan/atau permainan adalah mutan.

Sebelum anda bangun mencari pen marker dan papan tanda untuk buat sepanduk bantahan, mungkin anda perlu baca keseluruhan artikel ini dan seterusnya buat penyelidikan lagi.

Adoi!

Dalam cerita wayang dan komik Spiderman, kita dapat melihat bagaimana En. Peter Parker mendapat kuasanya dari gigitan seekor lelabah radioaktif. Lelabah itu sendiri adalah mutan, dengan kombinasi kebolehan dari spesis pelbagai lelabah lain. Akibat gigitan tersebut DNA Peter Parker telah tertukar dan mengandungi kebolehan lelabah dari pelbagai spesis tersebut.

Ada sekumpulan lagi adiwira-adiwira yang mempunyai lebih banyak lagi kebolehan dan kuasa. Dalam kumpulan yang dinamakan “X-Men” ada orang yang boleh membaca minda orang lain, manusia magnet dan ada orang yang boleh mengawal cuaca dengan lebih cepat dari bomoh-bomoh yang digunakan sewaktu pertandingan golf besar di Malaysia.

Dan yang terbaru sekali ialah The Avengers yang terdiri dari beberapa adiwira mutan (Hulk dan Captain America contohnya) dan beberapa orang biasa (Black Widow dan Hawkeye) serta seorang dewa Norse (teka siapa…)

Disini saya bukan nak bercerita tentang adiwira-adiwira orang putih, saya cuma nak menceritakan tentang mutasi secara umum dan bagaimana mutasi memberi kesan kepada rumput di padang golf.

Mutasi adalah perubahan dalam genetik dan kromosom sesuatu organisma. Genetik yang terdiri dari bahan di panggil deoxyribonucleic acid (DNA), akan menentukan sifat-sifat sesuatu organisma; perubahan dalam DNA akan merubah sifat-sifat organisma tersebut.

Bagaimana mutasi berlaku.

Bukan semua mutasi menjadikan orang mempunyai kuasa pelik. Sejak berzaman, manusia mencari tumbuhan atau haiwan yang mempunyai sifat yang di rasakan paling sesuai untuk keperluan mereka; samada lembu yang paling banyak susu, anjing yang paling besar, kucing yang mempunyai bulu paling lebat, padi boleh mengeluarkan hasil dua kali setahun, durian paling sedap, mangga paling manis dan sebagainya. Kadang-kadang, penemuan itu berlaku secara tak sengaja; samada terjumpa di negara lain, tempat lain, musim lain dan sebagainya. Kadang kadang, ia berlaku melaui proses ‘pengawinan’ atau percampuran baka. Kadang-kadang, ia adalah hasil dari kerja penyelidik di dalam makmal. Selalunya, proses yang dihasilkan ialah ‘mutasi’.

Selepas sedikit penyelidikan, saya menjumpai fakta bahawat terdapat dua jenis mutasi: yang pertama di panggil sebagai Mutasi Spontan, yang bermakna mutasi berlaku secara rambang tetapi secara semulajadi.

Untuk menghasilkan tumbuhan yang mempunyai sifat baru; kadar mutasi semulajadi adalah terlalu perlahan dan tidak boleh di harap untuk menghasilkan tumbuhan (bukan sahaja rumput) yang di kehendaki penyelidik.

Dalam tahun 1920an penyelidik mendapati bahawa perbezaan variasi atau mutasi dalam tumbuhan boleh di tambah bila tumbuhan asal di dedahkan kepada X-ray. Penyelidikan secara mutasi bertambah maju selepas Perang Dunia Kedua bila zaman nuclear memberi teknik baru kepada para penyelidik. Tumbuhan di dedahkan kepada sinar gamma, proton, neutron, partikel alpha dan beta dan para penyelidik akan mengumpul sampel untuk melihat samada sinar-sinar ini boleh mengakibatkan mutasi.

"Aku dah kata jangan cakap talipon masa aku tengah putting. Kan aku dah marah. Kau takkan suka aku masa aku marah"

Mutasi seperti ini adalah Mutasi Terdorong atau Mutasi Paksaan; jenis yang sama seperti yang berlaku kepada Dr. Bruce Banner yang bila marah akan menjadi Incredible Hulk.  Asal cerita si-Hulk ini ialah bila Dr. Banner terdedah kepada sinar gamma bila sebuah bomb gamma meletup. Ada versi lain mengatakan dia terdedah kepada sinar gamma dalam suatu ujikaji yang tersilap.

Asal-usul Tifdwarf

Di padang golf yang di tanam di kawasan beriklim panas seperti di Malaysia, green selalunya (90%) adalah dari jenis Bermuda Tifdwarf. Memanglah Tifdwarf di satu padang nampaknya macam tak sama di padang lain; malahan kadang kadang Tifdwarf di Lubang 1 tak sama dengan Tifdwarf di Lubang 6; sebenarnya kalau nak cakap betul-betul, banyak kelab golf yang di atas satu green pun nampak macam ada beberapa sub-spesis Tifdwarf lagi.

Cerita asal-usul Tifdwarf bermula dalam tahun 1920an: adalah di laporkan bahawa green di bahagian selatan Amerika Syarikat yang mempunyai iklim panas menggunakan rumput Common Bermuda. Ia tak boleh dipotong kurang dari 10 mm dan senang di serang penyakit. Dari dulu lagi, penjaga padang golf mahu rumput di kawasan green di potong rendah supaya bola boleh bergerak laju bila di pukul dengan kayu putter.

Para penyelidik membuat pencarian untuk rumput yang boleh tahan di potong rendah dan lali penyakit, tahan serangga, lasak dan mampu hidup di kawasan panas.

Dalam tahun 1950an di Tifton, Georgia, suatu variety baru rumput Bermuda telah di temui. Ia di namakan Tifgreen atau Tifton 328. Rumput ini mempunyai beberapa sifat yang di kehendaki tadi dan lebih baik dari Common Bermuda. Secara perbandingannya, jika Common Bermuda boleh dipotong pada ketinggian 10mm, Tifgreen boleh dipotong pada ketinggian 8 atau pun 5mm untuk jangkawaktu singkat. Varieti ini telah di biakkan dan di hantar kepada kelab-kelab golf yang berhampiran untuk di uji di atas green.

Beberapa tahun kemudian, ada beberapa di antara kelab-kelab ini yang mendapati dalam plot ujian mereka terdapat beberapa kelompok atau tompokan rumput yang bersifat kenit. Mereka percaya bahawa rumput kenit ini adalah mutasi dari Tifgreen yang sedang di uji. Rumput kenit ini di biakkan dan di uji sifatnya berbanding dengan Tifgreen dan rumput lain yang digunakan diatas green ketika itu dan didapati rumput itu lebih baik. Rumput itu dinamakan ‘Tifdwarf’ dan kini ia digunakan di merata tempat panas yang tidak boleh digunakan Bentgrass (sejenis rumput musim sejuk) di atas green.

Penggunaan Mutasi di Padang Golf

 

Ketiga-tiga contoh rumput ini di ambil dari tiga tempat berbeza di atas satu padang golf. Kononnya ketiga-tiga nya adalah Tifdwarf. Tapi kenapa mereka berbeza sifat?

Soalan selanjutnya; adakah mutasi lain di atas green di padang golf?

Mutasi yang berlaku ke atas rumput ini adalah bersifat progresif atau berlanjutan. Jika anda perhatikan betul-betul, anda mungkin ingat bahawa anda pernah melihat tompokan warna yang luarbiasa di atas green yang anda pernah main. Terutama nya di atas green yang sudah tua.

Ini bermakna rumput tersebut adalah – secara genetiknya – tidak stabil dan bermutasi perlahan-lahan secara semulajadi. Malangnya tidak semua rumput itu bermutasi serentak. Hanya satu atau dua tompok sekaligus. Jadi setelah beberapa tahun, anda akan mendapat green yang mempunyai tompok yang berlainan warna atau tekstur.

