Rekabentuk Lubang
Posted by mynormas on September 10, 2018
Dalam buku saya yang akan dilancarkan pada bulan September ini, saya mengatakan bahawa mengenal pasti dan memahami seni bina padang golf adalah penting untuk superintenden dan pemain golf. Ia patut di jadikan salah satu faktor yang di ambil kira ketika membuat keputusan tentang penyelenggaraan padang kerana ia akan memberi kesan kepada corak permainan golf. Apakah ‘keputusan’ yang saya maksudkan: contohnya nak tinggikan atau rendahkan potongan. Nak besarkan atau kecilkan fairway. Ataupun nak tambah atau tutup bunker. Semua ini akan – sedikit atau sebanyak – mempengaruhi corak permainan di lubang itu.
Pengetahuan tentang konsep atau niat arkitek padang juga adalah amat penting bila tiba masa untuk membuat penambah-baikan atau perubahan pada padang, samada tentang penanaman baru/pembuangan pokok lanskap, penambahan/pengurangan bunker ataupun penggantian rumput di atas green (yang selalunya akan melibatkan pembentukan semula saiz, kedudukan atau kontour green).
Menjadikan sebuah lubang itu susah dengan menambah bunker di tengah fairway sedangkan niat asal arkitek adalah membina sebuah lubang yang mudah di main adalah suatu perkara yang perlu di fikirkan masak-masak. Begitu juga membina suatu bunker besar dan moden dengan banyak jari dan tebing curam di sebuah padang golf yang di penuhi dengan bunker kecil dan cetek akan memberi kesan janggal.
Seorang superintenden tak perlu cukup pandai sampai boleh reka lubang golf sendiri, tetapi cukuplah sekadar dia boleh kenal konsep dan niat arkitek serta cara lubang itu dimainkan.
Secara popularnya ada tiga jenis rekaan lubang golf;
- Strategi. Lubang atau padang golf yang dibina dengan pemikiran strategik akan memberi ganjaran kepada pemain yang sabar dan pandai mengurus pukulan mereka.
Contoh lubang strategik; anda boleh jadi hero atau anda boleh main selamat.
- Penal (Mendenda). Umumnya (tapi tak semestinya) lubang direka cara ini akan mempunyai hazard di kiri atau kanan kerana ia direka untuk mendenda pemain yang mempunyai pukulan tidak lurus. Pemain yang memukul lurus akan tiada halangan.
Contoh lubang gaya strategik; Arah mana pun anda pilih, ada hazard menunggu untuk mendenda kesilapan anda.
- Heroic (Wira). Mula diperkenalkan pada 50an. Ia kononnya adalah gabungan diantara rekaan strategi dan penal. Jika pemain berani, dia boleh membuat pukulan yang memberi ganjaran birdie atau par, tetapi jika dia kurang berani dia masih ada jalan untuk membuat pukulan yang memberinya par atau boogie.
Belanja minum?
Derma untuk belanja saya dan memberi lebih tenaga supaya lebih kreatif!
5.00RM
Kalau mengikut buku rujukan saya yang bertajuk Grounds for Golf; The History and Fundamentals of Golf Course Design karangan Geoff Shackelford, terdapat tambahan beberapa jenis rekaan lagi:
- Semulajadi (Natural) iaitu lubang yang direka oleh alam sekitar tanpa banyak campurtangan dari manusia.
- Freeway (saya panggil sebagai highway) iaitu lubang atau padang yang tidak mendatangkan sebarang cabaran kepada mana-mana pemain pun. Jika ada bunker pun; ia terlalu jauh atau terlalu ke tepi untuk mengganggu sesiapa.
Lubang gaya highway; tiada bunker, tiada masalah.
- Framing. Saya tidak dapat menterjemah gaya rekaan ini. Tetapi ia dikatakan berkisar kepada gaya Pete Dye yang akan membuat bunker atau rough nya cantik dan canggih (contohnya kayu jalan keretapi sebagai tebing bunker, atau bunker yang bulat dan kecil atau kolam yang besar atau busut di tengah fairway) yang menyusahkan pemain. Kalau ikut Pete Dye; padangnya cantik dan susah. Pengikut Pete Dye pula melakukan rekaan padang yang cantik/canggih tetapi tidak susah.
Jadi jika anda sebagai superintenden atau sebagai Komiti, pastikan perubahan yang anda ingin lakukan pada lubang atau padang atau green anda, tidak mengubah konsep gaya rekaan lubang atau padang itu. Ini tidak bermakna anda tidak boleh mengubahnya langsung, tetapi ia mestilah membawa maknanya sendiri. Contohnya anda ingin menjadikan kebanyakan lubang di padang anda sebagai lubang strategik atau freeway kerana kebanyakan ahli (member) sudah berumur. Atau pengurusan mahu menjadikan padang anda sebagai padang untuk tournament maka anda akan jadikan kebanyakan lubang anda strategik dan penal.
Apa yang saya minta ialah jika anda pemilik atau penjaga padang yang bersifat Natural (iaitu padang yang dibina lebih 50 tahun lalu) janganlah ubah ia terlalu banyak. Anda mungkin perlu panjangkan lubang atau anda perlu sempitkan fairway kerana teknologi bola dan kayu golf sekarang memberi golfer peluang untuk pukul lebih jauh dari 50 tahun dulu, tetapi janganlah padang yang direka pada tahun 1929 dengan bunker kecil tetiba anda nak letak bunker besar dengan tebing pasir tinggi. Awkward…
Sudah terlalu panjang artikel ini. Kebanyakan superintenden Malaysia yang saya kenal tidak akan meletakkan ‘Membaca’ sebagai hobi utama mereka jadi saya tak pasti kenapa saya bersusah payah sangat. Mungkin kerana saya suka menulis dan saya mahu superintenden Malaysia dianggap sebagai profesional, tahu bercakap, ada isi bila bercakap dan tidak dipanggil sebagai tukang kebun. Saya tak kenal ramai superintenden Indonesia atau Brunei; maaf. Tetapi yang saya dah jumpa, pada saya superintenden Indonesia jauh lebih profesional.
Jika anda dah baca sampai sini; tahniah. Klik lah satu dua iklan di sini supaya saya dapat 3 atau 4 sen (beberapa rupiah?) dan Rate bintang di atas artikel ini jadi kita tahu berapa orang yang dah baca sampai sini.
Terima kasih.
Nota di atas adalah petikan dari buku saya “Penyelenggaraan Rumput di Padang Golf” yang akan dilancarkan pada 25 September 2018. Harga setiap satu ialah RM79.00. Ia akan dilancarkan di UUM, Sintok pada 25 Sept bersama dengan acara MGA dari 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari (terbuka untuk semua). Jangan lupa untuk memesan satu:

Maintaining this Website. Sumbangan.
Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.
$10.00
Leave a Reply