Upgrade Diri CS
Posted by mynormas on October 7, 2018
Dalam perjalanan saya ke beberapa padang golf di Malaysia dan perbualan dengan pihak pengurusan, satu perkara yang kadang-kadang menjengkelkan saya ialah setengah superintenden (CS atau supervisor atau apa-apa gelaran penjaga padang) dipandang tidak lebih dari ketua tukang kebun oleh pihak pengurusan dan/atau ahli kelab. Adakah mereka kata begitu secara terangan? Tidak, tetapi cara mereka layani CS mereka, gaji CS mereka dan bagaimana CS dibahasakan sewaktu mereka tidak ada disitu (kes mengumpat).
Mereka akan kata mereka menghormati CS kerana CS sangat penting tetapi CS mereka akan mempunyai gaji kecil, ofis yang buruk dan tidak diberi peluang kenaikan atau belajar. Saya pernah diminta untuk mencari ‘Junior superintendent’ atau ‘supervisor yang boleh jaga padang nanti aku (pengurusan) ajar dia’. Saya akan kata tak dapat cari kerana yang ada hanyalah superintendent yang layak digelar superintendent. Bila saya cadangkan fresh grad pun dia kata nanti gaji mahal jadi saya tahu mereka hanya mahu cari orang terdesak, bukan cari orang berkualiti.
Malangnya pada saya, kadang-kadang, masalah ini berpunca dari kita sebagai CS. Ada diantara CS yang secara sengaja atau tidak, sedar atau tak sedar; memberi sebab untuk dilayani begitu.
Dari pemerhatian peribadi saya ada beberapa sebab: Sebelum baca, sila jangan marah saya kalau terasa, ini dari perbincangan saya dengan pelbagai peringkat pengurusan dan pemilik padang golf, dari golf manager hinggalah ke pemangku sultan.
- Perwatakan; iaitu dari segi pemakaian dan tingkah laku. Kita tidak perlu coat dan tie, kita hanya perlu berpakaian kemas dengan baju golf dan seluar bersih. Biar ada kasut spare di pejabat untuk kita gunakan berjumpa dengan orang luar, walau supplier kawan kita. Biasakan diri untuk berpakaian kemas bila berjumpa orang luar. Begitu juga cara bercakap; kita tidak perlu cakap bahasa orang putih, kita hanya perlu bercakap dengan tenang dan lancar. Rambut bersikat dan muka bercukur.
- Pengetahuan teknikal; saya sering berjumpa dengan pengurusan kelab yang menampilkan gaya pengetahuan teknikal tentang padang yang kadang-kadang lebih dari CS itu sendiri! Samada pengetahuan itu betul atau tidak; lain cerita tetapi mereka lebih cekap mengungkai permasalahan dan penyelesaian padang dari CS. CS tahu kerja tapi tak tahu istilah betul dan tak tahu menggunakan ayat dan bahasa yang baik utk memberi penerangan akibat kurang pembacaan dan perbincangan.
- CS dilihat sebagai ketua kepada jabatan yang pekerjanya tidak tahu apa-apa kecuali potong rumput. Kalau CS itu ada 20 orang pekerja, hanya 2 yang tahu nama rumput di padang itu. Lebih teruk lagi kalau majoriti pekerja adalah orang asing; kita akan dilihat sebagai ketua kumpulan orang Bangladesh yang ‘kurang pandai’. Kita akan kelihatan hanya satu takuk sahaja di atas mereka. Bayangkan kalau pekerja kita bersikap profesional dan berpengetahuan, tidakkah itu juga mengangkat taraf kita? Ada padang yang pekerja yang baru tiba bulan lepas, diajar oleh pekerja yang tiba tahun lepas yang diajar oleh pekerja yang tiba tiga tahun lepas. Supervisor ajar sikit, mekanik ajar sikit lagi kemudian dia akan potong green/fairway bawak mesin suku juta ringgit.
- Kurang kecekapan menulis. Bukan menulis novel atau buku tetapi menulis bajet atau proposal. Kalau ada pun ianya adalah copy-paste dari yang lama atau kurang ‘isi’ iaitu penerangan.
- Kurang pendedahan kepada rakan-rakan seangkatan dari kelab lain. Kalau adapun, mereka datang kerana nak main golf free, bukan sebagai rakan untuk berbincang tentang kerja. Orang putih kata ‘strength in numbers’ kalau kita dilihat sebagai sebahagian dari komuniti lebih besar, kita akan dilihat sebagai lebih mempunyai dasar (foundation) kuat. Malangnya, saya lihat pihak pengurusan yang lebih mempunyai networking yang ramai. Para CS lebih pemalu dan bertapa di workshop masing-masing. Hanya sedikit CS yang menjadi ahli GCSAM dan hanya segelintir yang aktif dalam aktivitinya. Yang lain akan menjauhi dengan pelbagai alasan.
- Salahkan orang/benda lain. Cuaca, golfer, masa, bajet, jabatan purchasing, orang atas, orang bawah dsb. Saya kata “Unless we own it, we can never solve it”.
Kita tidak boleh begini selamanya, saya cadangkan kita sertai aktiviti GCSAM dan jika kita mahu perubahan dalam GCSAM, kita lakukan perubahan; bukan kita kritik dan kita harap orang lain yang mengubahnya.
Selain itu ada beberapa acara ilmu padang golf yang akan berlaku dalam tempoh sebulan dua ini; dua dengan inisiatif GCSAM dan satu dengan inisiatif MGA. Jika satupun kita tidak dapat terlibat, siapa yang perlu kita salahkan?
Seminar GCSAM AGIF akan berlangsung pada hari Selasa ini di Sime Darby Convention Centre.
GCSAM juga menganjurkan satu lagi seminar tentang pengetahuan teknikal dan program volunteer sewaktu CIMB Classic pada hari Rabu dan Khamis.
Kedua-dua program di atas adalah percuma.
MGA akan mengadakan program seminar di Johor Bahru pada awal November. Dapatkan maklumat lanjut di laman web MGA di sini.
Anda tidak patut lepaskan peluang belajar topik topik yang bagus dari speaker yang berpengalaman.
Satu lagi sebab untuk hadir ialah ini adalah peluang untuk meluaskan kenalan anda melalui networking. Jika anda tidak pasti caranya, cuba baca tips di bawah.
Leave a Reply