Kekadang, rumput mutasi (atau juga di panggil ‘off-type’) mempunyai sifat yang lebih baik dari tumbuhan asal jadi ada beberapa orang Superintenden tempatan yang telah ‘menganak-angkat’ rumput tersebut dan membiak mereka di nursery lalu menanam semula di atas green.

Di Malaysia ada beberapa padang golf yang menggunakan rumput off-type ini sebagai rumput rasmi di atas green. Ada diantara padang tersebut yang berjaya mempunyai green yang laju dan senang di jaga.

Soalan tambahan: Kenapa tidak semua padang golf berbuat serupa?

Kerana, tidak ada jaminan berapa lama mutasi tersebut boleh bertahan. Siapa tahu nanti generasi kedua atau ketiga atau ketiga puluhnya rupa macamana? Secara teorinya, bila suatu hari nanti Spiderman (atau Peter Parker) berkahwin dengan Mary-Jane, anak mereka belum tentu mempunyai kuasa yang sama dengan Spiderman. Malah, siapa tahu spesis mana yang keluar? Kalau Mary-Jane beranak keluar telur spider macamana?

Jadi tidak ramai yang berani tanam rumput mutasi secara rasmi. Secara tidak rasmi ada. Secara tidak sengaja; banyak. Contohnya; (saya letih cerita bab ini) beli dari nursery tanam di green 7. Lepas tu ubahsuai green 16, ambil ‘benih’ rumput dari green 7. Dua tahun lagi, green 9 nak di pindahkan, ambil ‘benih’ dari green 16. Hujung tahun, green 4 kena sabotaj, tanam semula ambil ‘benih’ dari green 9. Hampir setiap kali, rumput tu dah berubah satu generasi dan rumput green 9 dah tak sama lagi dengan rumput dari green 7.

Soalan sokongan; jadi tak bolehlah nak gunakan rumput yang halus tu sebagai benih green baru?

Tapi ini tidak bermakna menggunakan off-type tidak boleh berjaya. Jangan lupa 40 tahun lalu inilah cara Tifdwarf di perkenalkan. Jadi ada dua kemungkinan; rumput off-type itu mungkin stabil dan kelab itu menjadi terkenal, atau rumput  off-type itu tidak stabil, setelah beberapa tahun rumput itu akan mula bermutasi pada kadar yang tidak sama dan kita akan dapat green yang bertompok-tompok. Kenapa ambil risiko?

Beberapa tahun yang lalu, sebuah universiti tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian telah mengumpul beratus-ratus off-type yang di ambil dari green seluruh Malaysia. Mereka kemudiannya mengenakan stress yang boleh dialami oleh rumput di atas green keatas semua off-type tersebut dan menyenaraipendekkan beberapa variety yang masih hidup. Hasilnya ialah suatu variety yang ditanam di atas green padang golf universiti tersebut dan sebuah padang golf tempatan dengan jayanya. Tetapi banyak kelab tetap akan guna rumput import. Mengapa tidak lebih banyak lagi kelab golf lain menggunakan rumput ini? Mungkin kerana ia tidak di jual oleh orang putih yang cakap dengan ‘slang’.

Soalan kehairanan: jadi semua tompok-tompok rumput berlainan warna atas green itu adalah akibat mutasi?

Tidak juga. Banyak juga tompok tompok tersebut adalah pencemaran rumput liar (lebih tepat lagi: rumpai) yang kebetulan kelihatan sama seperti rumput di atas green tersebut. Malah, biasanya kalau ia kelihatan lebih kasar, kemungkinan besar ia adalah rumput dari fairway atau rough.

Soalan terakhir. Dalam industry golf, adakah terdapat rumput mutan yang terhasil dari mutasi paksaan?

Sebenarnya memang ada. Di Malaysia, yang saya tahu hanya satu. Menembak Tifgreen dengan sinar gamma menghasilkan “Tifeagle”, suatu variety yang digunakan sejak 1998 dan boleh dipotong pada ketinggian separuh dari Tifdwarf. Tapi tidak pula ia bertukar menjadi Incredible Hulk bila marah…

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: