Rekabentuk Lanskap; macamana nak mula.
Sebelum ini kita ada berbincang tentang prinsip rekabentuk lanskap (apa, kenapa dan bagaimana). Itu teorinya, macamana praktiknya? Praktiknya ialah kita memulakan projek lanskap dengan tidak menanam apa-apa pun selagi kita belum ada projek di atas kertas.
Kita boleh bercerita tentang topic ni secara serius tapi kalau nak serius, boleh lah berhenti baca disini dan mungkin lebih baik kita semua cari buku atau laman web yang serius tentang lanskap. Saya berpendapat bahawa menanam lanskap di sekeliling rumah boleh menjadi suatu hobi yang menarik dan mudah. Maka adalah hasrat saya untuk memudahkan projek lanskap untuk orang awam.
Terlalu selalu kita biarkan kontraktor yang tentukan pokok apa, berapa banyak dan kat mana nak tanam, dan kita lupa bahawa lagi banyak pokok dia tanam lagi besar bil dia. Saya tengok banyak orang yang halaman rumahnya penuh dengan pokok yang dia tak terbela dan dia tak kenal nama pun. Akhirnya pokok-pokok terbiar.
Secara umumnya artikel ini di tujukan kepada orang awam yang tidak mempunyai latihan dan pengalaman merekabentuk lanskap. Ia banyak merujuk kepada ‘rumah’ tapi boleh digunapakai kepada ‘sekolah’, ‘pejabat’, ‘ kilang’ atau sebagainya. Bila saya sebut ‘keluarga’ boleh gantikan dengan ‘rakan sekerja’, ‘rakan sekolah’ atau sebagainya. Dan bila saya sebut ‘isteri’ maka boleh lah ganti dengan ‘bos besar’ (dengan tiada lain yang sebagainya…)
Kita mulakan: pertama sekali, pastikan semua ahli keluarga terlibat sama. Siapa tahu? Ada ahli keluarga kita yang mempunyai bakat artistic yang terpendam? Atau mereka lihat kawasan rumah orang lain yang menarik perhatian? Dalam perbincangan, letak kan beberapa kriteria yang di jadikan panduan perbincangan.
- Jangan bergaduh atau tarik-tarik rambut
- Ingat atau perhatikan saiz tanaman atau pokok itu bila ia matang nanti. Biasanya bila kita dah tinggal kat satu rumah kita akan duduk situ selama 10 atau 20 tahun akan datang, jadi bayangkan ketinggian atau saiz pokok itu 10-20 tahun lagi. Boleh tak bayangkan pokok pisang kipas di rumah 20×70 kaki? Atau pokok Araucaria setinggi 30 kaki di rumah teres setingkat?
- Tahap penjagaan. Jika anda adalah keluarga yang sibuk dan umm… ‘kurang rajin’ maka janganlah cari pokok, rumput atau tumbuhan yang perlukan banyak penjagaan.
- Beri perhatian kepada kawasan kejiranan juga. Adakah tema atau pokok lanskap itu akan kelihatan janggal dengan keadaan rumah-rumah jiran?
- Untuk rumah yang mempunyai kawasan kecil, menanam dalam pasu yang boleh di susunatur atas pelantar bertingkat, atau di gantung boleh memberi lebih banyak tumbuhan dalam ruang yang lebih kecil. Atau boleh guna pergola yang mempunyai bumbung tumbuhan menjalar seperti bougainvilla.
- Di belakang atau tepi rumah mempunyai tebing curam? Menanam dengan rumput bermakna akan susah memotong di masa akan datang. Mungkin boleh tereskan tebing (tapi jangan tanam kelapa sawit; itu dah luar topik) atau tanam dengan tanaman penutup bumi seperti Wedelia atau Arachis. Jika kawasan tersebut besar, boleh juga tanam dengan Weeping Lovegrass atau wild flower.
- Apa personality keluarga anda? Formal atau informal? Terbuka atau lebih sukakan privasi? Padankan tema lanskap dengan keluarga anda.
- Rumah anda mungkin mempunyai bentuk atau warna yang bertema, maka jangan lupa juga untuk padankan lanskap anda dengan tema rumah anda. Atau anda kena padankan rumah anda dengan tema lanskap anda. Terpulang.
- Adakah ahli keluarga anda yang mempunyai keperluan istimewa? Laluan yang lebih lebar mungkin di perlukan untuk orang yang berkerusi roda. Atau tanaman tidak berduri untuk keluarga yang mempunyai kanak-kanak riang.
- Bajet. Mungkin kriteria ni sepatutnya yang pertama tapi nanti perbincangan jadi tak seronoklah bila cerita pasal duit dulu.
Jika anda telah melalui langkah di atas tanpa drama, ini bermakna orang lain tak berminat atau anda telah menggunakan kuasa veto di setiap peringkat perbincangan.
Seterusnya ialah langkah-langkah perbincangan itu di adakan. Bagaimana cara untuk membuat rekaan lanskap secara mudah?
Langkah-langkah:
- Buat keputusan tentang keperluan dan kemahuan keluarga anda. Apakah kegunaan lanskap itu nanti? Jika anda mahu ia berfungsi sebagai tempat riadah atau bersenam atau bersantai, maka anda mungkin mahukan kawasan rumput yang lebih besar. Jika anda mahukan ia sebagai tempat anda menghabiskan masa lapang sebagai hobi, maka anda perlu utamakan pokok kegemaran anda ataupun pokok dalam pasu yang lebih mudah di tukar bila dah jemu. Beri perhatian juga kepada berapa banyak masa anda mampu luangkan untuk penjagaan lanskap anda.
- Kenali kawasan anda. Mungkin ada kawasan anda yang tak boleh atau tak mahu di ubah (contohnya jalan masuk atau pokok besar).
- Jika kawasan anda besar, anda mungkin perlu membuat penanaman secara berperingkat. Tapi rekaan mesti di buat secara keseluruhan.
-

simple layout of rumah dan laman. Guna Excel (buku matematik pun boleh)
Cari atau buat suatu peta kawasan anda. Lukis ‘pandangan satelit’ dan pastikan ia bersekala (ukuran yang mengikut skala). Contohnya; apa-apa yang panjangnya 1 meter di atas mukabumi, lukiskan ia sebagai 1 sentimeter di atas kertas.
Lukiskan juga: rumah atau bangunan lain dalam kawasan anda. Pagar atau sempadan (jangan terlanskap tanah orang!). Kawasan merbahaya seperti longkang terbuka, paip bawah tanah yang cetek, wayar letrik (sambungan ke eletric gate) dan sebagainya. - Ambil sekeping kertas nipis (kertas surih atau tracing paper), lekapkan di atas peta tadi dan lukis idea anda. Anda boleh buat lebih dari satu idea dan labelkan setiap kertas nipis itu sebagai ‘Idea 1’, ‘idea2’ dan sebagainya.
- Ingat, anda perlu mengikut skala peta.
- ‘Idea1’ mungkin ada pelantar/gazebo. ‘Idea2A’ mungkin ada kolam ikan dan pokok shrub renek setinggi dua kaki di kiri kanan jalan. ‘Idea2B’ mungkin ada kolam ikan tapi pokok palma di kiri kanan jalan. ‘Idea3’ mungkin ada banyak pokok besar dan sebagainya. Lekap kertas di atas peta dan bincang dengan “ahli jawatankuasa” anda.
- Tak perlu letak nama pokok dahulu. Hanya letak lokasi dan saiz setiap tumbuhan dahulu. Pokok A di tengah-tengah halaman, batas B bunga warna kuning dekat tepi bilik Abang, kolam ikan sebelah tingkap Adik, Palma kecil setiap 2meter di kiri kanan jalan.
- Akhir sekali, rombak semula idea anda ke atas suatu ‘masterplan’ dan pastikan semua orang tandatangan. Tak pandai tandatangan suruh dia cap jari. Lepas ni jangan nak komplen.
- Satu lagi perkara tentang pemilihan tanaman. Saya pasti dari awal lagi anda dah tahu pokok apa nak tanam kat mana, tapi kadang-kadang bila dah lukis atas kertas baru kita nampak ‘kaitan’ pokok itu dengan tanaman, pagar, jalan ataupun rumah kita. Tapi kalau anda tak pasti pokok apa nak tanam (tapi tahu rupa, saiz dan warna) maka ada beberapa cara anda boleh pilih pokok:
- Pergi ke nursery dan pilih.
- Jika anda nampak pokok yang anda suka di taman bunga atau rumah Mak Limah hujung jalan, ambil gambar dan bawak ke nursery.
- Bawak orang nursery ke taman bunga atau ke rumah Mak Limah.
- Lepas tu gantikan nama pokok itu ke atas ‘masterplan’ tadi. Contohnya: Allamanda kat Batas B, Green Palm kat tepi jalan, pokok Janda Merana kat tepi rumah, Ixora Sunkist tepi pagar dan sebagainya.
Satu peringatan; pilih pokok yang sesuai dengan iklim rumah anda. Maksud saya, jangan pergi beli pokok kat Cameron Highland jika anda tinggal di Kuala Pilah.
Saya tahu, saya tahu, pada peringkat ini ada yang dah mengalirkan air mata kerana rasa susah sangat nak buat lanskap untuk tanah sebesar stem pos. Jangan stress. Yang tertulis di atas tu hanyalah panduan sahaja dan anda boleh langkah mana-mana bahagian atau buat bahagian baru seperti yang anda rasa patut. Itu rumah anda, peduli apa orang lain cakap. Tapi lanskap boleh menjadi suatu hobi dan memberi kepuasan kepada anda, jadi buat perlahan-lahan! Ikut kemampuan! Dan penting sekali; Have Fun!
Sudah kah anda membaca bahagian 1 dari artikel ini: “Rekabentuk lanskap; apa, kenapa dan bagaimana“?
Rujukan lain:
http://www.the-landscape-design-site.com/landscapeplanning.html
http://landscaping.about.com/od/landscapeplans1/a/landscape_plans_4.htm
http://www.design-gardens.com/garden-design.html
