Turf Matters

The Site To Go To For All Your Turf Matters

  • Facebook Likes

  • The new Brushcutter

    Pengganti Brushcutter

    Increase productivity, cut labour. Try the AM61A

  • Trees Nursery

    Forest trees nursery

    Get your Trees from this nursery

Rumput Cinta. Bab 3: Ah Seng

Posted by mynormas on April 9, 2020


Ini adalah bab ke 3 dalam siri Rumput Cinta tentang Roslan dan kerjanya menyelamatkan padang dan kerjayanya selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan di bulan April 2020 di Malaysia. Oleh kerana saya menulis siri ini dalam dua bahasa; BM di sini dan Inggeris di majalah inidengan tajuk “The Day After”, saya khuatir ada yang membaca hanya satu versi sahaja maka mulai dari bab ini, kedua-dua versi akan dicerita dari dua kacamata atau point of view. Contohnya, Bab 3 dalam Bahasa Melayu akan dicerita dari kacamata AhSeng, dan dalam bahasa Inggeris dari kacamata Roslan. Dapatkan Bab 1 dan Bab 2 dalam laman web ini.

“Hoi Jo. Lu angkat adjustable spanar mari sini. Lepas itu lu pergi tolong Saad kasi lepas itu mesin yang brek jem” kata Ah Seng kepada pembantunya Jo. Walaupun pada Ah Seng itu adalah suara biasanya, tetapi semua orang yang tidak mengenalinya akan mengatakan dia menjerit. Mungkin itu datang dari 30 tahun bekerja di bengkel – bengkel? Siapa yang guna perkataan bengkel? Workshop – yang bising. Mungkin juga kerana dia bertubuh kecil maka dia menggunakan suara yang besar sebagai ganti? Siapa tahu, aku bukan pakar minda, aku mekanik; pakar enjin, fikir Ah Seng.

Kalau aku pakar minda dah aku ajar budak-budak operator ni untuk tidak datang awal pagi terus hidupkan mesin yang dah sekian lama tak hidup. Periksa lah dulu minyak enjinnya, tayar nya atau ada tikus atau haiwan lain yang dah bersarang dalam mesin ke. Dia pernah jumpa sarang tikus dalam enjin mesin yang lama tak digunakan suatu masa dulu.

Kalaulah dia tahu tempoh PKP akan berlarutan lebih lama dari dua minggu seperti yang diumumkan kali pertama, banyak dia buat sebelum dia balik hari terakhir dulu. Mesin yang hampir tiba masa untuk tukar minyak enjin – atau minyak hitam bak kata kebanyakan operator di sini – dan yang dah lama tak diganti minyak enjin, dia akan keluarkan dan ganti dengan minyak baru; atau biar kosong. Minyak enjin yang pekat dan memang patut dipanggil minyak hitam yang lama dibiar dalam enjin akan mendak dan mengotorkan bahagian bawah enjin malah boleh menyumbat pam minyak enjin.

Apa nak buat? Benda dah lepas. Yang penting sekarang dia kena pastikan mesin yang ada bergerak. Sekarang, hari keempat selepas tamatnya PKP, ada tiga mesin dalam workshop. Masa hari pertama mula bekerja dia dah mula panik, suaranya yang lantang dah jadi serak kerana terlalu banyak mesin yang dibiar tanpa penjagaan dan penggunaan perlukan perhatiannya.

Sudahlah ketua cuti sakit dan pembantu bos tak mahu ambil tahu pasal mesin, maka seluruh jabatan penyelenggaraan padang mengharapkan Ah Seng memberi panduan.

Ah Seng sedang membaiki mesin yang enjinnya rosak kerana dihidupkan dalam keadaan lebih dari separuh minyak enjinnya telah menitis di lantai sepanjang tempoh PKP bila dia melihat sebuah bugi dipandu perlahan di depan workshopnya. Bugi Roslan, tapi yang memandunya si Nina.

Nina? Apahal si Roslan ni. Cari glamer kena gosip? “Biarlah. Bukan hal aku” fikir Ah Seng. Kau tak kacau aku, aku tak kacau kau. Tapi bos tetap bos, dia kena pergi sambut juga.

Workshop dan sebahagian dewan simpanan mesin

“Roslan” jeritnya dari dalam workshop. Kali ini memang dia jerit dan dia sendiri pun terkejut dengan kekuatan suaranya. Patutlah ada orang kata dia macam selalu nak bergaduh. “Apa khabar? Ada baik?”

Dia nampak Roslan jalan berdingkut-dingkut sambil memegang belakang masuk ke dalam workshop tetapi nampaknya Roslan tidak mahu bercerita tentang dirinya dan mengelak soalan Ah Seng “Ada masalah kawan?”

Ah Seng letak ke tepi dahulu pertanyaan kesihatan dan terus fokus kepada kerja “Mestilah” sambil menggaru siku dan lututnya yang dah berkematu akibat bertahun-tahun dalam posisi melihat ke bawah mesin “sudah lama tak ada jalan, ada orang bodoh datang terus start mesin tak periksa. Ada tiga mesin potong ride-on yang rosak. Saya baru mau bukak satu enjin mau check”

Roslan mengerutkan mukanya “Kau rasa apa masalahnya?”

Ah Seng masuk ke dalam dewan besar di mana mesin-mesin milik kelab di simpan dan Roslan cuba berjalan di sebelahnya “Aiyah… yang itu memang ada masalah enjin yang bocor. Gasket dia bocor dan kita selalu tambah minyak enjin. Sudah lama tak ada jalan dan tak ada tambah, itu bodoh start mesin tak ada periksa”

“Lagi dua mesin?”

“Brek! Parking brek lama pasang sampai sudah jem melekat. Sekarang enjin boleh hidup tapi mesin tak boleh jalan”

Ah Seng tahu itu yang Roslan tak nak dengar. Mesin yang disimpan dalam stor lama akan ada masalah bateri hilang cas dan untuk mesin lama, minyak enjin akan menitis keluar jika ada kebocoa dan sama seperti kereta jika handbrake dipasang terlalu lama, plet brek akan melekat. Dia boleh dengar Roslan mengeluh “Yang lain okay?”

“Saya ingat semua mesin pun tak boleh start masa hari 1 lepas PKP habis” kata Ah Seng “kita jump-start dan kita tolak mesin yang ada gear manual”

Ah Seng tunduk perhatikan enjin mesin pemotong rumput dek-depan yang rosak itu, Roslan di hadapannya. Dia mahu menunjukkan sesuatu kepada Roslan tetapi bila dia pandang ke atas melihat ke muka Roslan, dia mendapati perhatian Roslan bukan lagi kepadanya – atau mesin, tetapi pandangan nya ke luar workshop.

Ke arah Nina.

Nina yang kelihatan sedang berbual dengan salah seorang operator mesin yang sebaya dengannya. Ah Seng cuba membaca riak wajah kawan baiknya itu. Adakah itu cemburu? Marah? Ah Seng dah berkahwin hampir 30 tahun dan dia tidak lagi merasa apa yang dia khuatiri Roslan rasa.

Patutkan dia cakap sesuatu? Perlukah dia ambik tahu? Tiba-tiba Roslan memandang ke arahnya. “Hati-hati boss” Ah Seng beritahu Roslan.

“Apa?” walau dalam workshop yang tak berapa terang dia boleh nampak muka Roslan berubah warna. Oh… malu?

“Hati-hati jangan terpijak minyak tumpah!”

“Oh…” kata Roslan, melangkah ke tepi.

ebook sale esentral

Buku penyelenggaraan rumput dan padang golf pertama di Malaysia dan dalam BM kini dijual sebagai e-buku. Klik di sini untuk membeli.

“Tapi ada satu mesin yang tak ada masalah. Mesin yang paling penting pulak tu. Jadi adalah berita baik jugak dari workshop ini”

“Ya?” tanya Roslan, sedikit senyuman di bibirnya “nanti aku teka; Azmi? Mesin sprayer?”

“Ya lah. Azmi. Aku tak tahu mana dia dapat tahu pasal lockdown atau dia curi-curi masuk ke workshop masa PKP ke tapi dia naikkan mesin sprayer tu guna jack kemudian letak batu bata dan kayu bawahnya untuk selamatkan shock absorber dan tayar. Lepas tu dia lepaskan handbrake, cabut kepala bateri, dia letak bekas bawah enjin supaya kalau ada minyak menitis, masuk dalam bekas DAN…” Ah Seng menunjukkan jari ke muka Roslan, “dia isi minyak dalam tangki sampai penuh. Dia pandai ke atau memang tabiat baik dia ke tapi itu memang baik kalau mau simpan mesin lama, sebab kalau tangki kosong, nanti tangki tu berpeluh bila cuaca sejuk. Sekarang kan selalu hujan waktu malam. Bila tangki berpeluh nanti tangki berkarat atau air peluh tu akan kotorkan minyak”

Azmi adalah operator terbaik di situ, lebih muda dari kebanyakan yang lain dan masih bujang. Ah Seng suka kepada Azmi kerana dia pandai jaga mesin dan dia tahu Roslan juga suka kepada Azmi. Tetapi Azmi lah yang bercakap dengan Nina tadi.

Ah Seng berniat nak tukar tajuk dari Azmi dan bertanya “Kau cabut kepala bateri dari kereta Rose ke Roslan?” keluar saja soalan tu dari bibirnya Ah Seng rasa menyesal kerana spontan juga dia lihat perubahan pada Roslan. Mungkin dia ada rasa bersalah pada isterinya?

“Tak. Orang kata kereta jenis baru, kalau cabut baterinya nanti setting ada yang lari”

“Betul, kalau kereta lama, boleh tapi kalau kereta baru dengan radionya lah, komputer lah, atau entah apabenda lah, jangan cabut bateri”

Semasa perbualan tadi mereka telah mula bergerak keluar dari workshop.

“Okay Ah Seng. Aku pergi dulu. Nanti bagi aku laporan”

“Okay boss”

Ah Seng perhatikan Roslan berjalan ke bugi. Dia boleh dengar Azmi mengucapkan selamat kepada Roslan tetapi tidak diendahkan Roslan yang memandang terus ke hadapan.

Nina senyum kepada Ah Seng sambil perlahan memandu pergi. Patutlah Roslan dan yang lain tertawan, senyuman Nina memang manis. Tapi di jabatan yang 95% adalah lelaki, senyuman mak Nina pun akan dianggap menawan, fikir Ah Seng.

Bersambung…

Pastikan anda follow laman web ini atau FB mynormas.com untuk cerita selanjutnya.

Belanja minum?

Derma untuk belanja saya dan memberi lebih tenaga supaya lebih kreatif!

5.00RM

Cerita ini adalah rekaan semata-mata dan tidak ada kena-mengena dengan sesiapa atau apa-apa samada yang hidup, mati, belum wujud, dah bankrap atau sebagainya. Jika terdapat sebarang persamaan; ia adalah kebetulan semata-mata.

Segala nasihat atau petua yang diambil dari cerita ini adalah dalam konteks padang ini dan digunakan atas tanggungjawab pembaca sendiri.

3 Responses to “Rumput Cinta. Bab 3: Ah Seng”

  1. […] dari kacamata AhSeng, dan dalam bahasa Inggeris dari kacamata Roslan. Dapatkan Bab 1, Bab 2 dan Bab 3 dalam laman web ini. Utk tidak ketinggalan, Follow laman web ini atau FB […]

    Like

  2. […] dari kacamata AhSeng, dan dalam bahasa Inggeris dari kacamata Roslan. Dapatkan Bab 1, Bab 2, Bab 3 dan Bab 4 dalam laman web ini. Utk tidak ketinggalan, Follow laman web ini atau FB […]

    Like

  3. […] dari kacamata AhSeng, dan dalam bahasa Inggeris dari kacamata Roslan. Dapatkan Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4 dan Bab 5 dalam laman web ini. Utk tidak ketinggalan, Follow laman web ini atau FB […]

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: