Lumut di rumput
Posted by mynormas on November 17, 2011
Lumut atau algae bukan suatu penyakit. Ia adalah simptom kepada satu masalah: masalah kelembapan yang keterlaluan. Kadang-kadang kelembapan di sebabkan oleh:

Lumut bermula di celah-celah rumput
- air yang bertakung dan lambat kering,
- kawasan redup yang kurang matahari
- tanah yang terlalu padat dan tidak mengalirkan air ke bawah.
- Terlalu banyak air dari siraman atau hujan.
Rumput akan menjadi semakin jarang kerana akar rumput memerlukan udara untuk bernafas dan jika tanah itu lembab terlalu lama maka akar rumput akan reput atau mati. Algae akan tumbuh kerana algae sesuai atau suka dengan kawasan lembab.
Algae adalah tumbuhan mudah (simple plant) tetapi ia masih memerlukan cahaya matahari untuk membuat makanan.
Jadi untuk mengurangkan algae, kita boleh buat dua perkara; kurangkan kelembapan dan atau menafikan cahaya matahari dari kena kepada algae tersebut. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa algae suka kepada tanah yang sedikit berasid, tetapi dari pengalaman, saya pernah juga jumpa algae di green yang di uji sebagai tanah pH neutral dan green padang golf yang baru di tabur dengan kapur CaCo3.

Menebuk lubang lebih kurang 2 inci supaya air mengalir ke bawah.
Bagaimanapun cadangan saya ialah dengan menebuk lubang kecil di kawasan yang berlumut supaya air boleh mengalir kebawah; kurangkan kelembapan dengan mengurangkan dahan-dahan yang membayangi tanah, melakukan topdressing dengan pasir supaya ‘melemaskan’ algae yang lebih rendah dari rumput dan mengurangkan pengairan serta menambah saliran.
Saya pernah mencakar lumut supaya rumput dapat tumbuh tapi apa yang saya dapati ialah ia akan tumbuh semula selepas beberapa hari jika masalah kelembapan tidak di atasi.
Satu caveat: menebuk lubang di permukaan supaya air mengalir ke bawah hanya berkesan jika bahagian bawah tanah mempunyai saliran yang berkesan (contohnya mempunyai kandungan pasir yang tinggi), tetapi jika bahagian bawah permukaan juga adalah tanah liat atau tanah yang memegang air, maka mungkin terpaksa di korek dalam lagi, menggunakan besi panjang ataupun penggali lubang seperti auger.

Topdress mempunyai 2 kegunaan: 1 ialah menutup lumut dari menerima cahaya matahari dan 2 ialah membantu akar rumput tumbuh di tempat kosong. Tetapi, seperti dalam gambar ini; topdressing sewaktu musim hujan adalah kerja mencabar.
Jika permukaan sahaja yang bermasalah (selalunya kerana di lanyak atau di lenyek) maka kadang-kadang menggunakan sekadar parang tumpul dan mengguris permukaan supaya air tembus algae dan masuk ke bawah.
Selamat mencuba!
Leave a Reply