Air Keluar Cepat
Posted by mynormas on January 22, 2018
Baiklah. Dalam posting lepas kita bincang tentang salah satu sebab kenapa air keluar terlalu perlahan iaitu kesalahgunaan fabrik geotextile di longkang subtanah (ni istilah saya untuk subsoil drain). Dalam posting hari ini saya nak bincang tentang beberapa cara yang saya gunakan untuk mempastikan air keluar cepat.
Kenapa kita nak air keluar cepat di padang bola/golf tetapi tak di tempat lain? Tentunya kerana kita mahu padang tidak menakung air dan dengan segera kita boleh sambung/mula permainan. Ada tempat kita tak nak air keluar cepat sebab kita nak main lebih lama; contohnya di kolam renang, water theme park dan sebagainya. Nak buat contoh lain? Air hujan dalam awan pun kita tak nak keluar cepat sebelum habis perlawanan juga. Kan?
Dua cara utama ialah:
- Kecondongan
- Kelurusan.
Jika anda fahami posting saya yang lepas; di antara sebab saya tidak menggunakan geo textile ialah supaya air lebih cepat masuk ke dalam longkang subtanah dan seterusnya keluar dari padang.
Kecondongan Longkang.
Ok. Gostan dulu. Saya nak tekan kan sekali lagi bahawa KESELURUHAN longkang subtanah, ertinya termasuk batu kerikil, termasuk tanah bawah batu kerrikil dan termasuk dinding kiri dan kanan batu kerikil itu ialah ‘longkang’. Longkang subtanah BUKAN terdiri dari batang paip itu sahaja. Pada masa ini ada orang dah sepetkan mata dan kata “Ya lah, aku tahu…” dan saya akan jawab pula, “Kalau kau tahu, kenapa batang paip tu saja yang dibalut dengan geotextile? Balut lah seluruh longkang!”

Geotextile di keliling longkang BUKAN di keliling paip..
Ada orang akan kata mereka beli paip subsoil tu datang dah ada balutan geotextile. Saya nak cerita tentang satu lawatan saya di sebuah padang golf yang sedang dalam pembinaan di Malaysia beberapa tahun dulu, saya nampak orang putih buat construction padang tu, menggunakan pisau memotong buang kain geotextile keliling paip yang dijual sudah dibalut geotextile. Dan dalam satu seminar di tahun 2016 (juga di Malaysia) penceramah memberitahu dia tidak menggunakan geotextile di paip subtanah. Saya angkat tangan dan kata “Kami di Malaysia hampir sentiasa guna geotextile”. Berkerut dahi dia. “Kenapa?”.
Satu lagi perkara yang menjengkelkan saya ialah orang yang menggunakan paip pvc sebagai longkang dan menebuk hanya sebelah saja paip itu. Itu okay. Yang tak okay, ialah mereka letak bahagian berlubang tu mengadap ke atas! “Nanti air masuk lah ke dalam paip” jelas mereka.
Nampak tak? SELURUH paip subtanah adalah longkang maka lubang di paip pvc tu perlu mengadap ke bawah supaya air akan penuh dalam kerikil, dan NAIK ke dalam paip itu. Oleh kerana dalam paip itu kosong dan tiada rintangan, air akan lebih cepat mengalir ke luar padang.

Gambaran paip sebagai sebahagian komponen longkang.
Kita cerita balik tentang Kecondongan Longkang ni. Apa yang saya maksudkan ialah longkang subtanah perlu cukup condong supaya air tidak ragu-ragu arah mana untuk pergi dan dengan segera ia pergi ke arah itu. Arah mana? Arah luar padang.
Berapa banyak condong paip? Saya amalkan 1%. Ertinya kalau padang itu lebarnya 68meter dan longkang merentasinya adalah 70 meter, ia akan turun 0.7m dari hujung mula (hulu) ke hujung keluar (hilir).
Memandangkan longkang subtanah sebaiknya berada 0.3 meter di bawah permukaan, maka hilir longkang akan menjadi 0.7 + 0.3m = 1m ke bawah permukaan padang.

Satu longkang subtanah yang saya design melalui tengah padang kerana longkang paling dalam berada di belakang gol.
Soalannya, boleh ke dapat longkang besar di luar padang pada kedalaman 1m? Kalau padang baru, mungkin boleh. Tapi kalau padang sedia ada, mungkin susah. Jadi kita boleh berharap bahawa padang tersebut berada di keliling padang dan kita boleh letak hulu longkang subtanah dari tengah padang. Maka sekarang jaraknya ialah 35m dan kedalaman di hilir ialah 0.35m + 0.3m.
Kenapa mesti 1%? Sebab senang nak kira. Saya pernah buat 0.75%. Saya pernah cadangkan 0.5% dan saya pernah cadangkan 3% pun. Lebih condong, lebih cepat air keluar. Pokoknya, mesti ada kecondongan. Saya pernah jumpa hilir subsoil yang hanya 0.3m dari aras padang. Tidakkah itu bermakna hulu longkang sama aras dengan hilir longkang? Air akan masuk ke, air akan keluar?
Kelurusan Longkang
Di padang golf, saya kadang kadang terjumpa longkang subtanah yang dipasang bengkang bengkok. “Kenapa?” saya tanya. “Kerana kami ikut bentuk mukabumi”. Saya tak pasti kebaikannya tetapi masalah saya ialah bila ada bengkang dan bengkok; air akan perlahan dan bila air perlahan, mendapan akan berlaku. Sudahlah air perlahan, mendapan yang makin menebal akan memperlahankan air lagi di masa akan datang.
Saya akan sentiasa cuba amalkan longkang yang lurus setiap masa.
Di padang bola pula, masalah ini timbul di sambungan. Sambungan di antara paip pembawa ke paip utama di longkang subtanah tulang ikan contohnya. Jika ia dipasang sebagai sambungan 90°, pancutan air dari sisi boleh memperlahankan perjalanan air. Saya amalkan sambungan 45°. Kerana ini bermakna air akan masuk ke paip utama pada sudut yang sama dengan pergerakan air dan ini menggerakkan mendapan air di mulut paip pembawa.

Bukan sahaja bengkok, longkang pembawa pada sudut 90 darjah kepada longkang utama: saya ramal longkang ini tidak bertahan lama.

Ini cara pasang longkang subtanah yang saya suka: lurus, sambungan ke longkan utama ialah pada sudut 45 darjah dan longkang sentiasa condong (mukabumi padang golf amat membantu).
Tentunya ada beberapa tips and tricks lagi tetapi kebanyakan nya susah untuk diceritakan melalui penulisan. Dalam penulisan akan datangkita akan bincang beberapa perkara yang menghalang air untuk keluar ke longkang subtanah.
Apapun. Terima kasih kerana membaca dan semoga air anda keluar cepat di padang dan bukan di tempat lain.

Maintaining this Website. Sumbangan.
Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.
$10.00
Air Keluar; sumbat « Pakar Rumput said
[…] Pada artikel yang lepas, kita telah membincangkan tentang bagaimana penyalahgunaan Geotextile ialah salah satu sebab paip subtanah kurang efektif dalam ‘Air Keluar Sikit‘ dan juga cadangan untuk memasang longkang subtanah yang baik dalam ‘Air Keluar Cepat‘. […]
LikeLike
Batas Sayur? « Pakar Rumput said
[…] dah cerita tentang kesilapan biasa dalam pembinaan longkang subtanah sebelum ini dan tentang cara terbaik (jangan.kata saya hanya kritik tanpa membantu) tetapi ada satu lagi yang saya lihat ramai […]
LikeLike