Pakar Rumput

Laman Web Rujukan Rumput Tempatan. Local Turf Reference Website

Rumput kat Fairway

Pukulan di atas green adalah antara pukulan paling penting yang boleh di buat oleh seorang pemain golf dalam permainannya. Dia boleh buat longest drive 300 meter, tapi dia boleh kalah kalau bola dia miss dalam jarak tiga inci dari lubang pin.  Kadang-kadang green di katakan sebagai hartanah paling mahal di dalam sebuah padang golf.

Tahukan anda bahagian padang golf yang akan menjadikan hartanah di sebelah padang golf itu sebagai hartanah yang mahal?

Fairway bukan sahaja ialah sebagai kawasan permainan besar, tetapi ia juga adalah kawasan yang paling penting dari segi aestetik padang golf. Ramai orang yang meminati padang yang mempunyai jalur-jalur dan menganggap nya cantik, walaupun mereka bukan golfer. Dalam ruangan ini, kita akan membincangkan jenis-jenis rumput di fairway Malaysia.

Pandangan rumput hijau dengan jalur seperti papan dam boleh menaikkan harga hartanah sekeliling padang golf. Saya pernah ada jiran yang berkeras supaya pokok di hadapan rumahnya di potong supaya dia dapat melihat fairway, walaupun diberitahu bahawa pokok tersebut memberi perlindungan kepada dia dari dapat melihat bola golf dari jarak yang sangat-sangat dekat.

Ada tiga jenis rumput utama di fairway Malaysia; Zoysia, Bermuda dan Cowgrass. Ada juga padang yang menggunakan Paspalum, Serangoon, Buffalograss dan juga rumput campur-campur.

Cowgrass

Saya tak berminat nak menggunakan istilah ‘rumput lembu’ walaupun ia pernah digunakan kerana ia adalah terjemahan langsung yang mungkin memberi makna berbeza (birdie = burungie?) jadi kita kekalkan nama cowgrass.

Nama saintifik atau nama Latin yang banyak digunakan di Malaysia merujuk kepada Paspalum conjugatum atau Axonopus compressus. Saya lebih berpihak kepada A compressus; ada seorang pakar yang mencadangkan kepada saya bahawa P conjugatum ialah nama sains untuk buffalo grass (rumput kerbau).

Cowgrass ialah rumput tempatan yang boleh di dapati di banyak tempat di Malaysia. Ia lasak, kurang memerlukan baja dan air. Jika kemarau dan air kekurangan; ia akan menjadi dorman dan bertukar warna coklat. Ia akan kembali hijau bila keadaan air kembali pulih. Ini tidaklah bermakna ia tahan kemarau; malahan ia akan menjadi dorman sebelum kesan kemarau di rasai oleh Bermuda atau Zoysia. Bezanya ialah, bila cuaca pulih, lebih banyak Cowgrass akan hidup berbanding yang dua lagi. Dengan sistem pengairan padang golf moden sekarang, kelebihan tersebut tidak lagi relevan.

Cowgrass sentiasa berwarna hijau gelap, walaupun lama tidak di baja. Malangnya, kelebihan itu adalah juga punca masalah kepada banyak masalah padang cowgrass. Bila Superintenden mencadangkan supaya fairway di baja; mereka akan ditanya “Kenapa? Kan masih hijau?”

Ia mempunyai akar yang pendek dan daun yang besar serta lembut, jadi ada pemain golf yang berpendapat bahawa cowgrass bukan rumput yang ideal kerana bola akan duduk lebih dalam dan susah di pukul.

Saya berpendapat, pembajaan mengikut jadual (bukan mengikut warna rumput) dan sistem pengairan yang baik akan menjadikan cowgrass setara dengan rumput fairway lain.

properly maintained cowgrass

Good cowgrass fairway

Rumput Zoysia

Rumput ini hampir menjadi rumput ideal untuk fairway. Ia tumbuh rapat, mempunyai daun yang keras yang akan memegang bola untuk memberi peluang pukulan bola yang baik untuk pemain golf. Ia juga tahan kemarau. Jika di jaga dengan baik, rumpai liar sukar masuk.

Zoysia matrella

Yang tak bestnya, kebanyakkan spesis Zoysia berwarna hijau muda – walau banyak mana baja di campak ke atasnya; ia lebih tumbuh menegak dari horizontal, ertinya kena rajin memotong kerana ia cepat panjang. Di masa yang sama ini juga bermakna ia lambat pulih dari divot. Daunnya mempunyai unsur silica yang menjadikannya keras. Tetapi kekerasan itu yang akan cepat menumpulkan pisau.

Kos penjagaan Zoysia lebih tinggi dari Bermuda atau Cowgrass. Oleh kerana ia berwarna hijau muda, padang golf tidak kedekut memberikannya lebih baja, ia juga memerlukan pemotongan yang lebih kerap dan penggantian pisau pemotongan yang lebih banyak.

Oleh kerana daun yang keras dan sifat yang agresif; ramai golfer yang gemar main di atas fairway rumput ini.

Saya berpendapat; jika kelab golf mampu tahan kos yang tinggi, Zoysia berbaloi untuk di gunakan sebagai rumput fairway, tambahan pula khabarnya ada kultivar atau hybrid yang berwarna hijau gelap.

Rumput Bermuda

Bermuda adalah rumput yang popular di padang golf Malaysia kerana ia mudah di tanam, mudah di bela dan adalah rumput import yang murah. Ada banyak spesis, hybrid dan kultivar yang di tanam di Malaysia. Kadang-kadang – saya nampak serupa aje dari satu jenis ke jenis yang lain tapi tuan punya padang marah kalau saya cakap macam tu.

Jenis Common Bermuda, Tifway 419 dan Greenlees Park adalah kultivar atau hybrid yang paling banyak di temui di Malaysia. Selain itu, jenis Numex Sahara dan Windsor Green telah cuba di tanam di Malaysia tanpa kejayaan.

Rumput Bermuda juga di kenali dengan nama rumput Couch dan mempunyai variety, kultivar dan hybrid yang amat banyak.

Rumput Bermuda sangat cepat membiak dan di takuti sebagai rumpai di kawasan ladang-ladang kapas di Amerika Utara. Ini memberikan ia kelebihan cepat pulih dari divot dan serangan serangga atau penyakit. Kebanyakkan jenis Bermuda berwarna hijau gelap dan tidak perlu pembajaan yang tinggi. Malangnya seperti biasa, ini adalah punca kepada kelalaian pembajaan dan ini membawa kepada kerosakkan kebanyakkan fairway Bermuda di Malaysia.

Saya berpendapat bahawa rumput Bermuda – terutamanya Greenlees Park – adalah sangat sesuai untuk di jadikan rumput fairway di Malaysia. Ia senang membiak, berwarna hijau gelap dan lebih cenderung untuk tumbuh melata dari menegak. Ia tidak punya banyak musuh dari kumpulan penyakit ataupun serangga.

Paspalum vaginatum

Nama spesis rumput ini sentiasa menimbulkan senyuman nakal orang yang faham dan otak sedikit kuning. Apa nak buat? Bukan saya yang bagi nama rumput.

Ini satu-satunya rumput yang tahan air masin. Bukan air garam tapi air laut. Pendapat saya ialah ini rumput yang sesuai untuk di tanam oleh padang golf yang berada dekat dengan kawasan pantai dan menghadapi masalah tiupan air laut dan air pengairan yang tercemar dengan air laut.

Tapi kini rumput Paspalum popular digunakan di padang golf yang jauh dari pantai, kerana ia mempunyai warna hijau gelap dan ia rumput yang tumbuh agak agresif di samping mempunyai kelebihan tumbuh di bawah situasi yang berbeza. Ia boleh tumbuh walau di potong pada ketinggian yang amat rendah atau tinggi.

Tetapi malangnya, ia mempunyai kelemahan kerana ia juga digemari oleh serangga dan penyakit. Jika kelab mahukan keadaan sempurna, ia perlu memberi perhatian lebih kepada penyemburan racun serangga dan kulat bukan sahaja di green, tetapi juga di fairway dan rough.

Di khabarkan kini terdapat beberapa kacukan Paspalum yang tahan penyakit di pasaran, tetapi belum ada yang menanamnya di padang golf baru di Malaysia.

Rumput Serangoon

Rumput Serangoon di fairway? Ramai orang tidak percaya bahawa rumput Serangoon boleh di gunakan di fairway. Ia memang tidak popular di green. Dan bila saya syorkan rumput Serangoon di gunakan di halaman rumah; orang akan mencebik.

Hakikatnya ialah Serangoon tahan cuaca redup, tahan lembab, lambat tumbuh panjang, perlu kurang baja dan kurang

Serangoon grass

masalah penyakit atau serangga.

Mungkin ia kurang popular kerana ia adalah hasil tempatan, dan bukan rumput import. Macamanapun, kita lebih percaya yang di import dari yang tempatan.

Kelemahan rumput Serangoon ialah warna hijau muda (tapi Zoysia lebih muda lagi) dan daunnya agak lembut (tapi tak selembut Paspalum) dan kurang informasi tentang penjagaan nya. Mungkin satu hari nanti bila orang putih syorkan Serangoon (dan bagi nama lain), padang golf Malaysia akan menyambut baik penggunaan rumput ini walaupun sebenarnya sama dengan Serangoon.

Rumput macam-macam

Saya pernah tengok padang golf yang mempunyai fairway di penuhi dengan rumput yang saya kenal sebagai Buffalograss (bunganya macam Cowgrass tapi daunya hijau muda dan lebih kecil) dan ia memberi hasi yang memuaskan. Untuk membezakan di antara fairway dan rough, saya mencadangkan pembajaan menggunakan baja foliar (kerana penyemburan lebih tepat) untuk menjadikan fairway lebih hijau. Niat saya ialah supaya fairway lebih hijau dari rough. Saya gagal. Tetapi dengan memendekkan potongan rumput fairway kepada 12mm dan menaikkan rough kepada 40mm; masalah selesai. Mereka menggunakan baja granul murah dan mesin di tarik traktor dan mendapat kesan yang amat baik. Masalah mereka sekarang hanyalah tanah yang tidak rata.

Rumput Lovegrass mampu menjadi permukaan permainan yang baik, malangnya bunganya yang melekat di seluar menjadikan ia rumput yang di benci.

Banyak padang golf di Malaysia yang mempunyai rumput yang bercampur-campur kerana tidak di bela dengan baik. Adakah ini boleh diterima? Asalkan konsep utama penyelenggaraan padang golf di pegang: supaya padang golf adalah adil kepada semua pemain, ia bukan masalah besar.

Jenis rumput sepatutnya tidak penting kepada permainan golf tetapi pilihan terpulang kepada kelab golf itu sendiri. Mereka mempunyai alasan sendiri untuk pilihan asal sewaktu pembinaan. Malangnya, selalunya fairway akan ‘hancur’ bila tiba waktu penyelenggaraan jangka masa panjang.

Walau apa pun rumput fairway yang digunakan di fairway, nasihat saya ialah supaya mempunyai rejim dan rutin yang tetap untuk penjagaan dan penyelenggaraan fairway seperti juga green. Tetapkan pembajaan setiap bulan atau dua bulan atau empat bulan atau enam bulan; jangan sekejap baja sekejap tak baja. Adakan rutin pengudaraan dan dethatching yang sepatutnya menurut keperluan, jangan tak buat.

Banyak fairway yang rosak; walau apapun rumput nya, kerana penjagaan dan penyelenggaraan yang tidak di lakukan menurut jadual atau tidak di lakukan langsung atas nama mengurangkan kos. Ada banyak cara saya boleh cadangkan untuk mengurangkan kos  dengan tidak menjejaskan kesihatan fairway. Contohnya tukar jenis baja, tinggikan K, kurangkan N, guna foliar; jangan dethatch tapi guna slicer dan sebagainya.

Selagi profesionalisme penyelenggaraan tidak di atasi, tanam lah rumput apapun, walaupun Cowgrass, ia akan menjadi fairway yang tidak di gemari tidak lama lagi.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: