Turf Matters

The Site To Go To For All Your Turf Matters

Cara ‘sod’

Menanam cara sod adalah cara paling biasa digunakan di Malaysia dan pada pendapat saya, cara paling senang tetapi paling selalu salah.

Nampak jer cantik, tapi silap.
1. Air mengalir dari belakang ke depan mempunyai lorongan.
2. Jarak di antara sod, walaupun kecil, tidak di isi dengan pasir ataupun tanah untuk membantu rumput membiak.

Kebaikan cara sod ialah;

1. boleh ditanam hampir dalam sebarang cuaca; musim hujan atau musim kemarau.

2. kawasan yang di tanam cepat tumbuh dan kelihatan rapat.

3. boleh di tanam di kebanyakan kawasan; rata ataupun di tepi bukit.

4. perlukan penjagaan yang kurang berbanding dengan cara lain.

5. Tidak mudah hanyut.

6. Tidak di makan oleh burung (berbeza dengan bijibenih).

Keburukan cara sod:

1. Memerlukan jumlah rumput yang lebih banyak berbanding cara lain.

2. Kecuali rumput cow/pearlgrass, hasil padang akan bertompok kerana rumput tidak sama spesis ataupun di susun tidak mengikut ‘grain’.

3. Akar yang pendek, maka rumput tidak lasak. Terutamanya jika penyediaan tapak tidak betul.

4. Tempat bercantum sod boleh kering dan/atau akan kelihatan lama setelah padang digunakan.

5. Berpotensi membawa bersama masalah dari nursery seperti serangga, spora kulat, benih rumpai, telur dinosaur (ha?!), jin tanah (haa?!), makhluk halus (haaa?!) dan sebagainya.

Secara definasi, sod ialah rumput termasuk akar yang di pegang oleh tanah. Biasanya ia adalah lebih besar atau bersamaan dengan 1 kaki persegi. Cara penanaman ialah dengan menanam rapat-rapat dalam susunan seperti menyusun batu bata. Ia boleh juga di susun jarang-jarang sehingga memenuhi 50% luas kawasan. Kurang dari 50% – kita boleh memberi ia nama ‘spot turfing’ yang mempunyai muka lain di laman web ini.

Langkah-langkah penanaman cara ‘sod’.

1. Mengukur luas kawasan.

Berapa luas kawasan yang perlu ditanam dengan rumput? Untuk kawasan rumah, saya cadangkan membeli jumlah sod sama besar atau 80% luas kawasan tersebut, mengikut kemampuan. Biasanya kalau tanam sendiri, kadang-kadang hampir 10% dari sod tak boleh digunakan kerana pecah atau ada rumput liar. Rumput yang pecah boleh digunakan untuk ditanam di kawasan tepi/sempadan, tapi sod yang ada rumput liar mesti dipecahkan dan di tanam di kawasan tepi atau sebagai ‘spare’ untuk repair.

Walaupun Malaysia dah lama bertukar metrik, tetapi sod biasanya di jual dalam kaki persegi.

Cara untuk mengukur luas kawasan yang tidak geometri boleh di baca di sini

2. Membeli sod.

Berbekal dengan pengetahuan berapa luas kawasan (dan budget dalam poket) maka mulalah bershopping. Pastikan kita tahu rumput apa kita mahu dan tidak terpengaruh dengan apa yang kita lihat di nursery.

Bandingkan harga dan utamakan nursery yang kita boleh pilih rumput dan bawa balik (ataupun kita pilih dan dia terus angkat naik lori). Was-waskan nursery yang kita pilih rumput kat showroom  dan dia akan hantar dari nursery dia yang katanya berada 136.7 km dari situ. Kadang-kadang, rumput yang di hantar ke rumah tak sama dengan rumput yang kita pilih.

Jika tak dapat di elakkan (kerana kawasan kita sangat besar atau kita suka shopping kat showroom yang ada aircon dsb) maka beritahu dia yang kita nak ada kat nursery tu masa dia tuai sod. Ada satu lagi alternatif; bahagikan kawasan kepada beberapa sektor, beli dan tanam mengikut sektor. Dengan cara ini, kita tak perlu risau rumput tak sama bersebelahan, kerana sekurang-kurangnya dalam satu sektor, rumput dari keturunan yang sama.

Sekalli lagi saya ulang, masalah rumput tak sama menjadi masalah utama pada rumput jenis ‘carpetgrass’ dan jarang pada cowgrass atau pearlgrass.

3. Penyediaan tapak.

Saya ada satu muka tentang penyediaan tapak dalam laman web ini. Tapi pendek katanya, di bawah sod itu perlu ada tanah yang agak peroi dan boleh di tembusi oleh akar. Ini kerana masalah bila tanah bawah terlalu mampat dan akar rumput hanya berada di dalam sod. Bila hujan lebat, sod akan ‘terapung’. Bila kering, sod akan mati kerana akar terlalu pendek.

Bagaimanapun, sila baca tentang penyediaan tapak di sini. Tanam sod rumput atas lapisan pasir itu kemudian letak pasir de celah-celah sod (jika ada celah).

4. Menyusun sod

Comot tapi betul.

Nampak tak sod di susun air tidak boleh mengalir bebas dari kiri ke kanan? Sod ini di susun pada lebihkurang 80% dari keluasan tanah.

Kesilapan paling asas yang saya tengok orang buat ialah bila dia tanam sod dia mengikut garisan yang membenarkan air mengalir. Jika kita menyusun sod, susun supaya ia menyerupai orang susun batu bata; bata yang di atas akan melintang di atas sambungan bata di bawah. Dengan cara ini, air tidak mempunyai satu ‘lorong’ untuk mengalir dan membawa baja, pasir dan rumput.

Jika kita membeli 100% sod (ertinya jika luas kawasan anda ialah 120 kaki persegi dan anda beli 120kaki sod) menyusun adalah mudah. Jika kita  membeli hanya 80% atau kurang, mulakan dengan bahagian paling penting kawasan kita contohnya depan rumah, kotak penalti, tengah green dan sebagainya. Saya tahu ada orang yang akan mulakan dengan sempadan dan menanam ketengah, tapi jika kita kehabisan rumput atau salah budget, maka tengah akan lompong/kosong. Mulakan dari satu sisi dan pilih sisi yang paling penting untuk kita (pedulikan apa orang lain kata)dan tanam ke arah yang tak penting. Kalau sod nampak macam tak cukup, maka kawasan yang kurang penting tu kita boleh tanam kemudian ATAU, kita boleh jarakkan lebih sikit baki sod yang ada untuk mencukupkan kawasan yang – ahem – kurang penting tadi. Jadi, kalau di rumah, kita tanam dari depan ke belakang (contohnya) dan di pejabat kita tanam dari depan ofis bos ke luar dan sebagainya.

Untuk padang golf dan padang bola. Ada lagi yang saya tak cerita kat sini. Ada orang yang ciplak kerja saya sebagai kerja mereka. Sekarang ada bahagian untuk orang komersil yang saya simpan. Sorry. Nak tahu? Email saya dan kenalkan diri.

5. Tanam sod.

Menanam dengan rapi. Sod dan luas kawasan 100%

Ada orang tanam dengan cara mengorek tanah dan meletakkan sod ke dalam. Ada orang melakukan dengan cara hanya meletakkan sod ke atas tanah. Kedua-dua cara betul, tapi lazimnya jika menanam 100%, kita boleh hanya letakkan sod atas tanah, dan jika 80% atau kurang, kita akan tanam dia supaya dia tidak ‘lari’ dari kedudukan.

Jika kita meletakkan sahaja sod di atas tanah dan tanah itu sedikit curam, kita mungkin terpaksa menggunakan paku yang diperbuat dari kayu atau bahan mudah-urai lain.

Apapun, pastikan tanah bawah TIDAK keras.

6. Siram.

Siram serta-merta lepas tanam. Siram hingga tanah bawah basah. Untuk seminggu dua lepas itu, pastikan tanah di bahagian bawah sod basah di waktu pagi dan tengahari (perasan tak, saya tak kata ‘siram’?)

Selepas itu, JANGAN siram sehari sekali atau sehari dua kali, siram bila keadaan memerlukan. Ertinya, bila tanah di bawah sod kering; siram. Jangan siram lepas pukul 3 petang. Rumput yang basah hingga ke malam akan mengundang penyakit dan lumut.

Jangan pijak rumput tu untuk lebih kurang sebulan sehinggalah akar rumput dah tumbuh.

Mula potong pada minggu ke lima, jangan potong lebih dari satu pertiga ketinggian rumput. Lepas dua minggu turun kan ketinggian, lepas tu dua minggu lagi, hinggalah mencapai ketinggian yang kita mahu.

Mulai minggu ke empat, topdress seminggu sekali dengan nipis. Tujuan topdress ialah supaya pasir masuk ke kawasan yang tak rata dan meratakan permukaan tanpa melemaskan rumput. Ratakan pasir dengan tangan atau kayu ‘T’ dan siram. Jangan potong sehari lepas topdress, nanti pasir berterbangan.

Mulai minggu ke enam, mulai merumpai. Bahagikan kawasan anda kepada seksyen2 kecil dan merumpai dalam satu seksyen selama satu hari. Esok (atau hari seterusnya) merumpai di seksyen kedua, hari seterusnya di seksyen ketiga dan ulang. Dalam masa tiga bulan kita seharusnya akan dapat laman yang kita idamkan.

insyaAllah.

Selamat mencuba!

Bagaimana sod di tuai di nursery.

Ini adalah permukaan bunker padang golf yang senget dan boleh rosak akibat hujan lebat.

rumput yang pendek akar (dan nyawa) mati dulu.

Rumput dah di tanam tapi tak di siram.

25 Responses to “Cara ‘sod’”

  1. Amin said

    Salam Tuan,
    Saya baru shj tanam rumput karpet di laman rumah saya dua hari lepas dan hari ini baru terjumpa website yang sgt menarik ni…saya sebenarnya tanam rumput karpet secara sod di laman kecil saya yang berada di bawah awning..kalau saya baca post2 tuan , rumput ni perlukan cahaya matahari..so , bermakna projek tanam rumput sy akan menuju kegagalan ke.. 😦 adakah cara2 lain untuk pastikan rumput ini terus hidup…

    Like

    • mynormas said

      En. Amin,
      Rumput carpet perlukan paling sikit pun 6 jam matahari. Malangnya rumput dan kebanyakkan tumbuhan lain mendapat makanan dari fotosintesis (bukan baja) dan utk melakukan proses ini, ia perlukan cahaya matahari.
      Hidup dan mati di tangan Tuhan. Siapa tahu? Tuan mungkin kena tipu dan rumput karpet tuan adalah dari spesis Zoysia matrella yang sebenarnya lebih kasar dari rumput Phillipines tapi di masa yang sama ia tahan redup. Atau rumput tuan adalah mutasi yang tahan redup?
      Lain cara saya tak dapat tolong tuan; maaf.

      Like

  2. Amin said

    T.kasih atas komen tuan…

    Like

  3. Nizam said

    Salam

    Saya bercadang menanam rumput padang secara sod di sekeliling rumah. Tanahnya adalah jenis keras bercampur dengan batu-batu (tanah ditambun oleh pemaju). Untuk menjayakan projek tanam rumput saya merancang untuk mengupah Bangla untuk mencangkul bagi membuang batu-batu dan membalik-balikkan tanah.

    Perlukah saya mencampurkan dan menggaulkan tanah yang dicangkul dengan “top soil” bagi mendapatkan kualiti tanah? Ada apa-apa lagi yang disyorkan?

    Mohon nasihat Tuan

    Like

    • mynormas said

      Tuan, mengguna semula tanah tersebut adalah “optional”. Jika ia ok maka boleh lah tuan guna. Jika ia mengandungi terlalu banyak selut atau tanah halus (bila basah ia berkepal); lupa kan.
      Jangan lupa tentang saliran. Samada nak korek sub soil drain atau sekadar nak senget kan tanah supaya air mudah mengalir keluar; pun ok.
      Selamat mencuba!

      Like

  4. Tuan,

    Saya bercadang untuk menanam pearlgrass di halam rumah secara sod…setelah survey di nursery, sod yang dijual bersaiz 2 kaki x 1 kaki…bagi mengurangkan kos, berapakah jarak maksimum penanaman antara sod?…setelah ditanam dengan jarak tersebut, berapa lamakah anggaran untuk sod bercantum?…

    Like

    • mynormas said

      Tuan, secara teorinya ia boleh di tanam pada jarak sama besar dengan saiz sod. Ertinya kalau laman tuan 100kaki persegi, hanya perlu beli 50kaki persegi sahaja. Ataupun kita kata 50% penanaman. Tapi rumput jenis cowgrass dan pearlgrass agak lambat sikit pertumbuhannya so saya cadangkan paling sikit pun 80% dari keluasan laman. Mulakan penanaman dari kawasan yang penting atau yang paling kelihatan untuk tuan – contohnya depan rumah ke, tepi porch ke dan sebagainya so kalau tak cukup pun dia kat kawasan yang kurang penting atau kurang nampak.
      Berapa lama ia bercantum akan bergantung pada beberapa faktor. Walaubagaimanapun paling lama pun satu bulan. Kalau ada bahagian yang masih lopong pada tempoh tersebut; bantuan perlu di berikan dengan membeli sod baru dan menanam di kawasan lapang tersebut. Ataupun potong dari bahagian belakang untuk tampal bahagian hadapan.

      Like

  5. Adib said

    salam,

    ada beza ker kalau beli rumput carpet sod yg ditanam dalam polybeg hitam (2×1) tu dengan yg jenis rumput carpet sod yg di tanam atas padang yg datang gulung panjang sikit tu?

    Like

    • mynormas said

      Secara umum: takde beza, cuma kadang-kadang rumput yang dah di tanam dalam polybag hitam itu mungkin dah di simpan lama sikit dan yang di gulung tu mungkin fresh. Kalau tak fresh pun boleh nampak sebab dia akan jadi kuning, yang dalam polybag tu akan tetap hijau.
      Tapi bila di tanam, biasanya kedua-dua rumput ni boleh survive.

      Like

  6. sauffee zulkiflee said

    salam,

    saya bercadang untuk menanam rumput filipina di laman belakang rumah.Dahulunya adalah tempat membuang dan pembakaran sampah oleh org kampung sekitar kejiranan termasuk kami sendiri. 10 tahun lepas , saya sekeluarga sudah pun melarang dan melupuskan semua sampah sarap tersebut dan kami mula bercucuk tanam. Alhamdulillah semua tanaman menjadi…soalan saya adalah adakah saya perlu untuk membeli pasir utk membuat lapisan untuk menanam rumput filipina tersebut? atau boleh terus jer campak rumput tersebut mengunakan kaedah ‘sod’…maaf saya tidak arif langsung nak tanam rumput.

    p/s ; maaf agak panjang lebar cerita saya..heheehe

    Like

  7. azron said

    Salam tuan,

    Saya tinggal di condominium. Saya mempunyai balkoni yang agak luas. Saya ingin menjadikan ia satu padang yg sgt mini. Apa kah rumput dan cara yang paling sesuai utk saya tanam? Untuk mendapat matahari saya rasa bahagian balkoni saya tiada masalah.

    Like

    • mynormas said

      Ikhlas saya cadangkan tuan gunakan rumput artificial. Ia lebih sesuai. Bayangkan macamana tuan nak baja atau pun potong rumput betul?
      Lihat contoh rumput dan jangan beli yg murah.

      Like

  8. zul said

    salam.

    saya skrg bru mmulakan kerja dan ditugaskan untuk mnanam rumput jenis Zoysia Matrella secara ‘sod’ di tapak pembinaan tersebut,Jadi msalah saya disini bagaimna langkah2 yg perlu saya buat utk mnanam rmput tersebut?,dan cara2 saya untuk menanam rumput tersebut?

    Like

  9. Badrul said

    Salam Tuan Normas,

    Banyak info yang saya dapat dari website Tuan.

    Saya telah menanam cow grass baru sebulan secara sod tidak rapat. Menanam di waktu kemarau memang satu cabaran besar. Tanah asal pula jenis sedikit keras. Rumput ada yang telah menjalar di beberapa bahagian di celah-celah sod terutamanya bahagian yang menerima cahaya lebih lambat, dan bahagian-bahagian lain pula masih berusaha untuk hidup. Siraman hanya dibuat pada setiap pukul 7 pagi dan kadang-kadang pukul 1 petang. Kesian juga tengok rumput nampak kekeringan tetapi kerana tak nak manjakan sangat rumput supaya akarnya berusaha ke bawah mencari air, sabar jer lah. Yang mana nampak tercungap-cungap tu saya buat pengudaraan dengan paku.Baja organik tahi ayam jenis serbuk digunakan seminggu sekali. Kesilapan saya adalah tidak mengisi celah-celah sod dari awal kerana kejahilan saya. Nampuk beralun.Soalan saya, celah-celah tu perlu diisi dengan pasir atau tanah, kalau tanah, adakah tanah topsoil? Dan di celah-celah yang telah dijalari rumput, boleh terus topdressing atau tunggu rumput penuh dahulu?

    Like

    • mynormas said

      Salam En Badrul,
      Tahniah! Apa yg tuan buat nampaknya betul.
      Saya cadangkan tuan gunakan pasir utk topdress kerana lebih senang utk di ratakan. Tuan boleh terus topdress nipis kerana ia akan membantu rumput cepat penuh insya Allah.
      Selamat Mencuba!

      Like

      • Faizah said

        Salam tuan Normas.. Saya baru tanam rumput mutiara di halaman rumah secara sod. Lepas seminggu ada 2 ke 3 kepingan sod yg nampak kekuningan.. Dari segi penyediaan tanah sy telah ratakan buang batu balik2 kan tanah tu dan diatasnya di letakkan pasir. Saya jarang siram sebab sekarang musim hujan, hujan setiap hari waktu malam, siang kadang hujan renyai2. Adakah rumput sy kurang air? Apa sebabnya rumput tu jadi begitu?

        Liked by 1 person

      • mynormas said

        Salam. Kalau sod yg terlibat tu bukan ber sebelahan satu sama lain, ia mungkin berasal dari nursery. Mungkin tak subur, mungkin kering di nursery.
        Kalau sod tersebut ber sebelahan, ia mungkin akibat dari air yg bertakung di bawah sod kerana kelemahan Pearl grass ialah tak tahan air banyak. Cuba check di bawah sod tersebut jika basah.

        Like

  10. Faizah said

    Terima kasih tuan atas penjelasan. Untuk makluman tuan kekuningan yg ketara pada 1 sod dibahagian tepi dah 1 sod di bahagian tengah. Kedudukan agak jauh. Walaubahaimanapun sod-sod lain yang bersebelah dan sekitarnya juga terdapat beberapa daun yg mulai kuning. Jika dilihat dari jauh keseluruhan kawasan rumput tu tidak hijau seperti sebelum ini. Apakah yang perlu sy buat jika masalahnya bepunca dari air? Lapisan pasir yang sy letak sebelum tanam agak tinggi juga, ada masalah tak klau lapisan pasir banyak? Jika masalah tersebut dari nursery ada cara tak untuk ia pulih kembali?

    Like

  11. Faizah said

    Ya tuan penjelasan yang sangat membantu.. Terima kasih atas ilmu ini.

    Like

Leave a comment