Turf Matters

The Site To Go To For All Your Turf Matters

  • Facebook Likes

  • The new Brushcutter

    Pengganti Brushcutter

    Increase productivity, cut labour. Try the AM61A

  • Trees Nursery

    Forest trees nursery

    Get your Trees from this nursery

Penyediaan Tapak

Posted by mynormas on November 13, 2018

Saya jumpa ramai orang yang tanam rumput. Malangnya kebanyakan orang di luar industri golf masih lagi menggunakan cara lama untuk menanam rumput terutamanya sewaktu penyediaan tapak.

Salah satu isu utama ialah roll (gelek, kompak) untuk mendapatkan kerataan rumput. Paling selalu ialah orang akan roll rumput untuk dapatkan kerataan. Sebenarnya, kita sepatutnya roll tanah SEBELUM kita tanam rumput. Kalau tanah tu rata, confirm rumput tu rata kan?

Jadi masalah kalau kita tanam dengan cara sod dan sod yang kita beli ialah sod cangkul yang mempunyai tapak tak rata. Kalau kita beli sod yang mempunyai tapak rata, kita hanya perlu tanam kemudian tabur pasir supaya cover gap (celah) di antara sod kita.

Penyediaan tapak ini penting kerana banyak masalah rumpai (rumput liar) berasal kerana penyediaan tapak tidak dilakukan dengan betul. Rumpai yang sebenarnya ‘penduduk asal’ kawasan itu akan muncul semula selepas beberapa bulan kerana proses penyediaan tapak tidak dilakukan dengan betul.

Ada lapan langkah dalam penyediaan tapak sebelum rumput ditanam. Kalau anda kerja tanam rumput; cuba lihat, bahagian mana yang anda skip. Atau ada diantara langkah ini yang anda rasa boleh dibaiki.

Belanja minum?

Derma untuk belanja saya dan memberi lebih tenaga supaya lebih kreatif!

5.00RM

 

Posted in landskap, Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium, Taman | Tagged: , , , , , , | Leave a Comment »

Buku Saya

Posted by mynormas on November 8, 2018

Buku saya yang bertajuk “Penyelenggaraan Rumput di Padang Golf” kini sudah mula dijual pada harga RM79.00 setiap naskhah (harga tahun 2018). Cetakan hitam-putih, saya tidak dapat buat cetakan warna kerana terlalu mahal. Buat masa ini belum ada dalam bentuk e-book tetapi insya-Allah dimasa akan datang e-book akan ada dalam bentuk warna.

Untuk edaran di Malaysia (TERMASUK di Sabah dan Sarawak) kos penghantaran yang saya caj ialah RM5.00 sahaja. Di luar Malaysia, saya akan tanggung RM5.00 dan selebihnya perlu ditanggung oleh pembeli. Maaf. Mungkin boleh tunggu e-book nanti.

Buku ini mengambil masa 3 tahun untuk ditulis dan menggunakan pengalaman hampir 25 tahun saya sebagai ilhamnya dan pengalaman ramai superintenden lain sebagai kawan dan juga sebagai klien saya yang banyak mengajar saya.

Kepada yang berminat dan ingin tahu isi kandungan:

Front and back page

Muka hadapan dan belakang.

Kandungan 1

Kandungan 2

Kandungan 3

Kepada mereka yang ingin melihat penulisan di dalamnya dahulu sebelum membeli:

sample page buku

Kepada yang ingin membeli, sila bank-in RM79 + RM5 ke dalam akaun Maybank saya, Normas Yakin bin Md. Arifin nombor akaun 1621 0619 1408 dan beritahu saya melalui komen di bawah atau email ke mynormasATconsultant.com AT=@ atau hubungi 03 5131 0066.

Posted in Golf Course, Golf Course Superintendents | Tagged: , | Leave a Comment »

Pembinaan Padang.

Posted by mynormas on October 31, 2018

Kita tahu (atau kita rasa kita tahu) bagaimana sebuah padang bola dibina. Kita rasa bukan susah pun. Korek, pasang longkang subtanah (orang lain panggil subsoil, saya panggil subtanah) letak tanah atas lepas tu kambus, tanam rumput dan kemudian kita roll roll dan roll sampai dia rata. Siram, siram dan siram sampai… sampai… petang(?).

Bagaimana jika saya kata ada tiga jenis metode/kaedah pembinaan padang? Dua darinya selalu digunakan di Malaysia dan satu lagi di stadium terbaru.

  1. Pembinaan dengan tanah asal; iaitu pembinaan yang banyak dilakukan di taman permainan atau mungkin sekolah-sekolah di Malaysia. Ratakan tanah sedia ada, kemudian tanam rumput dan roll, roll, roll.
  2. Pembinaan dengan tanah yang telah dimodified. Ya; tanah yang telah dimodifiedkan. Saya golongkan pembinaan menggunakan ‘topsoil’ dalam kaedah ini. Korek, buang tanah lama (atau namakan ia sebagai ‘tanah atas’ diprojek lain) dan masukkan ‘tanah atas’ (atau tanah yang dibuang dari projek lain), ratakan, tanam rumput dan roll, roll, roll. Longkang subtanah adalah optional: letak pun boleh, tak letak pun okay jer.
  3. Pembinaan menggunakan pasir dan zon-akar. Korek buang tanah asal sedalam 12 inci, buang, roll tanah bawah sampai licin (ini kita panggil sebagai ‘subgrade’ atau ‘basement’) pasang longkang subtanah, letak pasir sebanyak 8 inci (angka arbitrari) kemudian 4 inci lagi dengan pasir yang dicampur dengan 5% dari isipadu dengan bahan organik dan 5% juga dengan soil amendment atau baja (bergantung keadaan; semua angka adalah arbitrari untuk mempermudahkan pembacaan; JANGAN jadikan sebagai rujukan buta tuli tanpa siasatan).

Untuk gambar dan perbandingan; sila baca slide di bawah ini:

 

Posted in Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Penanaman, Rumput, Rumput halaman rumah, Rumput secara am, stadium | Tagged: , , , , | Leave a Comment »

Garisan Penjaga Garisan

Posted by mynormas on October 16, 2018

Ramai orang akan nampak bahawa masalah utama padang bolasepak ialah di depan gol akibat perebutan bola dan bila penjaga gold terkedik-kedik di satu tempat (jangan terasa) tetapi tak ramai orang perasan bahawa satu lagi masalah yang berlaku ialah di luar padang; betul-betul tepi garisan padang.

Di dalam satu perlawanan bola akan ada satu pengadil dan dua penjaga garisan. Pengadil akan berlari di dalam padang tetapi penjaga garisan akan berlari dari tengah hingga ke garis belakang padang. Pengadil akan berlari dalam corak tertentu tetapi tetapi tidak mempunyai baris atau garis tetap.

Manakala penjaga garisan pula disepanjang 90 minit permainan, akan berlari naik-turun separuh padang disisi satu garis putih. Lama kelamaan, tempat larian penjaga garisan itu akan mampat dan rumput di atasnya akan mati. Jika permainan berlangsung sewaktu padang basah atau lembik; tempat larian akan berlekuk dan menakung air.

Bekas linesman

Ini tidak dapat dielakkan. Apa cadangan saya untuk membaiki kerosakan ini? Saya ada tiga cadangan:

Belanja minum?

Derma untuk belanja saya dan memberi lebih tenaga supaya lebih kreatif!

5.00RM

  1. Melakukan hias-atas (topdressing) untuk membaiki permukaan dan menggalakkan pertumbuhan baru.
  2. Menggunakan rumput yang lebih tahan lasak berbanding dengan Cowgrass. Disebuah padang yang saya jaga, saya dapati tempat larian penjaga garisan ditumbuhi oleh rumput Bermuda sedangkan Cowgrass tidak hidup. Saya tidak tanam Bermuda itu; ia memang wujud dipadang itu dibawah bayangan Cowgrass yang lebih besar.
  3. Pindahkan garisan dengan beberapa cara: Lebarkan padang, nipiskan padang ataupun pindahkan padang setengah atau satu meter. Ertinya; sekarang larian penjaga garisan bukan ditempat yang sama lagi. Saya cadangkan ini dibuat setahun sekali. Kita akan bincang lebih terperinci tentang ini dalam minggu mendatang, insya Allah.

topdress linesman

Bermuda linesman

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Golf Course, Landscape, Lanskap, Padang, Padang Bola, stadium, Taman | Tagged: , , , , | 3 Comments »

Sediakan Padang Sebelum Monsun

Posted by mynormas on October 9, 2018

Pepatah lama mengatakan kita perlu “sediakan payung sebelum hujan” tetapi penjaga padang (ataupun halaman rumah) rumput perlukan sediakan padang mereka sebelum bermulanya musim hujan berterusan iaitu monsun dibulan November dan Disember. Dalam artikel ini saya akan bincangkan tentang langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil bukan sahaja oleh pengurusan padang tetapi juga rakan-rakan yang mengurus halaman rumah.

Apakah masalah yang timbul dimusim monsun dalam konteks padang/halaman?

  1. Tanah yang lembik menyukarkan pemotongan.
  2. Rumput yang cepat panjang akibat peleraian nutrien dalam tanah
  3. Kekurangan cahaya matahari untuk fotosintesis.
  4. Air bertakung samada di atas permukaan ataupun di bawah permukaan (bila pijak baru nampak air keluar). Padang basah atas bawah

Kesemua perkara di atas akan menghalang penggunaan padang dan menyusahkan penyelenggaraan. Tentunya, dalam situasi ekstrem, ada padang yang mengalami banjir tetapi itu saya pernah bincangkan dalam satu artikel lama dahulu.

Kenapa padang bermasalah di musim hujan? Selain dari masalah yang pernah kita bincangkan dalam artikel terdahulu tentang kesilapan atau ketiadaan longkang subtanah, ada dua lagi punca; pertama ialah permukaan padang yang berlekuk. Lekukan itu kini membentuk suatu kolam mini di tengah padang setiap kali hujan berlarutan.  Kedua ialah akibat thatch iaitu suatu lapisan yang terbentuk di antara rumput dan tanah yang bersifat seperti span (sponge) memegang air. Thatch

Apakah persediaan padang yang perlu kita lakukan? Diantaranya ialah:

  1. Jangan gunakan baja yang mengandungi nitrogen yang tinggi sebulan sebelum itu. Nitrogen akan mempercepatkan pertumbuhan sedangkan pemotongan adalah sukar akibat padang yang lembik.
  2. Lakukan slicing atau spiking di seluruh padang (atau kawasan yang dikenali sebagai kawasan teruk). Ini akan membantu air melepasi kawasan thatch dan juga dengan membawa oksigen ke bawah rumput, membantu proses pereputan thatch oleh mikroorganisma lain.
    Untuk halaman rumah yang tidak mungkin boleh masuk mesin slicer atau spiker; lakukan dengan cara manual. Tebuk lubang sedalam 2inci atau lebih ke dalam tanah. slice and tine
  3. Lakukan hias-atas; kalau boleh keseluruhan padang tetapi kalau tidak, lakukan di kawasan lekuk-lekuk yang boleh dikenal pasti. spot topdress
  4. Pangkas pokok untuk kurangkan teduhan yang boleh melambatkan pengeringan padang atau halaman. Jika sudah mula musim hujan baru mahu buat pangkasan, membawa keluar ranting dan dahan akan menjadi masalah.
  5. Pastikan longkang di keliling padang/halaman bersih dan tiada sampah sarap menghalang pergerakan air. Kalau perlu, buat longkang dengan cangkul supaya air tidak bertakung di padang.
  6. Jika padang ada ‘belang’ atau stripe, mula buat belang alternatif dari arah baru supaya mesin tidak berada di bekas tayar yang sama setiap kali memotong. Potong guna arah alternatif dimusim hujan; ELAKKAN guna belang kegemaran sewaktu padang lembik.
  7. Gunakan agen pembasah tanah “Soil Wetting Agent” yang akan membantu air tembus melalui tanah yang hydrophobic. Cara untuk mengenal padang anda adalah hydrophobic ialah bila ia bertakung air sewaktu siram dimusim kering atau ada kawasan tertentu yang cepat kering walau disiram. Jarang sekali seluruh padang adalah hydrophobic; biasanya tompok-tompok tertentu sahaja. Sembur mengikut arahan label sebulan atau dua bulan sebelum musim hujan.

Sebuah padang yang diselenggara dengan baik iaitu melakukan ‘hollow-tining’ setahun sekali atau dua dan juga hias-atas dengan kerap akan kurang bermasalah tetapi kadang-kadang oleh kerana pembinaan yang silap, padang tetap bermasalah maka masih perlu dilakukan kerja-kerja pencegahan.

Kepada rakan-rakan yang menjaga halaman rumah di bawah ini adalah satu lagi contoh pengudaraan tanah.

Mungkin ada beberapa lagi langkah yang saya tidak masukkan di sini kerana alpa atau lupa; mungkin ada yang boleh tambah dalam komen di bawah.

Terima kasih.

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Lanskap, Padang, Padang Bola, Padang Golf, Rumput halaman rumah, Taman | Tagged: , , , , | Leave a Comment »

Upgrade Diri CS

Posted by mynormas on October 7, 2018

Dalam perjalanan saya ke beberapa padang golf di Malaysia dan perbualan dengan pihak pengurusan, satu perkara yang kadang-kadang menjengkelkan saya ialah setengah superintenden (CS atau supervisor atau apa-apa gelaran penjaga padang) dipandang tidak lebih dari ketua tukang kebun oleh pihak pengurusan dan/atau ahli kelab. Adakah mereka kata begitu secara terangan? Tidak, tetapi cara mereka layani CS mereka, gaji CS mereka dan bagaimana CS dibahasakan sewaktu mereka tidak ada disitu (kes mengumpat).

Mereka akan kata mereka menghormati CS kerana CS sangat penting tetapi CS mereka akan mempunyai gaji kecil, ofis yang buruk dan tidak diberi peluang kenaikan atau belajar. Saya pernah diminta untuk mencari ‘Junior superintendent’ atau ‘supervisor yang boleh jaga padang nanti aku (pengurusan) ajar dia’. Saya akan kata tak dapat cari kerana yang ada hanyalah superintendent yang layak digelar superintendent. Bila saya cadangkan fresh grad pun dia kata nanti gaji mahal jadi saya tahu mereka hanya mahu cari orang terdesak, bukan cari orang berkualiti.

Malangnya pada saya, kadang-kadang, masalah ini berpunca dari kita sebagai CS. Ada diantara CS yang secara sengaja atau tidak, sedar atau tak sedar; memberi sebab untuk dilayani begitu.

Dari pemerhatian peribadi saya ada beberapa sebab: Sebelum baca, sila jangan marah saya kalau terasa, ini dari perbincangan saya dengan pelbagai peringkat pengurusan dan pemilik padang golf, dari golf manager hinggalah ke pemangku sultan.

  1. Perwatakan; iaitu dari segi pemakaian dan tingkah laku. Kita tidak perlu coat dan tie, kita hanya perlu berpakaian kemas dengan baju golf dan seluar bersih. Biar ada kasut spare di pejabat untuk kita gunakan berjumpa dengan orang luar, walau supplier kawan kita. Biasakan diri untuk berpakaian kemas bila berjumpa orang luar. Begitu juga cara bercakap; kita tidak perlu cakap bahasa orang putih, kita hanya perlu bercakap dengan tenang dan lancar. Rambut bersikat dan muka bercukur.
  2. Pengetahuan teknikal; saya sering berjumpa dengan pengurusan kelab yang menampilkan gaya pengetahuan teknikal tentang padang yang kadang-kadang lebih dari CS itu sendiri! Samada pengetahuan itu betul atau tidak; lain cerita tetapi mereka lebih cekap mengungkai permasalahan dan penyelesaian padang dari CS. CS tahu kerja tapi tak tahu istilah betul dan tak tahu menggunakan ayat dan bahasa yang baik utk memberi penerangan akibat kurang pembacaan dan perbincangan.
  3. CS dilihat sebagai ketua kepada jabatan yang pekerjanya tidak tahu apa-apa kecuali potong rumput. Kalau CS itu ada 20 orang pekerja, hanya 2 yang tahu nama rumput di padang itu. Lebih teruk lagi kalau majoriti pekerja adalah orang asing; kita akan dilihat sebagai ketua kumpulan orang Bangladesh yang ‘kurang pandai’. Kita akan kelihatan hanya satu takuk sahaja di atas mereka. Bayangkan kalau pekerja kita bersikap profesional dan berpengetahuan, tidakkah itu juga mengangkat taraf kita? Ada padang yang pekerja yang baru tiba bulan lepas, diajar oleh pekerja yang tiba tahun lepas yang diajar oleh pekerja yang tiba tiga tahun lepas. Supervisor ajar sikit, mekanik ajar sikit lagi kemudian dia akan potong green/fairway bawak mesin suku juta ringgit.
  4. Kurang kecekapan menulis. Bukan menulis novel atau buku tetapi menulis bajet atau proposal. Kalau ada pun ianya adalah copy-paste dari yang lama atau kurang ‘isi’ iaitu penerangan.
  5. Kurang pendedahan kepada rakan-rakan seangkatan dari kelab lain. Kalau adapun, mereka datang kerana nak main golf free, bukan sebagai rakan untuk berbincang tentang kerja. Orang putih kata ‘strength in numbers’ kalau kita dilihat sebagai sebahagian dari komuniti lebih besar, kita akan dilihat sebagai lebih mempunyai dasar (foundation) kuat. Malangnya, saya lihat pihak pengurusan yang lebih mempunyai networking yang ramai. Para CS lebih pemalu dan bertapa di workshop masing-masing. Hanya sedikit CS yang menjadi ahli GCSAM dan hanya segelintir yang aktif dalam aktivitinya. Yang lain akan menjauhi dengan pelbagai alasan.
  6. Salahkan orang/benda lain. Cuaca, golfer, masa, bajet, jabatan purchasing, orang atas, orang bawah dsb. Saya kata “Unless we own it, we can never solve it”.

Kita tidak boleh begini selamanya, saya cadangkan kita sertai aktiviti GCSAM dan jika kita mahu perubahan dalam GCSAM, kita lakukan perubahan; bukan kita kritik dan kita harap orang lain yang mengubahnya.

Selain itu ada beberapa acara ilmu padang golf yang akan berlaku dalam tempoh sebulan dua ini; dua dengan inisiatif GCSAM dan satu dengan inisiatif MGA. Jika satupun kita tidak dapat terlibat, siapa yang perlu kita salahkan?
Seminar GCSAM AGIF akan berlangsung pada hari Selasa ini di Sime Darby Convention Centre.

GCSAM AGIF seminar 2018

GCSAM juga menganjurkan satu lagi seminar tentang pengetahuan teknikal dan program volunteer sewaktu CIMB Classic pada hari Rabu dan Khamis.

Kedua-dua program di atas adalah percuma.

MGA akan mengadakan program seminar di Johor Bahru pada awal November. Dapatkan maklumat lanjut di laman web MGA di sini.
Anda tidak patut lepaskan peluang belajar topik topik yang bagus dari speaker yang berpengalaman.
Satu lagi sebab untuk hadir ialah ini adalah peluang untuk meluaskan kenalan anda melalui networking. Jika anda tidak pasti caranya, cuba baca tips di bawah.

1. Pergi dengan tujuan. Ingatkan diri anda kenapa anda ada di sana. Anda menggunakan masa dan wang yang berharga untuk berada di sana, maka buat rangkaian kawan baru dan timba ilmu; jangan buang tenaga. Buat target untuk diri anda contohnya, berkenalan dengan tiga orang atau belajar dua (atau tiga, atau empat) perkara baru.

2. Gunakan orang yang anda dah kenal. Jika anda kenal orang yang ada di situ, minta mereka untuk kenalkan anda kepada orang yang anda rasa boleh membantu anda atau orang penting dalam industri. Ini menjimatkan masa dan perasaan cemas untuk berjumpa dengan orang yang anda belum kenal atau orang yang anda rasa ‘orang besar’.

3. Berseorangan. Jika anda menghadiri majlis atau seminar itu dengan kawan-kawan sekerja, jangan terperangkap dengan mereka dan tidak mahu berpisah sepanjang waktu. Bercakap hanya dengan orang yang anda kenal akan mengurangkan peluang anda untuk bertemu dengan orang baru. Mulakan dengan sengaja duduk di sebelah orang yang anda tidak kenal sewaktu majlis atau seminar ataupun masa makan atau coffee break.

4. Kenali kawasan. Perhatikan kumpulan kumpulan orang sebelum membuat memilih untuk menyapa atau menegur. Cari orang yang anda rasa akan bersifat positif jika di sapa/tegur. Biasanya ini adalah orang yang sedang bersendirian ataupun sedang menunggu kawan berbual; mungkin juga mereka dalam kumpulan dua/tiga orang dan anda lihat ada peluang untuk masuk. Anda boleh lihat dari gaya badan mereka; jika badan mereka meng-arah keluar dari kumpulan, mereka mungkin sedang berborak kosong dan boleh menerima orang baru.

5. Perhatikan gerak dan gaya badan anda sendiri. Memeluk tubuh, ataupun melipat tangan di hadapan badan anda dan memandang ke lantai akan memberi isyarat yang anda tidak mahu berbual. Buat ini: tangan di sisi dan pandang orang yang di hadapan anda, ini akan membuat mereka berasa lebih selesa untuk menegur atau menyapa anda.

6. Permulaan bicara. Jangan rasa bahawa anda perlu menjadi orang paling bijak ataupun perlu ada ‘isi’ untuk memulakan kata-kata pengenalan. Memulakan perbualan boleh di buat dengan membuat komen tentang padang golf tempat seminar atau tentang dewan di mana anda berada, tentang penceramah sebelum itu ataupun tentang makanan, “Datang dari mana?” adalah contoh permulaan yang baik untuk memulakan perbualan.

7. Awas salaman tangan anda. Jika anda memulakan pengenalan dengan bersalam atau menjabat tangan, hulurkan tangan dengan yakin dan pegang tangan kenalan anda dengan tegas, bukan sampai nak patah tulang, tetapi jangan sampai kenalan anda rasa salam dengan anda macam pegang ikan. Pandang mata mereka dan senyum.

8. Bertanya soalan yang perlukan jawapan panjang. Soalan yang bertanyakan apa, siapa, kenapa, bila dan bagaimana adalah bagus, bukan soalan yang memerlukan jawapan ‘Ya’ atau ‘Tidak’ atau ‘Sudah’ sahaja. Contohnya “Dah makan?” akan di jawab “Dah”: habis cerita, tetapi “Apa pendapat anda tentang makanan di sini?” mampu menjana perbualan lebih panjang. Kita mahu mendengar pendapat dan idea baru dan juga melatih kita untuk mendengar dengan baik.

9. Jangan terlalu pemurah dengan kad anda. Jadikan ia mahal, jangan jadikan seperti bagi daun terup di meja judi. Kita bukan berlumba untuk mendapat kenalan paling ramai, tetapi kenalan yang berkesan dan berkualiti. Pastikan kad anda mudah anda capai dari poket anda dan kad yang anda terima di poket lain. Bagi kad bila di pinta ataupun bila mereka beri kad kepada anda. Bila anda terima kad orang, pegang, lihat, baca di depan dia dan sebut nama dia; ini akan membantu anda ingat dan juga menyebabkan dia bangga. Semua orang bangga bila nama dia di sebut dengan hormat oleh orang lain. Masuk dalam poket kiri. Kemudian baru seluk poket kanan, ambil kad dan bagi kad anda; pegang dengan dua tangan, hulur pada dia dan kata “Ini kad saya”.

10. Jadi pemurah. Jika anda rasa anda boleh membantu, maka tawarkan kepada mereka tanpa mengharapkan apa apa balasan. Orang akan ingat anda dan akan mahu membalas kebaikan anda walaupun jika mereka tidak menerima tawaran pertolongan anda.

Semua di atas bukan idea atau karangan saya sendiri, sebaliknya adalah terjemahan dari artikel yang di terbitkan di Forbes dan di tulis oleh Deborah L Jacobs bertajuk “How to work a room like you own the place” berdasarkan buku oleh Nisa Chitakasem, bertajuk135 Networking Career Tips. Hakcipta terpelihara. Untuk perhatian; saya ada tambah sikit-sikit untuk konteks kita di Malaysia.

Posted in Golf Course Superintendents, Padang Golf | Tagged: , | Leave a Comment »

Racun

Posted by mynormas on October 2, 2018

Racun makhluk perosak (pesticide) boleh dikenali dan dibeli dengan pelbagai nama. Jadi racun yang mempunyai fungsi yang sama ada pelbagai nama. Saya dapati ini mengelirukan. Lebih mengelirukan ialah bila dalam bahasa Melayu, racun, kadang-kadang dipanggil sebagai ‘ubat’; contohnya ubat nyamuk. Saya pernah pergi ke sebuah kedai pertanian di Johor dan meminta racun rumput. Tuan kedai memberi saya empat botol yang berbeza tetapi bila saya perhatikan bahan aktifnya, saya dapati keempat-empat botol itu adalah racun yang sama!
Terdapat beberapa cara penamaan racun:

  1. Nama dagangan
  2. Nama biasa
  3. Nama kimia
  4. Bahan aktif

Nama dagangan (Trade name)
Nama dagangan ialah sebarang jenis jenama yang digunakan secara eksklusif oleh suatu pengeluar untuk suatu produk yang mengandungi bahan kimia racun makhluk perosak. Kemungkinan terdapat beberapa nama perdagangan untuk satu jenis produk; ini boleh mengelirukan.
Jangan bergantung kepada jenama atau nama dagangan untuk mengenali racun. Contoh: glyphosate yang dulu dijual dengan jenama Round-up, kini dijual dengan pelbagai nama ‘Up’ lagi, Ken-Up, Rev-Up, Fold-Up (kecuali Seven-Up ya) selain dari jenama, Shoot, Dry dan lain lain. Chlorpyrifos di jual dengan nama Dursban atau Lorsban.
Nama biasa (Common name)
Nama biasa ialah nama generic yang di beri kepada suatu bahan kimia yang spesifik. Satu racun akan mempunyai satu nama biasa sahaja. Contoh nama biasa ialah glyphosate dan Chlorpyrifos
Nama kimia (Chemical name)
Nama kimia akan menerangkan struktur kimia sesuatu racun. Contohnya nama kimia untuk glyphosate ialah N-(phosphonomethyl) glycine. Chlorpyrifos ialah O, O-diethyl O-3,5,6-trichloro-2-pyridyl phosphorothiate.
Bahan aktif (Active Ingredient atau a.i)
Aktiviti biologi suatu racun makhluk perosak ditentukan oleh bahan aktifnya. Bahan aktif itu yang sebenarnya memusnahkan atau melaksanakan lain-lain fungsi terhadap makhluk perosak. Dari segi undang-undang, label pada racun makhluk perosak di mestikan menunjukkan bahan aktif dan peratusannya.

sample of glyphosate

Contoh contoh nama dagangan pada label, nama biasa ialah glyphosate (atau kadang2 Roundup walaupun nama dagangan lain) dan nama kimia ialah sebahagian dari nama pada bahan aktif.

Belanja minum?

Derma untuk belanja saya dan memberi lebih tenaga supaya lebih kreatif!

5.00RM


Jika anda membeli racun, pastikan bahan aktif adalah bahan aktif yang anda cari dalam kadar yang adil. Saya pernah hampir ditipu oleh penjual yang mengatakan racunnya lebih murah dari orang lain tetapi bila saya periksa betul-betul, kadar bahan aktif nya adalah separuh dari bahan aktif orang lain; pasal tu dia murah! Itupun bukan murah separuh harga.

Nota di atas adalah petikan dari buku saya “Penyelenggaraan Rumput di Padang Golf” yang akan dilancarkan pada 25 September 2018. Harga setiap satu ialah RM79.00 (Harga kulit keras ialah RM99.00). Jangan lupa untuk memesan satu:


Buku 1st draft (1)

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Golf Course | Leave a Comment »

Pembinaan Green

Posted by mynormas on September 24, 2018

Dalam buku saya, saya telah membincangkan secara ringkas tentang pembinaan green yang boleh di bahagikan kepada empat jenis utama:

  1. Pembinaan secara tradisional.

Pembinaan green secara turun temurun melibatkan hanya menanam rumput di atas tanah dan di potong pendek. Kemudian ia di modenkan kepada pembinaan green di atas struktur tanah yang di bina tinggi dari kawasan sekeliling atau di panggil ‘push-up’ green.

Green ini di bina tinggi kerana lazimnya ia tidak mempunyai sistem saliran subtanah dan air akan mengalir keluar green melalui larian permukaan mengikut bentuk kontur tanah.

  1. Pembinaan secara USGA

USGA atau United States Golf Association melalui jabatan Golf Section mereka telah mencipta pembinaan green menggunakan pasir yang di pilih saiz partikelnya untuk membantu aliran air turun ke bahagian bawah green tetapi di masa yang sama, membantu pengairan dengan menghadirkan muka air tenggek (perched water table). Ia mula di gunakan pada September 1960 dan di perbaharui beberapa kali selepas itu.

Kini terdapat dua konsep utama dalam pembinaan green USGA, ada yang terdapat lapisan pertengahan (intermediate layer) dan ada yang tidak terdapat lapisan pertengahan.

USGA green with intermediate layer

Green USGA dengan intermediate layer.

3. Pembinaan green California

Pada tahun 1970an, dua orang saintis rumput dari Universiti California, Dr. John Madison dan En. Bill Davis membuat rumusan bahawa pasir sahaja, tanpa sebarang campuran boleh di gunakan untuk membina green di padang golf. Mereka mengatakan bahawa pasir di letakkan di atas permukaan subtanah yang di letakkan longkang boleh menghasilkan permukaan yang baik untuk kebanyakkan keadaaan. Tanpa lapisan lapisan tertentu seperti green USGA, green California adalah lebih murah.

4.  Pembinaan green hybrid USGA – California

Pada tahun 1998, En. Hummel telah mencadangkan beberapa pembaikan kepada cara pembinaan green California iaitu dengan menggunakan kriteria pasir sama dengan USGA dan menggunakan kiraan sama seperti yang di lakukan di green USGA termasuklah penggunaan bahan organik di zon akar. Dalam ertikata lain, hybrid USGA – California ialah kombinasi kriteria USGA dalam profil California. Begitu juga pada asalnya green California tidak mempunyai lapisan kerikil tetapi kini seperti green USGA banyak green California yang telah ditambah lapisan kerikil di bawah sekali.

Belanja minum?

Derma untuk belanja saya dan memberi lebih tenaga supaya lebih kreatif!

5.00RM

Nota di atas adalah petikan dari buku saya “Penyelenggaraan Rumput di Padang Golf” yang akan dilancarkan pada 25 September 2018. Harga setiap satu ialah RM79.00 (Harga kulit keras ialah RM99.00). Jangan lupa untuk memesan satu:

Buku 1st draft (1)

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

 

Pengumuman:

Buku “Penyelenggaraan Rumput di Padang Golf” akan dilancarkan di UUM oleh Presiden Persatuan Golf Malaysia selepas dua ceramah tentang industri golf di Malaysia mulai 9.30 pagi. Terbuka kepada semua.

Adjunct Professor talk at UUM

Bermula 9.30 pagi berakhir 12.30 tengahari. Terbuka kepada semua. Masuk adalah percuma.

Posted in Golf club, Golf Course, Golf Course Superintendents, Greens, Padang Golf | Tagged: , , | Leave a Comment »

Pelancaran Buku.

Posted by mynormas on September 22, 2018

Buku “Penyelenggaraan Rumput di Padang Golf”; sebuah buku pertama seumpamanya dalam Bahasa Malaysia akan dilancarkan di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM di Sintok, Kedah  oleh YBhg. Tan Sri  Dato Setia Mohd. Anwar, selaku presiden Persatuan Golf Malaysia selepas sesi ceramah oleh beliau bertajuk “Vision of the Malaysian Golf Industry” dan Mr. Steven Allan Thielke yang bermula 9.30 pagi pada Selasa 25 September 2018.

Semua dijemput hadir.

Adjunct Professor talk at UUM

Bermula 9.30 pagi berakhir 12.30 tengahari. Terbuka kepada semua. Masuk adalah percuma.

Posted in Golf Course | Leave a Comment »

Garis hijau atas padang

Posted by mynormas on September 20, 2018

Baja (atau ‘pupuk’ kata orang seberang) boleh menjadi masalah kalau tak diberi kepada rumput dan boleh juga menjadi masalah kalau diberi dalam kuantiti yang terlalu banyak.

Isu Pertama sekali ialah salah guna baja dan selalunya ialah urea; oleh kerana nak padang nampak hijau, ramai penjaga padang yang akan menabur baja urea kadang-kadang dengan banyak supaya padang nampak hijau. Urea mengandungi 46% nitrogen dan nitrogen yang menjadikan kehijauan pada daun. Malangnya bila telalu banyak, nitrogen akan menyebabkan pertumbuhan mendadak, lebih banyak lagi ia juga menyebabkan dinding sel daun menjadi lemah; maka rumput tak lasak (daun mudah koyak) dan mudah dijangkiti penyakit kulat.

Isu kedua ialah teknik pembajaan yang tak betul. Pembajaan tak sekata akan menyebabkan padang tak sekata warnanya.

Isu ketiga ialah pembajaan tak kena waktu. Pembajaan dimusim hujan, terutamanya menggunakan baja sebatian atau straight fertiliser seperti urea dan bukan baja lepas-lambat (slow-release) atau baja foliar akan menyebabkan granul baja cair dan melepaskan nutrien serta merta dan tak mungkin dapat di’sedut’ oleh rumput. Bayangkan setiap granul (biji) baja ialah satu tin minuman air teh bunga dan setiap satu orang ialah satu rumput: apa yang orang nak buat ialah dia nak bukak satu tin dan minum perlahan lahan. Tetapi apa yang berlaku ialah tiga atau empat tin dibuka dan dicurah kepadanya. Apatah lagi sistem pada akar analogi nya ialah ibarat manusia minum air dalam tin guna straw kecik.

Apa jadi pada air berlebihan itu? Ia akan bertaburan di lantai. Untuk rumput, ia akan hanyut ke bawah dan dibawa ke sistem perparitan subtanah (jika ada). Bila hujan berhenti, dalam longkang subtanah ada baja berlebihan. Dan kini rumput atas longkang subtanah ada simpanan baja dibawahnya.

Hasilnya, rumput di atas longkang subtanah akan lebih hijau dari rumput sekitarnya.

 

uneven fertilize baja (3)

Baja dalam longkang menguntungkan rumput di atasnya tapi nampak pelik.

 

Maintaining this Website. Sumbangan.

Saya menyumbang ilmu secara ikhlas melalui laman web ini. Tetapi pengendalian laman web ini perlukan wang. Setiap tahun USD99 (lebihkurang RM400). Sedikit sumbangan anda amat membantu. Anda mendapat manafaat dari laman web ini? Sumbangan bermula dari $10. Jangan lupa ‘Like’ artikel ini; ‘Follow’ laman web ini dan klik mana mana iklan di page ini. This website is maintained and managed with my own money. I’ve done my best to not allow advertisement on this site thus far so that I can be independent. I’m going to start to ask for donations and see if I can get enough to sustain it that way. Donations start from $10.

$10.00

Posted in Golf Course, Padang, Padang Bola, Rumput halaman rumah, stadium | Leave a Comment »

 
%d bloggers like this: